Perjalanan 5


Katakanlah: “Siapakan yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan dari bumi?” Katakanlah: “Allah”, dan sesungguhnya kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata.
Saba’ : 24.

Kafe universiti sesak dengan mahasiswa dan mahasiswi yang menuntut di situ. Pelbagai bangsa dapat dilihat memenuhi kafe tersebut. Unice yang baru selesai kuliah paginya berjalan masuk ke dalam kafe. Perutnya berkeroncong minta diisi. Selalunya dia akan makan bersama Shima namun hari ini kuliah kawannya habis agak lewat. Terpaksalah Unice makan seorang diri.

Mata Unice meliar mencari tempat kosong. Sebaik sahaja terpandang sebuah meja kosong yang agak tersorok, Unice segera melangkah ke sana. Dia berjalan pantas tanpa memandang kiri dan kanan. Kehidupan di universiti memaksanya untuk cepat dalam segala urusan. Lagipun, lepas ini dia ada kelas bersama pensyarah kesayangannya. Unice tidak mahu lewat.

“Allahu Akbar.” Satu suara lembut kedengaran. Entah apa silapnya, Unice terlanggar seorang siswi yang baru masuk ke dalam kafe tersebut. Buku-buku siswi itu jatuh bertaburan di atas lantai. Unice membongkok membantu mengutip buku itu. Dia tahu itu adalah salahnya. Dia yang melanggar siswi itu. Unice memarahi dirinya kerana cuai. Terbit rasa bersalah di hatinya.

“Sorry. Sorry.” Berulang-ulang kali Unice mengungkap kata maaf. Siswi itu masih tunduk mengutip buku-bukunya. Setelah selesai, buku itu dipeluk ke dada. Selepas itu, barulah dia bangkit.

“Tidak mengapa. Awak tak sengaja.” Siswi itu mengangkat wajah. Senyuman terukir di bibirnya.

Unice terpaku. Bukan kerana kata-kata siswi itu tetapi kerana dia kenal dengannya. Siswi itu pun kelihatan terkejut bercampur gembira. Unice sendiri berasa teruja.

“Unice?” Siswi itu bertanya. Unice mengangguk laju. “Awak Eisha kan? Tak sangka kita dipertemukan lagi.” Tutur Unice. Sungguh dia tidak sangka akan bertemu dengan gadis bertudung labuh itu.

“Mari makan sama-sama.” Ajak Eisha Humaira’ ramah. Unice menerima ajakan tersebut. Mereka sama-sama bergerak ke arah meja yang diburu Unice.

“Unice nak makan apa? Saya belanja hari ini. Gembira dapat berjumpa Unice.” Eisha Humaira’ sudah bangun semula. Unice menarik tangan Eisha.

“Err…tak apalah. Saya pakai duit saya sendiri.” Unice agak kekok. Selama ini, tidak pernah orang yang membelanjanya. Dia belanja orang adalah.
“Tak apa. Ia sebagai tanda syukur saya pada Tuhan.” Kata Eisha Humaira’. Unice terdiam. Dia memandang Eisha Humaira’.

“Eisha percaya pada Tuhan?” Tanya Unice. Soalan itu membuatkan Eisha Humaira’ duduk kembali. Dia agak terkejut dengan soalan itu.

“Mestilah. Unice tak percaya pada Tuhan?” Soal Eisha Humaira’ kembali. Disangkanya Unice ada agama meskipun berbeza dengan dirinya. Unice menggeleng. “Nope. I don’t believe ini God.” Tegas Unice. “Kenapa Eisha percaya pada Tuhan?” Tambahnya lagi. Eisha Humaira’ meleretkan senyuman. Dia tahu dia kena menjawab soalan Unice dengan berhikmah.

“Sebelum itu, saya mahu tanya, kenapa Unice tidak percaya Tuhan?” Soalan dibalas dengan soalan. Unice diam sejenak sebelum menjawab, “Entahlah. Cuma saya rasa hidup ini tidak perlukan Tuhan.” Jawab Unice.

“Kenapa?” Soal Eisha Humaira’.

“Yelah. Sebab diri kita semuanya kita yang kawal. Apa perlunya Tuhan?” Balas Unice . Itulah cara pemikirannya selama ini. Unice mengetuk-ngetuk jarinya ke meja.

“Kalau macam tu, cuba Unice hentikan degupan jantung selama 10 saat?” Duga Eisha Humaira’. Unice terpempam. Dadanya dipegang. Kepalanya menggeleng perlahan.

“Ha, tidak bolehkan? Itu buktinya diri kita, bukan kita yang kawal. Kalau diri ni hak mutlak kita, kita bolehlah mematikan dan menghidupkan diri kita bila-bila masa. Kita juga bolehlah mengawal organ dalaman kita. Kalau tiada Tuhan, bagaimana semua organ dalaman kita boleh bekerja dengan teratur?” Lembut Eisha Humaira’ memberitahu. Unice mengakui dalam diam.

“Saya percaya kepada Tuhan. Amat-amat percaya. Kerana Tuhan, saya ada di sini. Kerana Tuhan, saya dapat menjadi seperti ini. Tuhan adalah Allah. Dia Tuhan semua makhluk. Bukti Tuhan ada, banyak terbentang depan mata kita, Unice.” Ujar Eisha Humaira’ sebelum bangun meninggalkan Unice. Dia menuju ke kaunter makanan. Dia mahu membeli sedikit makanan dan minuman buat mereka.

Unice terdiam mendengar kata-kata Eisha Humaira’. Dia hairan. Mengapa dia dikelilingi oleh orang yang beragama Islam. Adam, Shima, Eisha, Fatimah semuanya beragama Islam. Sedangkan dia?

Jam terus bergerak menunjukkan pukul dua. Kafe mulai kosong. Unice masih termangu-mangu di tempatnya. Sebentar kemudian, Eisha Humaira’ datang menghampiri Unice. Dia membawa dua bungkus makanan dan dua gelas jus oren. Tangannya penuh memegang semua hidangan tersebut.

“Nah, makanlah.” Eisha Humaira’ memberi sebungkus nasi lemak kepada Unice. Unice menyambutnya sambil mengukir senyuman. “Thanks. I like nasi lemak so much.” Kata Unice. Nasi Lemak dibuka dengan ghairah. Nasi Lemak adalah makanan melayu yang istimewa, lain daripada yang lain. Nasinya bersantan berlaukkan sambal ikan bilis. Cukup untuk menaikkan selera Unice.

“Macam mana awak tahu saya suka nasi lemak?” Tanya Unice. Nasi disuap ke dalam mulut. Sedapnya bukan main. Eisha Humaira’ tersenyum. Dia tidak tahu pun Unice menyukai nasi lemak. Nasi lemak adalah makanan kegemarannya. Apatah lagi kalau ibunya yang buat. Ternaik kening dibuatnya. Sedap hingga menjilat jari.

“Saya tak tahu pun. Tapi saya suka nasi lemak.” Eisha Humaira’ mengenyitkan sebelah matanya. Unice tertawa.

“Awak ada ilmu psikik ya?” Gurau Unice. Eisha Humaira’ membalas dengan senyuman. Dia memandang Unice sebagai objek dakwahnya. Baguslah mereka mepunyai kegemaran yang sama. Di situ dia boleh menarik Unice.

“Eisha tak rasa terikat ke dengan agama?” Tanya Unice tiba-tiba. Suapan Eisha Humaira’ terhenti. Nasi di dalam mulutnya dikunyah sehingga lumat. “Terikat?” Eisha bersuara. Unice mengangguk. “Yalah. Kena ikut suruhan agama. Tak macam saya, bebas. Nak buat apa pun tak apa.” Terang Unice.

“Saya tidak merasa terbeban mengikut peraturan Islam. Kenapa saya perlu berasa terikat? Saya bahagia dengan Islam.”

“Islam kan larang penganutnya meminum arak?” Soal Unice. Walaupun dia tidak suka meminum arak, tetapi dia suka meminum susu bercampur sedikit arak. Susu itu akan menjadi lebih enak dan lemak.

“Islam melarang sesuatu itu kerana benda itu lebih banyak mendatangkan mudharat. Dahulu, arak dibolehkan. Tidak lama kemudian, barulah diharamkan. Itu pun secara berperingkat-peringkat.” Eisha Humaira’ membalas tenang. Unice tertarik dengan perkataan berperingkat-peringkat. Maksudnya Islam tidak melarangnya sekaligus.

“Ceritakan sedikit kepada saya?” Pinta Unice berminat. Eisha Humaira’ memandang anak mata Unice yang penuh mengharap itu. Sebentar kemudian dia memandang jam. Pukul 2:10 minit. Masih sempat lagi. Dia masuk ke kelas jam 2:30.

“Agama Islam mula bertapak di Makkah. Sebelum Islam, masyarakat Arab Quraisy sangatlah bengis. Arak sudah menjadi kebiasaan bagi mereka. Sehinggalah apabila mereka memeluk Islam, arak masih ditonggak. Pada masa itu, arak belum diharamkan.” Eisha Humaira’ berhenti seketika. Jus orennya diteguk untuk melegakan tekak.

“Saidina Umar al-Khattab salah seorang sahabat nabi, seorang yang beragama Islam dan kuat menyokong perjuangan nabi. Beliau selalu berfikir ramai penganut Islam suka mabuk sehingga menyebabkan mereka lalai terhadap pekerjaan mereka. Beliau mengadu kepada Nabi Muhamad, “Ya Rasulullah.” Katanya. Rasulullah itu adalah panggilan untuk Nabi Muhammad. Maksudnya Pesuruh Allah. Beliau berkata, “ Minuman keras (arak) telah merosakkan harta dan menghilangkan akal. Mari kita berdoa kepada Allah agar Dia menjelaskan hukumnya kepada kita.” Ini menunjukkan Saidina Umar amat prihatin terhadap umat Islam yang lain. Rasulullah pun berdoa. Dan Allah menurunkan ayat al-Quran Surah al-Baqarah ayat 219.” Cerita Eisha Humaira’.

“Quran tu macam bible ya?” Soal Unice. Eisha Humaira’ tersenyum. “Unice, bible kitab orang Kristien. Quran kitab orang Islam. Ia tidak sama malah kandungannya pun berbeza. Bible asalnya kitab Injil tetapi telah dicabul kesuciannya oleh orang Kristien sendiri. Mereka menukar kandungannya sehingga bercanggah dengan kitab Injil yang sebenar.” Jawab Eisha Humaira’ Unice mengangguk faham.

“Firman Allah, “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang khamar dan judi. Katakanlah: ‘Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya…’” Sambung Eisha Humaira’ Unice kagum dengan kebolehan Eisha Humaira’ yang menghafal ayat al-Quran. “Eisha, Allah kata pada Nabi Muhammad ke?” Sampuk Unice.

“Unice, Allah memberitahunya pada malaikat Jibril dan malaikat yang sampaikan kepada Nabi.” Jelas Eisha Humaira’. “You mean, angel?” Terbayang di ruang mata Unice makhluk bersayap putih. Tidak sangka ada jugak makhluk itu.

“Hmm…Lebih kuranglah. Tapi bukan yang ada dalam televisyen atau apa-apalah. Malaikat ni besar bukan macam angel. Tidak boleh dibayangkan, Unice.” Tekan Eisha Humaira’. Kemudian dia menyambung, “Ketika mendengar ayat itu, orang Arab Quraisy belum lagi jelas hukumnya. Ada sebahagian yang berhenti tetapi ada yang masih meminumnya. Keadaan ini berterusan sehingga ada seorang imam ni tersalah baca al-Quran kerana mabuk sehingga ada yang mencela imam tersebut. Unice, ayat al-Quran ni kalau tersalah baca maksudnya jadi lain. Macam bahasa Inggeris juga. Kalau read disebut red maksudnya berbeza kan? Begitu juga dengan burn kalau disebut dangan bun maksudnya lari. Melihatkan itu, Saidina Umar berdoa, “Ya Allah, tambahkanlah penjelasannya kepada kami.” Lalu turunlah ayat dari surah an-Nisa’ ayat 43,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu sedar dan mengetahui apa yang kamu katakana.” Bila turunnya ayat itu, ada yang beranggapan ketika sembahyang sahaja tidak dibolehkan tetapi dibolehkan di luar solat. Ada juga yang berhenti terus.” Eisha Humaira’ berhenti lagi. Dia meneguk jus orennya sehingga habis. Dia tidak mahu membazir. Unice pula menyuapkan nasi lemaknya ke dalam mulut.

“Eisha, surah tu apa?” Tanya Unice. Dari tadi dia bingung.

Eisha Humaira’ tersentak. Bagaimanalah dia boleh lupa menerangkannya?

“Surah tu verses dalam bahasa Inggeris. Dalam al-Quran ada banyak surah. 114 semuanya. Verses ni macam tajuknya lah jugak.” Terang Eisha Humaira’. “Oh, macam bible jugaklah. Ada banyak verses. Metius lah, itu lah, inilah.” Ujar Unice. Eisha Humaira’ mengangkat kening.

“Unice ni macam tahu banyak je tentang bible?” Hairan Eisha Humaira’. Gadis ini seperti selalu membelek bible.

“Dulu, saje-saje baca Bible. Ikut kawan. Tapi tak suka. Peninglah. Ayatnya berulang-ulang tapi bercanggahan.” Balas Unice. Eisha Humaira’ mengangguk. “Itulah bukti bible tu telah ditukar. Tengoklah sendiri. Takkan Tuhan tersilap kot.” Kata Eisha Humaira’. Unice bersetuju.

“Selepas turun ayat itu, Saidina Umar berdoa lagi supaya ditambah penjelasan. Lalu turunlah surah al-Maidah ayat 90 yang berbunyi, “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu supaya kamu berjaya.” Dengan turunnya ayat itu, maka jelaslah pengharaman arak. Sejak dari itu, semua umat Islam berhenti meminum arak. Hikmah arak diharamkan secara berperingkat ialah supaya Arab Quraisy dapat berhenti dari meminum arak secara bertahap dan tidak mengejut. Bukan senang hendak meninggalkan kebiasaan meminum arak ni. Arak ni Unice, walaupun sedap tetapi banyak keburukannya. Seorang doktor pakar jantung, Dr. Muhammad Ibrahim mangatakan arak memberi kesan yang membahayakan bagi otot-otot jantung. Ia akan menghalang aktiviti jantung secara perlahan-lahan sehingga tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Akhirnya, jantung ni tidak dapat bekerja secara total dan gagal berfungsi dengan baik. Bukan itu sahaja Unice, arak juga memberi kesan buruk pada hati dan penyebab darah tinggi. Arak ni juga merosakkan sel-sel otak. Otak kan pusat kawalan tubuh dan daya rasa. Sebab itulah orang yang mabuk hilang rasa malu dan tidak terkawal. Malah boleh mebuatkan seseorang itu ketagih. Kesannya bukan pada diri sahaja tetapi anak juga. Anaknya akan kurang ingatannya malah kemungkinan cacat. Bahaya tu.” Eisha Humaira’ menyudahi penceritaannya dengan sebuah ulasan.

Unice terangguk-angguk. Dulu, sewaktu pertama kali meminum arak, dia berasa amat pening. Sehingga muntah-muntah. Tetapi sekarang Unice tidak lagi berasa loya. Cuma dia tidak berapa gemar kerana selalunya apabila mabuk otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Dia selalu terlupa apa yang telah dia lakukan. Unice tidak suka begitu. Tapi kalau sedikit-sedikit, dia suka. Memang enak dicampur dengan susu atau jus. Tiba-tiba Unice teringatkan sesuatu.

“Eisha, tapi kenapa ramai orang Islam minum arak juga?” Tanya Unice merujuk kepada Adam dan Shima. Mereka peminum arak yang tegar. Eisha Humaira’ tersenyum. “Mereka jahil, Unice. Mereka tahu arak itu haram tetapi mereka tidak tahu kenapa ia haram. Itulah Islam zaman sekarang. Hanya pada nama.” Pahit Eisha Humaira’ memberitahu. Dia sedih dengan umat zaman sekarang. Hanyut dengan bisikan syaitan. Eisha Humira’ rindu dengan Islam pada zaman Rasulullah, zaman para sahabat. Mereka mempraktikkan Islam dengan sebenar-benarnya.

“Unice, saya ada kelas. Minta diri. Makanan dan minuman tu saya dah bayar. Unice tak ada kelas ke?” Eisha Humaira’ bingkas. Unice tersentak. Jam dipandang. Pukul 2:25 petang. Sudah lima belas minit kelasnya bermula. Tergopoh-gapah dia bangun.

“Oh, no. I forgot it. Nice to meet you, Eisha. Jumpa lagi. Terima kasih untuk cerita tu. Menarik.” Unice menyedut sedikit minumannya sebelum berlari meninggalkan Unice. Eisha Humaira’ tersenyum sahaja memandang Unice yang semakin hilang dari pandangannya. Kemudian, dia bergerak keluar dari kafe.

******

Bilik Kuliah 3
3-B-5

Unice terpaku di hadapan pintu bilik kuliahnya. Sudah pukul 2:35 petang. Tidak pernah Unice selewat ini. Terketar-ketar tangan Unice menolak pintu bilik kuliah tersebut. Sebaik sahaja pintu dibuka, udara dingin menerpa keluar. Unice menarik nafas sebelum berjalan memasuki bilik kuliah. Dia melangkah masuk sebelum menutup pintu. Semua mata memandang ke arahnya.

“Unice?” Kedengaran suara Mrs. Jay, pensyarah kesayangannya merangkap kawan baik ibunya. Unice menunduk. Mrs. Jay menghampiri Unice yang sudah dianggap seperti anak sendiri itu.

“Unice, anythings wrong?” Mrs. Jay bertanya lembut tetapi tegas. Dia tahu pasti ada sebab Unice terlewat masuk ke kelasnya. Bukan seminit dua tetapi 25 minit. Unice tidak pernah begini. Dia selalunya menjadi pelajar terawal.

Semua mata memandang Unice. Ada yang berbisik-bisik. Ada yang buat endah tak endah sahaja. Ada pula yang tersenyum sumbing. Tapi yang pastinya tidak ada yang berasa kasihan terhadap gadis sunti berbangsa cina itu.

“Nothings wrong, Mrs. Jay. I’m sorry very much. I’m promise I’ll never do it again. Please, I don’t mean that.” Pinta Unice. Mrs. Jay mengalah.

“Okay. Nevermind. This time I forgive you.” Mrs. Jay bergerak ke hadapan semula. Unice menarik nafas lega. Dia berjalan ke bahagian hadapan, posisi kegemarannya. Dia melabuhkan punggung di sebelah Shima.

“Kenapa lambat?” Soal Shima. Dia yang keluar kelas pagi lewat pun boleh sampai dulu. Takkan makan tengahari lama sangat kot?

“Lunch tadi. Lepas tu terjumpa kawan. Boraklah kejap. Tak sedar dah lewat.” Unice membuka bukunya. Matanya lekat pada tulisan di dalam buku tersebut.

“Kawan? Siapa?” Soal Shima. Sikap busy body nya tidak kira masa. Unice mengeluh perlahan.

“Adalah. Kau tak kenal pun.” Unice menyelak sedikit rambutnya yang menutupi dahi. Shima tidak puas hati. Dia tahu Unice berahsia.

“Malay or Chinese?” Koreknya lagi.

“Malay. Islam.” Unice tidak bersembunyi.

“What? Apa kau buat dengan dia?” Shima terkejut. Sudahlah melayu, Islam pulak tu.

“Hey, what’s wrong? Kau kan melayu, ISLAM jugak?” Perkataan Islam sengaja dikuatkan. Kadangkala dia sendiri terlupa Shima beragama Islam. Dengan penampilan seksinya dan cakap ikut sedap mulut, dia langsung tidak kelihatan seperti seorang muslimah.

Shima terdiam. Dia termalu sendiri. Seorang yang bukan Islam mengingatkannya tentang agama. Dia sendiri terlupa tadi.

“Memanglah aku Islam. Aku tak cakap pun aku bukan Islam.” Nafi Shima. Unice hanya tersenyum melihat kekalutan Shima. Shima sebenarnya muda setahun daripadanya. Tetapi gadis itu langsung tidak menghormatinya malah melayannya seperti rakan sebaya.

“All right. So?” Unice bertanya malas. Apa motif Shima terkejut sangat tadi?

“Nothing. Takkan tanya pun tak boleh.” Rungut Shima.

“Shima, Unice. If you want to talk, go outside.” Tegur Mrs. Jay. Tangannya menunjukkan pintu keluar. Dia sudah lama memerhatikan Unice dan Shima. Dia tidak mahu dua gadis itu menggangu penuntut lain yang hendak belajar.

“Sorry, madam.” Ucap Unice. Dia beranjak ke sebelah kanan menjauhi Shima. Kerusi yang didudukinya tadi diletakkan beg. Sebagai pemisah antara dia dengan Shima. Unice mendengar dengan tekun pengajaran Mrs. Jay. Manakala Shima menyumbatkan earphone di telinganya.

“Apabila tisu-tisu kulit bercantum, ia akan membentuk…” Penerangan Mrs. Jay semakin sayup-sayup kedengaran di telinga Unice. Matanya semakin kuyu. Berkali-kali Unice menguap. Matanya sudah berair. Akhirnya Unice tewas. Kepalanya terlentok ke kiri. Kata-kata Mrs. Jay sudah tidak kedengaran lagi.

******

“Assalamualaikum.” Satu suara menyapa Unice. Unice segera menoleh. Dia kenal benar suara itu. Dan dia rindu dengannya. Sudah lama pemilik suara itu tidak menjenguknya lewat mimpi-mimpinya.

“Waalaikumussalam. Kak Fatimah.” Ceria suara Unice. Fatimah Zahra’ mengajak Unice berjalan berhampiran air terjun. Air terjun itu sungguh cantik. Lebih cantik daripada Niagara waterfall.

“SubhanAllah…” Ucap Fatimah Zahra’ perlahan tetapi cukup kuat untuk didengari Unice. Unice duduk bersimpuh di tebing sungai berdekatan air terjun. Tangannya dicelup ke dalam air dan diayunkan ke sana ke mari. Air terjun itu sungguh dingin.

Unice mendongak ke langit. Kagum melihat burung-burung terbang seiringan bersama. Cantik sahaja melihatnya.

“Dulu, waktu kecil-kecil, Unice teringin hendak jadi burung.” Beritahu Unice tanpa dipinta. Matanya tidak lepas dari memandang burung tersebut.

“Ya? Kenapa?” Fatimah Zahra’ mencelupkan kakinya ke dalam air. Kejernihan air sungai itu memungkinkan Unice melihat kaki Fatimah Zahra’ yang dilitupi jubah itu.

“Burung simbol kebebasan. Bebas dapat terbang ke mana-mana.” Unice sudah berdiri. Tangannya didepakan seluas-luasnya. Rambutnya terbuai-buai dibawa sang angin.

“Unice, jadilah seperti burung.” Tutur Fatimah Zahra’. Dia bangun dan berdiri di sebelah Unice.

“But, I don’t have wing.” Kata Unice. Fatimah Zahra’ menggeleng. Tangan Unice disentuh. Dingin. Sedingin air terjun.

“Unice, yang ana kata, jadi seperi burung bukan jadi burung. Kita manusia dan selamanya kita adalah manusia. Cuba perhatikan burung. Ia memberikan ketenangan kepada manusia. Lukisan sebuah pemandangan tidak lengkap tanpa burung. Burung, semasa hidupnya disukai ramai dan semasa matinya pun disukai orang. Ramai manusia yang suka makan burung. Dan burung ni, dia bijak. Setiap kali keluar sarang, ia pasti akan kembali dengan perut kenyang. Burung ni juga ia akan berjinak-jinak dengan orang tetapi bila orang dekat, dia akan lari. Itu menunjukkan dia pandai menjaga diri. Burung cepat belajar dari kesilapan. Sekali terhantuk terus terngadah. Dan dia ni, unice… MasyaAlllah buat sarang tak payah belajar pun. Cuba tengok. Cantik je dia buat. Halus je. Tak perlu pun alat canggih-canggih, cuma pakai rumput je. Tak pernah pun ada orang dapat buat sarang burung sama macam burung buat. Padahal burung ni mana ada akal. Habis tu siapa yang ajar?” Ujar Fatimah Zahra’. Dia sengaja menimbulkan persoalan. Dia mahu Unice berfikir.

Unicepula terdiam. Siapa yang ajar burung? Manusia? Manusia pun tak reti hendak membuatnya. Ibu burung? Tetapi, siapa yang ajar ibu burung? Tuhan?

“Tuhan tu ada ke?” Satu soalan diutarakan. Fatimah Zahra’ tersenyum simpul di balik purdahnya. Matanya yang jernih menatap Unice. “Dia ada Unice.” Jawab Fatimah Zahra’ lembut.

“Tetapi kenapa banyak sangat Tuhan? Ada Jesus Christlah, ada patung-patung bermacam-macam bentuklah, pokoklah, ularlah, singalah dan macam-macam lagi. Dan ada juga yang menyembah sesuatu yang tidak nampak. Entah ada entah tidak. Main sembah je.” Rungut Unice.

“Unice, Tuhan kita satu sahaja iaitu Allah. Tuhan yang Unice dakwa tidak terlihat itu. Allah itu ada. Kita sebagai hamba yang tidak layak melihat wajahNya yang Mulia itu. Unice lihat taman ini, cantikkan? Air terjun, gunung-ganang, siapa yang menciptanya kalau bukan Tuhan? Semulajadi? Mustahil. Kalau tak, ia tak akan jadi seteratur ini. Kalau bukan Allah, siapa lagi yang mampu membuat begini? Unice, patung-patung, ular, Jesus dan semua yang Unice sebutkan tadi hanyalah ciptaanNya sahaja. Mereka juga tidak berdaya seperti kita tanpa izin Allah. Apa gunanya kita menyembah mereka?” Jelas Fatimah Zahra’. Unice terangguk-angguk. Ada benarnya juga.

“Kenapa ni?” Tiba-tiba sahaja alam sekelilingnya berputar. Unice terjelopok ke tanah. Bayangan Fatimah Zahra’ semakin hilang dari pandangan. Semuanya bertukar menjadi gelap.

******
“Unice…Unice…wake up.” Sayup-sayup kedengaran satu suara membolosi cuping telinga Unice.

Unice membuka mata. Shima berdiri di hadapannya sambil bersilang kaki.

“Come on. Tinggal kita berdua je dalam bilik ni. Kau tak nak balik ke?” Gesa Shima apabila melihat Unice masih terpisat-pisat di tempat duduknya. Unice terpinga-pinga memandang sekeliling. Namun, otaknya masih mapu bertindak balas dengan baik. Dia bingkas bangun dari duduknya dan mencapai beg sandangnya. Kemudian, dia bergerak menghampiri Shima yang sudah berada di muka pintu.

“Kau mimpi apa tadi? Senyum memanjang je. Mimpi Adam ek?” Perkataan mimpi menarik Unice ke alam nyata. Baru dia ingat segala yang terjadi. Tertarik senyuman di bibirnya. Biarlah cerita di alam mimpi tetap menjadi rahsia.

“Never dream about him.” Unice menjeling Shima sebelum bergerak ke arah berlainan, meninggalkan Shima. Sempat dia tersenyum manis. Dia tidak mahu Shima mengorek rahsianya. Biarkan segalanya tersimpan di sini. Hati.

******

~Hamba Rabbani

One thought on “Perjalanan 5

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s