Cinta Seorang Hamba


Assalamualaikum, hari ni saya nak bercakap tentang cinta. Siapa pernah bercinta? Mestilah semua orang pernah. Cinta ayah, ibu, cinta kawan-kawan, cinta sesama saudara dan cinta akan binatang. Ye tak? Cinta tu kan fitrah. Tapi kan kawan-kawan, ada satu cinta ni dapat pahala. Cinta kerana Allah. Dapat pahala tau. Cinta yang dapat dosa pula cinta yang melebihi cinta kepada Allah. Macam yang berlaku kat luar sana tu. Cinta pak we mak we. Jangan macam tu . Itu cinta yang membuahkan dosa tau. Sebab Allah tak suka. Okeylah. Saya nak tanya siapa kat sini mengaku dia cinta pada Allah? Kalau ya kawan-kawan, kenapa masih lengah-lengahkan solat? Kenapa masih landing atas katil bila Allah ajak ber’dating’ denganNya? Itu ke kata cinta. Kalau cinta kenapa malas nak baca surat cinta dariNya? Kenapa masih buat perkara yang Allah murka? Kenapa ya, kawan-kawan? Kalau kita mencintai seseorang apa yang kita buat? Mesti bila dia ajak keluar sama-sama, kita pantas menyahut. Kalau boleh nak berkepit je sehari suntuk. Rasa gembira bila bersama dengannya. Lepas tu kata-kata pun jadi sopan, teratur, takut terguris hati dia. Kalau dia bagi surat siap baca beribu kali sehari. Tapi, kenapa tak buat macam tu pada Allah? Kata mengaku cinta. Tapi kenapa buktinya ‘kureng’ daripada cinta manusia. Kalau manusia apa yang dia bagi kita? Duit? Pakaian? Harta? Dunia? Ketahuilah kawan-kawan, Allah bagi lagi banyak. Kalau kawan-kawan buta, orang tu boleh ke bagi mata? Kalau kaki putus, dia boleh ke pulangkan? Kalau kawan-kawan tak boleh bercakap dia boleh ke bagi suara pada kawan-kawan? Kalau kawan-kawan sakit, boleh ke dia sembuhkan? Waktu itu baru nak merayu pada Allah. Itu kan tanda cinta ‘kureng’. Tapi kan besarnya cinta Allah pada kita, dia sanggup terima kita yang hina dina ni. Padahal kita ni bagai kacang lupakan kulit. Kadang-kadang sampai Allah tarik semuanya pun masih tak sedar-sedar. Duk marah-marah padahal kita semua cuma PEMINJAM yang lupa hendak ‘membayar’nya. Siapa kita nak marah-marah? Allah kata kalau orang tu dosanya seluas langit dan bumi pun dia akan ampunkan kalau orang tu bertaubat. SubhanAllah. Tak malu ke kita? Allah Maha Pemurah kepada kita lepas tu kita pula buat perkara yang dia murka. Sedangkan Allah ni boleh buat apa-apa je pada kita. Kita milikNya. Tapi dengan sifat Maha PengampunNya Dia masih hulurkan kemaafan kepada kita meskipun kita terus-terusan berbuat dosa. Ya Allah…Maafkan kami. Kami lalai, Ya Allah. Kawan-kawan, kalau dengan manusia, kita buat salah sikit kalau kita minta maaf, dia nak maafkan kita punyalah berhari-hari. Susahkan? Jadi mana cinta kita kepada Allah? Cuba hitung berapa kali namaNya meniti di bibir kita? Lebih 100 kali tak? Ke perkara dunia lebih banyak disebut dari namaNya? Kalau macam tu, mana yang lebih kita cintai?

Tanya pada diri kita sendiri. Kenapa manusia lebih kita cintai? Kalau kerana wajahnya, nescaya wajah Allah lagi sempurna. Cantik yang tiada taranya. Dan kalau kerana harta, Allah malah lebih kaya. Dan kalau kerana budinya, Allah lebih banyak budinya. Justeru, kenapa kita tidak lebih mencintaiNya?

Kawan-kawan. Hati-hatilah. CintaNya membawa rahmat, sedangkan benciNya membawa bala. Bagaimana kalau suatu hari nanti dia membenci kita lantaran kita yang tidak mengingatiNya lantas Dia berlepas diri daripada kita? Tidak takutkah kalau Dia langsung tidak mempedulikan kita? Bagaimana dengan akhirat kita? Bayangkan orang yang kita cintai mengungkap kata benci kepada kita? Kemudian dia tidak melayan kita? Apa kita rasa? Hancur. Hati kita hancur. Ini lagikan Allah. Takkan kita tak rasa takut. Tanpa campur tangan dia, kita tiada daya. Hancur kehidupan kita. Di saat Dia menawarkan hidayahNya kita tolak. Bila Allah tarik balik, baru kita menyesal kat akhirat nanti. Nak ke bila orang lain diajak berbicara dengan Allah, Dia tidak sudi berbicara dengan kita? Masa tu menangislah. Menangislah puas-puas tetapi jangan haraplah akan dapat! Orang lain dapat dampingi Allah tapi kita? Pergilah dengan semua harta-harta kita. Dunia kita. Kalau masuk neraka, suruhlah orang yang kita cintai selamatkan. Kalau Allah tarik semua nikmatNya pada kita yang tak tahu bersyukur, mintaklah semuanya pada orang yang kita cintai itu. Kalau tak cinta Dia, buat apa masih guna sesuatu yang milikNya? Kenapa masih duduk kat bumiNya? Kenapa masih mencariNya ketika dalam kesusahan? Takkan lah bila dekat hujung nyawa baru nak ungkap kata cinta? Tak sedar diri ke kita? Hamba tempatnya kat mana? Hamba sepatutnya di bawah arahan tuannya. Bukannya tak sedar diri nak jadi tuan. Kita takkan mampu tanpaNya, kawan-kawan. Percayalah. Kita takkan mampu. Sesekali tidak! Tapi Dia mampu. Dia tak perlukan kita pun. Tapi, kita yang perlukan Dia. Justeru kita yang harus mencariNya. Kita yang harus mampir kepadaNya. Kita yang perlu lebih mencintaiNya.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda,
“Jika Allah mecintai seorang hamba, maka dia memanggil Jibrail seraya berfirman, ‘Sesungguhnya Aku mencintai si polan, maka cintailah dia.’ Jibrail pun mencintainya, kemudian meyeru di langit, ‘Sesungguhnya Allah mecintai si polan, maka cintailah Dia.’ Maka penduduk langit mencintainya, kemudian ia mendapat penerimaan di dunia.”
Lihatlah kawan-kawan apa yang kita dapat. Penduduk langit pun mencintai kita. Tak mahukah nama kita disebut-sebut di langit, sebagai orang yang dicintaiNya. Kawan-kawan, apa reaksi kawan-kawan kalau seorang raja menyayangi kawan-kawan? Gembira kan? Tapi kawan-kawan, Dia bukan setakat Raja tetapi Raja segala raja. Raja di langit dan di bumi. Tuhan. Yang berkuasa. Hebat. Yang menciptakan kita dan seluruh yang ada di langit dan bumi. Dan Yang memberikan kita nikmat yang tiada terhitung. Tak pernah dan tak akan pernah ada orang yang dapat menghitung nikmatNya. Apa lagi nak membalasnya. Siapa yang dapat hitung? Cakap pada saya. Beritahu semuanya nescaya pasti ada yang tertinggal. Saya dapat menaip ni pun kerana nikmatNya. Setiap nafas kita dan denyutan jantung kita adalah nikmat. Cubalah kira. Tak payahlah. Buang masa je. Tak kan mampunye kita. Tapi payah sangat ke kita nak bersyukur? Nak sampai Allah ingatkan baru nak bersyukur?

Kawan-kawan, walaubagaimanapun hadis itu ada sambungannya. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: “Jika Dia membenci seorang hamba, maka Dia memanggil Jibrail seraya berfirman, ‘Sesungguhnya Aku membenci si polan, maka bencilah dia.’ Jibrail pun membencinya dan kemudian menyeru kepada penduduk langit, Sesungguhnya Allah membenci si polan, maka bencilah dia.’ Maka mereka pun membencinya, kemudian ia dibenci dunia.”

Kawan-kawan, siapa suka bila dibenci? Semua penduduk langit membencinya. Kalau dah dibenci, mesti kita dikutuknya. Nauzubillah. Nikmat ke berada dalam keadaan dibenci? Allah sendiri kata benci, kat mana kita nak letak muka kita di akhirat kelak? Semua makhluk sudah kenal kita sebagai HAMBA YANG DIBENCI-NYA!!! Nauzubillah…jauhkanlah Ya Allah. Kami berlindung daripadanya. Kawan-kawan, kat dunia ni bila kita disukai seseorang yang amat berpengaruh, maka kita akan disebut-sebut. Dipuji. Kita akan diberi kesenangan. Makan-minum ditanggung. Dan semua yang berada di sekelilingnya akan menyukai kita. Tapi kalau dibencinya, kita akan dicemuh. Diejek. Diperkata. Keburukan kita dicari. Kesenangan kita dirampas. Dan kita akan dihukumnya tak pun kita dibiarkan merempat. Hidup dalam keadaan susah. Payah. Begitu jugalah Allah, kawan-kawanku. Bila Allah mencintai kita, semua hamba yang mencintaiNya mencintai kita. Para malaikat mendoakan. Kita dijagaNya. Diberi syurgaNya. Lagi best, sentiasa dapat berdamping dengannya. Dapat berbual dengannya. Ya Allah, jadikanlah kami berada dalam golongan itu. Kalau dibenci, malaikat pun mencemuh. Hidup akan sengsara. Terumbang-ambing. Allah tidak redha. Syurga dijauhkan. Hidup kita terkapai-kapi dalam payah. Kalau macam tu, nerakalah jawabnya. Nauzubillah…Jauhkanlah.

Kawan-kawan, jom kita menyemai cinta kepada Allah. Mekarkan cinta kita kepadaNya. Jadi, buktikan tanda cinta kita. Kalau nak buat ibadah pun malas, itu bukannya cinta. Kalau tidur lebih kita cintai dari qiyamullail, itu tidaklah dinamakan cinta. Di Indonesia, seorang ustaz mencabar, Sanggupkah kita memberikan semua harta kita ke jalan Alllah? Sanggup tak? Keluarkan semua duit kita untuk Palestin atau kepada saudara kita di Somalia. Kalau tanya saya, saya pun tak mampu lagi nak buat macam tu. Tengoklah, kita mengaku cinta pada Allah sedangkan dalam hati kita masih ada rasa cinta pada dunia. Betapa lemahnya cinta kita. Betapa masih jauh kita dengan Allah. Kalau cinta, kita tak kan teragak-agak lagi. Jangan pandai cakap je. Kena buktikan! Lihatlah Nabi Ibrahim. Sanggup menyembelih anak yang amat dikasihnya, satu-satunya anaknya ketika itu demi rasa cinta kepada Allah. Ia bukan bermakna Nabi Ibrahim tidak mencintai anaknya tetapi dia telah meletakkan Allah di tempat yang tertinggi. Kalau kita bagaimana? Itu baru disuruh keluarkan harta kalau disuruh macam Nabi Ibrahim menyembelih orang tersayang, sanggup kita buat? Lihatlah pada Rasulullah. Kenapa baginda sanggup menderita berkorban sedangkan baginda sudah dijanjikan syurga? Tidakkah itu tandanya cinta? Bagaimana pula dengan Sumayyah, Mus’ab, Hanzalah, Asiah yang sanggup mengorbankan nyawa? Itulah bukti cinta mereka kepada Allah. Kalau kita? Apa buktinya? Tepuk dada, tanya iman.

Tanyalah pada diri kita sendiri kita solat kerana I have to pray ke atau I need to pray? Kalau kita solat kerana kewajipan, itu tandanya kita tidak ikhlas atau dalam erti kata lain terpaksa. Tapi kalau kita solat kerana kita yang nak dan kita suka melakukannya, itulah tanda cinta. Bila cinta terasa nikmat dalm ibadah. Lagi, kalau cinta, kita akan suka membaca al-Quran kerana al-Quran adalah surat cinta daripada Allah. Kalau ada masa lapang capai al-Quran bukannya capai remote dan al-Quran hanya jadi perhiasan semata-mata.

Kawan-kawan, sedihkan? Bila akhir zaman ni, manusia semakin jauh dari Allah. HambaNya yang diagungkan. Bukan lagi bangun malam merebut cinta Allah tapi bangun malam merbut peluang menonton lagu yang melalaikan. Bangun malam merebut kerusi menonton perlawanan bola sepak di kedai makan. Kadangkala, tidur dilebihkan. Kalau bukan waktu sekolah, jangan haraplah dapat lihat matahari terbit. Tapi kawan-kawan, tidur nikmatnya sekejap cuma. Bila terjaga hilanglah nikmatnya. Jadi buat apa kita habiskan masa kita dengan tidur. Sedangkan kenikmatan cinta kepadaNya berpanjangan apabila jaga mahupun tidur. Sungguh, hati kita masih tandus. Kering dengan cinta kepada Allah. Maka suburkanlah dengan 3 cara. Pertama dengan menjaga ibadah-ibadah yang wajib. Kedua membaca dan mentadabbur al-Quran dan ketiga berzikir mengingati Allah. Lupakan hiburan. Lupakan artis. Dan buatlah sesuatu yang disukai Allah.

Bila hati sudah cinta, tidak ada lagi penghalang untuk lebih dekat denganNya. Apa lagi yang kita takutkan? Bila rasa takut, ingat Allah ada. Tapi kalau penjahat depan mata pun tak kan tak takut kut? Ya! JANGAN TAKUT. Kita tiada sebab untuk takut. Kenapa kita perlu takut setelah kita yakin Allah bersama kita. Tapi kalau dia bunuh kita? Kalau dia bunuh, buat apa nak takut. Hamba yang mencintai Allah cinta akan kematian. Ini kerana kematian satu pertemuan bukanlah perpisahan. Dan di sana nanti dapat berjumpa dengan Allah. Dahsyatkan cinta kepada Allah ni? Macam mana dengan kita? Dah sedia?

Ketka Nabi Ibrahima.s didatangi Izrail untuk mencabut nyawanya, berkata Nabi Ibrahim kepadanya : “Wahai Izrail, pernahkah seorang kekasih mencabut nyawa kekasihnya sendiri?” Lalu Izrail pun memberitahu pertanyaan Nabi Ibrahim tadi kepada Allah. Tahu apa jawapan Allah? Allah perintahkan Izrail menyampaikan jawapan sebagaimana firmannya yang bermaksud : Wahai Ibrahim. Apakah kamu pernah melihat seorang kekasih yang tidak gembira untuk bertemu dengan kekasihnya sendiri?” Apabila Ibrahim mendengarnya menerusi Izrail, berkata Ibrahim : “Wahai Izrail. Cabutlah nyawaku saat ini juga!” Inilah cinta yang sebenar-benarnya kepada Allah sehingga Nabi Ibrahim digelar Khalilullah.

Sebenarnya, setiap manusia pernah merasakan nikmat cinta kepada Allah. Segalanya bermula di alam roh lagi. Tapi dah namanya manusia. Bila melihat dunia, terus alpa. Dan terus terbuai di alam fana. Dibuangkan cinta sejati unuk cinta palsu. Kekasih hati dilupakan. Macam ibu dan anak angkat. Bila dibuai si ibu angkat pasti ibu angkat lebih dicintai sedangkan yang melahirkan adalah si ibu kandung.

Cinta kepada Allah tidak akan kecewa. Indah terasa. Cinta Allah akan berkekalan sedangkan cinta manusia sering terputus oleh bemacam-macam hal. Ketika kita kesusahan, Allah lah yang menghulurkan bantuan. Allah sentiasa ada bersama kita. Cuma kita yang sombong dan tidak sedar. Allah mempunyai banyak sebab untuk dicintai. Cuma kitalah hamba yang TIDAK MENGENANG BUDI. Tapi masih tak malu menggunakan harta Allah.

Kawan-kawan,
Renungkanlah. Sejauh mana cinta kita kepada Allah? Sudahkah berada di tempat yang tertinggi? Atau masih di bawah? Jangan kawan-kawanku. Ingat, letakkan Allah yang tertinggi. Dengan itu kita takkan membuat kemungkaran. Kalau cinta, mesti tak nak kekasih murka. Macam tu juga kita dengan Allah. Hindari perkara yang Dia tidak sukai. Selamat Bermujahadah!

Doa Mohon Cinta Allah

“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku memohon kasih sayangMu, dan kasih orang yang mencintaiMu, serta (kasihkan) amalan yang medekatkanku kepada cintaMu. Ya Allah, ya Tuhnku, jadikanlah kasihMu lebih aku sukai berbanding diriku sendiri dan ahli keluargaku, dan daripada air yang dingin.”
*Doa Nabi Daud.

Ya Allah cambahkanlah benih cinta kami kepadaMu sehingga hati kami mengatakan ‘sesungguhnya Engkau yang lebih kami cintai dari segala-galanya termasuk nyawa kami.’ Dan suburkanlah cinta kami kepada RasulMu kerana cinta kepada baginda bermakna cinta juga kepadaMu.

Wallahu A’lam.

Penagih cinta-Nya,
Hamba Rabbani.

*Ya Allah, jadikanlah aku hamba rabbani sepertimana namaku ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s