Perjalanan 3

Dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apapun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah disisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya. Atau seperti gelap gulita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan; gelap gulita yang tindih-bertindih, apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikitpun.
An-nur : 23-24

Jam baru menunjukkan pukul 7:30 pagi. Pagi-pagi lagi, orang sudah berpusu-pusu ke stesen komuter. Ada yang hendak pergi ke tempat kerja, ada yang berjalan-jalan dan ada juga yang tidak tidak tahu arah tujuannya. Sang suria baru sahaja hendak muncul, komuter sudah pun dipenuhi dengan para penumpang. Cuma, di bahagian coach wanita agak lengang. Namun, selalunya pada pukul 9, waktu orang keluar bekerja, coach ini akan penuh. Bukan wanita sahaja malah lelaki pun akan ‘ter’masuk sekali. Hilang sudah rasa malu.

“Stesen Pantai Dalam. Pantai Dalam. Pantai Dalam.” Komuter berhenti. Berapa orang keluar diganti dengan sekumpulan wanita masuk ke dalam komuter. Begitulah lazimnya. Pintu komuter ditutup. Komuter mula bergerak laju ke stesen seterusnya.

Seorang gadis bertudung labuh baru sahaja masuk ke dalam komuter. Dia melabuhkan punggung di sebelah seorang perempuan cina berambut perang. Perempuan cina itu tersenyum ke arahnya.

Komuter berhenti lagi. Seorang perempuan tua berbangsa India masuk ke dalam. Malangnya tiada tempat duduk. Dia berdiri sambil berpaut di tiang komuter. Melihat keadaan itu, gadis bertudung labuh itu bangun dan mempersilakan perempuan tua itu duduk. Dia rela memberikan tempat duduknya kepada orang lain dan berdiri sambil berpaut pada tiang komuter betul-betul berhadapan dengan perempuan cina itu bersebelahan dengan tempat duduknya tadi. Unice yang duduk di sebelah gadis bertudung labuh itu terkejut. Hari ini, dia sengaja mahu menaiki komuter. Entah mengapa dia tiba-tiba teringin hendak menaikinya. Bukan dia tidak pernah menaiki komuter, malah kali terakhir dia menaiki komuter, dia jatuh pengsan ditengah-tengah penumpang. Mana taknya, hari itu, komuter agak sesak. Unice baru sahaja habis bermain badiminton. Tubuhnya berasa lesu apatah lagi perlu berasak-asak di dalam komuter yang sempit dengan pelbagai ragam dan bau. Terus sahaja dia pitam. Sejak kejadian itu, Puan Jennifer mengharamkannya dari menaiki komuter. Tetapi entah mengapa dia hendak sangat menaiki komuter pagi ini. Kalau kerana malas memandu, dia boleh sahaja menyuruh pemandunya hantar ke universiti. Unice memandang gadis bertudung labuh itu. Macam pernah dilihatnya. Unice mengamat-amati wajah itu lagi. Bayangan seseorang muncul. ‘Ya, memang dia.’ Kata hati Unice. Gadis itu adalah Fatimah Zahra’. Wajahnya, susuk tubuhnya dan cara dia merenung Unice memang sama. Melihat senyuman gadis itu tadi, dia bertambah yakin bahawa gadis itu adalah Fatimah Zahra’.

“Assalamualaikum…” Unice menegur gadis itu yang kini sedang berdiri di hadapannya. Gadis itu terjeda mendengar seorang gadis cina yang non-muslim memberi salam kepadanya. Namun bibirnya spontan menjawab salam.

“Have we met?” Unice memulakan perbualan. Gadis itu tidak lekas menjawab. Dia merenung dalam wajah Unice. Kemudian dia tersenyum.

“SubhanAllah. Nama saudari Unice kan? Unice anak Tan Sri Melvin Tan. Ya kan?” Lembut gadis itu menuturkannya. Unice mengangguk. Hatinya bertambah yakin gadis itu adalah Fatimah Zahra’.

“Mungkin kita tak pernah bertemu tetapi saya kenal saudari. Saudari satu universiti dengan saya. Cuma lain course je. Saudari student medik kan?” Kata-kata gadis itu menghairankan Unice. Bukankah mereka sememangnya pernah bertemu walaupun hanya di alam mimpi?

“Ha’ah. Awak?” Soal Unice berminat hendak mengenal empunya diri di hadapannya.

“Saya Eisha Humaira’ pelajar Syariah.” Eisha Humaira’ memperkenalkan dirinya. Unice hampa. Benarlah gadis itu bukan Fatimah Zahra’. Tetapi mengapa wajah mereka begitu serupa? Mungkinkah Fatimah Zahra’ jelmaan Eisha di alam mimpi?

“Gembira kenal Eisha. Nak ke U ke ni?” Unice bijak menyembunyikan riak wajahnya. Eisha senang berbual dengan Unice yang agak ramah. Gadis cina itu langsung tidak melihat pada agama, bangsa dan fahaman mereka yang berbeza.

“Hari ini Eisha tak ada kelas . Nak pergi Angkasapuri kejap. Ada halaqah dengan sahibah. Unice?”

“Oh, I’m going out at Kuala Lumpur stesen. Ada perlawanan badminton di Jalan TAR.”

“Unice main badminton untuk universiti?” Eisha Humaira’ terperanjat.

“Hmm…badminton is my life.” Akui Unice.

“Stesen Angkasapuri. Angkasapuri. Angkasapuri.” Komuter berhenti bergerak di stesen Angkasapuri. Eisha Humaira’ meminta diri dan berlalu keluar. Perempuan tua berbangsa India itu turut bangun dan melangkah keluar dari komuter. Sebaik sahaja pintu komuter tertutup, baru Unice perasan di antara tempat duduknya dan wanita tua tadi, ada satu mushaf al-Quran. Unice mengambilnya dan dibelek-belek. ‘Takkan perempuan India tu punya.” Unice hairan. Tiba-tiba dia teringat Eisha Humaira’. Gadis itu ada duduk di situ sebelum perempuan tua India itu. ‘Mungkin dia punya.’ Fikir Unice.

Helaian pertama diselak. Sebaris nama tertera di situ. ‘Eisha Humaira’ bint Muhammad Hassan ‘Adli. Nama penuh Eisha Humaira’. Terselit nota di bawahnya.

‘Buat puteri akhirat kami yang dicintai,
Eisha Humaira’.
Tahniah kerana mendapat 5A dalam UPSR.
Kejayaan Eisha adalah hadiah untuk kami dan Islam.
Teruskanlah wahai Qurratu ‘Ayun kami demi kegemilangan Islam.
Dan terima kasih juga kerana menjadi puteri yang solehah buat kami.
Doa kami sentisa mengiringi,
Abi dan Umi yang sentiasa mencintaimu.

Tarikh: 12/12/2002

Unice menutup kembali al-Quran itu. Betapa besarnya harapan dan kasih sayang ibu dan ayah Eisha Humaira’. Kalau dilihat pada tarikh Eisha Humaira’ mengambil peperiksaan, mereka sememangnya sebaya. Unice ingat lagi ketika dia mendapat 5A, tiada ucapan tahniah pun dari ibu dan ayahnya. Mereka sentiasa sibuk. Ibu dan ayahnya hanya melimpahkan harta yang banyak buatnya tetapi bukan perhatian. Hanya abangnya yang mengucapkan tahniah dan membawanya ke restoran kegemaran dan meluangkan masa bersamanya sehari suntuk. Terubat jugalah hati Unice.

Unice memandang al-Quran yang masih cantik di tangannya. Mesti Eisha Humaira’ sayang pada al-Quran ini. “Tak apalah. Nanti aku pulangkan.” Kata hati Unice.

******

Unice memenangi set pertama dengan mudahnya. Lawannya sudah kepenatan sedangkan Unice masih bertenaga. Sorakan para penyokong menggegar dewan. Kini mereka sedang bermain set kedua. Sembilan belas berbalas satu. Unice sudah jauh ke hadapan. Lawan Unice meminta rehat. Mereka diberi rehat lima minit. Unice tersenyum pada lawannya namun tidak dibalas. Lawannya seorang berbangsa Melayu. Kelihatan dia termengah-mengah. Wajahnya merah padam mungkin tertekan kerana Unice hampir memenangi set kedua.

Unice duduk sebentar. Dia tidak meneguk air yang dihulurkan. Sememangnya Unice tidak pernah meminum air ketika bermain.

Segenap ruang dewan dipandang. Unice mencari ayah dan ibunya dicelah orang ramai. Mereka sudah dimaklumkan yang dia ada perlawanan badminton hari ini. Unice agak kecewa kerana ibu dan ayahnya tidak kelihatan. Namun dia segera menepisnya, tidak mahu ia melunturkan semangatnya untuk meragut piala juara bagi perlawanan antara universiti.

Fwittt!!!

Wisel berbunyi. Unice bangun dan menuju ke tengah gelanggang. Begitu juga dengan lawan Unice. Sempat dia memandang Unice dengan penuh amarah Unice kekal tersenyum. Orang yang berada dalam keadaan marah tidak akan dapat bermain dengan baik.

“Mula.” Pengadil menjatuhkan tangannya. Unice memulakan permainan. Lawannya menyambut dengan baik. Unice membalasnya dengan membuat lontaran ke belakang beberapa kali. Segalanya berjalan lancar. Dua-dua berjaya menyambutnya. Pada lontaran kesepuluh, Unice hanya memukul perlahan bulu tangkis menggunakan raket menyebabkan bulu tangkis itu betul-betul jatuh melepasi net. Lawannya yang menjangka bola akan tiba ke belakang seperti sebelumnya tersilap langkah dan tidak sempat menyelamatkan bulu tangkis tersebut.

20-1.

Kali ini, lawannya memulakan permainan. Unice menyambut lontaran itu. Bola dipukul lurus ke atas. Lawan Unice terburu-buru melakukan smash di awal perlawanan. Mungkin kerana terdesak. Unice yang bijak mengagak terus sahaja melompat tinggi dan melakukan smash ke bawah. Sepantas kilat bulu tangkis menjunam ke gelanggang lawan dan menyentuh tanah. Unice mendarat kemas di lantai gelanggang disambut dengan sorakan yang gemuruh. Ramai orang menyerbunya. Unice mengangkat raketnya tinggi-tinggi. Bangga kerana kejayaan menjadi miliknya jua. Terus Unice dinobatkan sebagai pemain terbaik.

“Unice.” Satu suara memanggil Unice. Unice menoleh. Puan Jennifer berdiri di belakangnya. Unice menjerit gembira. Terus mummynya dipeluk. “Mummy, I’ve won.” Ujar Unice riang. Puan Jennifer mengangguk. “I know, dear. I can see that.” Balas Puan Jennifer. Sebenarnya dia baru sahaja tiba. Itupun setelah didesak oleh anak sulungnya.

“Mummy, please. Kali ni sahaja.” Pujuk Jonathan. Akhirnya Puan Jennifer akur jua.

Unice terpandang Jonathan di pintu masuk dewan. Jonathan tersenyum ke arahnya sambil menjulang tangan. Unice tersenyum. Seketika kemudian, kelibat Jonathan hilang daripada pandangannya.

“Unice, mummy kena pergi sekarang. I’ve many works. Sorry.” Tutur Puan Jennifer. Unice mengangguk. Dia faham. Mummy memang selalu sibuk dengan butiknya. Tiba-tiba telefon bimbit Puan Jennifer berdering.

“Can you please hold this bag for a minute?” Pinta Puan Jennifer. Unice mengambil beg tangan ibunya. Puan Jennifer bergerak agak jauh dari orang ramai. Unice membelek-belek beg tangan ibunya. Setahunya beg tangan berjenama LV itu dibeli di Paris. Harganya sudah tentu mencecah puluhan ribu ringgit. Unice membelek-belek isi kandungan beg itu. Tidak pernah dia membuka beg mummynya. Hatinya ingin tahu kandungan beg tersebut.

“What’s this?” Unice mengeluarkan sekeping gambar. Kelihatan seorang lelaki sedang memeluk mummy dari belakang. Mereka nampak gembira terutamanya mummy. Mummy memeluk tangan lelaki itu.

“Who is this man?” Unice memerhatikan wajah lelaki itu dan disimpan kukuh dalam ingatan. Mesti lelaki itu kenangan lama mummynya kerana mummynya tampak lebih muda di dalam gambar itu berbanding sekarang.

“Unice.” Kedengaran suara mummynya memanggil. Unice segera memasukkan kembali gambar itu.

“Yup. “ Unice menyerahkan kembali beg itu. Puan Jennifer mengambilnya dan terus tergesa-gesa beredar dari situ. Unice mengeluh perlahan.

Mummy memang selalu sibuk. Tiba-tiba dia terpandang Jonathan. Hatinya sedikit terubat dengan kedatangan abangnya.

“Jom kita raikan kejayaan Unice. Kita lunch kat restoran kegemaran Unice.” Ajak Jonathan. Nampaknya dia tidak berseorangan. Carl bersamanya.
“Jom.”

******

Suis lampu dimatikan. Unice menghempaskan badannya ke atas katil. Dia berbaring dalam posisi meniarap. Tangannya menekan suis untuk menghidupkan lampu tidurnya. Kemudian, dia mengambil sesuatu dari laci meja kecilnya.

“Hmm…” Desah Unice. Al-Quran Eisha Humaira’ dibelek-belek. Dia berhajat ingin membaca sedikit kandungannya. Tertarik ingin mengetahui apa keistimewaan kitab itu sehingga begitu disayangi oleh orang muslim.

“Huh, macam mana nak baca ni?” Unice merenung kosong tulisan arab yang tertera dalam al-Quran. Pelik sungguh tulisannya. “Huruf apa ni?” Rungut Unice. Terbantut niatnya mahu membaca kitab itu.

Unice memandang ke bawah. Ada tulisan rumi di situ. “Eh, ada maksudnyalah. Baca maksudnya je lah.” Mata Unice menyorot ke bawah. Unice tidaklah terlalu mahir membaca tulisan Bahasa Melayu. Bahasa Inggeris bolehlah.

“Dengan…na..ma..Allah yang Maha..a …Pemurah…la..gi..Maha Mengasihani.” Hampir tergeliat lidah Unice menyebut perkataan ‘Allah.’ Tiba-tiba dia teringat kata-kata Fatimah Zahra’.

. “Kami orang islam menyembah Allah. Tuhan yang Satu.” Fatimah Zahra’ berbicara sambil meletakkkan tangannya ke pipi Unice. Lembut. Pipi Unice terasa dingin.

“Tapi bukankah Allah tidak terlihat?” Agak kekok Unice menyebut nama ‘Allah’. Dia menyentuh pipinya. Dingin. Rasa selesa.

“Unice ada jantung?” Tanya Fatimah Zahra’. Dahi Unice berkerut. Soalan apakah ini?

“Mestilah ada.” Pelik. Unice berasa jengkel.

“Tapi tak nampak, kan?”

“Yelah, tapi kan kita boleh rasa.” Unice melekapkan tapak tangannya ke dada. Terasa olehnya jantung yang berdegup kencang.

“Begitu jugalah Allah, adikku sayang.” Fatimah Zahra’ berkata mesra sambil ketawa. Tawanya sungguh merdu.

“ Eh?” Unice tidak faham. Apa kaitannya?

“Kita boleh merasakan kewujudan Allah.”

‘Betulkah Allah itu ada?’ Unice tertanya-tanya.m “Ah, sambung jelah.” Putus Unice.

“Segala puji ba..gi All..ah.. tu..han sekalian..alam.” Lanjut Unice lagi. Unice segera menutup al-Quran itu. Semakin dia baca, semakin pening dia dibuatnya. ‘Betulkah Allah itu tuhan?’ Fikir Unice. Hatinya galau. ‘Ah! Kristian pun kata tuhan dia tuhan. Buddha pun sama. Mengarut. Mana ada tuhan.” Nafi akalnya. Al-Quran itu disimpan kembali di dalam laci.

“Buang masa aku je. Tidur lagi baik. Tuhan konon. Tuhan tu cuma satu imaginasi. Nonsense. Like old silly man.” Gumam Unice. Lampu tidurnya dimatikan. Unice menarik selimutnya ke paras dada. Dia cuba memejamkan mata. Namun, entah mengapa hatinya galau dan tidak tenteram. Malam itu, tidur Unice tidak didatangi wanita bernama Fatimah Zahra’.

******
Hamba Rabbani~

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s