Tokoh 1> Khansa’ – Tabahnya ibu syuhada’

Al-Khansa’ berkahwin dengan Rawahah bin Abdul Aziz As Sulami. Dari pernikahan itu beliau dikurniakan empat orang anak lelaki. Setelah melalui pembinaan dan pendidikan tangan-tangannya, keempat-empat anak lelakinya itu telah menjadi pahlawan-pahlawan Islam yang terkenal dan Khansa’ sendiri terkenal sebagai ibu dari para syuhada kerana dorongannya terhadap keempat-empat anak lelakinya yang telah gugur syahid di medan Qadisiyah .

Dalam sebuah riwayat disebutkan, bahwa al-Khansa’ dan keempat-empat puteranya ikut serta dalam perang al-Qadisiyyah.   Sebelum peperangan itu bermula, terjadilah perdebatan yang sengit di rumah Al-Khansa’. Keempat-empat puteranya berdebat untuk menentukan siapakah yang patut diberi peluang untuk ikut berperang melawan tentara Parsi, dan siapakah yang patut tinggal di rumah bersama ibu mereka. Keempat-empatnya saling tunjuk menunjuk kepada yang lain untuk tinggal di rumah. Masing-masing ingin turut berjuang melawan musuh fi sabilillah. Rupa-rupanya, pertengkaran mereka itu telah didengari oleh ibu mereka. Maka Al-Khansa’ mengumpulkan keempat-empat anaknya, dan berkata,

“Wahai anak-anakku, sesungguhnya kalian memeluk agama ini tanpa paksaan. Kalian telah berhijrah dengan kehendak sendiri. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia. Sesungguhnya kalian ini putera-putera daripada seorang lelaki dan daripada seorang perempuan yang sama. Tidak patut bagiku untuk mengkhianati bapamu, atau memalukan bapa saudaramu, atau menconteng arang di kening keluargamu. Jika kalian telah melihat perang, singsingkanlah lengan baju dan berangkatlah, majulah ke barisan paling depan niscaya kalian akan mendapatkan pahala di akhirat, negeri keabadian. Wahai anakku, sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad itu Rasul Allah. lnilah kebenaran sejati, maka untuk itu berperanglah dan demi itu pula bertempurlah sampai mati. Wahai anakku, carilah maut nescaya dianugerahi hidup.”

“Kalian semua tahu betapa besar pahala yang Allah janjikan bagi orang-orang yang beriman ketika berjihad melawan orang-orang kafir. Ketahuilah bahawa negeri akhirat yang kekal itu jauh lebih baik dari negeri dunia yang fana. Allah Azza wa Jalla berfirman,

“Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” [TMQ ali Imran (3): 200]  Andaikata esok kalian masih diberi kesihatan oleh Allah, maka perangilah musuh kalian dengan gagah berani, mintalah kemenangan ke atas musuhmu dari Ilahi. Apabila pertempuran mulai sengit dan api peperangan mulai menyala, terjunlah kalian ke jantung musuh, bunuhlah pemimpin mereka saat perang tengah berkecamuk, mudah-mudahan kalian meraih ghanimah dan kemuliaan di negeri yang kekal dan penuh kenikmatan.”

Kepahlawanan Keempat-empat Anaknya   Terdorong oleh nasihat ibunya, keempat-empat puteranya tampil dengan gagah berani. Mereka bangkit demi merealisasikan impian si ibu. Dan tatkala fajar menyingsing, majulah keempat-empat puteranya menuju kem-kem musuh. Sesaat kemudian, anak pertama memulakan serangannya dengan pedang terhunus sambil bersyair,

Saudaraku, ingatlah pesan ibumu tatkala ia menasihatimu di waktu malam..  

Nasihatnya sungguh jelas dan tegas,

“Majulah dengan geram dan wajah muram!”  

Yang kalian hadapi nanti hanyalah anjing-anjing Sasan  yang mengaum geram..

 Mereka telah yakin akan kehancurannya,

maka pilihlah antara kehidupan yang tenteram  

atau kematian yang penuh keberuntungan  

 

Ibarat anak panah, anak pertama terus meluru ke tengah-tengah musuh dan berperang mati-matian hingga akhirnya gugur. Semoga Allah merahmatinya. Berikutnya adalah giliran anak yang kedua maju menyerang sambil bersyair,

Ibunda adalah wanita yang hebat dan tabah,

pendapatnya sungguh tepat dan bijaksana  Ia perintahkan kita dengan penuh bijaksana,

 sebagai nasihat yang tulus bagi puteranya  

Majulah tanpa memikirkan jumlah mereka

dan raihlah kemenangan yang nyata  

Atau kematian yang sungguh mulia di jannatul Firdaus yang kekal selamanya  

 

Kemudian dia bertempur hingga ke titisan darah yang terakhir mengikuti saudaranya ke alam baqa’.  Semoga Allah merahmatinya. Lalu yang ketiga mengambil bahagian. Dia maju mengikuti jejak saudaranya, lalu bersyair,

Demi Allah, takkan kudurhakai perintah ibu perintah yang sarat dengan rasa kasih sayang  

Sebagai kebaktian nan tulus dan kejujuran

maka majulah dengan gagah ke medan perang..  

Hingga pasukan Kisra terpukul mundur atau biarkan mereka tahu,

bagaimana cara berjuang  

Janganlah mundur kerana itu tanda kelemahan ,

 raihlah kemenangan walaupun maut menghadang  

 

Kemudian dia terus bertempur hingga mati terbunuh.  Semoga Allah merahmatinya.  Seterusnya,  tibalah giliran anak yang terakhir menyerang. Ia maju lantas bersyair,

Aku bukanlah anak si Khansa’ maupun Akhram ,

tidak juga Umar atau nenek moyang yang mulia,

 Jika aku tak menghalau pasukan Ajam,

melawan bahaya dan menghancurkan barisan tentera  

Demi kemenangan yang menanti,

dan kejayaan ataulah kematian,

di jalan yang lebih mulia  

 

Lalu dia pun bertempur habis-habisan hingga gugur.  Semoga Allah meredhainya bersama ketiga-tiga saudaranya. Ketika berita gugurnya keempat-empat anaknya tadi sampai telinga al-Khansa’, beliau hanya tabah sambil mengatakan,“Segala puji bagi Allah yang memuliakanku dengan kematian mereka. Aku berharap kepada-Nya agar mengumpulkanku bersama mereka dalam naungan rahmat-Nya.”

MasyaAllah…betapa tabah dan redhanya ibu bernama Khansa’ ini. Semoga Allah merahmati beliau.

Posted by,

Hamba Rabbani

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s