Cerpen: Hingga ke syurga 2

“Alya,enti mesti kuat bermujahadah di London.”

“Insha Allah, doakan ana. Enti pun mesti kuat.”

Rafeeqah menggenggam erat tangan Alya. “Enti berani. Cuba melenyapkan arus kejahilan di bumi London. Ana harap enti kuat menongkah arus itu.”Suara Rafeeqah sedikit bergetar. Dia takut dia akan kehilangan sahabatnya itu.

Alya menghela nafas. Dia mengadah ke langit. “Ana bercita-cita tinggi. Ana nak menyebarkan Islam di muka bumi Allah ini. Ana teringin melihat semua patuh pada hukum Islam.”Perlahan Alya berbisik. Dia menggantungkan harapannya setinggi bintang di langit. Hatinya amat merindui suasana Islam di seluruh dunia. Air mata sedikit bergenang di kelopak matanya.

 “Kalau ana tersadung, enti tolong ana ya?” Dia memandang Rafeeqah. Garisan indah terbit di bibirnya.

Rafeeqah tertunduk. Dia takut sebenarnya. Dia memang tidak seberani Alya.

“Tolong ana ya? Ana nak ke syurga bersama enti…..” Mata Alya merenung penuh harap.  Alya menarik nafas.

“….. Lagipun, takkan separuh hati ana nak tinggalkan separuh lagi bahagiannya?” Sambung Alya. Matanya sedikit berkaca.

Ya, separuh hati. Itulah yang selalu diucapkan Alya. Rafeeqah pemilik separuh hatinya. Jadi dia dapat merasakan apa yang Rafeeqah rasa  dan begitu juga Rafeeqah. Hati mereka satu.

“Boleh ya, Rafeeqah A’la, teman yang tertinggi?” Ulang Alya lembut.

Akhirnya Rafeeqah mengangguk. Bibirnya meleretkan senyuman. Dia sayang Alya. Sayang sangat-sangat kerana Allah. Dan dia mahu bersahabat dengan Alya selama-lamanya. Hingga ke syurga-Nya.

*******

Rafeeqah memasukkan kiriman baru yang berunsur dakwah ke dalam facebook agensi dakwahnya. Dia sekarang bekerja dalam satu pertubuhan Islam. Kerjanya membuat post-post islamik dan meng’edit’ bahan-bahan dakwah yang dihantar kepadanya sebelum dimasukkan ke alam maya untuk tatapan dan renungan umat Islam yang lain. Dia juga akan menulis di satu kolum majalah yang diterbitkan sebulan sekali. Segala ilmu yang dihadam otaknya di Madrasah al-Mardhiyah dan di Madinah dicurahkan melalui tarian jemarinya.  Rafeeqah melurutkan jari-jemarinya yang letih menaip sedari tadi. Ditarik sedikit sehingga menghasilkan bunyi.

“Raudhah, ana nak berhenti makan. Jom turun sekali.” Rafeeqah memusingkan kerusinya ke belakang. Raudhah, teman sekerjanya merangkap sahabatnya di Madrasah al-Mardhiyah sibuk mengasingkan kertas dan memasukkannya ke dalam fail.

“Tak apalah.” Raudhah menggeleng. Kepalanya langsung tidak diangkat. Tangannya lincah bergerak.

“Nak ana belikan?” Pelawa Rafeeqah. Kasihan melihat Raudhah yang tidak cukup tangan itu. Minggu depan dia kena pergi Sabah ikut berdakwah di sana. Rasai penderitaaan umat Islam di Sabah.

“Syukran. Ana puasa hari ni.” Raudhah menjawab perlahan. Rafeeqah menepuk dahi. Hari ni hari Khamis. Macam manalah dia boleh lupa yang Raudhah memang akan berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis.

“Ish, cemburu ana dengan enti. Malu ana. Enti selalu lebih dari ana bab puasa ni.”Ujar Rafeeqah. Sambil itu, dua jari
dari kedua-dua tangannya menarik-narik hujung purdah.

“Ana lagi cemburu dengan enti. Dengan kepandaian enti, macam-macam enti sumbang untuk Islam. Tu…enti pakai purdah tu. Bukan semua orang mampu. Ana tak kuat macam enti. Kena mujahadah tu.” Balas Raudhah merendah diri. Kali ini baru dia mengangkat wajahnya. Namun tangannya masih tidak berhenti bergerak.

Raudhah sebenarnya kagum dengan Rafeeqah. Sejak sekolah menengah lagi. Lemah-lembut, sopan, rajin pergi kuliah, banyak pengetahuan, prihatin, semuanya dia kagum. Walaupun Rafeeqah kurang menonjol dan sering tersorok di belakang kepemimpinan Alya, namun kepintarannya tidak ternafi. Dalam kelembutannya, dia sebenarnya seorang yang tetap pendirian.

“Ana pergi dulu.” Selepas mengucapkan salam yang mengandungi doa, Rafeeqah melangkah keluar dan hilang di sebalik pintu. Raudhah meneruskan tugasnya.

*******

Mata Rafeeqah membesar. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Alya, separuh hatinya, sahabat dunia akhiratnya sedang  duduk bersilang kaki sambil mengocak-ngocak jus menggunakan penyedut minuman. Sayap kanannya di sekolah dahulu sedang enak bersantai sambil merenung ke luar dinding kaca. Dia terasa ingin menjerit sahaja. Hatinya bergetar rindu, tidak sabar untuk berjumpa dengan separuh bahagiannya yang hilang.  Walaupun Alya berkaca mata hitam, namun hatinya mengenalnya. Yalah, kerana hati Alya tetap sama.

Alya mengalihkan pandangan ke minumannya. Jus oren disedut membasahi tekak. Rafeeqah bagaikan terpaku. Penampilan Alya  memeranjatkannya. Ya, Alya kelihatan sungguh cantik dan menawan sekali. Badannya yang langsing dan mengiurkan hanya disarungi blaus putih berlengan pendek dan mengikut bentuk badan. Tudungnya pula disilang betul-betul di paras dada. Kain tudung itu pula agak jarang sehingga boleh dilihat warna lehernya. Memang Alya nampak cantik. Keindahannya yang tersembunyi dahulu seperti disingkap sehingga nampak menyerlah. Alya bukan lagi Alya yang dahulu. Walaupun Alya sekarang 10 kali ganda lagi cantik daripada Alya yang dahulu, namun Alya yang dahulu lebih disukai Rafeeqah. Alangkah baiknya kecantikan Alya itu tersembunyi di sebalik busana muslimah.

“Assalamualaikum…” Rafeeqah menegur setelah hatinya menarik kakinya ke sana. Rafeeqah mengalihkan pandangannya. Cermin matanya dibuka menampakkan matanya yang bundar dan menawan. Keningnya berkerut.

“Sorry miss, I don’t know Arabic.” Sopan Alya menjawab. Mungkin kerana melihat Rafeeqah yang memakai serba hitam dan berpurdah.

“Alya kan?” Rafeeqah bertanya.

Wajah Alya berubah riak. Perlahan dia mengangguk. Tangannya kembali mengocak minuman.

“Who are you?” Bahasa penjajah itu sudah sebati dengan lidah Alya. Rafeeqah berasa sedikit kecewa mendengar kata-kata Alya.

“Enti tak kenal?” Lembut Alya bersuara. Laju sahaja Alya menggeleng. Perasaan sedih mencengkam ke dasar hati Rafeeqah.  Ya Allah, dia tak kenal! Bagaimana sahabat baiknya tidak mengenal sahabatnya sendiri. Dulu, dia lalu di belakang Alya sahaja, Alya terus dapat mengenalnya. Alya selalu menyedari kehadirannya. Ya Allah, Rafeeqah rindukan Alya yang dulu…

“Tanya pada hati enti. Dia mesti kenal separuh lagi hatinya.” Lambat Rafeeqah menuturkannya. Alya berhenti mengocak minuman. Separuh hati? Macam pernah dengar perkataan tu. Otak Alya ligat berfikir.

“Kita berkongsi  satu hati. Enti separuh, ana separuh. Apa yang enti rasa, itu jugalah yang ana rasa. Macam tulah sahabat dunia akhirat.”

“Matilah kalau macam tu, Alya. Mana ada orang ada separuh hati.” Suara ketawa kecil kedengaran. Kedengaran sendu seperti baru lepas menangis.

Otak Alya dapat menangkap memori lama yang jauh tertanam di dasar fikirannya. Kening Alya berkerut sehingga hampir bercantum. Dengan siapa aku bercakap waktu tu? Alya cuma ingat ketika itu dia sedang memujuk seseorang yang sedang bersedih. Tapi…siapa ya? Adakah orang yang berdiri di hadapannya ini?

Dan adakah dia…

“Rafeeqah?” Ungkap Alya. Rafeeqah tersenyum. Alya tersenyum seakan membalas senyuman Alya.

Kenangan bersama Rafeeqah satu persatu menjelma. Kenangan yang sudah lima tahun tersimpan.

Kini, dua sahabat bertemu kembali.

Dua kepingan hati bersatu kembali.

Dua jiwa bertaut kembali.

Namun, adakah Alya masih seperti dahulu?

*******

Rafeeqah mengajak Alya makan malam di restoran. Alya hairan.

“Kenapa? Penting sangat ke?”

“Saje. Rindu.” Rafeeqah menjawab perlahan. Dulu dia tidak perlu pun sebab untuk berjumpa Alya.

“Kan baru semalam kita jumpa?” Suaranya penuh tanda tanya.

“Hari ni belum lagi.” Balas Rafeeqah.  Dan malam ni mereka menjamu selera di restoran terapung. Mereka bercerita panjang. Dari segi pergaulan, Alya masih macam dahulu. Ramah, murah senyuman, lemah-lembut. Lenggok katanya menawan hati yang mendengarnya.

Pelik. Seorang yang kelihatan seperti gadis arab duduk makan bersama dengan gadis yang berpenampilan seperti minah salleh. Rafeeqah seperti biasa dengan serba hitamnya manakala Alya memakai skirt labuh dan blaus lengan panjang berwarna merah yang agak ketat di bahagian lengan dan pinggang. Tudungnya dililit-lilit.

“You tak ada boyfriend?” Soal Alya tiba-tiba. Terkejut Rafeeqah mendengarnya.

“Alhamdulillah, tak ada. Ana mohon pada Allah agar tidak diuji dengan boyfriend.” Sahut Rafeeqah.

“Kenapa? Takut?” Suara Alya kedengaran sinis. Terpana Rafeeqah mendengarnya. Inikah Alya yang dikenalnya? Mana tarbiyah yang dia dapat di Madrasah al-Mardhiyah?

“Ana risau ana tak kuat. Ana takut azab Allah.” Rafeeqah menjawab telus. Alya hanya menjongket sebelah kening. Tiba-tiba telefon bimbitnya berlagu. Alya terus menekan punat ‘answer’.

“Hello….oh, I tengah makan dengan kawan…. Emm, kawan lama….Nantilah you call balik…Miss you too…” Alya tergelak manja. “Ya, malam ni I tidur lambat. Don’t worry….. Sampai esok pagi pun I sanggup…Betullah… Okey.. Bye.” Bibir Alya tidak lekang dengan senyuman sepanjang bercakap dengan telefon. Talian diputuskan.

“Oh, tadi tu kawan masa di London.” Alya menerangkan apabila melihat pandangan pelik Rafeeqah. Rafeeqah mengangguk.

“Kenapa enti tak datang reunion?” Rafeeqah bertanya.

“Kenapa ya? Hmm…sebab I nak lupakan Madrasah al-Mardhiyah kut.” Alya mengurut-urut dagu.

“Kenapa?”

“I nak lupakan masa jahiliyah I. Masa I buta dengan isu semasa. Masa I macam orang kuno, ortodorks, katak bawah tempurung. Heih, kalaulah I tak pergi London, mungkin I masih dalam kepompong jahiliyyah tu lagi.”Lancar Alya membalas.

“Enti kata kuno, ortodorks?” Hampir tak percaya Rafeeqah mendengarnya. Alya memetik jari.

“Yup. Macam enti. Dunia makin majulah sekarang. Islam pun kenalah makin maju.” Air di dalam gelas diteguk.

Rafeeqah terdiam. Dia kelu untuk membalas bicara Alya. Bukan dia tidak tahu untuk membalas, tetapi dia memang selalu kalah di belakang Alya. Hatinya kuat menyatakan Alya sudah semakin jauh darinya. Hati Alya sedang sakit. Tapi dia tidak berani. Dia takut.

“Anyway, sejak bila pakai purdah ni?” Suara Alya menjengah gegendang telinganya.

“Err…sejak kat Madinah.” Perlahan Alya membalas.

Alya tersenyum sinis. “Patutlah.” Macam menyindir je gaya dia menuturkannya.

Rafeeqah menunduk. Hatinya menangis mendengar patah-patah perkataan yang keluar dari dua bibir Alya. Peritnya hati menyaksikan sahabat yang amat disayanginya, yang dahulu amat terselah kewibawaannya, amat fasih bicaranya, kini sudah berubah. Dia rindukan Alya yang setiap bicaranya, mengingatkannya pada Allah, setiap kali melihat perlakuannya, mengingatkannya pada akhirat dan setiap kali melihat senyuman bersahabatnya, menariknya pada keindahan Islam.

Alya menarik sedikit kerusinya ke belakang. Dia berdiri.

“Rafeeqah. I balik dulu. Thanks ajak keluar.” Dia menghulurkan tangan. Rafeeqah turut berdiri dan menyambutnya. Automatik badannya bergerak ke tepi mengelak meja di antara mereka dan mendakap tubuh Alya. Seperti yang selalu dia buat di Madrasah al-Mardhiyah.

Namun, amat memeranjatkan apabila Alya cepat-cepat menapak ke belakang seperti menghindar daripadanya. Rafeeqah terkaku. Sahabatnya sudah benar-benar berubah.  Jauh berubah.

“Okeylah. Pergi dulu ya.” Alya menghadiahkan secebis senyuman dan terus berlalu. Rafeeqah terduduk kembali.

 “Kalau ana tersadung, enti tolong ana ya?” Kata-kata Alya sebelum berangkat ke London menjengah kembali.

“Ya Allah berilah aku kekuatan …” Doa Rafeeqah.

*******

Bersambung…

~Hamba Rabbani~

12 thoughts on “Cerpen: Hingga ke syurga 2

  1. Hamba Rabbani: Asif…saya amat sibuk kebelakangan ni. Insha Allah, kalau Allah izin saya akan ambil sdkt masa utk smbung lg. Sbnrnye saya dh siap separuh tapi Allah izin ter’delete’ pulak. X pe, ada hikmahnya. Mungkin Allah nk saya buat lebih baik lagi🙂

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s