Hati yang terluka

Di sini saya ada satu kisah benar.  Moga boleh dijadikan pengajaran.

Sepasang suami isteri yang sudah agak berusia, berdiri terpinga-pinga di tengah-tengah lautan manusia di stesen besar keretapi.  Si wanita, di samping suaminya menangis tidak henti-henti.  Jelas kelihatan sedih di wajahnya.  Tertarik dengan situasi tersebut, seorang saudara kita menghampirinya.  Selepas memberi salam, dia mula bertanya.  Mula-mula mereka agak keberatan.  Maklumlah bukan senang hendak membuka pekung di dada.   Lama dia menunggu, akhirnya si isteri membuka mulut.  Serak benar suaranya kerana terlalu banyak menangis.  Terputus-putus dia bercerita:

Mereka sepasang suami isteri bukanlah golongan berada.  Mereka tinggal di kampung di sebuah rumah di atas sepetak tanah milik si suami.  Rumah mereka bukanlah di bandar tetapi bedekatan dengan bandar.  Kemudahannya lengkap walaupun hidup mereka seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.  Si suami hanya penoreh getah, apalah sangat hasilnya.  Walaupun miskin, mereka bahagia.  Hingga datangnya khabar gembira tentang kehamilan si isteri yang ditunggu-tunggu.  Detik menunggu kelahiran sang bayi dirasakan terlalu lambat.  Tertunggu-tunggu akan kelahiran si anak.  Sampailah satu hari berita kelahiran sang bayi singgah di telinga sang suami yang sedang bekerja.  Berkejar dia ke hospital.  Anak yang ditunggu sudah dilahirkan.  Tangisannya menghilangkan sakit yang ditanggung si ibu.   Gembira mereka bukan kepalang.  Si ayah syahdu membisikkan azan.  Lafaz tahmid tidak henti-henti diucapkan.   Dijulang bayinya.  Seorang puteri.

Hari demi hari berlalu.  Comel sungguh anak pasangan suami isteri ini.  Cerdas pula otaknya.  Si ibu menatang anaknya bagai minyak yang penuh.  Namun hidup bertiga tidak sama dengan hidup berdua.  Terpaksalah si ayah bekerja lebih demi si anak.  Tinggi harapan mereka terhadap satu-satunya anak mereka itu.  Diharapnya anak itulah yang akan memelihara nasib mareka apabila tua nanti. 

Anak itulah penghibur duka mereka.  Si kecil itulah penyerinya.  Manja sahaja dia dengan orang tuanya.  Pabila si ayah penat pulang dari kerja, si anak datang duduk di pangku.  Hilang penat si ayah.  Si kecil itulah yang membuatkan si ibu tidak lena.  Bila demam, sepanjang malam si ibu berjaga.  Demi si kecilnya.  Dipeluknya sang puteri tercinta.  Tumpah semua kasih sayangnya.  Begitu sayangnya mereka berdua akan anak mereka ini.

Tak apalah, berkorban sedikit.  Bergolok-gadai demi satu-satunya anak mereka.  Penat si ayah bekerja demi menyekolahkan anaknya.  Dipastikan si anak mendapat pendidikan secukupnya.  Sehinggalah si anak mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke United Kingdom yang menelan belanja yang banyak.  Terpaksalah si ayah menjual tanah yang mereka duduki dan berpindah ke rumah pesaka di tepi hutan yang jauh dari bandar, tanpa kemudahan air dan elektrik.  Jauh dari pedalaman dan orang ramai.  Dekat dengan binatang seperti ular dan unggas.  Daifnya hidup mereka selepas itu.  Tetapi tidak sedikit pun mereka menyesali tindakan mereka.  Maka si anak pun terbanglah ke negara orang.  Menderitalah si ibu menanggung rindu.  Si anak pula belajar dengan bersungguh-sungguh.  Kemiskinan bukan penghalang.  Tiga tahun di bumi UK, pulanglah dia dengan segulung ijazah.

Pulang sahaja ke tanah air, tawaran kerja menyerbunya.  Si anak memilih untuk bekerja dengan gaji yang tinggi.  Beberapa tahun kemudian dia dinaikkan pangkat sebagai ketua akauntan dengan gaji dan kemudahan yang sangat lumayan.

Pada peringkat awal, si anak selalu pulang ke kampung menjenguk sang ayah dan ibu.  Sekurang-kurangnya sebulan sekali.  Tup-tup dia sudah hendak berkahwin.  Dengan pegawai yang juga bergaji tinggi.  Setelah diijabkabulkan, si anak mengikut suaminya tinggal di rumah yang serba mewah.  Si anak mempelawa orang tuanya tinggal di bandar bersama lantaran dirinya yang bertambah sibuk dan tidak sempat untuk menjenguk mereka.  Namun mereka keberatan.  Yalah, bukan senang nak tinggalkan tempat sendiri.  Di situlah susah senang mereka berdua.

Selepas setahun berkahwin, si anak dikurniakan cahaya mata.  Timbul masalah baru tentang siapa yang hendak menjaga bayi tersebut memandangkan mereka berdua suami isteri sibuk dengan kerja masing-masing.  Puas dicari pembantu rumah yang jujur tetapi tidak berjumpa.  Sehingga habislah tempoh cuti bersalinnya.  Terpaksalah dia mengambil cuti demi menjaga anaknya.  Lalu si anak mengajak suaminya memujuk kedua orang tuanya di kampung.  Memandangkan sudah tiada cara lain, sang suami pun bersetuju.

Maka pergilah mereka berdua ke kampung berjumpa orang tua si anak.  Gembira kepalang si ibu menyambut kepulangan anaknya.  Si anak pun dengan lemah lembutrnya memujuk si ayah dan ibu mengikut mereka tinggal di bandar atas alasan makan minum mereka lebih terpelihara.  Dikatakan inilah masanya untuk mereka berbudi.  Si ayah dan ibu sudah penat menjaganya, kini sudah tiba masanya untuk menjaga mereka.  Sakit pening, senang hendak dibawa ke klinik.  Sejuk hati si ibu mendengarnya.  Terpujuk hati sang ayah.  Terbayar juga pengorbanan mereka.  Lalu dengan berat hatinya mereka meninggalkan rumah pesaka itu.

Sepuluh jam perjalanan, kereta pun berheti di hadapan sebuah rumah banglo dua tingkat.  Tergamam mereka berdua melihatnya.  Tidak terjangkau di pemikiran mereka sebegini besar rumah anak mereka.  Jauh berbeza dengan rumah mereka.  Laksana istana.  Tahulah mereka bahawa si anak telah menjadi seorang yang berjaya dan kaya-raya. 

Mulalah hidup baru mereka berdua.  Dari kampung pindah ke bandar yang asing bagi mereka.  Dari hidup susah ke hidup yang serba mewah.  Pada awalnya, mereka cuma menjaga cucu mereka yang sudah agak aktif dan lasak.  Maklumlah cucu lelaki.  Namun tawa sang cucu menghilangkan lelah keduanya.  Tidak terasa langsung ia satu beban.  Namun, tugas mereka bertambah dari bulan ke bulan.  Hingga akhirnya semua kerja dapur, mengemas bilik, memasak, menyidai kain, menggosok pakaian, menyapu dan mengemop lantai rumah dua tingkat itu ditugaskan pada si ibu.  Tertatih-tatihlah si ibu memijak anak tangga ke atas dan ke bawah.  Mana nak mengemas rumah, nak jaga si cucu lagi.  Tengah memasak tiba-tiba si cucu menangis, terpaksalah si ibu berlari mendapatkan si cucu yang tidur di tingkat atas.  Si ayah pula disuruh menjadi tukang kebun, menyiram pokok di laman.  Disuruh juga membuka dan menutup pintu pagar untuk mereka.  Itu belum lagi dikira dengan kerja mencuci kereta dan membasuh lantai luar.  Kawasan luar rumah dimestikan bersih.  Terbongkok-bongkok si ayah memesin rumput.  Mereka berdua tak ubah seperti orang gaji.  Hilang sudah janji manis si anak dahulu.  Keadaan sudah terbalik.  Bukan si anak yang menjaga kebajikan si ayah dan ibu, tetapi sebaliknya mereka yang terpaksa menjaga kebajikan anak, menantu dan cucu mereka sekaligus.  Dek kerana sayangkan anak, semuanya mereka lakukan dengan sabar.

Si anak menjadi semakin kasar.  Pantang lambat sedikit, akan keluarlah kata-kata kesat dan makian terhadap mereka.   Bila si ayah terketar-ketar membuka pintu, hon dibunyikan sekuat mungkin hingga berdengung telinga si ayah.  Bila si ibu tidak menyediakan masakan mengikut citarasanya, mulalah diherdik orang tua itu.  Menggigil si ibu menahan air matanya daripada tumpah ke bumi.  Sedih di hati, hanya Allah yang tahu.  Tersentak dan terguris hati seorang ayah dan ibu, namun ditahan sahaja di dalam hati.  Takut murka mereka akan menyebabkan kegagalan hidup sang anak.  Mereka tahu si anak memerlukan redha mereka untuk berjaya.  Maka ditahan sahaja herdik nista sang anak dan dibuat sahaja suruhan mereka seperti seorang hamba yang dimarahi tuannya.  Kadangkala terketar-ketar juga tubuh si ayah membawa barang yang dibawa si anak.  Sampai demam si ibu dek kerana tubuh tuanya letih melakukan kerja seharian.

Pada suatu hari, berlakulah satu peristiwa hitam yang bersejarah.  Di mana tercalarnya hati seorang ayah dan gugur jugalah airmata seorang ibu.  Hari itu, hari Ahad.  Hari cuti.  Sang anak menjemput rakan-rakannya makan di rumah.  Bahan memasak dibeli dan disuruhnya sang ibu yang sedang sakit memasaknya.  Sang ibu yang takut dengan kebengisan si anak tidak berani memberitahu tentang badannya yang dirasakan tidak enak.  Bimbang dimarahi pula.  Mahu tidak mahu terpaksalah dia memasak dalam keadaan kesihatannya yang terganggu.  Tetamu yang datang pula dari pelbagai-bagai bangsa.  Si ayah pula telah ditugaskan membuka pintu pagar setiap kereta yang datang yang mana pemiliknya angkuh dan sombong-sombong belaka malah tiada akhlak.  Semuanya memandang hina kepadanya.

Selepas semuanya berkumpul di ruang tamu, maka si anak menyuruh si ibu menyediakan minuman kepada tetamunya dibantu dengan si ayah.  Mereka pun buatlah sepertimana yang disuruh.  Dalam terketar-ketar mengedarkan minuman, malang tidak berbau apabila si ibu tersadung karpet yang tebal di ruang tamu membuatkan tubuh si ibu terbanting tanpa ampun dan minuman itu tertumpah mengenai salah seorang rakan anak perempuannya.

Serta-merta berdiri si anak yang bongkak ini dengan muka yang merah padam.  Bukan hendak membantu si ibu yang terketar-ketar bangun, malah dihampirinya si ibu dan ditempeleng sekuat hati hingga tersungkur kembali. 

“Dasar orang tua tak sedar diri.  Hidup menyusahkan orang je.” Herdiknya.  Matanya membesar garang seakan mahu membaham tubuh si ibu.  Bermacam-macam habuan diterima si ibu.  Diherdik dan dimaki tak sudah-sudah.  Sehingga keluarlah satu perkataan yang terlalu kesat yang tidak patut dikatakan kepada seorang manusia apatah lagi seorang ibu.  Padahal dengan mengatakan ‘ah’ atau ‘oh’ sahaja dilarang oleh Allah dan Rasulullah apatah lagi yang lebih teruk daripada itu.

Salah seorang tetamu telah bertanya : “Siapakah orang tua ini?”
Dijawab olehnya : “Orang tua kurap ni adalah orang gaji I, yang I pungut ketika dia sedang merempat di tepi jalan.  I bela dan beri pekerjaan kepadanya, ini rupanya balasan dia kepada I.”
Mereka pun tertawalah mendengar jawapan tersebut.

Hancur luluhlah hati sang ibu.  Berkecailah hati sang ayah.  Masih terasa di pipi sang ibu perit ditampar anak sendiri.  Dan di hati, sakitnya takkan hilang.  Tidak sekali-kali mereka menyangka anak mereka sanggup bertindak sedemikian rupa terhadap ibunya yang telah mengandungkannya lebih sembilan bulan dan setelah besar diasuh dan diberi pelajaran sehingga si ayah pula sanggup menjual satu-satunya hartanya demi si anak.  Terbayang di mata si ayah saat gembira menyambut kelahiran sang anak yang dirasakan satu tuah baginya.  Ketika dia menjulang bayinya dengan rasa bangga seorang ayah.  Dan bangganya dia apabila sang anak selalu membawa pulang sijil dan trofi ke rumah.  Dibelikan hadiah tanda meraikan kejayaan anaknya.  Dan si ibu teringat saat dia kali pertama menatap wajah comel puterinya.  Hilang sakitnya melahirkan anak itu.  Dibelai si anak penuh kasih.  Makan bersuap, tidur dibuai.  Ketika si anak hendak memakan sesuatu, bersusah payah dia memasaknya.  Dan kini?

Inikah balasan dan hasil yang mereka peroleh?  Jauh dari yang mereka harapkan.  Hati ibu benar-benar terguris.  Menitik juga air matanya yang ditahan-tahan.  Berderainya sekeping hati bersama aliran air mata.  Esoknya, mereka pergi.  Ketika si anak kerja, mereka meninggalkan cucu kepada jiran dan menaiki teksi ke stesen keretapi Kuala Lumpur.  Dan di sinilah mereka sekarang.  Mereka kebingungan kerana suasana di sini begitu asing bagi mereka.  Jangankan menaiki keretapi, melihatnya pun tidak pernah.  Sepanjang perjalanan hinggalah ke sini, tidak henti-henti si ibu menangis.  Kecewanya hati.  Sayu tangisannya bergema sambil dipujuk sang suami.  Berdongkot-dongkot sepasang suami isteri yang sudah tua itu berjalan di tengah-tengah orang ramai.  Berkata kedua orang tua itu bahawa mereka sekali-kali tidak akan redha pada perbuatan anaknya terhadap mereka berdua dan mereka tidak akan sekali-kali lagi menjejakkan kaki ke rumah anak mereka yang seperti neraka itu.  Biarlah duduk di rumah yang serba daif, mereka lebih bahagia di situ.  Hiduplah mereka di rumah pesaka itu menghabiskan masa beribadat kepada Allah.

Bagaimana kawan-kawan?  Sudah membaca sampai habis?  Besarnya kasih ayah dan ibu bukan?  Dan teganya si anak melakukan sedemikian rupa kepada orang tuanya.  Saya percaya si anak akan menyesali perbuatannya suatu hari nanti.  Sesal dahulu pedapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Wallahu A’lam.

Dari,
~Hamba Rabbani~

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s