Tersungkur

Suasana di Kompleks Beli-belah ad-Deen yang dibina tiga tingkat mula dipenuhi orang ramai. Mana taknya, barangan di sini dijual dengan harga yang berpatutan. Peniaga-peniaganya semua jujur dan berpegang kuat pada ajaran Islam. Bila azan, semua kedai akan ditutup dan para peniaga akan berduyun-duyun ke surau untuk solat berjemaah. Faktor lain, kompleks ini juga menjual barangan yang diimport dari luar negara seperti Arab Saudi, India, Turki, Jordan dan Yaman. Kualitinya pun tinggi dan asli. Barangan tiruan memang tidak dibenarkan dijual di sini.

Di tengah-tengah kompleks, kelihatan seorang penceramah sedang menyampaikan ilmunya. Ramai yang berkumpul di situ. Namun, ada juga yang mendengar sambil membelek-belek barangan yang hendak dibeli. Salah seorang daripadanya ialah aku. Sedang aku leka mengulit jubah kelabu yang dimport dari Yaman, seseorang lalu di sebelahku. Mataku secara tidak sengaja mengekori tubuhnya memasuki sebuah kedai buku agama. Tekun dia membelek-belek buku di situ. Tiba-tiba dia melontarkan pandangan ke tengah kompleks. Mungkin tertarik dengan ceramah yang kedengaran semangat dan berapi-api. Aku terkedu. Tanganku yang mengulit jubah terhenti. Aku kenal dia. Serta-merta memori di kepalaku berputar kembali. Memasuki alam persekolahan yang telah jauh aku tinggalkan. Mengingatkan memori lalu membuatkan mataku terasa hangat. Dan perlahan-lahan air mata pun mengalir.

********* “Hah, Ina. Temankan ana pergi bilik guru.” Kunyahan rotiku terhenti apabila disapa Insyirah, kawan baikku. Aku dan Insyirah bersahabat baik sejak kecil. Mungkin mewarisi ibu kami yang juga bersahabat baik. Kami sungguh rapat. Insyirah adalah sebahagian daripada diriku. Kadangkala dia tidak segan-silu tidur di rumahku. Selalu juga aku tidur di rumahnya.

“Kenapa?”

“Rindulah dengan Ustazah Farihah…” Dia menjawab.

“Oh. Sekejap, nak habiskan roti ni.” Aku menyumbatkan sandwich telur yang kubeli ke dalam mulut. Kemudian, botol air berwarna biru milikku kucapai. Air di dalamnya kuteguk sehingga separuh.

“Erk..!” Aku sendawa kekenyangan. Sedap betul sandwich yang mak cik kantin buat.

“Alhamdulillah.” Insyirah bersuara seakan memerli. Aku tersipu malu. Wajah Insyirah kujeling geram. Insyirah menahan ketawa.

“Lawaknya…” Aku berpura-pura merajuk. Kerusi kupusingkan ke belakang menghadap Ain yang sedang enak meratah ayam gorengnya. Ain ternganga memandangku. Pasti dia hairan aku berpusing ke belakang. Ayam goreng ditangannya diratah tanpa menghiraukanku. Nampak sedap.

“Ina!” Tiba-tiba kerusiku ditarik dari belakang. Badanku turut terundur. Aku menarik nafas. “Ya. Kenapa Cik Syira yang comel?” Aku menoleh ke belakang tanpa memusingkan kerusi. Spontan Insyirah mendongak. Mulutnya dibentuk-bentuk. Buat-buat tidak tahulah tu.

“Ha…ha…ha…enti berdua macam husband and wife lah.” Ketawa Ain mematikan senyumanku. Pantas aku menoleh ke arahnya. Geram. “Mana ada.” Nafi Insyirah. Mukanya merah.

“Dahlah. Jom pergi bilik guru.” Aku mengalih topik perbualan. Aku kenal dengan Insyirah. Dia memang malu kalau ada yang tahu kami kawan baik. Lagipun, dia tak nak persahabatan dia dengan kawan-kawan lain retak.

“Ana ikut.” Ain tiba-tiba memegang tanganku. Aku mengangguk. Kami bertiga bersama-sama menuju ke bilik guru. Destinasi kegemaranku.

********* “Ramainya lelaki.” Insyirah menarik lenganku. Terasa tangannya yang kesejukan. Takut sangat kawan aku yang seorang ini. Aku menarik tanganku kembali.

“Buat macam biasalah.” Bisikku. Ekor mataku sempat memandang Ain yang tertunduk-tunduk. Mana tidaknya, kawasan ini penuh dengan lelaki. Kami di sekolah ini memang diajar menjaga pandangan dan menebalkan perisai malu seorang wanita.

Di sekeliling kami penuh dengan pelajar putera yang sedang bersantai sementara menunggu loceng berbunyi. Tempat ini memang tempat pelajar putera berehat. Lagipun, tempat ni dekat betul dengan kantin. Hanya bersebelahan. Aku menarik lengan Ain supaya berjalan dengan pantas. Bukan apa. Takut kami terkepung dengan pelajar lelaki yang semakin ramai.

“Ya Allah.” Langkahku mendadak terhenti. Wajahku pucat tidak berdarah. Sejuk. Tanpa aku sedari, aku hampir sahaja melanggar tubuh seorang pelajar putera yang baru melangkah keluar dari makmal. Sangat hampir sehingga aku dapat mencium bau perfume yang dipakainya. Mujur dia melangkah setapak ke belakang.

“Asif.” Pelajar lelaki itu meminta maaf sebelum bergerak pergi bersama rakannya. Aku tidak melihat wajahnya kerana tubuhnya yang tinggi membuatkan aku perlu mendongak untuk melihat wajahnya. Ah! Tidakpenting siapa dia. Takkan aku hendak ikut telunjuk syaitan. Astaghfirullahal azim…

“Ina okey ke?” Insyirah menyentuh lembut bahuku. Aku menelan air liur. Kepalaku kuanggukkan tanpa memandang ke arahnya. Dalam hati, dup dap dup dap hanya Allah yang tahu.

“Dah lah. Jom masuk.” Aku membuka kasut dan melangkah masuk ke dalam bilik guru. Hatiku menjadi tenang sebaik sahaja melangkah masuk ke sini. Mungkin kerana di dalamnya terdapat ramai murobbiah yang berilmu. Aku sangat suka berdampingan dengan guru-guru. Benarlah kata orang.  Mendampingi orang-orang berilmu membuatkan kita terkena tempiasnya sekali.

“Eh, Nursakeena. Mana Insyirah? Selalunya melekat je kamu berdua.” Ustazah Farihah, guru kesayanganku menegur. Guru muda itu lemah-lembut orangnya. Seperti tidak pernah dilanda masalah. Kealimannya dan kefaqihannya dalam ilmu agama membuatkan orang menggelarnya ustazah bukannya cikgu atau teacher walaupun dia mengajar subjek matematik. Seperkara lagi, Ustazah Farihah gemar menyebut nama seseorang menggunakan nama penuhnya. Seperti dia memanggilku, Nursakeena.

“Tu Syira, ustazah.” Aku bersalaman dan mencium tangan Ustazah Farihah.

“Assalamualaikum, ustazah. Cari saya nak tempah kek ke?” Insyirah muncul sambil tersengih-sengih. Tangan Ustazah Farihah dicapai dan disalami. Ustazah Farihah tersenyum sambil menggeleng-geleng. Ada-ada sahaja. Salam dijawab perlahan.

“Wah, cantik ustazah hari ini. Pink and lovely.” Puji Ain yang baru masuk. Dia juga menyalami Ustazah Farihah.

“Ada apa ni?” Tanya Ustazah Farihah.

“Saje. Rindulah dengan ustazah.” Jawabku pantas. Aku dan ustazah memang rapat. Macam adik-beradik. Aku suka dengan ustazah Farihah. Bicaranya penuh nasihat.

“Takkan sebab tu je. Mesti ada hajat lain ni.”

“Memang ada hajat pun.” Ain menyampuk tiba-tiba.

Ustazah Farihah tersenyum. “Insha Allah. Macam besar je hajatnya?” Dia mengangkat kening dua kali sambil menongkat dagu.

“Kami datang nak meminang.” Hampir tersembul biji mataku mendengar kata-kata yang terkeluar dari mulut Insyirah. Apa pinang-pinang ni?

“Pinang siapa? Fayqan?” Ustazah Farihah tertawa perlahan. Fayqan? Tiba-tiba aku teringat Faiz Fayqan, satu-satunya anak Ustazah Farihah. Umurnya baru setahun. Wajahnya comel dan diambil dari adunan sebati wajah Ustazah Farihah dan suaminya. Ah, Fayqan. Rindunya si kecil itu…

“Ala…Fayqan kecil lagi.” Insyirah menggeleng-geleng. “Habis tu?” “Ustaz Farhan?” Ain tersengih nakal. Ustazah Farihah tergelak sopan. “Oh, nakal ya.” Tangan Ustazah Farihah laju mencubit lengan Ain. Tetapi tidak sakit. Cubit-cubit sayanglah katakan.

“Gurau je lah Ustazah. Kami datang sengaja nak isi masa dengan ustazah yang kami sayang ni.” Insyirah melirik Ustazah Farihah. Sayang benar dengan suaminya.

“Ustazah. Tadi kan Ina terlanggar…” Ain sengaja membuka cerita. Aku mencubit pinggangnya. Kawan aku seorang ni, langsung tak boleh simpan rahsia. Bibir diketap. Insyirah diam sahaja.

“Terlanggar siapa?” Ustazah Farihah mencelah.

“Abang Shafi.”

Aku terkedu. Shafi? Ketua pelajar tu? Aduh! Aku rasa mahu menangis sekarang. Malu. Lagi-lagi bila perkara yang aku tak suka ni diceritakan pada orang. Mataku terasa hangat. Tiba-tiba aku merasakan bahuku disentuh.

“Tak apa. Nursakeena tak sengaja kan?”

Aku mengangguk.

“Alhamdulillah. Ustazah bangga anak murid ustazah ada sifat malu.” Puji Ustazah Farihah.

“Eh, Abang Shafi tu boleh tahan juga kan?” Usik Ain.

“Whatever.” Aku berpura-pura marah. Dia ni tak habis-habis nak usik aku.

“Dah lah. Tak payahlah usik Ina.” Tegur Inyirah. Aku mengangguk. Tak ada gunanya dia cuba mengusik aku. Aku memang langsung tidak memandang lelaki. Pada usia remaja ni aku mahu memperbanyakkan memandang buku dan kitab-kitab ilmiah. Sekarang zaman fitnah memang dahsyat.

“Adik-adik ustazah.” Panggil Ustazah Farihah. Lembut sahaja suaranya. Bahuku dipeluk.

“Masa muda remaja ini manfaatkanlah dengan sebaiknya. Sekarang bukannya masa nak bercinta. Kita semua ada matlamat hidup. Cita-cita. Sekaranglah masa Nusakeena, Insyirah dan Ainul mengejarnya. Hati-hati. Syaitan tak akan putus asa menyuntik virus cinta dalam diri adik-adik.” Nasihat Ustazah Farihah. Aku mengangguk setuju.

“Habis tu, ustazah?” Tanya Ain.

“Ustazah dah kahwin sayang. Dah ada anak pun. Ustazah dah melepasi alam remaja.” Lembut pipi Ain disentuh. “Kalau kamu bercinta lepas kahwin ustazah tak halang. Tapi cinta monyet yang tak ada faedahnya, baik tak payah. Kamu dah besar nanti cinta tu hilang begitu sahaja. Rugi kamu mengejarnya. Cinta Allah lebih kekal. Baiki cinta dengan Allah dahulu.” Ustazah Farihah memandang  wajah kami satu-persatu. Aku tersenyum senang dengan nasihat Ustazah Farihah.

“Jazakillah ustazah.” Tubuh Ustazah kuraih dalam pelukan. Ustazah Farihah membalas dengan lebih erat. Kemudian, Ain dan Insyirah turut merangkul tubuh Ustazah Farihah. Sayang kami bertambah dalam terhadap guru matematik itu.

******* Syaitan tidak pernah letih menghasutku. Sejauh mana aku berlari dari lembah cinta, dia tetap menarikku ke dalamnya. Hingga akhirnya langkahan kakiku menjadi perlahan dan aku tersungkur ditarik ke dalamnya. Sejak kejadian aku melanggar ketua pelajar itu, Ain dan Insyirah suka mengusikku. Aku tahu mereka sekadar bergurau. Namun lama kelamaan hatiku mula sensitif dengan nama itu. Lagi-lagi nama itu sangat terkenal di sekolah. Shafi yang pandai. Shafi yang soleh. Shafi yang berakhlak. Shafi yang langsung tidak memandang perempuan. Aku semakin tertarik dengan peribadinya. Senyumannya yang ikhlas. Kata-katanya yang penuh hikmah. Tanpa sedar, aku mula menyimpan perasaan.

“Ina, kenapa pandang Abang Shafi semacam je?” Insyirah menarik tanganku yang ketinggalan di belakang. Kelas semakin hampir. Aku cepat-cepat mengalihkan pandangan.

“Mana ada. Pandang Fayqanlah. Makin tembam dia. Comel.” Bohongku. Kebetulan dia sedang mendukung Fayqan sambil berbual sesuatu dengan Ustaz Farhan di hadapan surau. Sesekali dia mencium pipi Fayqan.

“A’ah. Dah lama tak jumpa dia. Comelnya…” Insyirah tidak perasan pembohonganku. Kami berdua memang kemaruk dengan kecomelan Fayqan. Comel sangat. Bukan kami berdua je, hampir satu sekolah. Bila sampai pada tangan Ustazah Farihah, semua berebut-rebut hendak dukung. Belum dikira lagi yang nakal mencubit-cubit pipinya yang gebu.

“Rapat betul Fayqan dengan Abang Shafi. Mesti dia suka pegang budak.” Komen Insyirah. Aku memandang Fayqan yang ceria didukung Abang Shafi. Sesekali dia ketawa apabila diagah.

“Hmm..apa-apalah” Aku kekosongan idea hendak membalas.

“Tengok apa lagi tu. Jom masuk kelas.” Insyirah menarik tanganku. Aku mengikut. Namun dalam masa yang sama ekor mataku mencuri pandang ke arah Abang Shafi. Aku lupa untuk menjaga mataku yang mula nakal ini.

“Eh, cuba dengar tu.” Kata Ain suatu hari. Ketika itu cikgu tiada di dalam kelas. Aku yang baru meletakkan kepala di atas meja mengangkatnya semula.

“Apa?” Insyirah bertanya.

“Ish, dengarlah betul-betul.” Kata Ain. Aku memasang telinga. Sayup-sayup kedengaran suara mengalunkan ayat suci al-Quran. Bertarannum.

Aku mengerutkan kening. “Kenapa? Itu kan suara orang baca al-Quran.”

“Suara siapa tu?” Ain membuka cermin matanya dan dilap dengan kain.

“Fabiayyi a…la.. irabbikuma.. tukazziba…n ” Suara membaca al-Quran itu menyapa gegendang telingaku. Sungguh merdu alunannya.

Aku terpempam. Ini macam suara… “Abang Shafi. Form five.” Aku bersuara perlahan. Ain ni kan. Tak habis-habis. Dalam hati, hatiku bagai cair mendengar alunan merdu itu.  Telingaku asyik mendengar kalam-kalam Allah yang dibaca olehnya.

“Ina, bangun. Ustaz dah sampai.” Fika, kawan sebelahku menepuk bahuku. Aku lekas berdiri. Suara itu lenyap sebaik sahaja Ustaz Farhan berdiri di hadapan kelas. “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.”

******** Loceng sudah berbunyi menandakan waktu rehat. Cikgu Hasnah sudah pun melangkah keluar dari kelas. Namun mataku tetap tidak beralih dari buku teks. Maklumat-maklumat yang baru diperoleh disimpan jauh ke dalam kepala. Aku berharap lekatlah seumur hidup.

“Ina, jom pergi kantin.” Ajak Insyirah.

“Malaslah. Tolong belikan boleh?” Aku menghulurkan not RM1. Insyirah mengambilnya.

“Hmm..nak apa?” Tanya Insyirah.

“Macam biasa.” Aku bersuara sambil mengeluarkan buku teks Sains dari dalam beg. Buku Geografi aku simpan di dalam beg. Aku mula membaca bab baru dalam buku Sains. Biar nanti tidak terpinga-pinga semasa Ustaz Farhan ajar. Ustaz Farhan memang expert dalam mengajar. Tengoklah, baru bulan lima dah masuk bab 9. Dia ajar mantap pula tu. Senang difahami dan tidak mudah lupa.

Mataku mula meliar ke seisi halaman. Gambar bintang memenuhi buku. Mataku meliar ke kiri dan kanan untuk membaca maklumat yang tertera di setiap kapsyen.

“Tadi kan…aku terserempak dengan Abang Shafi…”

Nama itu mengganggu tumpuanku. Aku mula memasang telinga.

“Dia tunduk je. Langsung tak pandang aku.” Cerita Maria lagi. “Bukan dia memang macam tu ke?” Ika pelik.

“Yelah. Tulah yang buatkan aku cair. Langsung tak jeling perempuan. Dahlah handsome.” Puji Maria.

“Tapi warak sangat. Not my taste.” Tambah Maria lagi. Ika tergelak. Maria ikut ketawa. Tawa mereka kedengaran hingga ke luar. Sungguh tidak sopan perempuan ketawa seperti itu. Dahlah Maria tu pengawas. Patutnya jadilah contoh sikit.

“Aku dengar Najwa suka dia.” Tutur Ika.

“Ala…apa nak hairan. Tu si zu pun macam aku tak tahu dia suka dengan Abang Shafi tu.” Balas Maria. Aku terus mendengar. Ooo…ramai suka dia rupanya. Maksudnya bukan aku seoranglah.

“Ija tu. Nampak Abang Shafi je terus menggedik. Perasanlah tu abang Shafi suka dia. Padahal, sebelah mata pun Abang Shafi tak pandang dia.” Cerita Ika.

“Eh, dia ada adik kan?” Tanya Maria.

“Tak silap aku darjah dua. Sakinah namanya. Comel betul. Innocent je muka dia.” Jawab Ika.

Fakta itu membuatkan aku tertarik. Dia ada adik rupanya. Nama adik dia pun sama macam aku.

“Assalamualaikum…” Aku menegur Sakinah semasa rehat kedua. Tadi rakan-rakannya yang memberitahu aku dia ni Sakeena. Memang comel pun orangnya. Kecik je badannya.

“Waalaikumussalam. Duduklah.” Dia mengengsot ke tepi sedikit. Aku duduk di atas bangku itu. Ketika itu, Sakina sedang menikmati makan tengah harinya.

“Nama adik Sakinah kan?” Aku memulakan perbualan.

“Macam mana akak tahu?” Dia hairan.

“Nama akak pun Sakeena juga.” Aku berkata sambil melemparkan senyuman manis kepada kanak-kanak itu. Tersenyum dia mendengarnya.

“Akak darjah berapa?” Dia mula berasa selesa berbual denganku.

“Akak dah lepas darjah. Akak dah tingkatan tiga. Kakak dah sekolah menengahlah.” Aku menunjukkan warna pakaian seragamku.

“Abang Ina pun sekolah menengah. Tapi dia tingkatan lima.” Sakinah membahasakan dirinya Ina. Jari-jarinya yang comot diangkat menunjukkan angka lima. “Ya? Siapa namanya? Mana tahu akak kenal.” Aku berpura-pura tidak tahu. “Muhammad Shafi.” “Oh, kenal-kenal.” Aku mengangguk-angguk. Sakinah kelihatan ceria.

“Abang saya tu kan, baik sangat. Abi dan Umi selalu suruh Ina jadi macam abang.” Cerita Sakinah. “Dia baca al-Quran sedap.” Sambungnya lagi.

Hatiku mula tertarik mendengar cerita Sakinah. Perasaan kagum berputik.

“Abang ada FB tak?” Sakinah mengangguk. “Ada. Dia selalu buka.” Jawabnya jujur.

Aku tersenyum. Kepala Sakinah kuusap perlahan. Haih. Sebenarnya aku sedang mengusap hatiku yang sudah melompat-lompat tidak tentu arah. Gembira sangat nampaknya.

******** “Nak add ke tak nak? Nak add ke tak nak? Kalau aku add macam tak patut pula tapi aku nak.” Hatiku berbelah bahagi. Laman facebooknya sudah tersiar di laptop. Tetikus pun sudah kuhalakan ke perkataan tambah sebagai rakan. Dah tekan pun. Tinggal konfirmkan je.

“Bismillahirrahmanirrahim…” Tanganku terketar-ketar. Peluh bercucuran di wajah dan leher. Betul ke apa yang aku nak buat ni? Tak payahlah! Imanku bersuara.

Aku merebahkan diri ke sofa tanpa melepaskan tetikus. Nafas kuhela lemah. Seksanya bercinta dengan manusia.

“Adik, buat apa tu?” Abang tiba-tiba muncul dengan dua gelas jus kurma. Aku terkejut. Automatik tanganku tertekan tetikus yang kupegang erat. Sebelah lagi tanganku menutup laptop.

“Apa main sembunyi-sembunyi ni?” Abang melabuhkan punggung di sebelahku. Segelas jus kurma dihulurkan kepadaku. Segelas lagi diletakkan di atas meja.

“Kenapa ni?” Abang bertanya lembut. Tangannya yang kosong bergerak meramas kepalaku. Aku mengambil jus kurma dengan wajah yang masam mencuka. Abang tergelak. Aku memandang abang sambil membuat muka serius. Itulah satu-satunya adik beradikku. Kami dua beradik sahaja. Namanya Khalid al-Walid. Aku amat mengagumi abangku ini. Balik dari Timur tengah, terus giat dengan kerja dakwah. Kagum aku.

“Abang nak guna laptop, boleh?” Pinta abang. Itulah yang aku kagum dengan abang. Meminta laptopnya daripadaku dengan sungguh sopan. Kalau aku cakap tak, dia akan membiarkan sahaja. Tapi aku tak sampai hati pula. Dia nak buat kerja dakwah, aku pula guna laptopnya untuk benda entah apa-apa.

“Kejap ya?” Aku membuka penutup laptop dan terus menekan pangkah di tetingkap google chrome. Kemudian aku menolak laptop kepada abang.

“Siapa tu?” Tanya abang sambil mencucuk pendrivenya. Darahku bagai tersirap mendengar soalan abang. Dia nampak ke?

“Tak mahu beritahu pun tak apa. Abang cuma nak nasihatkan adik, jangan terlibat dengan cinta monyet. Abang tak mahu adik jadi macam remaja lain. Dating sana-sini. Chatting-chatting. Angau sampai lupa cinta Allah. Jangan cuba nak membuka jalan zina dengan perkara yang kecil.” Nasihat abang menyentuh tangkai hatiku. Abang macam tahu-tahu sahaja isi hatiku.

“Abang ni. Ina mana masuk dengan lelaki. Macam tak kenal Ina pula.” Aku memuncungkan bibir.

“Yalah. Abang tahu. Abang risau je. Zaman sekarang, zaman manusia dibaham cinta. Abang nak adik berwaspada. Kuatkan iman. Abang sayang adik dan abang nak kita sama-sama raih cinta Allah.” Abang menggosok kepalaku. Kemudian, dia membuka failnya di laptop. Muncul fail-fail yang sarat dengan dakwah. Strategi-strategi untuk memenangi hati manusia.

“Ina masuk dulu ya?” Aku bangun menuju ke bilik. Kata-kata abang terngiang-ngiang di telinga. Salahkah apa yang aku buat ni?

******** Esoknya, pulang dari sekolah, aku terus meminta izin dari abang untuk menggunakan laptop. Abang hairan, sebab aku bukanlah kaki komputer.

“Nak buka FB.” Aku jujur memberitahu. Dan abang pun mengangguk tanda mengizinkan.

Hatiku melonjak riang. Terus aku menerpa ke arah laptop yang memang telah terbuka. Aku melayari laman web sosial itu. Terus aku melihat ke senarai rakan. Tiada. Aku sedikit hampa.

Aku menggerakkan tetikus ke wallnya. Penuh dengan dakwah. Sarat dengan tazkirah. Sebiji macam abang. Aku menekan bahagian photo. Keluar gambar-gambarnya yang mencairkan hatiku. Ada tiga sahaja. Namun wajah-wajah yang tunduk itu sudah cukup untuk membeli sekeping hatiku. Aku terus kelemasan. Gambar-gambar itu aku copy di dalam pendrive ku. Di saat itu, aku tidak dapat melawan bisikan syaitan. Gambar-gambar itu aku tenung dan zoom satu persatu. Tanpa aku sedari, aku sendiri yang telah terjun ke lembah cinta.

******* Hari ini pemilihan kelab akademik. Semua pelajar berkumpul di dewan. Semua beratur di meja pendaftaran kelab yang diinginkan.

“Ina. Jom masuk Kelab Matematik. Gurunya Ustazah Farihah.” Insyirah menarik tanganku. Aku memang meminati pelajaran Matematik. Gurunya pun guru kesayanganku. Sejak Tingkatan 1 aku setia dengan kelab ini. Tetapi tahun ini ada sesuatu yang membuatkanku berubah fikiran.

“Rasa macam tahun ni nak tukar anginlah.” Aku memberikan alasan. Sebenarnya, aku mendapat tahu Abang Shafi ahli Kelab Sains sejak tingkatan 1. Mustahil dia hendak tukar. Lagipun sudah terdengar ura-ura yang dia akan dilantik menjadi pengerusi pada tahun ini.

“Ha, Syira dan Ina dah daftar?” Ain tiba-tiba datang. Aku tersengih. Insyirah membetulkan kelepet tudungnya. Serentak kami menggeleng.

“Cepatlah daftar! Sana kelab Matematik.” Ain menundingkan jari ke satu meja.

Di sini ada lima meja. Kelab Sains, kelab Matematik, Kelab Sejarah, Kelab Geografi dan Kelab Kemahiran hidup. Kelab Sains paling ramai. Aku mula risau. Selalunya bila tidak seimbang, sebahagiannya akan kekal menjadi ahli kelab mereka tahun lepas.

“Ain mesti masuk Kelab Sejarah kan?” Aku menebak.

“Well…” Ain menarik sengih. Dia ni memang gila dengan Sejarah. Bukan setakat dalam negara, luar negara pun dia tahu. Dia rebus buku ke apa. Sampai tarikh dia ingat. Memanglah dia ni.

“Jomlah daftar.” Insyirah menarik tanganku ke Kelab Matematik. Ain mengikut dari belakang.

“Stop. Stop. Stop.” Aku menahan.

“Ana rasa ana tak nak masuk Kelab Matematiklah tahun ni.” Aku memberitahu. Ain dan Insyirah terkejut. Yalah, aku dan Matematik memang tidak boleh dipisahkan. Tambahan pula, aku amat rapat dengan guru Matematik.

“Enti nak masuk apa?” Soal Insyirah terbata-bata. Sedikit hampa kerana tidak dapat bersama dengan kawan baiknya.

“Sains.” Ujarku sepatah.

“Are you serious?” Ain menyoal. Guru kelab Sains untuk pelajar perempuan dahlah garang. Kalau lelaki tak apalah. Ada Ustaz Farhan.

“Mmm…” Aku mengangguk. “Nak juga rasa rotan Teacher Fatimah.” Aku bergurau.

“Okeylah. Jom daftar.” Aku dan Insyirah berpecah. Aku menuju ke Kelab Sains.

“Harap-harap dapat masuk.” Aku mula memasang harapan.

******* Senarai nama ahli setiap kelab sudah tertampal di papan kenyataan. Aku berdebar-debar melihat ke senarai ahli di Kelab Sains. Mataku menari-nari membaca satu-persatu nama yang tertera.

“Aufa… Nawal…. Balqis… Iman Kamilah… Muslimah Syamilah… Fatin Nurain… Atiqah Mardhiyah… Nasuha… Hanan Sofiya… Jannah… Nurimanina… Iffah… Intan… Syakira… Summayyah…. Zinnirah… Rafiqah.. Mariyah…” Aku berhenti membaca. Semua nama ahli kelab Sains Tingkatan 3 telah kubaca. Namaku tiada di dalam senarai. Hatiku berasa hampa.

“Ina, ada tak?” Insyirah bertanya. Aku menggeleng. Insyirah tersenyum gembira. Dia dapat bersama aku tahun ni. Aku pula berasa sedih. Kolam mataku tumpah jua.

“Ina, janganlah macam ni.” Terus mati senyuman di bibir Insyirah. Aku tahu dia tak akan gembira melihat kesedihanku. Dia kawan yang memahami.

“Sabarlah…mungkin ada hikmahnya.” Lembut dia memujuk. Aku mengusap air mataku. Bibirku meleretkan senyuman hambar. Tiba-tiba sesuatu melintas di fikiranku.

Ada harapan lagi. Hatiku berbisik.

****** Aku keluar dari bilik guru dengan mata yang merah. Perasaan malu mencucuk-cucuk hatiku. Rasa mahu disorokkan sahaja muka ini. Malu dengan Ustazah Farihah. Malu dengan Insyirah. Malu dengan Ain. Dan yang utamanya malu dengan Allah. Tertamat malu. Bagaimana aku tega bermain dengan cinta dan mengurangkan cinta terhadapNya? Ah, sungguh! Aku berasa sungguh malu.

“Ina, sorry.” Insyirah menegurku dengan rasa bersalah. Aku menggeleng. Bukan salahnya.

Tadi, aku memasuki bilik guru dengan satu niat. Memohon kepada Ustazah Farihah selaku guru Matematik agar mengeluarkan namaku dari senarai. Selalunya siapa yang namanya tiada, dia boleh memilih untuk masuk ke mana-mana kelab. Mendengar permintaanku, wajah Ustazah Farihah berubah. Dia tersenyap. Sukar untuk menebak perasaannya. Satu suara pun tidak keluar dari dua bibirnya. Aku mula gelisah.

“Ustazah, tolonglah…” Rayu Insyirah. Dia sahabatku yang terbaik. Dia selalu sahaja berada di belakangku menyokong keputusanku. Sayangnya, dia tidak tahu niatku yang sebenar. Ain pula menayangkan muka comelnya dengan mimik yang sedih. Hatiku berdoa…

Ya Allah, tolonglah..

Betapa tidak malunya aku ketika itu. Memohon kepada Allah untuk perkara yang tidak syar’ie. Meminta kepada Allah untuk mencintai selainNya dengan cinta yang tidak halal. Mengharap perkara yang tidak disukaiNya. Kerana niat aku jelas bukan keranaNya. Tetapi kerana seorang lelaki. Shafi.

Ustazah Farihah mengangkat wajah. Redup anak matanya merenung ke dalam anak mataku. Aku serba salah. Wajahku kutundukkan. Serba salah.

“Nursakeena. Kamu marah ustazah? Kamu dah tak nak jadi teman ustazah?” Lembut Ustazah Farihah bertanya. Hatiku bergetar. Pantas aku menggeleng. Kolam mataku hampir pecah. Aku memang tidak tahan dengan soft-spoken macam ni. Terasa ke ustazah yang aku beria-ia nak keluar dari kelab dia?

“Nursakeena, kamu nak keluar ni kerana Allah ke?” Soal guru kesayanganku itu. Aku tersentak. Kepalaku bagai terhentak batu. Aku tersedar. Bukankah selama ini aku ditarbiyah supaya melakukan sesuatu hanya kerana-Nya? Sejak bila aku pandai berbuat sesuatu kerana benda lain?

“Ada cinta yang bertandang dalam hati kamu, Nursakeena.” Bicara Ustazah Farihah membuatkan aku terkejut. Spontan aku mengangkat wajah. Ain dan Insyirah serentak memandang aku. Wajah mereka penuh tanda tanya. Mungkin pelik aku kalah juga dengan cinta.

“Nursakeena. Dengarlah. Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan tidak dipandang. Hati-hati dik. Pandangan tu zina mata. Allah suruh perempuan beriman menundukkan pandangan dalam surah an-nur ayat 31. Firman Allah s.w.t: Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya…” Ustazah Farihah seperti mengetahui kenakalan mataku. Aku tunduk. Kata-kata Ustazah Farihah benar-benar menyentuh kalbu.

“Siapa lelaki tu?” Ustazah Farihah memandangku.

“Abang Shafi…” Antara dengar dan tidak aku menuturkannya. Ain dan Insyirah terkejut.  Aku terus menunduk malu. Ustazah Farihah tersenyum. Aku tahu Ustazah Farihah kenal. Yalah, ketua pelajar. Siapa tidak kenal. Lagipun, Shafi itu rapat dengan suaminya.

“Dengar sini.” Ustazah Farihah memanggil aku dekat padanya. Aku bersimpuh betul-betul di sebelah kerusinya. Ustazah Farihah turun dari kerusi dan duduk di atas lantai. Aku merasa seperti mahu menangis. Ustazah Farihah sanggup duduk di lantai untuk menasihatiku.

“Setiap kali Nursakeena pandang dia, hati Nursakeena mendesiskan nama dia, tahu tak beribu Wildan di atas sana berdesir cemburu. Dan ingat! Allah lebih dalam cemburunya. Sebab tu Allah suruh kita jaga pandangan. Supaya hati kita tidak terikat dengan cinta yang tidak halal. Ustazah takut sayang kalau Allah bakar mata kamu kerana berzina mata. Nauzubillahi min zalik.” Ustazah Farihah memulakan kalamnya.

“Kita Muslimah, Nursakeena. Cinta kita mahal harganya. Allah nak beli cinta kita dengan syurga-Nya. Tak nak ke kita? Allah nak beli cinta kita dengan redha-Nya. Kamu yakin ke Nursakeena, semasa hati kamu dilumuri cinta dengan dia hati kamu masih lagi bercinta dengan Allah?” Aku menggeleng. Memang sejak hatiku dipenuhi cinta manusia, aku seakan-akan mengabaikan cinta Allah. Namanya lebih banyak terbayang di ruang fikiranku. Astaghfirullah… Air mataku terus menitis.

“Jangan merendahkan nilai cinta kamu. Jangan senang-senang beri diskaun sedangkan Yang di atas sana hendak membayarnya dengan syurga dan cinta-Nya.”

Pesanan Ustazah Farihah menggetarkan sanubari. Aku telah memurahkan harga cintaku dan merendahkan cintaku pada Allah. Setiap hari, aku mebuat zina mata. Sudah lebih 10 kali aku menatap wajahnya di skrin laptop. Dan gambar itu aku simpan pula kukuh di memoriku. Tidurku ditemani dengan bayangan dia. Bukan lagi nama Allah yang mengisi ruang fikiranku. Masaku untuk-Nya juga kujual untuk membuka laptop memandang wajah dia. Bila dia lalu sebelah, automatik mataku tertancap ke wajahnya. Ah, jahatnya mataku! Aku berazam untuk memperbaiki diriku. Aku ingin menjadi muslimah yang tinggi nilainya!

******* Air mata yang mengalir di pipi kukesat. Jahilnya aku masa itu. Mataku yang memandang Abang Shafi kualih supaya memandang semula ke arah dereten jubah. Cukuplah aku membuat zina mata dahulu. Baik aku memandang jubah-jubah yang berderet di hadapanku. Cantik-cantik jubah yang datang dari Yaman ini. Sambil mengulit jubah, fikiranku menerawang lagi. Selepas mengetahui rahsia hatiku, Insyirah dan Ain berkali-kali meminta maaf. Mereka rasa merekalah penyebab aku terheret ke lembah cinta. Tapi tidak dinafikan, ada betulnya juga. Sepatutnya mereka menasihati aku, bukannya mendorong aku. Namun, tak boleh nak salahkan mereka je. Aku pun salah juga. Aku tidak menjaga pandanganku. Dari situ syaitan menusukkan jarum.

Kepada sahabat pembaca, saya nasihatkan kejarlah cinta Allah daripada cinta manusia. Cinta Allah tak akan kecewa. Allah amat menyayangi hamba-hamba-Nya. Jangan gatal-gatal tangan nak tulis surat, chatting-chatting, calling-calling, facebooking-faceboking dengan mereka yang berlainan jantina dan bukan muhrim. Ingat! Allah nak beli cinta kita yang diadun dengan amalan soleh dengan sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak terlintas di hati manusia. Selamat bermujahadah 🙂

Firman Allah s.w.t: Aku menyediakan untuk hambaKu yang soleh apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak terlintas di hati manusia.

Karya, ~Hamba Rabbani~

 

Advertisements

2 thoughts on “Tersungkur

  1. Perkara yang dialami Nursakeena pernah ana alami. Sampai satu tahap, ana tak boleh khusyuk dalam solat. Mujur seorang sahabat menarik ana dari lembah yang hina itu kembali ke pangkal jalan dan mengingatkan tentang cinta yang sebenar. Terima kasih banyak untuk cerpen ni.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s