Perjalanan 1


Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (yaitu) al- Quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka kepada mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, nescaya tidak ada baginya seorang pemimpin pun.
Az- Zumar :23

“Mummy…Unice dah balik!” Jerit Unice. Dia baru pulang selepas bermain badminton di universitinya. Peluh meluncur turun dari dahi dan tubuhnya. Tambahan pula cuaca hari ini agak panas. Walaupun berlatih di dalam dewan, namun kesesakan para penonton yang melebihi para pemainnya tetap mengeluarkan bahang yang panas.

“Dah balik? Macam mana latihan tadi?” Tanya Puan Jennifer. Dia adalah ibu kepada Unice. Kerjayanya sebagai pemilik butik mebuatkannya menjadi kaya-raya. Tambahan pula suaminya adalah pemilik sebuah syarikat antarabangsa.

“Good. Unice menang dua set pertama.” Ujar Unice bangga. Sejak kecil dia memang suka bermain badminton. Kelincahan dan ketangkasannya menangkap bulu tangkas memang sukar ditandingi. Puan Jennifer ketawa. “Mummy dah agak. Anak mummy memang hebat.” Pujinya. Hati Unice berbunga-bunga.

“Dah pergi mandi. Bau busuk. Malam ini nak pergi dinner kat luar.” Puan Jennifer menutup hidung menggunakan tangan kanannya. Tangan kirinya menolak tubuh Unice. Gadis itu ketawa. Dia tidak menafikan badannya berbau masam. Dia sendiri bau apatah lagi ibunya.

“Yes, madam.” Unice segera berlari memajak anak tangga. Puan Jennifer menggeleng-gelengkan kepalanya.

Sampai di biliknya, Unice terus merebahkan tubuhnya. Penat tubuhnya masih belum hilang. Nasib baik tadi dia bergilir-gilir memandu dengan kawannya. Jadi tidaklah letih sangat.
“Hiargh!” Unice menggeliat merenggangkan otot-otot lengannya yang lenguh. Tiba-tiba sahaja dia rasa mengantuk. “Tengok tv kejaplah.” Tangan Unice mencapai alat kawalan jauh. Dia membuka televisyennya. Di rumah Unice, setiap bilik mempunyai televisyen. Hatta bilik pembantu rumahnya pun disediakan satu. Kata ibunya tidak lengkap sebuah bilik tanpa televisyen.

Tangan Unice mula mencari-cari siaran televisyen yang diminatinya. Tiba-tiba mata Unice terpaku pada siaran 109. Rancangan Akedemi Al-Quran. Seorang lelaki sedang membaca sesuatu dengan suara yang berlagu-lagu. Unice tertarik. Sungguh sedap mendengarnya. Bahasa apa yang dia pakai? Turki? Sepanyol? India?

“Sedapnya…lagu apa dia nyanyi itu? Nanti nak search kat You Tube lah. Boleh download letak dalam phone.” Unice terus terbuai dengan alunan merdu itu. Lama kelamaan dia terlelap. Dia terlupa tujuannya yang sebenar untuk mandi. Tidurnya sungguh nyenyak.

******

“Tempat apa ini?” Unice menggosok-gosok matanya tidak percaya. Bukankah dia sedang menonton televisyen di biliknya tadi? Bagaimana dia boleh berada di sini? Unice bingung.

Taman ini sungguh cantik. Terdapat air terjun berwarna biru yang mengalir tenang. Terdengar bunyi kicaun burung yang merdu bersahut-sahutan seakan-akan menyambut kedatangannya. Pohon-pohon di situ rendang dan berjarak antara satu sama lain. Terdapat bunga-bungaan di antara pohonan itu. Di salah sebuah pohon itu tergantung buaian. Di atas buaian itu, duduk seorang wanita berjubah putih membelakangkannya. Unice tertarik dengan buaian itu. Dan dia lebih tertarik lagi ingin mengetahui siapa yang duduk di atas buaian tersebut.

“Ex..cuse..mm..e…” Tegur Unice teragak-agak. Wanita itu menoleh. Ayunan buaiannya terhenti. Rupa-rupanya dia memakai purdah. Matanya….Wow! Wonderful! Amazing! Unice berasa takjub. Alangkah indahnya sepasang mata itu. Redup merenungnya dengan pandangan yang lembut. “Assalamualaikum.” Ucap wanita itu. Suaranya merdu bergemersik di gegendang telinga Unice. Unice terpaku. Bahasa apa yang dia pakai? Turki? Sepanyol? India? Bagaimana aku nak jawab?

Wanita itu hanya tersenyum di sebalik purdahnya. Tidak menghiraukan Unice yang tidak menyambut salam kesejahteraan yang penuh doa itu. “Nama ana Fatimah Zahra’.” Ramah wanita itu menyapa. Bahasanya sopan. “Nama saya…” Belum sempat Unice hendak memberitahu, bicaranya dipotong. “Unice kan?” Unice hanya mengangguk dengan rasa terkejut. Heh, bagaimana dia tahu? Unice meneguk air liur. Bulu romanya meremang. Seram. “Err….tempat apa ni?” Teragak-agak Unice bertanya.

“Cantikkan tempat ini.” Wanita itu berkata tanpa menjawab soalan Unice. Unice menahan rasa geram di dalam hati.

“Unice…” Wanita itu memanggil. Unice memandang sambil mengangkat kening. Rambutnya yang menutup dahi dikuak dengan tangan. “…Jangan marah.” Wanita itu ketawa halus melihat wajah Unice yang berubah kelat.

‘Ish, dia ni tahu je apa aku fikir!’ Desis hati Unice.

“…Dengan izin Allah.” Tutur wanita itu seperti menjawab kata hati Unice. Lidah Unice menjadi kelu. Dia tidak terkata apa-apa. “Apa agama enti?” Lembut wanita itu menyoal. Unice diam. “Enti tidak ada agama? Ateis?” Wanita itu menyoal lagi. Kali ini Unice mengangguk. “Kenapa?”

“Alam ini terjadi dengan semulajadi. Begitu juga dengan diri kita. Kita yang berkuasa dengan diri kita sendiri. Segalanya berlaku tanpa campur tangan Tuhan. Contohnya sejarah pernah mencatatkan seorang saintis meletakkan daging dan kain kemudian membiarkannya. Selang beberapa hari, beberapa ekor haiwan didapati keluar dari daging tersebut. Pada kain tersebut pula terdapat lipas. Teori ini boleh diterima akal malah diperakui oleh seorang saintis terkenal, Charles Darwin.” Petah Unice menjawabnya. Kecerdasannya sebagai siswi yang paling pandai di universitinya terserlah. Wanita itu tersenyum lagi. Terangguk-angguk. “Hmm…tetapi mesti ada yang mencipta lipas dan haiwan itu, kan?” Wanita itu sengaja hendak menguji gadis di hadapannya. Jari-jemari mulusnya lembut menyentuh bahu Unice. Unice terpempan. Benar juga kata wanita itu. Keyakinannya sedikit tergugah.

Melihat Unice diam, wanita itu menyambung, “Kenapa enti tidak percaya tuhan?” Tanya wanita itu.

“Sebenarnya saya ragu-ragu. Sungguh banyak tuhan. Ada tuhan yang diperbuat dari batu, ada tuhan yang sudah mati, ada tuhan ular, ada tuhan yang tidak terlihat.” Keluh Unice. Wanita itu bangun dan mendekati Unice. “Kami orang islam menyembah Allah. Tuhan yang Satu.” Wanita itu meletakkkan tangannya ke pipi Unice. Lembut. Pipi Unice terasa dingin.

“Tapi bukankah Allah tidak terlihat?” Agak kekok Unice menyebut nama ‘Allah’. Dia menyentuh pipinya. Dingin. Rasa selesa.

“Unice ada jantung?” Tanya wanita itu. Dahi Unice berkerut. Soalan apakah ini?

“Mestilah ada.” Pelik. Unice berasa jengkel.

“Tapi tak nampak, kan?”

“Yelah, tapi kan kita boleh rasa.” Unice melekapkan tapak tangannya ke dada. Terasa olehnya jantung yang berdegup kencang.

“Begitu jugalah Allah, adikku sayang.” Wanita itu berkata mesra sambil ketawa. Tawanya sungguh merdu.

“ Eh?” Unice tidak faham. Apa kaitannya?

“Kita boleh merasakan kewujudan Allah.”

“Cuba enti perhatikan sekeliling kita.”

Mata Unice mula meliar ke sana sini. Seluruh taman itu dijelajahi. “Cantik.” Kata-kata itu terluah dari dua bibirnya.

“Cantik kan? Kalau cantik, ini menunjukkan penciptanya juga cantik. Lihat dalam diri enti sendiri. Betapa cantiknya Allah menciptakan enti. Pasti penciptanya lebih-lebih lagi.” Unice jadi tersipu-sipu dipuji wanita itu. Pipinya memerah sepeti memakai blusher.

“Lihat pula pada matahari. Patuh kepada Allah. Teratur. Cuba bayangkan satu hari bulan dan matahari keluar serentak. Apa jadi?” Soal wanita itu lembut.

Unice tergeleng-geleng. Tak dapat dibayangkan. Pasti kacau jadinya. Akhirnya dia tersenyum.

“Kalau tiada tuhan, masakan semuanya boleh teratur. Pernah tak ada suatu hari malam dan siang muncul bukan pada waktunya? Pasti penghuni bumi boleh jadi gila. Semua akan memarahi Tuhan. Bukankah keteraturan sesuatu kejadian membuktikan campur tangan Tuhan?”
Hujah wanita itu.

“Lagi satu, kalau tiada Tuhan, pasti planet-planet berlanggaran. Sebab tiada siapa mahu mengawalnya.” Sambung wanita itu lagi.

Unice terdiam. Logik. Semua kata-kata wanita itu mudah diterima akal.

“Ucapan assalamualaikum yang ana ucapkan tadi diambil dari perkataan Bahasa Arab yang bermaksud selamat sejahtera ke atas kamu. Jawapannya.. waalaikumussalam yang bermaksud selamat sejahtera ke atas kamu juga.” Wanita itu sudah bersedia untuk pergi.

“Err…” Unice menahan.

“Kenapa?” Sepasang mata cantik yang redup itu menatap Unice.

“Boleh kita berjumpa lagi?” Tanya Unice.

“InsyaAllah…” Balas wanita itu sambil tersenyum. Unice ikut tersenyum. Entah mengapa hatinya terasa tenang. Damai.

“Ana pergi dulu. Semoga hidayah Allah sampai kepada enti. Assalamualaikum…” Wanita itu hilang bersama hembusan angin. Menerbangkan bau yang sangat wangi. Menusuk ke dalam rongga hidung Unice. “Waalaikumussalam…” Jawab Unice perlahan.

******

“Strange dream.” Unice bangkit dari katilnya. Rambut perangnya disisir dengan jari dan diikat. Matanya terpisat-pisat memandang sekeliling.

“Uargh!”

Dia menguap . Ngantuk. Tangannya menyentuh pipi. Dingin. Seperti ais.
Unice tersenyum.
Fatimah Zahra’.
Siapa dia?

Unice merebahkan kembali tubuhnya. Rasa lesu masih tidak hilang. Sendinya terasa lenguh.
“Hah!” Unice bangkit kembali. Terbuntang matanya memandang jam di dinding. 7:10 malam. Macam mana ni? Tiba-tiba dia teringat dinner bersama keluarganya. Memang setiap hari Isnin mereka akan makan di luar. Unice menarik selimutnya dan menurunkan kaki. Cadar dibetulkan ala kadar. Unice tidak suka melihat biliknya berserabut.

Skrek!

Pintu terbuka perlahan. Terpacul muka abangnya, Jonathan di muka pintu. Wajah abangnya sungguh ceria. “Hai, Unice. Awal bangun?” Seperti biasa kata-katanya berbaur usikan. Unice malas hendak melayan. Almari baju dibuka dan pakaian-pakaian di dalamnya dibelek. Mencari baju yang sesuai untuk dipakai.

“Hurry up! Semua dah siap. Bertuah betul adik abang ni.” Bebel Jonathan. Unice tersengih. “Memang bertuah pun. He…he…” Unice menarik sehelai baju keluar. Baju berwarna oren bercorak abstrak. Berlengan pendek dan jarang. Kemudian, dia mengambil pula inner berwarna putih dan skirt dari warna yang sama.

“Lama Unice tidur. Bad dream or nice dream?” Tanya Jonathan sambil melangkah masuk ke bilik adiknya.

“”Ermmm…” Unice teragak-agak. Mimpi baik ke buruk ya? Entahlah, dia pun tidak tahu. Tapi yang dia tahu dia senang dengan mimpi itu.

“Fantastic dream!” Balas Unice dengan ceria. Bibirnya menayang senyum. Kemudian, dia melangkah masuk ke bilik air.

Pom!

Jonathan mengurut dada. Ish, adik aku ni dari dulu tak berubah-ubah. Jonathan tersenyum sambil menggeleng perlahan. Kemudian dia melangkah keluar dari bilik adiknya.

*******

~Hamba Rabbani~

2 thoughts on “Perjalanan 1

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s