Perjalanan 2

Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk.
Al Qashash : 56

Suasana di Alam Café agak lengang. Café yang agak mewah itu hanya didatangi oleh golongan bangsawan sahaja. Di satu sudut, Unice dan keluarganya menikmati hidangan makan malam. Betul-betul di bawah cahaya lampu berwarna oren.

Unice memandang satu persatu ahli keluarganya. Masing-masing tekun menjamah makanan. Unice menyuapkan Pasta Adelaide kegemarannya ke dalam mulut.

“Macam mana game tadi? All right?” Soal Jonathan. Unice mengangguk. “Tengok oranglah. Siapa boleh lawan.” Terselit nada bangga di dalam pertuturannya. Juara negeri dalam tiga tahun terakhir ini. Memang setakat ini tiada siapa yang gagal dipancitkannya. Cara permainan Unice agak santai tetapi memenatkan lawannya. Unice bijak mengawal permainan.

“Oh, bangga ek? Siapa yang ajar Unice? Apa-apapun all the best.” Jonathan mengerling adiknya. Memang adiknya agak berbakat. Dia sebagai guru pun terduduk apabila berlawan dengan adiknya. Stamina adiknya itu luar biasa. “Thanks for all.” Unice menghargai. Unice sendiri tidak sangka dia akan terjatuh hati pada badminton. Sedangkan dulu badminton langsung tidak masuk dalam listnya. Bagi Unice badminton hanya permainan indoor dan tidak mencabar langsung. Tapi siapa sangka Unice boleh sehandal ini setelah dipaksa menuntut bersama abangnya. Unice tersenyum sendiri.

Unice menjeling Carl yang seperti termenung. Makanan hanya diaduk-adukkan dan tidak dimakan. Unice hairan melihat adiknya seorang itu. Lebih banyak mendiamkan diri seperti menanggung beban yang berat. Unice perasan Jonathan menjuihkan bibirnya ke arah Carl dengan kening terangkat. Unice hanya menjongkatkan bahu tanda tidak tahu. Puan Jennifer juga dapat menduga anaknya itu mempunyai masalah. Tetapi dia tidak mahu masuk campur. Carl sudah 15 tahun dan boleh berfikir sendiri. Encik Melvin hanya mengikut jejak isterinya. Mereka suami isteri sentiasa bersedia untuk menjadi tempat mengadu.

Ting!

Bunyi garpu menyentuh lantai menarik perhatian Puan Jennifer dan Encik Melvin. Muka Unice merah padam. Puan Jennifer menggeleng-gelengkan kepalanya. Pasti anak daranya itu diusik oleh anak terunanya. Puan Jennifer memandang Jonathan yang membuat muka tidak bersalahnya.

“Ouch!” Tidak semena-mena Jonathan menjerit kecil. Penyepit ketam Unice hinggap di betisnya. Unice ketawa perlahan. Padan muka. Itulah siapa suruh sepak kaki orang.

Unice mengalihkan wajahnya dari melihat wajah kelat abangnya. Dia terpandang jam besar di pintu masuk café tersebut. 7:30 malam.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Kedengaran sayup-sayup laungan azan. Unice sudah biasa mendengar suara itu kerana café itu betul-betul terletak di sebelah masjid. Entah kenapa Unice berasa sayu. Unice terpandang Carl. Dia terkejut. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

Carl…

Carl?

******
Kereta BMW 3 Series meluncur laju di jalan raya mengekori kereta Lamborghini di hadapannya. Kereta itu dipandu oleh Jonathan. Di sebelahnya adalah Karl dan dibelakangnya Unice sedang mendengar lagu dari ipodnya. Mulut Unice perlahan-lahan menyanyikan rentak lagu itu. Lagu Give Me Everything nyanyian rap yang disempurnakan oleh Pitbul.

Unice memandang Carl yang sedang lena. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya tadi.

‘Mungkin ilusi aku kot.’ Sanggah Unice. ‘Tapi ah, mustahil! Aku sendiri melihatnya.’ Suara hatinya menafikan.

Tiba-tiba dia teringat peristiwa di dalam café.

Unice terpandang Carl. Ada air mata yang bergenang di kelopak matanya. Mungkin Carl ada masalah besar. Kalau tidak, tidak mungkin Carl yang happy go lucky hampir menumpahkan air mata. Carl terpandang Unice. Cepat-cepat dia bangun dan beredar dari situ.

“Aku akan siasat masalah Carl.” Tekad Unice. Dia ingin mengeluarkan adiknya dari kemelut masalah yang membelenggu dirinya.

******

Unice berjalan memasuki sebuah masjid. Semua di dalamnya berwarna putih. Dia menapak perlahan. Di sudut masjid itu, seorang perempuan berpakaian serba putih sedang duduk bersimpuh. Wajahnya sungguh bersih dan tenang membuatkan Unice tertarik untuk mendekatinya.

“Err…” Teragak-agak Unice menyentuh bahu perempuan itu. Perempuan itu berpaling. Unice terpana. Lidahnya kelu.

“Unice.” Ucap perempuan itu. Lembut sungguh suaranya. Unice tergamam. Dia kenal suara itu. Itu suara…

“Kak Fatimah.” Gumam Unice antara dengar tak dengar. Fatimah Zahra’ benar-benar menepati janjinya. Mereka bertemu lagi.

Fatimah Zahra’ mengangguk seraya menguntum senyum. Belum sempat Unice membuka mulut, seruan azan memakunya. Walau setiap patah perkataan itu tidak difahami maksudnya, namun Unice yakin ia ada maknanya yang tersendiri. Tiba-tiba Unice teringat agama Kristian. Mereka membunyikan loceng. Dahulu Unice suka mengikut kawannya ke gereja secara sembunyi-sembunyi. Unice memang suka mencuba sesuatu yang baharu. Ingat lagi betapa marahnya ibunya apabila dia cuba-cuba menggunakan colok yang dipinjam dari kawannya. Yalah, dia hairan kenapa di kad pengenalannya tertulis dia seorang penganut agama Buddha sedangkan dia seorang freethinker?

Unice tersedar sebaik sahaja azan habis dilaungkan. Dilihatnya Fatimah Zahra’ sedang menunaikan solat. Unice pernah melihat solat itu. Berdiri, ruku’ sujud dan duduk sebelum sujud kembali. Unice hanya memerhati. Dia sendiri tertanya-tanya kenapa dia terseret di tempat ini? Apa di sebalik semua ini? Kenapa dia dipertemukan dengan Fatimah Zahra’? Semua itu berlegar-legar di dalam fikirannya.

“Assalamualaikum warahmatullah…Assalamualaikum warahmatullah…” Unice melihat Fatimah Zahra’ memalingkan wajahnya ke kanan dan kemudian ke kiri. ‘Dia beri salam pada siapa?” Unice tertanya-tanya. Dia tidak melihat seorang pun di situ.

“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, Ya Allah, ampunilah dosaku dan saudara-saudaraku. Bantulah kami umat Muhammad dalam menghadapi fitnah zaman ini. Sesungguhnya hanya Engkau Yang Berkuasa ke atas kami.

Tiadalah daya kami kecuali dengan izin-Mu. Ya Allah, kami hanyalah hamba yang mengharap belas kasihMu. Kami tahu kami tidak layak meminta padaMu tetapi kepada siapa lagi kami hendak pinta selain dariMu.

Ya Allah, campakkanlah hidayahMu ke dalam hati kami. Supaya dengannya kami sentiasa berada dalam ketaatan kepadMu, dan kecintaan yang mendalam terhadapMu sehingga kami tidak memandang yang lain lagi.

Mekarkanlah cinta kami serta cambahkan iman di dalam hati kami. Jadikanlah tiada rindu dalam hati kami melainkan untuk Rasul-Mu. Ya Allah, bantulah saudara-saudara kami dalam usaha mengenaliMu dan agamaMu. Dan jadikanlah kami bersama-sama berjuang untuk mengagungkan namaMu, meninggikan syariatmu dan menjunjung agamaMu. Dan jadikanlah apa sahaja yang kami lakukan adalah keranaMu meskipun di hadapan mata kami terbentang syurgaMu, yang tiada tempat lebih indah daripadanya, yang boleh menghentikan degupan jantung kami, dan bidadarinya boleh menambah cemburu di hati kami kerana kecantikannya.

Ya Allah, permudahkanlah yang sukar bagi kami, dekatkanlah yang jauh dari kami, dan tenangkanlah yang gelisah di hati kami. Hanya Engkau yang boleh menggembirakan hati kami. Sehingga tiada apa yang lebih kami impikan selain dapat menatap wajahMu dan berdampingan denganMu.

Ya Allah, dengan segala kerendahan hati, kami memohon perkenankanlah sedikit daripada bunga-bunga doa kami. Meskipun tidak semua, aku mohon dengan rasa takut kepadaMu, terimalah dan sambutlah ia dengan rahmatMu. Amin Ya Rabbal ‘Alamin…” Pinta Fatimah Zahra’ bersungguh-sungguh.

Fatimah Zahra’ meraup wajahnya yang basah dengan air mata. Unice terjeda. Suara merdu Fatimah Zahra’ bagaikan berlegar-legar di segenap ruang masjid tersebut. Munajatnya menyentuh jiwa. Kosa kata ‘kami’ lebih menambah rasa sayu. ‘Adakah aku termasuk sebagai saudaranya?’ Hati Unice berbicara. Entah mengapa dia berharap dia berada di dalamnya.

‘That’s can’t be. There’s no God.’ Nafi akalnya. Egonya keras membantah. Perasaan sombong membatasi segalanya. Dia enggan mengakui yang dirinya milik Tuhan.

‘I belong to myself.’ Gumam hatinya.

******
Unice terjaga. Dia memandang sekeliling dengan perasaan bingung.
“Nonsense! Look. It just a dream.” Sinis Unice berkata. Dia menghuraikan ikatan rambutnya. Rambut perangnya luruh ke hadapan. Menutupi sebahagian wajahnya. Unice menguap lebar. Disebabkan mimpi itu dia terjaga lebih awal daripada biasa. Unice bergerak ke bilik air. Dia membasuh wajahnya dengan air. Kemudian, dia melihat wajahnya di dalam cermin. Matanya yang sepet, hidungnya yang kecil dan bibir nipisnya. Rambutnya berwarna perang asli mengurai panjang melepasi siku. Dengan kulit putih melepak, Unice memang anak cina sejati. Dia sememangnya seorang gadis yang cantik. Di universiti, dia sering menjadi rebutan. Kecantikannya seperti ’copy’ ‘paste’ dari ibunya.

Dia merenung anak matanya. “Are you belong wholly to God?” Dia menyoal sendiri.

“Nope!” Hatinya menjawab. Tidak boleh menerima hakikat kecantikan yang dianggap miliknya sebenarnya milik Tuhan.

Rambutnya diikat ekor kuda. Kemudian, dia melangkah keluar dari bilik air. Kakinya disarung dengan selipar arnabnya. Dia berjalan keluar. Tiba-tiba sahaja tekaknya terasa haus. Perlahan-lahan dia menginjak anak tangga untuk turun ke bawah. Bukan dia tidak boleh menggunakan lif tetapi dia tidak berani menanggung risiko jika terperangkap di dalam lif. Terpaksalah dia menapak 30 anak tangga untuk sampai ke bawah. “Kalau hari-hari macam ni boleh ramping macam kerengga pinggang aku.” Rungut Unice sambil memegang pinggangnya.

Sampai di bawah, Unice melihat lampu terpasang di ruang tamu. Dari jauh dia melihat ayahnya sedang menonton televisyen bersama abangnya. Unice tertarik untuk datang lebih dekat. Dilihatnya, ayahnya, Encik Melvin sedang tekun menonton perlawanan bola sepak sementara abangnya sedang mendengar lagu dengan earphone disumbat di dalam telinga. Entah lagu apa yang didengarnya.

“Tengok apa tu, pa?” Unice memeluk manja leher ayahnya dari belakang. Encik Melvin tersenyum. Memang anaknya yang seorang itu terlebih manja dengannya.

“Malam ni Chelsea lawan Liverpool. Pemain terhandal Chelsea turun padang. Unice tak tidur lagi ke?” Ujar Encik Melvin tanpa memandang anak tunggal perempuannya itu.

“Dah tidur. Tapi terjaga. Haus.” Unice memutarbelitkan fakta. Sebenarnya dia terjaga dahulu baru haus. Bukan haus baru terjaga. Unice mahu mengelakkan diri dari disoal panjang lebar. “Okeylah, pa. Nak pergi dapur jap.”

Unice melepaskan leher ayahnya dan beredar ke dapur. Dia mencapai sekotak Peel & Fresh perisa oren dari peti sejuk. Kemudian, dia menuangkannya ke dalam cawan dan diteguk sekaligus. Tekaknya berasa lega. Unice menjeling ayahnya. Encik Melvin tidak bergerak menonton perlawanan bola sepak. Tiba-tiba dia teringat Shima, kawan baiknya. Dia tidak kisah sangat tentang agama dalam berkawan. Baginya, yang penting adalah kepercayaan. Shima pernah mengadu kepadanya tentang abangnya yang terlampau taksub menonton bola sepak.

“Tension aku. Nak tengok cerita lain pun tak boleh. Lepas tu dah lah tak solat. Ustaz aku ada kata bola boleh Buat Orang Lupa Allah. At least, sejahil-jahil aku, aku solat jugak walau sekali dalam sehari. Bukan tak solat langsung.” Ngadu Shima. Unice hanya tersenyum tidak membalas. Baginya, buat apa ada agama tetapi sama sahaja macam dirinya yang tiada agama. Pada diri Shima sendiri tidak mencerminkan yang dia seorang yang beragama. 2×5 sahaja dengan dirinya.

Unice mesuki ruang tamu semula. Punggung dilabuhkan di sebelah abangnya.

“Don’t you want to sleep?” Tanya Encik Melvin apabila melihat anaknya sudah landing di atas sofa.
“I don’t think so.”
“Esok tak pergi U ke?”
“Tak. Esok Unice pergi KL. Ada perlawanan badminton.”
“Play the best. Apa-apapun, result exam pun mesti the best.” Pesan Encik Melvin. Dia tak nak pelajaran anaknya terganggu.
“Sure, pa. Thanks for reminding.” Jamin Unice. Dia memang top one student di universitinya. Jadi tiada masalah.

Unice memandang abangnya di sebelah. Kepalanya terangguk-angguk sambil mata terpejam. Begitu menghayati lagu yang didengarinya. “Abang, lagu apa tu?” Unice menepuk perlahan peha abangnya. Namun tiada respon. Unice mencabut earphone dari telinga abangnya itu. “Abang, lagu apa?” Ulang Unice lagi. Namun, masih tidak berbalas. Unice menyumbat earphone itu ke dalam telinganya. Kosong. Tiada lagu yang berkumandang. Unice memandang Jonathan hairan. Kelihatan Jonathan masih terangguk-angguk seperti tadi.

“Tidur rupanya.” Unice tersenyum sendiri.

Tiba-tiba sahaja tangannya dicapai dan dibelai-belai oleh Jonathan. Meremang bulu roma Unice dibuatnya. “Jessica…” Lafaz Jonathan berkali-kali. Unice tergelak. Mengigau rupanya. Entah siapalah Jessica itu. “You look so beautiful tonight. Like the moon up the sky.” Sambung Jonathan lagi. Unice menekan-nekan perutnya. Hei, abang aku ni tak ada ada benda lain ke? Balik balik bulan. Apa yang cantiknya bulan tu? Berlubang-lubang. ‘Mesti muka Jessica banyak jerawat.’ Gumam Unice. Ketawanya ditahan, takut abangnya terjaga.

“Muaahhh…Love you, my dear.” Tangan Unice dicium. Habis melekat air liur basi. Unice lekas-lekas menarik tangannya dan dilap ke seluar abangnya. Kemudian, digosok-gosok. “Honey…kenapa tarik?” Tangan Jonathan merayap-rayap mencari tangan Unice dengan mata tertutup. Unice pantas menyembunyikan tangannya.

“Abang, bangunlah.” Unice menggoyangkan bahu abangnya. Jonathan terjaga. Mata dibuka perlahan-lahan. Terpisat-pisat dia melihat keadaan sekelilingnya. Bingung. Bukankah tadi dia sedang ber’party’ di rumah Jessica? Kepalanya digaru-garu.

“Err…apa Papa dan Unice buat kat sini?” Perkataan ‘sini’ merujuk kepada rumah Jessica. Dia masih lagi dalam keadaan mamai.

“Abangku sayang. There’s no Jessica here. This is our house.” Balas Unice sambil bangun dari duduknya. Abangnya ini kalau mengigau sampai tak ingat dunia.

“Ha?” Jonathan termalu sendiri. Merah padam wajahnya. Nasib baik ayahnya yang sedang asyik menonton televisyen tidak sedar. Kalau tidak lagi malu dia dibuatnya.

“Nite papa, abang. Nice dream, ya! Nanti Unice rekemenkan abang pada Jessica tu ye? Mukanya macam apa? Macam bulan yang berlubang-lubang?” Perli Unice sambil mengenyitkan sebelah matanya. Sengaja cari pasal.

“Unice!!!” Jerit Jonathan geram. Bantal dibaling ke arah adiknya tetapi langsung tersasar.

“Shh…don’t make noise. Dah tengah malam ni.” Marah Encik Melvin. Konsentrasinya terganggu. Unice cepat-cepat naik ke atas. Lidar dijelir kepada abangnya. “Muaahhh…Love you, my dear.” Ajuk Unice. Sekali lagi bantal dibaling. Namun tidak mengena.

“Ah!” Jonathan mendesah tetapi dibalas dengan jelingan dari Encik Melvin. Terus dia terdiam menahan geram di dalam hati. Kedengaran ketawa Unice dari atas. Bibir diketap.

“You may go sleep upstairs.” Arah Encik Melvin. Hendak menonton pun tidak tenang. Ada sahaja makhluk yang mengganggunya.

“Hmm.” Jonathan menguap lebar. Perlahan-lahan, dia menapak ke anak tangga.

“Uargh! Ngantuknya…”
Sekali lagi dia menguap.

******
~Hamba Rabbani~

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s