Cerpen : Kerana Cinta

Saya sudah lama tidak mengirimkan sebarang kiriman di blog ini.  Rindu rasanya mahu menaip lagi. Namun, masa tidak mengizinkan saya untuk memenuhkan laman blog ini.  Begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain.  Tahniah kepada Nadi Ummah kerana istiqamah menulis blog ini.  Kali ini, saya ingin menghadiahkan anda semua dengan sebuah cerpen.  Tidak tahulah ia boleh dipanggil cerpen atau tidak.  Kerana ia agak panjang.  Semoga semua boleh mengambil pengajaran darinya.  Tiadalah saya menaip cerpen ini melainkan ingin menyampaikan mesej kepada anda semua selain mengharapkan redha dari-Nya.  Akhir kata, selamat membaca.🙂

******

“Ustaz Yousuf Farhan!”

Satu suara memanggil.  Ustaz Farhan berhenti melangkah.  Itu nama penuhnya.  Muhammad Yousuf Farhan.  Dia tidak menoleh kerana dia sudah tahu siapa yang memanggilnya.

“Hakimi.” Hakimi yang sudah tiba di sebelahnya tersengih.  Dia mendekati Ustaz Farhan Ustaz Farhan meramas rambutnya, kebiasaan yang tidak boleh dihilangkan.

“Ha, mana Anas?” Teringat pula pada Anas.  Anak muridnya yang seorang itu tidak pernah berenggang dengan Hakimi.  Macam belangkas.  “Oh, Anas.  Dia sudah balik tadi.  Ustaz nak balik ke ni?”  Tanya Hakimi.

Ustaz Farhan mengangguk.  “A’ah.  Bidadari tunggu.” Kening diangkat dua kali.  Tertarik sengih di bibir Hakimi.  “Ha, nak ana hantarkan?” Ustaz Farhan menepuk bahu Hakimi.  Dia tahu itu tujuan Hakimi memanggilnya.  Tinggal, anak muda itu segan.  Hakimi ni, kena diajak dahulu.

“Ala…seganlah Ustaz.”  Hakimi menggaru-garu belakang kepalanya yang tidak gatal.  Ustaz Farhan tersenyum.  Bahu Hakimi dipeluk dan dibawa dekat dengan motornya.  Dia dan Hakimi sungguh rapat.  Macam abang dan adik pula.  “Nak segan apa?  Macam tak biasa pula.  Anta dah macam anak ana dah.  Naiklah.”  Topi keledar dihulurkan.  Hakimi terpaku.  “Anak?”  Heh, rasa janggal pula.  Umurnya beza sedikit sahaja dengan Ustaz Farhan.  Tidak sampai sepuluh tahun pun.

“Ana ini, nampak sahaja muda.  Tetapi pangkat ayah tau pada anta.”  Motor dihidupkan.  Asap keluar berkepul-kepul.  Tiba-tiba matanya terpandang sesuatu.  Hatinya merasa tidak enak.  Atau perasaannya sahaja?

“Hakimi.  Anta tunggu sekejap, ya?” Terus dia bergerak pergi tanpa menunggu jawapan Hakimi.  Hakimi terpaku memegang topi keledarnya.  Dia memandang ke arah tujuan Ustaz Farhan.  Namun, dia tidak melihat apa-apa.

“Apa-apa sahajalah.”

******

Dia memandang gadis di hadapannya.  Setelah bertahun bersusah payah, dapat juga dia bersama dengan gadis pujaannya ini.  Gadis itu seperti bidadari dari syurga baginya.  Berada bersamanya seperti sudah berada di syurga.  Bukan sahaja indah di pandangan mata malah auratnya cukup terjaga.  Bak sekuntum mawar indah yang mekar terpelihara.

“Janganlah pandang saya macam tu.” Lembut sahaja suara itu menegur. Jelas pipinya merah.  Nampak sangat dia tidak biasa dengan semua ini.

“Awak cantik sangat.  Macam mimpi dapat bersama dengan awak.” Tangan gadis itu dipegang.  Gadis itu membiarkan sahaja.  Kali pertama disentuh oleh lelaki yang bukan muhrim.

“Selama ni, awak jual mahal.  Susah nak dekat.” Bahu mereka bersentuhan.  Dan si gadis tertunduk malu.

“Mestilah.  Dan saya tertawan dengan ketidak putus asaan awak tu.” Senyuman manis terbit di bibir.  Malu-malu dia membalas pegangan lelaki di sebelahnya.  Baginya, tidak salah mereka bersentuhan selagi tidak melebihi syarak.  Mereka bukannya hendak membuat apa-apa.  Tanpa mereka sedari, syaitan bersorak gembira.  Kerana gugurnya perisai malu seorang wanita.

Si lelaki memegang bahu gadisnya.  Dan gadis itu terlentok dibelai sang lelaki.  Terbuai dek tipuan syaitan durjana.

Pelik.  Seorang gadis, bertudung labuh, berbaju seragam sekolah sedang melentok manja di bahu seorang lelaki.

“Ya Allah, kalau ini mimpi jangan bangunkan aku.” Sempat si lelaki berdoa.  Perasaan cintanya membuak-buak.

“Assalamualaikum…” Satu suara menegur.  Gadis itu terus duduk menegak.  Seakan baru tersedar.  Dia kelihatan kaget.  Manakala sang lelaki kekal biasa.

Ustaz Farhan memandang tidak percaya.  Dua orang ini, dia sangat mengenalinya.  Siapa tidak kenal Aisya, namanya sering meniti di bibir pelajar lelaki dek kerana peribadinya yang terjaga.  Tetapi bagaimana dia boleh berada di sini, bersama Fuad?

“Ah, Ustaz ni kacau daun betullah.” Fuad menumbuk telapak tangannya.  Geram kerana waktunya diganggu.

“Rasanya kalau perkara mungkar macam ni, tak salah jika ana masuk campur.” Tegas.  Ustaz Farhan memandang Aisya.  Aisya menunduk.  Malu.  Ustaz Farhan tidak memandang lama.  Pandangan kembali difokuskan kepada Fuad.

“Ustaz siapa hah?  Ayah saya?  Abang saya?”  Biadap sekali bicara Fuad.

“Fuad.  Ana ada hak untuk halang anta.  Dan ana takut dipertanggungjawabkan di akhirat nanti atas apa yang anta lakukan.  Ini haram, Fuad.”

“Ala…ustaz ni.  Macam tak biasa pulak.  Ustaz kan pernah muda remaja.  Entah-entah, Ustaz ada simpan perempuan.  Well, siapa tahu.”

“Astaghfirullahalazim.” Kata-kata Fuad membakar hati Ustaz Farhan.  Sungguh biadap perkataannya.  Nasib baik kesabarannya tinggi.  Kalau tidak…

“Fuad.  Remaja muslim tidak akan mencampakkan diri ke dalam kebinasaan.  Masa remaja bukan untuk disiakan sebaliknya untuk digunakan sebaiknya kerana ia menentukan masa dewasanya nanti.”

“Eh, saya cintakan Aisya, Ustaz.  Cinta tu kan fitrah.” Senang sahaja Fuad mengungkap kata cinta.  Aisya di sebelahnya dijeling.  Gadis pujaannya.

“Memang ia fitrah.  Tapi ia bukan bermakna kita boleh bertuhankannya, buat apa-apa sahaja.  Kita ada cinta agung, yang lebih patut kita cintai.  Siapa?”  Ustaz Farhan melontarkan persoalan.

Fuad terdiam.  Tidak menjawab.

“Allah.”  Aisya pula yang menjawab.  Perlahan sahaja suaranya.

Ustaz Farhan memetik jari.  “Buktikan.  Kalau cinta, mesti tak nak Kekasih murka.  Allah, cinta agung kita, marah kalau buat macam ni.  Dating, pegang tangan.  Allah murka.”

“Tapi, Allah tak cakap pun kita tak boleh berdating.  Betul tak, sayang?” Tangan Aisya dicapai dan digenggam.  Mata Ustaz Farhan membesar.  Beraninya dia.  Tidak sangka Fuad berani berbuat begitu di hadapannya.  Ini tidak boleh dibiarkan.

“Eh,” Ustaz Farhan berniat hendak menegur.  Tapi belum sempat dia berkata apa-apa, Aisya terlebih dahulu meleraikan genggaman tangan Fuad.  Ustaz Farhan sekali lagi terkejut.

“Awak, Allah memang tak cakap tak boleh dating, tapi Allah ada kata jangan hampiri zina.” Aisya bersuara perlahan tetapi tegas.  Nyata, Aisya gadis yang ditarbiah.  Terkoyak senyuman di bibir Ustaz Farhan.  Ternyata kata-katanya berjaya mengetuk iman seorang Aisya yang tadinya terpenjara.

“Eh, apa yang awak merepek ni.  Saya tak cakap pun nak berzina dengan awak.” Lekeh Fuad.  Gayanya menyakitkan hati.

Aisya lekas bangun.  “Dengar.  Saya ulang.  Allah kata jangan hampiri zina.  Dan zina tu banyak.  Zina mata, zina hati.  Dan perbuatan kita tadi menghampiri zina.”

“Sejak bila awak jadi ustazah?  Tadi awak yang pegang tangan saya.” Fuad tidak mahu mengalah.  Ustaz Farhan hanya menjadi penonton.  Biarlah Aisya sendiri yang mempertahankan dirinya.

“Tadi, saya khilaf.  Lupa diri saya yang sebenarnya.  Saya terpedaya dengan syaitan.  Saya rasa amat menyesal sekarang.” Esakan kecil kedengaran.  Air mata menuruni pipinya yang bersih.  Begitulah orang beriman.  Mereka bukannya tidak pernah berbuat dosa tetapi apabila membuat dosa mereka segera tersedar.  Tambahan Aisya gadis yang ditarbiah.

“Awak.”  Panggil Fuad.  Aisya berlari meninggalkan tempat itu.  Kini yang tinggal hanya dia dan Ustaz Farhan.  Ustaz itu tenang sahaja.

Di dalam hati, Ustaz Farhan bersyukur kerana Aisya cepat tersedar dari perbuatannya.

“Ah, tak guna!” Sebiji penumbuk hampir hinggap di wajahnya tetapi dia sempat berundur.  Cermin matanya pecah berderai.  Fuad menyerang lagi tetapi cekap ditangkap oleh Ustaz Farhan.  Fuad menggila lagi.  Kakinya cuba menendang Ustaz Farhan tetapi sempat disanggah oleh lelaki itu.  Ustaz Farhan pantas sahaja mengunci pergerakan Fuad.  Fuad tidak boleh bergerak.  Nafasnya turun naik kerana marah.

“Lepaskan!” Teriak Fuad.

“Sudahlah, Fuad.  Ana tidak mahu mencederakan anta.”  Suara Ustaz Farhan perlahan menyinggahi telinga Fuad.  Fuad merasakan dirinya tewas.  Tewas sepenuhnya.

“Sebab kau, Aisya tinggalkan aku.” Kata ganti diri saya dan ustaz sudah bertukar kepada aku dan kau.  Wajahnya membengis seakan mahu membaham ustaz muda itu.

“Cintailah Allah, Fuad.  Anta tidak akan kecewa.” Lengan Fuad dilepaskan.  Dia mengambil langkah berjaga-jaga.  Namun, Fuad langsung tidak menyerangnya.  Anak muda itu terus melarikan diri dari Ustaz Farhan.

Hatinya lapang.  Tiada yang diharapkan selain Fuad berubah.  Sayang jika Fuad rosak begitu sahaja.

Tiba-tiba bahunya disentuh.  Tubuhnya seakan terenjat.  Dia segera menoleh.  “Anta rupanya.”  Bibirnya mengukir senyum.  Hakimi membalas senyuman lelaki itu.

“Ustaz, ada apa?”

“Tiada apa-apa.  Alhamdulillah, beres.” Rambut Hakimi diramas.

“Jom balik.”

“Kesian bidadari tunggu di rumah.” Sakat Hakimi.  Ustaz Farhan sekadar meleretkan senyuman.

******

“Aisya….Please.  Kenapa ni?”  Fuad mengejar Aisya sebaik sahaj ternampak gadis itu keluar dari makmal sekolah.  Aisya berjalan laju menghindari Fuad.

“Aisya.” Lelaki itu semakin hampir.

“Jauhi saya.  Tolong lupakan hal semalam.” Malu.  Itu yang Aisya rasa apabila teringat perbuatannya semalam.  Rasa tidak mahu diingat lagi.

“Aisya.  Saya cintakan awak.”  Fuad terus mengejar.  Dia tidak mengalah.

“Awak, Allah tak redha macam ni.  Saya takutkan Allah.  Jangan ikut saya lagi.” Aisya terus menyusup di tengah-tengah pelajar lain dan hilang di tengah orang ramai.

“Bla lah.  Ingat kau cantik sangat?!!” Jerit Fuad.  Marah.  Kecewa.  Sakit hati.  Semuanya ada.  Kakinya membawanya ke belakang sekolah.  Di situ dia terduduk.  Hatinya menangis.  Dan air mata pun mengalir laju.  Dia rasa tertewas.  Gagal.  Hakikatnya, dia tewas dengan syaitan.  Sedangkan syaitan tertawa melihatnya.

******

Faiz menghirup air nescaffe dalam tin dengan rakus.  Farrukh menghisap rokok dan menghembuskan asap dari hidung.  Firdaus memakan roti di tangan.  Fakhrul pula memutarkan lighter.  Sekejap dipetik kemudian dimatikan.  Kadangkala dibaling-baling.  Mereka semua sedang berhadapan dengan Fuad.

“Hei, bro.  Why you tension-tension macam ni?” Faiz mencampak tin nescaffenya ke dinding.  Bahu Fuad ditepuk.  Fuad tidak habis-habis termenung.

“Yo, bro.  Kau tak macam dulu.”  Sokong Firdaus.

“Tell us lah.  Sharing is caring.” Tokok Fakhrul.  Lighter di tangan dibaling-baling.

“Woi, senyaplah!” Tengking Fuad tiba-tiba.  Tangan Faiz dibahunya ditepis.  Fakhrul ditolak hingga lighternya terlontar jauh.  Dia sendiri hampir tersembam ke tanah.  Mujur ditahan oleh Firdaus.

“Wow, wow, wow.  Rileks, rileks.  Tenang, kawan.  What’s up?  Ceritalah sikit.”  Pujuk Farrukh yang sedari tadi merokok.

Fuad memandang kawan-kawannya.  “Perempuan bodoh tu dah tinggalkan aku.” Meja dihadapannya ditumbuk.  Marah.

“Eh, kau baru je dengan dia kan?” Faiz terkejut.

“Ini semua sebab ustaz baru tu.  Berlagak alim.” Lantai diludah.

“Ustaz sop itu ke?” Gelaran ustaz sop diberikan kepada Ustaz Farhan merujuk kepada nama penuhnya, Yousuf Farhan.  Mereka memang membenci lelaki itu.  Musuh nombor satu, kiranya.  Sejak kedatangan ustaz itu, dia mula menerapkan unsur-unsur tarbiah, usrah, dakwah, ukhuwah, halaqah dan tazkirah.  Mereka bosan.  Dan ustaz itu jugalah yang sering mengesan perjalanan projek mereka dan menyekatnya.  Dan yang lebih membuatkan mereka marah, ustaz itu seakan-akan mengubah sekolah mereka menjadi sekolah agama.  Mereka terikat.  Itulah yang mereka tidak suka.

“Dialah, bodoh.” Jawab Fuad.  Membalas soalan Faiz.

“Tidak apa.  Kita balas balik.” Cadang Farrukh.

“Macam mana?”

“Kita tonjolkan kekurangan dia.  Biar semua pandang dia jahat.” Sengihan nakal muncul di bibir Fakhrul.

“Dia, kekurangan?  Heh.  Dia tu macam malaikatlah.” Fuad seperti tidak yakin.  Ustaz Farhan terlalu sempurna baginya.  Wajahnya kacak.  Gayanya teratur.  Senyumannya menyenangkan.  Bicaranya sopan.  Peribadinya tersusun.  Akhlaknya cantik.  Apa lagi?

“Heh, tapi dia tetap manusia.  Nabi pernah kata yang setiap anak adam tidak terlepas dari melakukan dosa.” Sanggah Firdaus menggunakan hadis nabi.

“Ingat.  Nobody is perfect.  Paling-paling pun dia sembunyikan.” Sokong Fakhrul.

Betul juga.  Fikir Fuad.  Senyuman perlahan-lahan muncul di bibirnya.

“Aku ada kenal seorang abang ni.  Dia boleh handle, aku rasa.” Kata Faiz.

“Iya?  Menarik.” Senyum bertukar menjadi gelak.  Semua menyambut gelak Fuad.  Mereka terus ketawa tanpa sedar syaitan ikut tertawa bersama mereka.

******

Kelas sudah tamat.  Ustaz Farhan sudah bersedia untuk keluar.

“Baiklah.  PMR lagi berapa minggu?”

“Dua.” Semua menjawab serentak.

“Perbanyakkan ibadah.  Tingkatkan hubungan dengan Allah.” Pesan Ustaz Farhan mengakhiri kelasnya.

“Ustaz.”

“Ya?” Ustaz Farhan memandang pelajar yang memanggilnya.

“Kenapa ustaz pesan perbanyakkan ibadah bukan perbanyakkan latihan?” Soal Toriq.  Dia hairan sebenarnya.  Nak periksa kenalah banyak baca buku.  Apa kena mengena dengan ibadah?

“Toriq, ada ana kata kurangkan baca buku?”

Geleng.

“Ana ada kata tak payah buat latihan?”

Geleng lagi.

“Ana cuma kata perbanyakkan ibadah.  Sebab yang buat kita berjaya siapa?”

“Allah.”

“Jadi kenalah minta dengan Allah.  Dengan merapatkan diri kita kepadaNya.”

Toriq mengangguk.  Faham.

“Okey.  Semua boleh keluar.”

Semua bergerak keluar.  Ustaz Farhan duduk.  Itulah kebiasaannya.  Dia akan menjadi orang yang terakhir sekali keluar dari kelas.

Pap!  Bahunya ditampar.  Ustaz Farhan menoleh.  Dua remaja sekolah sedang berdiri di hadapannya.  Seorang dengan gaya santainya, dengan sebelah tangan menyeluk poket dan sebelah lagi di bahu Ustaz Farhan.  Tubuhnya disandarkan pada dinding.  Di sebelahnya pula, sahabat baiknya, seorang remaja sekolah berwajah kecinaan sedang berdiri dengan kaki bersilang dan tangannya memeluk bahu sahabatnya.

“Anas.  Hakimi.”  Ustaz Farhan menyebut satu persatu nama mereka.  Tersenyum mereka dibuatnya.

“Jom rehat sama-sama.” Ajak Anas.  Hakimi mengangguk.  Dulu, mereka hampir setiap hari bersarapan bersama-sama.  Tetapi, tidak sekarang.  Ustaz Farhan bersarapan dengan pelajar yang berlainan pada setiap hari.  Satu strategi untuk merapatkan hubungan guru dan pelajar.

Ustaz Farhan sekadar meleretkan senyuman.  Bahu kedua-duanya ditepuk.  Kemudian dia berdiri.

Anas dan Hakimi berpandangan seketika sebelum bergerak ke sisi Ustaz Farhan.  Mereka beriringan menuju ke kantin.

“Dah lama tak pekena mi kari.” Anas menggosok-gosok perutnya setelah mereka memasuki kawasan kantin.  Spontan Hakimi menyiku Anas.

“Kau ni…”

“Apa?”  Anas buat-buat tidak tahu.

“Ish, malaslah layan kau.”

Ustaz Farhan memandang mereka.  “Tak apa.  Hari ini ana belanja.”  Ujarnya menarik sengih di bibir Anas.  Lidahnya dijelir kepada Hakimi tanda menang.

Hakimi menaikkan biji mata ke atas tanda meluat.  Tiba-tiba rambutnya diramas.

“Hakimi, ingat cantik ke anta buat mata macam tu?”  Tegur Ustaz Farhan.

Hakimi tersengih.  “Ala…Ustaz.  Hilang macho.”  Gurau Hakimi.  Rambutnya disisir dengan jari.  Ustaz Farhan tertawa.  Dia membawa keduanya ke sebuah meja makan.

“Anas nak mi kari.  Hakimi?”  Tanya Ustaz Farhan.  Anas dan Hakimi sudah duduk di kerusi.  Hanya Ustaz Farhan yang masih berdiri.

“Sama macam ustazlah.” Hakimi buntu ingin memilih menunya.  Semua dia bantai sahaja.

“Ana makan roti telur sahaja.”  Jawapan Ustaz Farhan membuatkan Hakimi tidak tentu arah.  Roti telur sahaja?

“Err…Saya nak mi karilah ustaz.”  Kalau ikut menu ustaz, sudah pasti dia kelaparan semasa di kelas nanti.

“Peniru.”  Anas berpura-pura marah.  Ustaz Farhan tersenyum sebelum beredar meninggalkan keduanya.

Anas dan Hakimi diam.  Masing-masing kehilangan bicara.  Di sekeliling mereka kini adalah guru.  Kerana mereka sekarang sedang duduk di kantin guru.

“Hakimi.”  Anas memecah kesunyian.  Hakimi mengangkat kening.

“Tengok pokok tu.” Jari Anas lurus menunjuk ke arah sebatang pokok.  Hakimi menoleh.  Pokok itu bergoyang-goyang.

“Kenapa pokok tu bergoyang?”  Tanya Hakimi.

“Tanya sama pokok, apa sebab goyang…Nanti jawab pokok…Hah, tanyalah sendiri.” Anas berlagu.

Ceh!  Hakimi terkena.  Terus dia menarik muka masam.  Wajahnya dipaling dari Anas menghadap pokok tersebut.

Anas mengekek ketawa.

Mata Hakimi liar memerhati suasana di kantin.  Sambil itu jarinya mengetuk-ngetuk meja.  Tiba-tiba mata Hakimi membesar.  Sesuatu telah menarik perhatiannya.  Di hadapan papan kenyataan, kelihatan sekumpulan pelajar sedang berkumpul.  Suasana agak riuh.

“Anas.  Anas.”  Hakimi mencuit lengan Anas yang sedang memandang arah yang bertentangan dengannya.

“Tak payahlah nak tipu aku.” Anas enggan menoleh.  Disangkanya Hakimi mahu mengenakannya kembali.

“Taklah Anas.  Aku bukan nak tipu kau.”

“Aku tak tertipulah.” Anas menongkat dagu.

Senyap.  Tiada balasan.  Anas mengerutkan keningnya.  Akhirnya dia menoleh juga.  Namun, Hakimi tiada di sebelahnya.  Matanya dapat menangkap Hakimi sedang berjalan menghampiri sekumpulan pelajar di hadapan papan kenyataan.

“Hakimi!”  Anas mengejar.

Langkah Hakimi terhenti.  Namun dia sudah hampir benar dengan papan kenyataan.  Anas mempercepatkan langkah.

“Apa tu?” Soalnya kepada Hakimi.  Hakimi tidak membalas.  Hanya bahunya diangkat menunjukkan dia tidak tahu.

“Ada apa tu?” Anas memegang bahu seorang juniornya.

“Ada maksiat, bang.”  Pelajar itu membalas.  Hakimi terkejut.  Pantas dia meluru ke hadapan.

“Ini…”  Hakimi kematian bicara.  Gambar di papan kenyataan menunjukkan Ustaz Farhan sedang menyuapkan makanan ke mulut seorang wanita.  Ada juga gambar mereka berjalan bersama.  Si lelaki tersenyum riang dan si wanita ketawa girang.  Nampak bahagia.

“…Mustahil.”  Sambung Anas.  Dia juga terkejut.  Di bawah gambar-gambar itu tertera satu ayat ringkas tetapi pedas.

SYAITAN BERSEMBUNYI DI SEBALIK SAYAP MALAIKAT

Kedengaran para pelajar menyumpah-nyumpah.  Kepercayaan mereka bagai dikhianati.  Rupanya, lelaki yang paling keras menentang maksiat daripada berleluasa di sekolah ini melakukannya.  Perasaan marah menjalar ke dalam hati.

“Ya Allah siapa yang buat semua ini?” Anas hampir tidak percaya.  Hakimi lagilah.  Dia bagaikan terpaku di situ.

Ustaz Farhan yang sudah selesai memesan makanan kembali ke meja.  Dia hairan melihat kedua pelajarnya tidak berada di situ.

Mana mereka?

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.  Dia segera mengangkatnya.

Selepas berbicara beberapa patah perkataan, talian dimatikan.  Ustaz Farhan meraup wajahnya.  Dia terduduk di kerusi.

Ya Allah…

Tiba-tiba bahunya disentuh.  Dia menoleh.  Hakimi dan Anas berdiri dengan wajah yang gelisah.

“Ustaz…” Hakimi bersuara namun dihalang Ustaz Farhan.

“Ana tahu.” Wajahnya sukar diteka.  Namun yang pasti terselit resah pada ketenangan wajah itu.

“Macam mana ni Ustaz?  Tak kan nak biarkan sahaja.”  Anas tidak puas hati.

“Setiap orang beriman akan diuji.  Dan ana sedang diuji sekarang.” Perlahan Ustaz Farhan berbicara.  Teringat dia akan firman Allah di dalam al-Quran : Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?

“Tapi kita kena betulkan semua ni.” Kata Hakimi.  Anas mengangguk menyokong.

“Dia dah tiada.”  Kata-kata Ustaz Farhan membuatkan mereka berdua terdiam.  Ujian apa lagi?

“Ustaz, bersabarlah.” Nasihat Hakimi.  Berat ni.

Nampaknya Ustaz Farhan betul-betul teruji.  Dan hanya Allah yang boleh menolongnya.

******

“Assalamualaikum.”

“Macam mana suka dengan hadiah aku?”

“Hadiah?” Kening Ustaz Farhan berkerut.

“Oh, nampaknya kau belum tahu.”  Suara itu kedengaran sinis.

“Siapa ini?”

“Kau tak perlu tahu.  Cuba lihat di papan kenyataan.  Kau agak kenapa orang ramai berkumpul di situ?” Ustaz Farhan memandang ke papan kenyataan.  Dia berdiri.  Seorang pelajar bergerak pergi membuka sedikt ruang untuk Ustaz Farhan melihat apa yang tertampal di situ.

“Ha ha.  Macam mana?” Ustaz Farhan segera beristighfar.  Bagaimana lelaki ini boleh mendapat gambarnya? 

“Sekarang dia bersama aku.”  Lelaki di sebalik talian ketawa.

“Siapa?” Ustaz Farhan tidak mengerti.

“Perempuan itu.  Aku nak deal dengan kau.  Kita selesaikan semua ini malam ini.  Di Jalan Lubuk.  Jangan cerita pada polis.  Ingat, nyawa dia di tangan aku.”  Kata-katanya diakhiri dengan gelak yang panjang sebelum talian dimatikan.

Ustaz Farhan terpana. 

Ya Allah, bagaimana ini?

Sekarang Ustaz Farhan sedang berjalan di Jalan Lubuk.  Jalan itu agak gelap tanpa cahaya lampu.

Dalam hati, tidak henti-henti dia berdoa.

‘Ya Allah, selamatkanlah dia.’

‘Ya Allah, selamatkanlah dia.’

‘Ya Allah, selamatkanlah dia.’

Dia sedang diuji.  Dan dia tahu Allah tidak akan sesekali meninggalkannya.

Sss…

Telinga Ustaz Farhan dapat menangkap bunyi desiran perlahan dari belakang.  Spontan dia mengelak.  Sebilah pisau menggores lengannya menyebabkan bajunya terkoyak dan meninggalkan luka yang dalam.   Mujur dia sempat mengelak.  Kalau tidak pasti nyawanya sudah melayang.

“Alhamdulillah.”  Sempat dia memanjat syukur.  Lengannya yang berdarah dipegang.  Lengan kemejanya sudah basah lecun dengan darah.

Sambil menahan kesakitan, Ustaz Farhan terus berwaspada dengan gerakan musuh.  Musuh menyerang lagi.  Ustaz Farhan meyendengkan tubuhnya dan menangkap pergelangan tangan musuhnya.  Kemudian tangan itu diputarkan membawa bersama tubuh musuhnya itu.  Pisau terjatuh ke tanah.  Semuanya berlaku dengan pantas.  Musuh tergamam.

Pap!  Pap!  Pap!  Kedengaran bunyi tepukan tangan.  Lima orang remaja lelaki muncul bersama seorang lelaki dewasa.

“Hebat, hebat.” Lelaki dewasa itu bersuara.  Ustaz Farhan kekal tenang.  Luka di tangannya dilihat.  Tampak isi dagingnya dari belahan luka tersebut.

“Abang!” Satu suara lembut memanggil.  Ustaz Farhan terus mengangkat kepalanya.  Barulah dia sedar akan kewujudan seorang wanita di dalam pegangan Fuad.  Wanita itu kelihatan lemah tidak berdaya dengan wajah yang pucat lesi.  Di tangan Fuad tergenggam sebilah pisau.

“Fakhrul, Farrukh, Faiz, Firdaus, Fuad…” Ustaz Farhan menyebut nama satu persatu remaja di hadapannya.  Sampai pada nama Fuad, dia memandang remaja lelaki itu dengan pandangan yang tajam.

“Amboi.  Abang, abang.  Nak termuntah aku dengar.  Tahu tak, sebuaya-buaya aku tak pernah aku berabang-abang tau.”  Lekeh Fuad dengan gaya menyindir.  Yang lain tergelak.  Masing-masing mebuat gaya seperti hendak termuntah.

“Ini lain, Fuad.”  Ustaz Farhan masih tidak faham situasi sebenar.  Apa kaitan wanita itu dengan semua ini?  Dia meniliti wajah si wanita yang sudah basah dengan air mata.  Wajah itu kelihatan seperti ketakutan.

“Apa yang lain, hah?  Bila aku berdating dengan Aisya kau kata itulah, inilah.  Haramlah.  Allah tak sukalah.  Habis tu kau ingat Allah sukalah apa yang kau buat, hah?”  Jerkah Fuad.  Pisau didekatkan di leher wanita itu.  Wanita itu memejamkan matanya.  Air mata terus mengalir.

“Fuad, anta sudah keliru.  Cinta anta dengan Aisya dan cinta ana dengan dia lain.” Ustaz Farhan menunding jari ke arah wanita itu.

“Aku tak mahu dengar semua tu.  Nanti mulalah kau nak cakap cinta kau kerana Allah lah, berlandaskan keimananlah.  Lepas tu cinta aku kerana nafsu semata-mata.  Aku dah tak peduli.  Yang aku nak adalah…” Bilah pisau didekatkan lagi.  Wanita itu mengetap bibir.  Sejuknya pisau menyentuh urat lehernya.  Hatinya berzikir.

“…kau rasa macam mana aku rasa.  Ditinggalkan orang yang dicintai selamanya.”  Walaupun hakikatnya Aisya masih hidup, namun apa gunanya.  Wanita itu sudah betul-betul insaf sekarang.  Aisya, telah menjadi seperti dahulu malah lebih baik lagi.  Mustahil gadis itu mahu kembali kepadanya.

Tiba-tiba Ustaz Farhan merasakan lengannya dipegang.  Dia pantas memutarkan lengannya, menjatuhkan kedua musuhnya.  Seorang lagi musuh menyerang dari belakang.  Ustaz Farhan sudah bersedia.  Musuhnya disiku sehingga tertunduk.  Melihat musuh leka, Ustaz Farhan bergerak menyerang rusuknya sehingga terjatuh.  Musuh menyeringai kesakitan.

“Jangan bergerak.  Selangkah kau bergerak, layulah kuntuman mawar ini.” Fuad bermain kata.  Langkah Ustaz Farhan terhenti.  Serentak dengan itu, belakang badannya disepak sehingga dia tersungkur.  Lengannya dikilas ke belakang.  Dia didirikan.

“Apa yang kau rasa sekarang?”  Soal Fuad dengan sengihannya.

“Ana rasa sungguh sedih melihat anta, Fuad.  Anta, sudah jauh tersasar.”  Wajahnya berubah sedih.  Memang hatinya sungguh sedih melihat anak muda di hadapannya.  Hari itu, ketika melepaskan Fuad, dia amat berharap Fuad akan berubah.

Mendengar jawapan Ustaz Farhan, satu tumbukan hinggap di wajahnya.  Darah keluar dari mulutnya.

“Bukan itu jawapan yang kami nak, bodoh.” Sergah Farrukh kasar.

Fuad mengesat penumbuknya.  Memang, bukan itu yang dia nak.  Dia nak Ustaz Farhan rasa apa yang dia rasa.  Kecewa.  Marah.  Putus asa.  Menyalahkan takdir.  Sakit hati.  Dia nak lelaki itu rasa semua itu.

“Fuad, lepaskan dia.  Menumpahkan darah seseorang, berdosa besar.  Tolong, jangan lakukannya.”  Suara Ustaz Farhan separuh merayu.  Mata jernihnya memandang ke arah Fuad.  Dan mata itu.  Langsung tiada pancaran marah, sakit hati, kecewa, putus asa dan jauh sekali menyalahkan takdir.  Malah mata itu kelihatan sangat sedih dan kasihan.  Mata itu kelihatan lembut dan sarat kasih sayang.  Dan dari mata itu, bergenang air matanya.

Hati Fuad tersentuh.

“Ah, aku peduli apa?  Aku sedang mencegah kemungkaran.”  Jerit Fuad.  Pegangan pisau di tangannya dikejapkan.

“Kemungkaran apa, Fuad?”

“Kemungkaran yang kau lakukan bersama wanita ini.  Maksiat, semuanya.” Lantang Fuad bersuara.  Ustaz Farhan terkejut mendengar bicara Fuad.  Jadi, ini semua…

“Anta salah faham, Fuad.”

“Kami kira, kau yang salah faham.  Kau ceramah sana sini tapi perangai macam setan.”  Tuduh Fakhrul.

“Demi Allah, ana tak buat macam yang antum cakap tu.”

“Masih tidak mahu mengaku?   Dengan semua gambar itu, kau masih mahu menafikannya?”  Faiz naik berang.  Mukanya panas.

“Gambar itu, semuanya betul.  Tapi apa yang ana buat tidak salah.”  Kata-kata Ustaz Farhan disambut dengan gelak tawa.  Semuanya mentertawakannya.

“Kau ingat kau Tuhan ke yang boleh meletakkan sesuatu itu salah atau tidak?  Halal dan haram bukan di tangan kau.” Ujar Firdaus. Ustaz Farhan beristighfar.  Hatinya terus berdoa.

“Ana memang bukan Tuhan.  Tetapi, adakah menjadi satu masalah jika seorang suami bersenda gurau dengan isteri sendiri?” Ustaz Farhan berbicara tenang.

Terlepas pisau di tangan Fuad.  Semua mulut terlopong.  Wanita ini…

…isteri Ustaz Farhan?

“Jangan cuba berbohong.” Gertak lelaki dewasa di sebelah Fuad.  Ustaz Farhan menggelengkan kepalanya.

“Demi Allah, Farihah adalah isteri yang ana nikahi dengan nama Allah.”

Setiap perkataan yang keluar dari mulut Ustaz Farhan bagaikan sembilu yang menghiris hati Fuad.  Terus dia terduduk.  Jadi ini semua….

Sia-sia?

Ustazah Farihah melepaskan diri dari Fuad.  Terus dia menghampiri suaminya.  Di saat ini, baru Fuad perasan akan kewujudan cincin berlian yang elok tersarung di jari manis wanita itu.  Dia memarahi dirinya sendiri di atas kebodohannya.

Tiba-tiba kedengaran bunyi siren.  Polis sudah sampai nampaknya.  Fuad sudah nampak hala tuju hidupnya selepas ini.  Di dalam penjara.  Masa hadapannya sudah gelap.  Namun, semuanya sudah menjadi bubur.

Ustaz Farhan memeluk bahu isterinya menenangkan.  Dia melihat sekeliling.  Semua kawan-kawan Fuad sudah melarikan diri.  Termasuk semua penjahat-penjahat itu.

“Jangan bergerak.” Sebuah kereta polis berhenti di hadapan mereka.  Tiga orang anggota polis keluar bersama Hakimi dan Anas.  Rupanya, mereka berdua yang memberitahu pihak polis.

Fuad mengangkat tangan.  Dia berdiri.  Ketika ini, baru dia sedar, dia sedang bersendirian.  Dia sudah tewas.  Hidupnya gelap kini. Air mata menuruni pipi.

“Ada apa?”  Seorang anggota polis mendekati Ustaz Farhan. “Tiada apa-apa.  Cuma salah faham.  Dah selesai pun.”  Dia tersenyum.  Tangannya di bahu si isteri dijatuhkan.

“Farihah okay?” Pipi isterinya dipegang.  Ustazah Farihah mengangguk.  Dalam hati, lafaz tahmid disebut tidak henti-henti.  Tadi, dia sudah pasrah.  Namun, takdir Allah yang menentukan segalanya.  Kalaulah Allah tidak bantu dia tadi, pasti nyawanya sudah melayang.

‘Alhamdulillah…Syukur, Ya Allah.’  Hatinya berbicara.

“Luka sebegini dalam…”  Inspektor itu membelek luka di lengan Ustaz Farhan.  “..Kau kata tiada apa-apa?”  Wajah tenang Ustaz Farhan direnung.

“Salah saya.  Jangan risau.  Semua selesai.”  Ustaz Farhan membela Fuad.  Bahu Inspektor itu ditepuk sebagai jaminan tiada apa-apa yang berlaku.

Hakimi dan Anas hanya mendiamkan diri.  Mereka tahu Ustaz Farhan menyembunyikan sesuatu.  Luka di lengannya dan darah di bibirnya menceritakan segalanya.  Cuma, mereka tidak faham, kenapa lelaki itu membela Fuad?

“Betul?” Inspektor polis itu menginginkan kepastian.  Ustaz Farhan mengangguk.  Inspektor polis itu kelihatan berpuas hati.

Inspektor itu beredar bersama dua pegawainya.  Kini yang tinggal cuma Ustaz Farhan, Ustazah Farihah, Anas, Hakimi dan Fuad.

Anas mendekati Fuad.  Satu tamparan hinggap di pipi Fuad.

“Lihat apa yang dia buat pada kau atas semua perbuatan kau?  Kau telah membahayakan nyawa isterinya dan mencederakannya!”  Anas menengking.  Memang itu peribadinya.  Kasar.  Anas mengangkat tangannya, ingin menampar lagi namun ditahan oleh Ustaz Farhan.  Darah dari lengannya menitis ke atas kasut Anas.

“Cukup, Anas.  Cukup.”  Tegas kedengaran bicaranya.  Anas menurunkan tangannya.   Rasa hormatnya tinggi pada lelaki itu.

“Anas.  Dengar firman Allah ini.  Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.”  Nasihat Ustaz Farhan.  Dia tahu Anas cepat marah orangnya.

Hakimi yang melihat terus mendapatkan sahabatnya itu.  Tubuh Anas ditarik dan dipeluk.  Itulah sahabatnya dunia akhirat.  Kepada Ustaz Farhan, dia sekadar tersenyum.  Lelaki itu, penyabar sangat.

“Ustaz.”  Panggil Fuad.  Ustaz Farhan memandang ke arahnya.  Fuad, dengan wajah yang kusam, air mata di pipi, bibir bergetar, sedang merenung ke arahnya dengan satu pandangan yang sukar ditafsirkan.  Ustaz Farhan memandang wajah si isteri sebelum menghampiri Fuad.

“Ustaz, betul cakap Anas.  Saya ni, tidak berguna.  Tamparlah saya.  Kerana cinta, kerana dendam, saya buat semua ini.  Tapi, semua ni rupa-rupanya sia-sia.  Saya…”  Fuad hendak menjatuhkan dirinya ke tanah namun sempat ditahan oleh Ustaz Farhan.  Melihat luka di tangan Ustaz itu membuatkan air mata Fuad semakin lebat.

“Fuad.  Ana hanya pendidik, bukan penghukum.  Cinta boleh membuatkan kita melupakan Pencipta kita namun dengan cinta jugalah kita lebih rapat dengan Pencipta.  Ingatlah, Allah pemilik cinta kita.  Sebelum kita cinta dengan sesuatu, maka pastikan ia kerana Allah.  Ana mencintai isteri ana, kerana ana cinta kepadaNya.  Cinta kepadaNya jugalah yang membuatkan ana cinta kepada anta.  Kepada Hakimi.  Kepada Anas.” Ujar Ustaz Farhan.  Fuad terus membiarkan air matanya jatuh.  Dia nampak hidupnya selama ini sia-sia.  Tidak berguna.  Nampaknya dia perlu mengukur semula tahap cintanya kepadaNya.  Kalau dia mencintai Allah, mustahil dia berani bermain mata dengan Aisya.  Kerana Kekasih agung sudah melarangnya.  Kan Allah lebih dicintai?

“Kenapa ustaz tidak beritahu polis tadi?”

“Sebab anta, saudara ana yang ana cintai.  Anta pun bukanlah bersalah sangat pada ana.  Anta kan hendak mencegah kemungkaran?”  Ustaz Farhan sentiasa bersangka baik kepada Fuad.

Cinta?  Kening Fuad berkerut.  Entah-entah…

“Ustaz ni gay ke?”  Terlintas persoalan itu dibenaknya.  Lelaki mencintai lelaki, apa lagi kalau bukan gay?

Pecah tawa Ustaz Farhan.  “Fuad.  Ini namanya persahabatan dalam keimanan.  Bukannya gay.  Rasulullah ada mengatakan bahawa dua orang pemuda yang berkasih sayang kerana Allah akan mendapat naungan arasy di padang mahsyar kelak.  Syaratnya, mesti kerana Allah.”  Terang Ustaz Farhan.  Fuad mengesat air matanya.  Eh, ini…

“Macam diorang itu ke?”  Jari ditundingkan ke arah Hakimi dan Anas.  Hakimi sedang memeluk bahu Anas.  Anas pula menundukkan kepalanya, hampir menyentuh bahu Hakimi.  Sekali pandang, macam sepasang kekasih yang sedang ber’dating’ pun ada.  Hakikatnya, Hakimi sedang menjadi kipas, menyejukkan kemarahan di hati Anas.  Hakimi yang perasan Fuad memandangnya, mengangkat dua jari membuat isyarat ‘peace’.  Fuad tersengih.  Sempat lagi.

“Ya.  Anta kira, apa lagi yang boleh mengeratkan hubungan dua orang itu selain persahabatan kerana Allah?”   Ustaz Farhan menimbulkan persoalan.  Fuad mengangguk.  Dia sudah nampak dengan jelas.  Apa lagi?  Dia nampak persahabatan mereka berbeza dengan persahabatannya dengan Fakhrul, Farrukh, Firdaus dan Faiz.  Mereka sahabat kegelapan.  Membawanya ke jalan yang salah.  Bukan seperti Hakimi.  Dia sahabat yang membimbing Anas ke jalan yang terang.  Dia kenal Anas.  Dahulunya, Anas seorang kaki samseng.  Gangster.  Kasar.  Kaki buli.  Pemeras ugut.  Pemalas.  Bermasalah.  Bagaimana dia boleh masuk dengan Hakimi?  Hakimi pula seorang yang lemah lembut, pandai dan bersahaja.  Kontra dengan sikap Anas.  Bagaimana air dan minyak boleh bersatu?

Mereka tidak pernah bertengkar secara serius.  Bila salah seorang marah, dengan cepat dia terpujuk.  Gaduh mereka tidak panjang.  Anas kalah dengan kelembutan Hakimi dan Hakimi kalah dengan ketegasan Anas.  Mereka saling lengkap-melengkapi.  Anas mendapat sedikit kelembutan apabila bersama Hakimi dan Hakimi mendapatkan sedikit keberanian daripada Anas.  Begitulah mereka.

“Kenapa pandang kami semacam?”  Tegur Anas mesra.  Marahnya sudah hilang.  Cepat sahaja dia sejuk apabila bersama Hakimi.

“Kalian, ada aura.”  Jujur Fuad memberitahu.

“Aura?  Apa-apa sahajalah.”  Anas tersenyum.  Fuad membalasnya.

“Aku minta maaf tadi.  Aku tak sepatutnya tampar kau.”  Ujar Anas.  Hatinya merasa bersalah.  Dia sudah mendapat teguran tarbawi daripada Hakimi.  Hakimi tersenyum sahaja.

“Tak apa.  Aku yang salah sebenarnya.”  Akui Fuad.

Ustaz Farhan bergerak mendekati isterinya.  Hilang pedih di lengannya melihat mereka bertiga.

“Farihah, indah kan persahabatan kerana Allah?”

Ustazah Farihah mengangguk.

Ustaz Farhan tersenyum.  Untuk esok, dia sudah ada jalan penyelesaiannya.

******

“Tak boleh jadi ini.  Ustaz sendiri buat maksiat.”

“Mengotorkan sekolah kita je.”

“Dengan ustazah pulak tu.”

“Kurang ajar.  Tak guna punya ustaz.”

Semua pelajar 3 Iltizam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Ustaz Farhan.  Hanya Hakimi dan Anas membisu.  Padahal hati mereka sudah panas.

“Wei, ustaz kesayangan kau tu tak masuk ke?” Seorang pelajar mengusik Hakimi.  Hakimi diam tidak berkutik. Sabar, sedikit masa lagi…

“Assalamualaikum.” Pintu kelas terbuka.  Ha!   Senyuman Hakimi melebar.  Ustaz Farhan sedang berdiri di muka pintu dengan lengan yang berbalut.  Kejadian malam itu menyebabkan lengannya terpaksa dijahit sebanyak 10 jahitan.  Luka yang dalam.

“Berani kau munculkan diri di sini.” Herdik salah seorang pelajar.  Aksinya biadap.  Sempat dia meludah ke lantai.

“Tidak malu sungguh.”  Sambut satu suara lagi.  Kelas menjadi riuh.  Semua marah.

“Assalamualaikum.” Satu suara mencelah.  Semua terdiam.  Sesusuk tubuh berdiri di hadapan mereka.  Berjubah hitam dan bertudung merah jambu.  Wajahnya tertunduk malu.  Masakan tidak, sebelum dia ke kelas tadi, dia telah menemui banyak gambarnya di dinding.  Malu.  Malu seorang wanita apabila gelak tawanya bersama suami ditayangkan.

“Maksiat.”  Cemuh seorang pelajar.  Ustaz Farhan berdiri rapat dengan wanita itu.

Mereka kenal wanita itu.  Itulah Ustazah Farihah.  Wanita itu pernah mengajar mereka semasa menggantikan Ustaz Farhan.

“Woi, tak ada tempat lain ke?”

“Ini sekolah lah, wei.”

“Kiamat sudah dekat?”

“Astaghfirullah.”

Suara-suara liar kedengaran.  Ustaz Farhan kekal tenang sedangkan Ustazah Farihah hampir pitam mendengarnya.  Tangannya menggengam tangan Ustaz Farhan mencari kekuatan.

“Berhenti!”  Anas bangkit tiba-tiba.  Dia sudah tidak tahan lagi.  Biar dia beritahu.

Cit…cit…cit…

Kedengaran bunyi berdecit.  Semakin lama, semakin hampir.  Semua senyap ternanti-nanti.  Bunyi apakah itu?

Eh?

Semua mata membesar.  Seorang kanak-kanak lelaki, berusia sekitar setahun setengah, muncul di hadapan pintu.  Dia berbaju melayu hijau dan berkopiah putih yang senget menutupi dahi sebelah kanannya.  Kulitnya putih gebu, comel dengan sengihan lebarnya.  Dia menapak perlahan mendekati Ustaz Farhan.

“Ayah…”  Dia berseru sebelum tubuhnya diangkat Ustaz Farhan.

Semua terkedu.  Ayah?  Jadi…

“Fayqan.”  Anas dan Hakimi mencuit pipi kanak-kanak tadi.  Kanak-kanak itu ketawa kesukaan.  Dia seperti telah lama mengenal Hakimi dan Anas.  Tangan dihulurkan, disambut oleh Hakimi diikuti dengan Anas.

“Oh, kenalkan ini isteri ana, Ustazah Farihah.  Dan ini, Faiz Fayqan satu-satunya putera kami.”  Fayqan tersenyum girang sebaik sahaja mendengar namanya disebut.  Ustaz Farhan mencium pipi anaknya.  Fayqan membalas kembali.

Ustaz Farhan menyerahkan anaknya kepada Ustazah Farihah.  Wanita itu menyambutnya.  Terus si kecil itu memeluk leher ibunya.  Kepalanya melentok manja.  Ustazah Farihah senyum sahaja.

Semua terpaku mendengar pengakuan Ustaz Farhan.  Kenapalah mereka tidak terfikir sebelum ini?  Selama ini, mereka menyangka Ustaz Farhan masih bujang.  Ya lah, gayanya, usianya dan tutur katanya tidak seperti orang yang sudah berkahwin.  Rupanya sudah jadi bapa orang pun.  Ustaz Farhan langsung tidak pernah menyentuh perihal isterinya.

Semua berduyun-duyun meminta maaf.  Masing-masing memarahi diri sendiri.  Ustaz Farhan tersenyum.

“Tidak mengapa.  Antum mencegah kemungkaran.”

Dan semua tersenyum lega.

“Ustaz, patutnya Ustaz kahwin dengan Zulaikha.  Yalah, Yousuf dengan Zulaikha.”  Usik Anas.  Merujuk kepada nama penuh Ustaz Farhan. Muhammad Yousuf Farhan.

Ustaz Farhan meleretkan senyuman.  Wajah Ustazah Farihah memerah kerana malu.  “Nama panjang isteri ana Farihah Zulaykha.”  Tenang dia berkata.

“Wo!”  Semua menyambut kata-kata Ustaz Farhan dengan rasa takjub.   “Ayah, ramainya orang.”  Fayqan menyampuk denagn bicaranya yang pelat.

“Semua ni saudara kita.”  Terang Ustaz Farhan.

“Ape… ramai angat?”  Pelat dia menuturkannya.

“Nak ke syurga ramai-ramai baru best.”  Kata Ustaz Farhan.  Fayqan mengangguk seperti terlebih faham.  Semua tersenyum melihat telatah Fayqan.

Anas merapati Hakimi.  “Ana uhibbukafillah.”  Bisiknya sambil memeluk bahu Hakimi.  Dia amat bersyukur mendapat kawan sebaik Hakimi.

“Aku tahulah.  Berapa kali kau nak ulang.”  Hakimi bercanda.  Anas ketawa.

“Ana uhibbukafillah.”  Tutur Hakimi.  Ayat itu, baginya biar ulang seribu kali pun tak apa.  Sebab dia hendak Anas tahu, ada orang yang menyayanginya.  Dan dia sedia menghulurkan tangan untuk sama-sama beriringan ke syurga.

“Eh, Anas seorang sahaja ke?”  Usik Luqman.  Sengaja.  Satu kelas ketawa.

“Ana uhibbukumfillah.”  Jerit Hakimi.  Bukan Anas seorang sahaja, tetapi yang lain juga.  Mereka saudaranya.

Tiba-tiba dia merasakan bahunya disentuh.

“Bagus, Hakimi.  Kalau cinta nak…”  Ustaz Farhan mencelah.

“…sama-sama ke syurga.”  Sambung Hakimi.

“Tanpa ada seorang pun yang tercicir ke neraka.”  Tambah Anas.  Semua mengangguk.

Indahnya persahabatan kerana Allah. Hendak kekal ke syurga. Tanpa ada seorang pun yang tercicir ke neraka.

“Sahabat, sahabat juga.  Belajar jangan lupa.”  Ustaz Farhan mendekati papan putih.  Artline dikeluarkan dari poket bajunya.

“Ala…”  Kedengaran rungutan para pelajar.  Semua bergerak malas ke kerusi masing-masing.

Ustaz Farhan tersenyum melihat mereka.

“Pergi dulu, ya?  Assalamualaikum…” Ustazah Farihah sudah bersedia untuk beredar.  Semua memandang.

“Belajar lajin-lajin.”  Suara comel Fayqan mencelah.  Tangannya yang kecil melambai. Ustazah Farihah bergerak pergi.

“Baiklah, disebabkan antum semua tidak bersemangat untuk belajar, kita sama-sama tambah cinta kita kepada Allah.  Solat Duha.”  Ustaz Farhan bergerak ke pintu.

Semua menyahut seruan Ustaz Farhan.  Bergerak mencambahkan cinta hakiki. Mendekati Pemilik cinta. Allah.

“Alhamdulillah.”  Rasa syukur dipanjatkan.

******

~Hamba Rabbani~😀

5 thoughts on “Cerpen : Kerana Cinta

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s