Keluarkanlah walau setitis…

Keluarkanlah walau setitis.  Keluarkan apa, ya?  Duit, harta?  Bukan…Yang dimaksudkan di sini ialah air mata.  Air mata cukup sinonim dengan wanita.  Tetapi tak mustahil bagi lelaki.  Semua manusia pernah menangis.  Lahir-lahir sahaja, perkara pertama yang dilakukan adalah menangis.  Ya tak?  Menangis tidak perlu diajar.  Bila hati rasa nak menangis, mudah sahaja air keluar dari pelupuk mata kita.  Gembira pun boleh menangis.  Sedih pun boleh menangis.  Ketawa pun boleh menangis.  Mudahnya…  Kadangkala benda yang remeh-temeh pun boleh membuatkan kita menangis.  Misalnya orang mengatakan, “Eh, jangan beri dia benda tu.”  Mulalah rasa hendak menangis.  Kalau bayi, lapar, ngantuk, tak selesa, semuanya diterjemahkan melalui tangisan.

Orang sekarang, menangis kerana dunia.  Hilang harta, menangis.  Hilang pangkat, menangis.  Tak dapat duit, menangis.  Tapi kan, sikitnya orang menangis kerana takutkan Allah.  Sikitnya orang yang mengeluarkan air mata penyesalan.  Orang sekarang, bila melihat orang bunuh diri kerana kecewa sudah tidak asing, tapi kalau orang menangis taubat sampai mati semua tergeleng-geleng.  Pelik.  Hairan.

Dengarlah saudara-saudaraku,
Rasulullah dan Jibril pernah menangis kerana takutkan Allah.   Sedangkan mereka sudah dijamin TIDAK AKAN MENDERHAKA kepada Allah.  Kita pula?  Apakah nilai air mata kita?  Dalam hal dunia, betapa murahnya ia.  Tetapi untuk Allah, kenapa susah sangat nak keluar ya?  Kita hamba Allah ke hamba  dunia?

Saudaraku,
Ketahuilah, tatkala Adam a.s dikeluarkan dari syurga ke dunia, menangislah baginda tidak henti-henti sehingga ada riwayat mengatakan beliau menangis selama 300 tahun lamanya. Terasa malu olehnya untuk mengangkat kepala ke langit.  Tahu tak wahai saudaraku, beliau malah menyembamkan wajah bersujud di atas tanah selama 100 tahun lamanya.  Dengan hati yang terlalu hiba, beliau menangis semahu-mahunya.  Air matanya mengalir mencurah-curah  hingga mengalir menuruni jurang gunung tersebut.  Bayangkanlah, banyaknya air mata orang yang mengenangkan dosanya hinggga dapat dinikmati oleh burung-burung.

Begitulah hati yang lembut, mudah sahaja mengalirkan air mata taubat.  Bagi orang-orang soleh, dosa-dosa kecil laksana gunung yang menghempap.  Sebab itulah mereka menangis semahu-mahunya.  Tetapi sekarang, dosa kecil dianggap seperti lalat.  Tahu tak, dosa-dosa besar lahir dari dosa-dosa kecil.  Saya ada terdengar perbualan sekumpulan budak lelaki di sekolah.

*Alamak, lutut seluar aku koyaklah.
*Ala, dosa kecil je wei.
*Dosa kecik pun dosa jugaklah.
*Aku tak tipu apa.  Dosa kecik je.  Korang, betul tak apa aku cakap?

Itulah zaman sekarang.  Pandang remeh dosa kecil.  Itu yang saya lihat di sekolah agama, kalau di sekolah lain sudah biasa.  Seluar pendek dan tidak pakai tudung bukanlah sesuatu yang ganjil.  Sekarang, ada yang menutup aurat sekadar tuntutan dan tidak sempurna.  Lihatlah sekarang.  Bermacam-macam fesyen tudung dan pakaian.  Lelaki dengan seluar pendeknya.  Bersukan seluar pendek sedangkan adakah tidak dapat bermain jika berseluar panjang?  Bukankah Allah yang bagi kemenangan?  Perempuan pula, pakaian zaman sekarang bukan main ketat, sendat, dan singkat.  Tudung pun makin terangkat dengan macam-macam fesyen.  Dewasa ini, barat pula makin me‘murah’kan harga diri wanita.  Lihatlah di televisyen.  Sebuah iklan televisyen mengenai minyak wangi menggunakan rangkai kata “anda dibanjiri wanita.’  Adakah dengan hanya menggunakan minyak wangi, seorang lelaki itu akan dibanjiri wanita?  Lihatlah bagaimana barat meletakkan nilai seorang wanita di situ.   Sebab itulah, wahai muslimat sekalian, jadilah seorang yang mahal.  Islam telah meninggikan martabat kalian, janganlah kalian merendahkannya.

Saudaraku,
Renungkanlah.  Berapa banyak air mata kita yang jatuh keranaNya dari jatuh kerana dunia?  Berapa titis air mata yang gugur ke bumi kerana takut padaNya?  Kalaulah Nabi Adam a.s yang hanya sekali melakukan dosa menangis sebegitu rupa, apatah lagi kita yang hampir setiap hari melakukan dosa.  Kita sepatutnya lebih lagi.  Tetapi tidak begitu.  Bahkan ada di antara kita yang masih boleh bergelak ketawa  dalam keadaan berdosa.  Betapa biadapnya kita.  Sudahlah buat dosa, sombong pulak tu.  Sombong dengan Allah.  Angkuh, ego, berlagak.  Sombong.  Padahal apa je yang ada pada diri kita?  Sedar tak kita dulu ni hina.  Air mani je.  Kotor.  Jijik.  Kalau bukan kerana Allah, siapalah kita ni.  Mintak pandai, bersyukur tak mahu.  Macamlah mahal sangat air mata tu nak menitik keranaNya.  Lebih malang lagi, ada yang bangga dan tak kisah dengan dosa walaupun dah tahu itu dosa.  Sampai ada yang mengatakan,

*Ala, kalau semua orang nak masuk syurga, siapa nak masuk neraka.
*Neraka pun nerakalah.
*Hei, kita masuk neraka bukannnya seorang, ramai lagi.
*Aku dah jahat, confirm masuk neraka.  Dah alang-alang tu, baik teruskan.

Mereka itulah orang-orang yang sengaja menempah tempat duduk khas di neraka.  Awal-awal lagi dah cop tempat.  Nauzubillah.

Itulah hati yang sudah keras.  Susahnya nak menangis.  Sebaliknya merasakan diri mereka ‘gentleman’ dan ‘sporting.’

Pernah tak mendengar seorang hamba terselamat hanya kerana sehelai bulu mata?  Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Apabila tiba hari kiamat, seorang hamba ditanya oleh Allah dan dihulurkan buku catatan amalannya.  Di dalamnya dia mendapati banyak dosa yang dilakukan.  Maka dia berkata : ‘Tuhanku, aku tidak mengerjakan semua dosa ini.’  Allah ta’ala berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mempunyai beberapa saksi yang boleh dipercayai.’  Maka hamba itu berpaling ke kanan dan ke kiri dan tidak pula didapatinya seorang saksi.  Maka dia berkata : ‘Wahai Tuhanku, di mana ada saksi?’  Lalu Allah s.w.t memerintahkan semua anggota badan hamba itu menjadi saksi.

Kata  dua telinga : ‘Sungguh kami telah mendengar dan telah mengetahui sesungguhnya dia berbuat demikian.’
Berkata kedua matanya : ‘Sungguh kami telah melihatnya melakukan demikian.’
Kata lidah : ‘Sungguh saya telah mengatakan yang demikian.’
Dan demikian, dua tangan dan kaki berkata : ‘Bahawa sebenarnya kami telah mengerjakan demikian.’
Kata kemaluannya : ‘Kami telah melacur.’
Maka hamba itu dalam keadaan kebimbangan.  Lalu Allah memerintahkan dia dimasukkan ke dalam neraka.

Maka kelihatan dari mata kanan hamba itu sehelai bulu mata meminta izin kepada Allah s.w.t untuk berbicara.  Allah s.w.t pun memerintahkan dia berbicara.  Kata bulu mata : ‘Wahai Tuhanku, tidakkah Engkau telah berfirman, seorang hamba yang manapun, yang telah membasahi walau sehelai bulu matanya dengan air mata kerana takut padaMu, maka Engkau selamatkan dia dari neraka.’

Maka Allah ta’ala berfirman : ‘Ya, benar.’

Berkata sang bulu mata : ‘Saya telah menyaksikan bahawa sesungguhnya hamba yang berdosa ini telah membasahi aku dengan air matanya kerana takut kepada Engkau.’

Maka Allah s.w.t memerintahkan dia masuk ke syurga.  Kemudian ada suara berseru : ‘Ketahuilah sesungguhnya fulan bin fulan telah selamat dari neraka hanya dengan sebab sehelai bulu mata dari kedua matanya.’

SubhanAllah.  Besarnya rahmat Allah.  Sebab itulah tidak wajar kita melupaiNya.  Dan betapa besarnya nilai air mata yang menitis keranaNya.  Kenapa begitu besar nilainya?  Kerana bukan sembarangan orang yang dapat menitiskan air mata keranaNya.  Hanya orang yang hatinya terlalu sensitif dengan kekuasaan Allah s.w.t, sehingga terasa takut dan hebatnya Allah sahaja yang dapat berbuat demikian.  Mereka sahajalah yang mampu memancurkan air mata apabila diceritakan tentang neraka.  Masha Allah.  Semoga kita antara yang bertuah itu.

Saudaraku, sekarang air mata kita bukan untukNya.  Yang kita takut bukan sahaja air mata kita tidak menyelamatkan kita di akhirat, malah dipersoalkan di sana dan boleh sahaja menyebabkan kita ditarik ke neraka.  Itulah air mata dunia.  Membazir sahajakan air mata kita?  Jadi, apakah nilai air mata kita?

Pay now, play later.  Janganlah kita ketawa di dunia dan menangis di akhirat.  Di sana, apa gunanya air mata kita?  Seorang ulama’ pernah mengatakan : ‘Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakangku, kubur di hadapan ku, kiamat janjian kami, neraka jalan kami dan di hadapan Allah perhentian kami.’

Perhatilah.  Hitung air mata kita untukNya.  Walau setitis, keluarkanlah untukNya.  Kalau tak mampu, menangislah kerana ketidakmampuan itu.  Itulah air mata yang akan menyelamatkan kita.  Saya sendiri, rindukan air mata itu.  Susahnya mendapatkannya.  Fikirlah kekerdilan diri dan kekuasaan Allah yang boleh buat apa sahaja pada kita.  Kita dalam ‘genggaman’-Nya.  Ingatlah dosa kita.  Banyak sebenarnya.  Cuma kita yang tidak pernah menghitungnya.  Dosa di hati pun tidak terkira.  Apatah lagi dosa yang kita lakukan dengan pancaindera kita.  Istighfarlah dengan penuh rasa keinsafan dan rendah diri, Insha Allah…akan gugurlah air mata mahal itu.

Ya Allah, kurniakanlah kami air mata itu.

Setiap kali manusia itu bertaubat, namanya akan disebut oleh Allah oleh para malaikat.  Ya Allah, baru bertaubat nama kita sudah terkenal di langit.  Sedangkan siapa kita untuk disebut oleh Tuhan yang Maha Agung di depan para malaikat yang suci?  SubhanAllah.

Saudaraku…

Menangislah…

KeranaNya…

Walau setitik….

Kerana mungkin…

yang setitik itulah….

Yang akan….

Menyelamatkan kita…

Dari neraka….

Seorang hamba,
~Hamba Rabbani~

Advertisements

One thought on “Keluarkanlah walau setitis…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s