Siapakah yang bergelar sahabat?

Hoi,  Isyraf.  Malam ni, jom tidur rumah aku,”  Faris Fauzan menepuk bahu Isyraf  Hamizi.  Isyraf Hamizi terperanjat.  Kening sebelahnya terangkat.  Hairan.  Tidak pernah pun Faris mengajaknya.

Faris Fauzan tersengih.  Dia sudah mengagak yang Isyraf Hamizi akan terkejut.  “Ala…jomlah.  Nak eratkan ukhwah.  Kau jugaklah yang selalu kata,” ujar Faris lagi.

Perlahan-lahan bibir Isyraf Hamizi mengukir senyum.  Gembira dengan perubahan Faris Fauzan.

Sebenarnya, Faris Fauzan adalah kaki samseng di sini.  Dia adalah ketua.  Pengikutnya amatlah ramai.  Fizikalnya yang tegap dan suaranya yang lantang membuatkan dia digeruni ramai.  Bukan setakat pelajar, guru-guru pun takut dengannya memandangkan ayahnya penyumbang dana terbesar sekolah ini.  Faris Fauzan dan geng-gengnya banyak membuat onar di sekolah ini.  Antaranya ialah membuli jenior-jenior, kurang ajar dengan guru, membawa barang haram, ber ‘couple’, sabotaj pengawas dan merosakkan harta benda awam.  Cermin kelasnya sahaja perlu diganti tiga kali seminggu.  Belum dikira lagi kerusi dan meja yang patah dan pintu yang terkopak.  Bukan sekali Isyraf Hamizi mendapat buah tangan ‘istimewa’ dari mereka.  Pengetua bagi mereka hanyalah boneka yang tidak dapat menjejaskan apa-apa.  Isyraf Hamizi pula ialah pelajar baru di sekolah itu.  Dia cuba menangani masalah disiplin yang semakin menular di kalangan para pelajar.  Salah satu taktiknya ialah dangan mendekati tunggak utama kumpulan tersebut iaitu Faris Fauzan.  Namun ia bukan tugas yang mudah.  Faris Fauzan amatlah kasar orangnya. Isyraf Hamizi masih ingat lagi kali pertama dia melangkah ke kelas itu.

 Isyraf Hamizi melangkah ke kelas itu dengan perasaan berdebar-debar.  Tombol pintu dipulas.  “Eh, kenapa kecoh sangat kelas ni?  Jangan-jangan…” Hatinya berasa tidak enak.   Lantas daun pintu ditolak.  Isyraf Hamizi bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.  Di satu sudut, sekumpulan pelajar lelaki sedang menghisap rokok.  Di sudut yang lain, dua pelajar lelaki sedang bergaduh.  Di belakang kelas pula, seorang pelajar lelaki sedang duduk sambil memangku seorang pelajar perempuan. 

 “Astaghfirullahalazim…ini sekolah atau…” ayat Isyraf Hamizi tergantung di situ.  Mukanya merah menahan marah.

 “Cikgu datanglah,” kata seorang pelajar sambil membetulkan kaca matanya.  “New cikgu again?” sahut pelajar yang berambut kerinting dan berhidung mancung.  “Handsomenyer…” seorang pelajar perempuan mengerdip-ngerdipkan matanya. Perasan cantiklah tu.  “Aku lagi handsomelah. Right, my honey?’ Pelajar lelaki yang memangku seorang pelajar wanita bersuara angkuh.

 “Of courselah,” pipi si lelaki dibelai-belai. Suaranya ala-ala menggoda. Hampir gugur jantung Isyraf dibuatnya. “Maaf.  Lupa nak perkenalkan diri.  Ana Isyraf Hamizi.  Pelajar baru kat sini.” Isyraf cuba memberikan senyuman yang semanis mungkin walaupun tampak kelat. 

 “New student?  You are so ‘tinggi’ like my ‘galah’,” pelajar lelaki yang berambut kerinting dan berhidung mancung mencelah.  Isyraf hanya mendiamkan diri walaupun telinganya sudah panas.  “Honey, forget about them.  They always like that.  Come!” Seorang pelajar perempuan kacukan Inggeris menarik tangan Isyraf.  Isyraf pantas menarik tangannya.  “Maaf.  Ana bukan muhrim enti.  Itu akan melanggar batas agama.” Isyraf Hamizi cuba menerangkan.  “Ah, kau ni kolotlah.  Muda-muda nilah nak enjoy, dah tua nanti barulah taubat…” lelaki yang memangku seorang pelajar perempuan tadi sudah berdiri.  Marah nampaknya.  Namun, belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Isyraf Hamizi menyambung,” Itu pun kalau sempat.  Ana tak kisah dikata kolot sebab ana taklah sehebat anta yang tahu sampai bila dapat hidup,” ayat Isyraf Hamizi berbaur sindiran. 

 Tiba-tiba telinga Isyraf menangkap desiran halus.  Badannya disendengkan ke tepi.  Tangan Isyraf Hamizi menangkap buku yang hampir mengenai belakang kepalanya tanpa menoleh.  Semua pelajar ternganga.  Terkejut dengan aksi Isyraf Hamizi yang tidak disangka-sangka.  Isyraf Hamizi berjalan ke arah pelajar yang sedang memakan kacang sambil mengorek telinga menggunakan jari kelingkingnya.  Tak senonoh betul.  Isyraf Hamizi tahu pelajar itulah yang membaling buku tersebut.  ‘Faris Fauzan’  itulah nama yang tertulis di dada kanan pelajar itu.  “Nah, buku anta.  Buku untuk dibaca bukan untuk dibaling.” Buku itu dihulurkan kepada Faris Fauzan.

 “Dush!” sebiji penumbuk hinggap di muka Isyraf Hamizi.  Pecah berderai kaca mata yang dipakai. 

Booo…” serentak itu kedengaran ejekan para pelajar lelaki.  Berani sangat tegur ketua kami.  Padan muka!  Ada juga yang memberi kata semangat untuk melawan kembali.  Isyraf Hamizi mengesat darah yang mengalir di hujung bibirnya.  Kalau diikutkan hatinya, sudah lebam biji mata pelajar ini.  “Hei, budak.  Kau tak payahlah nak bajet alim kat sini.  Baru datang nak tunjuk hero.  Lagi satu, buku tu.  Kau buang ajelah.  Aku tak baca buku tak mati pun.” bentak pelajar itu dengan suara yang kasar dan tidak sopan. Satu perbuatan yang biadap bagi Isyraf Hamizi.  “Ke tepilah, bodoh!”  Tidak semena-mena pelajar itu bangun dan melanggar bahu Isyraf Hamizi. 

 Isyraf Hamizi tersenyum.  Kini dia sudah jumpa punca sebenar masalah. Pelbagai strategi dakwah melingkar di fikirannya.

“Hoi, tersenyum-senyum apa tu?  Teringat buah hati ke?’ usik Faris Fauzan.

“A’ah.  Cemburu ke?” Isyraf Hamizi mengangkat keningnya dua kali.

“Ah…merepek je lah kau ni.  Tak kan mat alim macam kau ada girlfriend kot.” Faris Fauzan menjuihkan mulutnya.

“Ana seriuslah.  Tapi bukan ‘girlfriend’.  Dia ni lebih dari friend ana.  Dia ni kaya, bijak, hebat.  Beruntunglah siapa yang dapat kasih sayang-Nya.  Nanti apa yang orang tu nak pasti Dia bagi.  Dia ni sangat special bagi ana.” Isyraf Hamizi berbicara bersungguh-sungguh.

“Aku tahu siapa Dia.  Mesti Allah, kan?  Dahlah…Ha! Macam mana?” Faris Fauzan mengacak-acakkan rambutnya.  Sekali pandang macam balung ayam pun ada.  “Oh…pasal tidur kat rumah anta tu, ana setuju.” Jawab Isyraf Hamizi.  Tenang dan yakin.  Faris Fauzan tersenyum.  Dalam kepalanya sibuk merangka rancangan.  Rancangan untuk menguji tahap kesabaran Isyraf Hamizi.

[[[[[             ]]]]]

“Hmm… masuklah.” Ajak Faris Fauzan.  Isyraf Hamizi mengangguk seraya melangkah masuk ke dalam villa mewah itu.  Rumah Faris Fauzan teramatlah besar.  Hiasannya pula teramatlah cantik.  Di depan villa Faris Fauzan terdapat terdapat taman yang berlanskap hijau. Siap ada kolam air pancut lagi. Sungai buatan kecil siap dengan batu-batu tenang mengalir tidak jauh dari buaian dan teratak kecil di taman itu. Indah sungguh!  Di garaj pula terdapat lima buah kereta yang masih baru dan berkilat.  Isyraf kenal benar lima kereta tersebut.  Ferrari, BMW, Mercedes, Lamborghini dan Audi.  Top 5 kereta di Malaysia.  Villanya pula dinamakan villa harmoni.  Memandangnya sahaja sudah mendatangkan kedamaian.

“Mana ayah dan ibu anta?” Tanya Isyraf Hamizi.

“Oh, mak aku pergi oversea.  Biasalah tu… Jangan harap dia ada kat rumah waktu awal bulan macam ni.  Ayah aku masih kat office.  Pukul 9 baru balik,” jawab Faris Fauzan.  Isyraf Hamizi terkejut.  Jadi selalunya Faris Fauzan akan ditinggalkan keseorangan di rumah bersama orang gaji?  Pasti membosankan…

”Isyraf ni bilik kau.” Faris Fauzan menunjukkan sebuah bilik.  Isyraf Hamizi mengangguk.  Tombol pintu dipulas.  Muka Isyraf Hamizi terus berubah.  Terkejut.  Bilik itu sangatlah daif dibandingkan dengan villa yang besar itu.  Baunya sahaja sudah menyengat.  “Bilik ni sempit dan kotor sikit.  Bilik kat atas sedang diubah suai.  Lagi lima bilik untuk aku, ayah aku dan tiga orang gaji aku.  Sebenarnya ada satu lagi tapi ibu aku tak kasi guna sebab esok seorang kenalan ayah aku nak datang.  Tak apa kan?” Faris Fauzan menduga.  Dia sengaja mahu melihat reaksi Isyraf Hamizi.  Adakah dia akan marah atau tidak?

Isyraf Hamizi kemudiannya berpaling ke arah Faris Fauzan.  Tenang.  “Tak apa.  Ana tak kisah.  Janji ada tempat nak tidur.  Tidur dalam teratak kat taman luar tu pun boleh. Eh, bilik air mana?” Tanya Isyraf Hamizi sambil tersenyum.

Dahi Faris Fauzan berkerut.  Tak kan dia tak marah?  Sekurang-kurangmya pun tentu dia akan menolak atau hendak menumpang di biliknya.  Tapi dia boleh senyum dan sempat bergurau lagi?  “Err….Faris?”  Isyraf Hamizi hairan melihat Faris Fauzan yang diam sedari tadi.  “Ya…Ya…aku dengar.  Bilik air kat dapur.  Kau straight je, don’t belok-belok.  Then, dekat hujung tu kau kona sikit and kau akan nampak toilet.  Okey.  Aku chow dulu.  Nak tukar baju jap.” Faris Fauzan menaiki tangga ke tingkat atas.  Isyraf Hamizi tersenyum mendengar kata-kata Faris.  Kaki seluarnya digulung.  Cermin mata barunya turut dibuka dan dilipat elok-elok.  Kemudian, dia berlalu ke bilik air.  Ingin mengambil wudhuk.

 [[[[[             ]]]]]

 “Isyraf, jom makan,” ajak Faris Fauzan.  Isyraf Hamizi menghentikan bacaan al-Qurannya.  Kemudian, dia merangkul bahu Isyraf Hamizi.  Faris Fauzan terus menepis.

“Maaf,” itu sahaja yang mampu Isyraf Hamizi tuturkan.  Lengannya yang sakit digosok-gosok.  Kuat betul tepisan dia.  Faris Fauzan merenung tajam sebagai tanda amaran.  “Hah, duduklah,” Faris Fauzan menarik sebuah kerusi di meja makan.  Isyraf Hamizi menarik sebuah lagi kerusi di sebelah kerusi yang ditarik Faris Fauzan.  Kemudian, dia duduk di atas kerusi yang ditarik Faris.  Kerusi yang ditariknya tadi ditepuk-tepuk.

“Duduklah,” ujar Isyraf Hamizi.  Faris Fauzan menundingkan jari ke arah kerusi yang ditarik Isyraf Hamizi sambil menggelengkan kepalanya.  Kemudian, dia membuat gaya menembak ke arah kerusi di hadapan Isyraf Hamizi sambil mengangguk-angguk.  Isyraf Hamizi faham akan isyarat itu tetapi dia tidak terasa. “Biarlah.  Itu kerusi dia,” fikir Isyraf Hamizi.

Faris Fauzan mencedokkan nasi dan lauk ke dalam pinggan Isyraf Hamizi.  Tanpa disedari Isyraf Hamizi, Faris Fauzan menabur separuh botol serbuk lada.  Kemudian, botol itu diletak semula ke tempatnya.  “Makanlah,”pelawa Faris Fauzan sambik mencedok lauk untuk dirinya pula.

Isyraf Hamizi tersenyum.  Kemudian, dia memandang ke arah pintu.  “Tunggu ayah anta.  Tak sopan rasanya kalau ana makan dulu,” balas Isyraf Hamizi.  Faris Fauzan kehilangan kata-kata.  SKREK! Pintu villa terbuka luas.  Seorang lelaki setengah abad masuk sambil memegang beg kerjanya.  Wajah lelaki itu sungguh serius.  Tiada seurat senyuman pun di bibirnya.  Isyraf dapat mengagak bahawa lelaki itu mestilah Tan Sri Harith, ayah kepada Faris Fauzan.  Dia segera menghampiri lelaki itu.  “Assalamualaikum, uncle.  Saya Isyraf Hamizi, kawan Faris,” Tangan lelaki itu diraih dan dicium penuh hormat.  Ayah Faris terkejut dengan tindakan Isyraf Hamizi.  Begitu juga Faris Fauzan.  “Ooo…kawan Faris,” itu sahaja kata-kata yang keluar dari mulut lelaki itu.  Dia begitu terperanjat dengan kemunculan Isyraf Hamizi di villa itu dan juga kelakuan Isyraf Hamizi sebaik sahaja ternampak dirinya.

“Err…uncle.  Jom makan sekali.  Bolehlah kita berbual-bual,” ajak Isyraf Hamizi.  Kerusi di sebelahnya ditarik.  Embok Sheila yang ditugaskan menjaga keperluan peribadi ahli rumah tersebut mengambil beg kerja dari tangan tuannya.  Tan Sri Harith melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang ditarik Isyraf Hamizi.

Acara makan pun bermula.  Isyraf Hamizi menyuapkan nasi ke dalam mulutnya.  Faris Fauzan memerhati dengan perasaan yang berdebar-debar.  Tetapi dia hampa.  Isyraf Hamizi tetap tenang dan tersenyum.  “Hmm…sedapnya. Pandai embok masak,” Isyraf Hamizi memuji Embok Sunti yang ditugaskan memasak di dalam rumah itu.  Embok Sunti tersipu-sipu.  Isyraf Hamizi ialah orang kedua yang memuji masakannya selain suaminya.  Isyraf Hamizi meneruskan suapannya.  Sampai suapan keempat, dia berhenti.  Wajahnya yang putih melepak sudah menjadi kemerah-merahan.  Hati Faris Fauzan bersorak melihat perubahan wajah Isyraf Hamizi.  Pasti kepedasan.  Faris Fauzan tidak tahu kenapa dia suka melihat Isyraf Hamizi dalam kesusahan. Kadangkala ideanya macam tak masuk akal. Tapi hatinya puas.   Walaupun begitu, dia akui yang dia memang senang berkawan dengan lelaki kacukan mat saleh itu.  Riak wajah Faris Fauzan terus berubah apabila melihat Isyraf Hamizi menyambung suapannya dengan tenang.  Isyraf Hamizi menyuap nasi dan lauk di dalam pinggannya sehingga licin.  Kemudian, Isyraf Hamizi meminta diri dan membawa pinggannya ke dapur.

“Enggak usah…ini kerjanya embok,” Embok Sunti menghalang langkah Isyraf Hamizi.  Isyraf Hamizi hanya tersenyum. Tak penat ke dia ni asyik tersenyum je.

“Salahkah saya mahu menolong?” Kata-kata itu kedengaran ikhlas terlontar dari bibir Isyraf Hamizi.  Embok sunti tidak jadi menghalang.  Mata tuanya menatap belakang tubuh Isyraf Hamizi.  Isyraf Hamizi berbeza dengan rakan-rakan Faris Fauzan yang lain. Sungguh berbeza.

“Hey, masakan apa ni?  Dahlah masin.  Silap hari bulan, kena darah tinggi aku,”     

“Ish, lembab betullah orang tua ni!  Terkedek-kedek,”

“Aku nak fresh oren.  Tulis!  Nanti lupa pulak.  Well, kau kan dah tua.  Penyakit   nyanyuk kau tu   bukan kira masa je datang.  Ha…ha…”

Itulah kata-kata yang sering terlontar dari mulut rakan-rakan Faris Fauzan yang lain.  Tetapi tidak Isyraf Hamizi.  Kata-katanya sungguh lembut.  Embok Sunti memandang Isyraf Hamizi yang sedang membasuh pinggan.  Selesai membasuh pinggan, Isyraf Hamizi menolong Embok Sunti membersihkan meja makan.  Embok Sunti tersentak.  “Aduh, enggak usah bikin begini.  Nanti apa sih saya mahu jawab sama tuan?” Embok Sunti menghampiri Isyraf Hamizi.  Dia dihantui rasa bersalah.  Terasa seperti mempergunakan kebaikan rakan anak majikannya itu.  “Tak apa, Embok.  Biar saya tolong.  Tadi embok kan sudah penat memasak?  Pasal tuan, embok jangan risau.  Saya sendiri akan jawab nanti.  Bukankah Allah menyuruh kita saling bantu-membantu?” Isyraf Hamizi berbicara tenang.  Embok Sunti terharu.  Cepat-cepat air matanya diseka sebelum jatuh ke pipi tuanya.

 [[[[[             ]]]]]

Puas begnya digeledah.  Tidak cukup dengan itu, Isyraf Hamizi memeriksa di tepi katil dan di dalam almari.  Tidak ada.  Peluh mula memercik di segenap tubuhnya.  Dia melabuhkan punggungnya di atas katil dan membuka cermin matanya.  Wap di cermin mata itu dilap sebelum dipakai kembali.  Hari ini dia akan pulang ke rumahnya.  Habislah kalau dia tidak jumpa…

TOK! TOK! TOK!

Pintu biliknya diketuk dengan kuat.  “Pasti Faris Fauzan,” desis hati Isyraf Hamizi. Pintu dibuka.  Terpacul wajah Faris Fauzan di muka pintu.  Tekaannya tepat!

“Err…Isyraf.  Sini jap,” Faris Fauzan menarik lengan Isyraf Hamizi.  Isyraf Hamizi membiarkan sahaja lengannya ditarik.  Hatinya penuh dengan tanda tanya.  “Nah, kau punya. Aku pinjam,” Faris Fauzan menghulurkan sehelai kemeja sekolah.  Isyraf Hamizi kenal benar dengan kemeja itu.  Memang dia punya.  Patutlah cari tak jumpa.  Tapi…

“Kenapa?  Terkejut?” soal Faris Fauzan sambil tersengih.

Ya Allah!  Apa dah jadi?  Isyraf Hamizi meraup wajahnya sambil beristighfar perlahan.  Baju kemeja yang asalnya berwarna biru sudah bertukar menjadi kekuning-kuningan.  Dia seperti tidak percaya yang itu kemejanya.  Seratus peratus berubah.  Tetapi tanda nama tu memang nama dia.  “Terima kasih,” ujar Isyraf Hamizi sepatah sambil mengambil kemeja itu dari tangan Faris Fauzan.  Dia berlalu ke bilik dan ingin menutup pintu.  Pantas Faris Fauzan menahan.

“Woi, aku belum habis lagilah!!” Ujar Faris Fauzan.  Isyraf Hamizi menunggu dengan sabar tanpa berkata sepatah perkataan pun.  Hanya wajahnya ditundukkan.  Faris Fauzan mengangkat kening.  Kenapa? Marahkah? Hatinya tertanya-tanya.  “Aku ingat tahap kesabarannya tinggi.  Boleh tahan jugalah.  Tapi taklah tinggi sangat.  Aku bayangkan lagi tinggi dari ni,” desis hati Faris Fauzan. Yelah, setakat lunturkan warna kemeja, apalah sangat bagi Faris Fauzan.  Dia kan kaya.  Seratus baju kemeja pun mampu dia beli dalam masa satu hari.  Tapi bagi Isyraf Hamizi, kemeja itu amat berharga. Duit untuk membeli kemeja itu adalah hasil kerja keras ayahnya.   Dia amat menghargai setipa titik peluh ayahnya.

“Hei, kau marahkah?” Faris Fauzan sengaja menduga.  Isyraf Hamizi mengangkat wajahnya.  Tetap tenang.  “ Anta tanya ana? Tak adalah ana tak marah pun,” Isyraf Hamizi melemparkan senyuman yang paling manis untuk sahabatnya itu.  Terserlah kedua-dua lesung pipitnya.

“Kau tak marah?  Macam mana…” Dahi Faris Fauzan mula berkerut.

“Anta nak dengar satu kisah?  Dahulu, pada zaman Rasulullah, baginda pernah didatangi seorang lelaki.  Lelaki itu bertanya, “Wahai Rasulullah.  Berikan aku nasihat.” Rasulullah menjawab, “Janganlah kamu marah.” Lelaki itu bertanya lagi dan Rasulullah tetap menjawab yang sama.  Dan lelaki itu bertanya lagi.  Rasulullah menjawab,”Janganlah kamu marah.” Sekarang anta tentu faham kan kenapa ana tak marah?” Isyraf Hamizi tersenyum lagi.  Faris Fauzan tersentak.  Sampai begitu sekali Isyraf Hamizi mempertahankan prinsipnya.

“Faris…”

Isyraf Hamizi memegang bahu Faris Fauzan.  Anak matanya menusuk ke dalam mata lelaki itu.

“Sebenarnya ana taklah sebaik yang anta sangka,” ucap Isyraf Hamizi.  Wajahnya mula berubah serius.

“Mungkin ana lebih jahat dari diri anta sendiri.  Tapi ingat!  Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,” luah Isyraf Hamizi tenang.  Kemudian, dia melepaskan pegangannya dan menutup pintu bilik perlahan.  Kali ini Faris Fauzan tidak menghalang.  Dia hanya terkaku di situ.  Benarkah dia ni tak sebaik yang aku sangka?  Tak kanlah dia lebih jahat daripada aku?  Ke dia ni hipokrit?  Faris Fauzan dibuai bermacam-macam persoalan.  “Tak apa.  Kau belum lepas.  Ada satu lagi halangan untuk kau,” Faris Fauzan mengepal-ngepalkan penumbuknya sambil tersengih lebar.

[[[[[             ]]]]]

Irham berlari-lari anak ke arah Isyraf Hamizi.  Peluh bercucuran di dahinya.

 “Abang! Abang!” Irham termengah-mengah.

“Kenapa ni Irham?  Macam kena kejar hantu je?” Isyraf Hamizi hairan melihat keadaan kawan kecilnya itu.  Irham baru memasuki tingkatan tiga tahun ini manakala dirinya sudah memasuki tingkatan lima.  “Ini bukan kena kerja hantu, bang.  Tapi ini ada kena mengena dengan ‘hantu’ sekolah ni.  Sekarang, pengetua panggil abang,” kata Irham sambil menarik nafasnya yang tidak teratur.

Hati Isyraf Hamizi bagaikan disentap.  Pengetua?  “Err..terima kasih.  Abang nak pergi sekarang,” Isyraf menepuk bahu Irham dan berlalu pergi.  “Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini,” doa Isyraf di dalam hati.

TOK! TOK! TOK!

Isyraf Hamizi mengetuk pintu bilik pengetua dengan perasaan berdebar-debar.

“Masuk,”

Kedengaran suara pengetua dari dalam.  Isyraf Hamizi membuka pintu.  Udara dingin menerpa keluar dari bilik itu.  Pintu bilik ditutup kembali sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam bilik berpenghawa dingin itu.

“Cikgu panggil ana?”  Isyraf Hamizi bertanya sopan.  “Yelah…Tak kan saya panggil lembu kot,” suara Cikgu Arshad berbaur sindiran tajam.  Kolar bajunya dibetulkan.

Cikgu Arshad berdehem dua kali sebelum menyambung kata-katanya.  “Isyraf, saya nak tanya.  Kamu ni sebenarnya tahu tak yang mencuri itu berdosa?” Kata Cikgu Arshad dengan tegas.  Isyraf Hamizi mengangguk.  Hatinya berasa tidak enak.  Kenapa pengetua tiba-tiba bertanya mengenai mencuri?  “Ye ke?  Kalau macam tu, tolong beritahu cikgu macam mana dompet Ghazi boleh ada dalam beg kamu?  Saya tak pernah pula nampak dompet ni berkaki.  Tak tahulah kalau saya yang rabun.  Kalau macam tu mungkin saya perlu beli cermin mata baru,” perli Cikgu Arshad sambil menjeling Isyraf Hamizi.

Terkejut Isyraf Hamizi dibuatnya.  Dompet mana pulak ni?  “Ana tidak tahu menahu pasal hal ini.  Ana tidak ambil,” Isyraf Hamizi cuba menjelaskan.  Berani kerana benar, takut kerana salah.

“Kamu jangan nak berdalih.  Dah salah, mengaku ajalah.  Berbohong kan berdosa juga?” Wajah Cikgu Arshad bertukar garang.  “Dah…dah.  Saya tak nak dengar apa-apa lagi.  Saya kecewa dengan kamu, Isyraf,” Cikgu Arshad berhenti sejenak.  Dia menongkat dagu menggunakan tangannya.  “…Saya tak sangka.  Saya ingat kamu dah berubah.  Tapi, saya silap.  Kamu tak pernah berubah,” ujar Cikgu Arshad berbaur kesal.  Kepalanya disandarkan ke kerusi.  “Saya nak kamu ambil beg kamu dan pergi dari sini.  Mulai hari esok, kamu bukan pelajar sekolah ini lagi,” Cikgu Arshad menyambung.

Isyraf Hamizi menundukkan kepalanya.  Dia berasa sedikit kesal dengan tindakan pengetua.  Ramai pelajar lain yang membuat kesalahan yang lebih besar daripada mencuri tidak dihukum tetapi sebaliknya dirinya yang tidak bersalah dibuang sekolah.  Dia tidak mahu pergi dengan rekod yang buruk.  Sebenarnya Isyraf Hamizi tidaklah sedih sangat dibuang sekolah sebab esok…

“Cikgu, ana nak ucapkan terima kasih sebab izinkan ana menuntut ilmu di sini walaupun sekejap,” Itu sahaja yang terluah dari bibir Isyraf Hamizi.  Pintu bilik dibuka.  Tika ini, hanya Allah sahaja  yang tahu bagaimana perasaannya.

[[[[[             ]]]]]

Isyraf Hamizi mencerunkan matanya ke arah Ghazi yang bertubuh kecil.  Di sekolah, Ghazi sering dibuli kerana fizikal badannya yang kecil.  Tambahan lagi, dia agak penakut.

“Beritahu ana.  Jangan pendam.  Ana rasa anta mesti tahu ini semua kerja siapa,” Isyraf Hamizi menundingkan jari ke arah dompet di poket seluar Ghazi.  Ghazi tetap mendiamkan diri.  “Cakaplah cepat.  Jangan sampai patah tulang riuk anta ana kerjakan,” Isyraf Hamizi menjerit di telinga Ghazi.

Ghazi tersentak. Tidak pernah dia melihat Isyraf meninggikan suara.  Hampir terkucil dia dibuatnya.  “”Err…Ampun…ma..ma..af zahir…dan…batin..sa.ssa..ya cu ma..menjalan kan pe..rintah Fauzan..Fa..fa..fa..fa…ris..”  Hampir tergelak Isyraf Hamizi dibuatnya.  Dia baru gertak sedikit je.  Itu pun dah melalut sampai nama kawan sendiri pun terbalik.  Kalau dia tampar, pasti dah menangis si Ghazi tu.

Sebenarnya, Isyraf Hamizi sudah mengagak itu kerja Faris Fauzan.  Tetapi dia tidak mahu menuduh tanpa usul periksa. Lagipun, selemah-lemah ukhwah ialah bersangka baik dan berlapang dada. Dia sengaja menggertak Ghazi tadi untuk membuat kawannya itu membuka mulut.  Dia langsung tidak berniat untuk mencederakan kawannya itu.  Isyraf Hamizi tersenyum.  Nama Faris Fauzan mengisi kotak fikirannya.  Patutlah gembira sahaja dia pagi tadi.  Adakah dia membenci aku?

KRING!!!  Loceng berbunyi menandakan waktu rehat sudah habis.  “Jom, balik kelas,” Isyraf Hamizi tiba-tiba merangkul bahu Ghazi.  Ghazi yang sejak tadi menikus terperanjat.  “Eh, kau tak marah?”  Soalnya teragak-agak.  “Kenapa ana nak marah anta pulak?  Maafkan ana.  Tadi ana gurau je.  Saja nak tengok reaksi anta.  Tak sangka anta begitu takut.  Jom!”  Isyraf Hamizi berkata mesra.  Perlahan-lahan bibir Ghazi mengukir senyum.  “Jom!”  Mereka berdua bergerak ke kelas.  Tanpa mereka sedari, percakapan mereka didengari seseorang.

Faris Fauzan.

[[[[[             ]]]]]

 “Hey, Isyraf.  Aku peliklah.  Kau dah tahu aku fitnah kau tapi kau buat selamba je.  Tak marah pun,” ujar Faris Fauzan.  Isyraf Hamizi tersenyum.  Tadi sebaik sahaja tamat mata pelajaran terakhir, Faris Fauzan terus menarik tangannya ke tandas.

“Ana tak marah sebab dulu nakal ana lebih dahsyat daripada anta,” Isyraf Hamizi menepuk dada kirinya sendiri.  “Aku tak fahamlah.  Cakap tu tak payahlah berlapik.  Straight to the poin, ok? Tak payahlah nak kona sana, kona sini.  Singgah sana, singgah sini.  Nanti lambatlah perjalanannya nak sampai kat otak aku,” ujar Faris Fauzan kasar.  Sempat lagi dia melawak.

“Anta kenal tak kumpulan ‘King of The Fire’ yang bermaharajalela kat sekolah ni dua tahun lepas?” soal Isyraf Hamizi.  Faris Fauzan mengangguk.  Siapa tidak kenal kumpulan ‘King of The Fire’ atau lebih dikenali sebagai King ‘F’ the Gang yang amat popular di sekolah ini suatu masa dahulu. Ramai yang menggeruni ahli mereka terutamanya Dragon, orang kuat ‘King of The Fire’ atau lebih dikenali sebagai King ‘F’ the Gang. Namun tidak bagi Faris Fauzan. Dia amat mengagumi Dragon. Dragon yang terkenal dengan parut panjang di dadanya. Dragon yang amat berani membelasah sesiapapun yang menghalangnya. Waktu zaman kegemilangan kumpulan itu, Faris Fauzan baru memasuki tingkatan 3.  Dia memang memasang impian ingin memasuki kumpulan itu.  Namun, impiannya tidak tercapai kerana kumpulan tersebut telah dibubarkan.  Semua ahli kumpulan tersebut memang sudah disenaraihitamkan oleh pihak sekolah.  Itulah sejarah paling besar yang pernah berlaku di sekolah ini.  Mereka amat berani dengan guru.  Mereka juga pernah membakar sekolah dan membelasah pelajar yang lemah.  Paket-paket dadah ibarat daun berguguran yang ada di mana sahaja.  Rokok dan perempuan ibarat permainan.  Hukum islam banyak ditinggalkan.  Peraturan sekolah sering dilupakan.  Dan pelajaran, mereka abaikan.  Di waktu itu, mereka rasa merekalah raja.  Merekalah yang berkuasa.  Tetapi mereka lupa ada Raja yang lebih besar kuasanya daripada mereka.

“Anta tahu tak, dulu ana salah seorang dari mereka. 2 tahun lepas.  Ana ingat lagi.  Ana pernah belasah seorang guru sampai patah tangan dan kaki semata-mata kerana dia tegur ana hisap rokok.  Sampai masuk akhbar.  Ana memang teruk waktu tu,” perit rasanya untuk Isyraf Hamizi mengulangi sejarah hitam dalam hidupnya.  Kalau boleh, dia tidak mahu mengingati perkara itu lagi.

Terlopong mulut Faris Fauzan mendengarnya.  Dia menggeleng tidak percaya.  “Aku tak percaya.  Macam mana kau boleh masuk kat dalam kumpulan tu.  Waktu tu kau baru form 3.  Ahli dia mesti 17 tahun ke atas,”  Faris Fauzan hafal benar syarat untuk masuk dalam kumpulan itu.  Dia tak dapat masuk pun kerana alasan yang dia masih budak hingusan ketika itu.  Jadi mustahil Isyraf Hamizi dapat menjadi ahlinya.

“Anta sebenarnya belum kenal ana lagi.  Ana memang tingkatan lima tapi umur ana 19 tahun.  Ana jadi ahlinya waktu tingkatan lima dan enam.  Result SPM ana tak payah nak cerita.  Failed teruk.  Satu ‘A’ pun tak ada.  Semuanya straight ‘G’ dan ‘F’ je.  Tulah ana ulang balik tingkatan lima. Alhamdulillah, ana berterima kasih sangat pada pengetua kerana sudi terima ana. Dengan rekod buruk, mustahil ada sekolah yang sudi terima ana.” Isyraf Hamizi menerangkan. Suaranya kedengaran sedikit kesal.

“Kalau tak percaya juga, tengok ni,”

Isyraf Hamizi membuka butang bajunya.  Kemudian, baju itu dibuka perlahan-lahan.  Mata Faris Fauzan terbuntang tidak percaya. Dia amat mengenalinya. Di dada Isyraf Hamizi terdapat parut panjang hingga ke perut. Bukankah itu…

“Ya, Faris. Analah Dragon. Orang kuat King ‘F’ the Gang.” Isyraf Hamizi memakai semula bajunya. Dulu, dia amat megah menayangkan parutnya. Nampak ganas. Brutal. Samseng. Namun sekarang, dia berasa malu dengan dirinya apabila ternampak parut panjang itu. Parut yang disebabkan luka yang dalam. Faris Fauzan terdiam. Isyraf Hamizi ialah Dragon, lagenda sekolah yang amat dikaguminya? Ini mustahil! Patutlah Dragon seakan-akan hilang tanpa berita.

“Tak percaya?  Tapi itu zaman jahiliyyah ana.  Ana kalau boleh tak nak ingat benda-benda tu.  Tapi setiap kali terpandang badan ana, cebisan peristiwa hitam tu kembali menjengah.  Ha!  Tak pelah.  Dah berlaku pun,” ucap Isyraf Hamizi perlahan.

Faris Fauzan memasamkan wajahnya.  Dia sungguh malu.  Dia rasa bagaikan ditipu hidup-hidup. Ditipu atau tertipu?  “Ha!  Lupa pulak ana.  Esok ana nak kena pindah Singapura.  Ayah dan Umi ana kerja kat sana.  Tapi Allah dah aturkan ana kena buang sekolah.  Memang kebetulan. Tapi nampaknya kena keluar sebagai penjenayah lagilah.” Isyraf Hamizi ketawa kecil.  Dia menepuk-nepuk mesra bahu Faris Fauzan.

“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan menyucikan diri.( Surah al-Baqarah: 23 ),” bisik Isyraf Hamizi perlahan ke telinga Faris Fauzan.  Kata-kata itu meluncur laju ke dalam hati Faris. Ibarat embun dingin yang membasahi jiwanya yang membatu itu.  “Esok kalau nak jumpa ana masih sempat lagi.  Ana bertolak jam sembilan.  Jumpa lagi,” Isyraf Hamizi mengangkat tangan dan beredar.  Meninggalkan Faris Fauzan keseorangan termangu-mangu di situ.

[[[[[             ]]]]]

 Faris Fauzan terbaring di tilam empuknya sambil  merenung siling biliknya yang bercorak bunga.  Fikirannya bercelaru.  Perasannya bercampur-baur antara terkejut, marah, sedih dan rasa kehilangan.  “Argh!  Kenapa aku mesti sedih.  Kan aku bencikan dia.  Bukankah aku sepatutnya rasa gembira sebab dia akan pergi dalam hidup aku?”  Hati Faris meronta-ronta.  Dia memukul-mukul dadanya perlahan.  “Ah!  Aku benci perasaan ini.  Pergi!  Pergi mampuslah kau dengan dia!”  Faris Fauzan berteriak di dalam hati.  Bantalnya dibaling kuat ke dinding.  Air mata lelakinya mengalir perlahan.

[[[[[             ]]]]]

 “Isyraf, kita dah lambat.  Mari masuk kereta,” Puan Raihana, umi Isyraf memanggil anak tunggalnya itu masuk ke dalam kereta.  Isyraf Hamizi mendesah kecewa.

“Mungkin kawan Isyraf tu ada hal.  Itu sebabnya dia tak datang,” ujar Encik Ahmad, ayahnya pula.  Isyraf Hamizi mengangguk perlahan.  Mungkin benar kata ayahnya.  Sudah setengah jam dia menunggu tetapi orang yang ditunggunya tetap tidak muncul.  Sebelum masuk ke dalam kereta, dia memandang lorong masuk ke kawasan rumahnya buat kali terakhir.  Dia masih menyimpan harapan agar ’dia’ datang pada hari ini.  Firasatnya juga kuat mengatakan demikian.  Tapi sudah terbukti firasatnya salah.  ‘Dia’ tak akan datang.  “Selamat tinggal, rumahku.  Selamat tinggal, KL.  Selamat tinggal, sekolahku.  Selamat tinggal, sahabat,” ucapnya perlahan.

Isyraf Hamizi membuka pintu keretanya.  Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi desiran perlahan.  Isyraf Hamizi menggaris senyuman.  Tanpa menoleh ke belakang, dia menangkap ‘benda’ yang sedang menuju ke arahnya.  Sebuah bekas pensil.  Dengan sepantas kilat, dia berpusing ke belakang sebaik sahaja bekas pensel itu mendarat di atas tangannya.  Kotak pensel itu dibaling semula ke arah tuannya.  Tuannya juga tak kurang hebatnya.  Kotak pensel itu disambut dengan hanya menggunakan sebelah tangan.  Hebat!  “Ana tahu anta pasti datang,” ujar Isyraf Hamizi sambil menyisir rambut yang menutup dahinya.

“Macam mana kau tahu?” soal Faris Fauzan.  Pelik.

“Naluri seorang sahabat,” jawab Isyraf Hamizi sambil menepuk dadanya dua kali.

“Aku datang ni cuma nak meleraikan kekusutan di fikiran aku.  Aku nak tanya kau something,” ujar Faris Fauzan.  Isyraf Hamizi meleretkan garisan indah di bibirnya.

“Apa dia?  Tanyalah,” Isyraf Hamizi mendepakan tangannya.

“Aku peliklah.  Selama ni aku banyak kenakan kau, koyakkan kasut kau, belasah kau, ugut kau, malukan kau depan orang ramai dan akhir sekali fitnah kau tapi kenapa kau masih tetap nak berkawan dengan aku?  Kau ni sebenarnya nak kikis harta aku ke?” soal Faris Fauzan.

Isyraf Hamizi menggeleng seraya tersenyum lebih lebar.  “Ana ikhlas berkawan dengan anta.  Itu urusan anta dengan Allah.  Ana ni hanya makhluk-Nya dan tidak layak untuk menghukum manusia.  Apa yang anta buat, semuanya anta yang tanggung di hadapan Allah s.w.t di akhirat nanti.  Tugas ana cuma mengajak anta kepada kebenaran.  Lagipun…” Isyraf Hamizi berhenti untuk menarik nafas.

“Lagipun apa?” soal Faris Fauzan tidak sabar.  “Lagipun ana dah lama maafkan anta.  Sebelum anta lakukan kesalahan itu lagi,” Isyraf Hamizi berbicara tenang.  Faris Fauzan terdiam.  Sampai macam tu sekali?  “Kenapa kau mudah sangat maafkan orang?  Kau tak rasa sakit hati ke?”  Soal Faris Faizan lagi.  “Ana bukan malaikat, Faris. Sakit hati tu kadang-kala datang juga.  Tapi bila diingat kembali, kesalahan yang ana buat pada Allah lebih banyak dibandingkan kesalahan yang anta buat pada ana.  Sedangkan Allah yang mengatur dan mentadbir alam ini pun maafkan ana, apatah lagi diri ana yang serba kerdil ini.  Ana malu dengan Allah jika kesalahan manusia yang tak seberapa ini pun ana tak boleh maafkan,” jawab Isyraf Hamizi.

Hati Faris Fauzan tersentuh. Terus dia mendekati Isyraf Hamizi. “Err aku nak minta maaf kat kau.  A…a..a..ku..” ujar Faris Fauzan tersekat-sekat.  Isyraf Hamizi meramas rambut Faris Fauzan yang sengaja diacak-acakkan.  “Ana dah lama maafkan,” potong Isyraf Hamizi.  Dia tersenyum.  Faris Fauzan merangkul tubuh Isyraf Hamizi.  Terharu.  “Ana dah lewat ni,” Isyraf Hamizi melepaskan rangkulan sahabatnya perlahan-lahan.

“Ok. Jumpa lagi, senior.”  Ucap Faris Fauzan.  “Hah?!!”  Isyraf Hamizi mengangkat kening sebelah.  Hairan.  Aku salah dengarkah?

“Mulai hari ini aku akan panggil kau senior.  Kau kan tua dua tahun dari aku,” Faris Fauzan menerangkan.  Isyraf Hamizi ketawa lepas.  ‘Ya, tak ya jugak.  Terlupa pulak aku,’ hati Isyraf Hamizi berbicara sendiri.  ‘Senior?  Emm… sedap jugak nama tu.’ Hatinya menyambung, memberikan komen.

“Oh, jadi ana kena panggil anta junior lah ni?”  Usik Isyraf Hamizi.  “Wah, sudah lebih nampak!” Faris Fauzan berpura-pura marah.  Bahu Isyraf Hamizi ditumbuk perlahan.

Isyraf Hamizi menarik tubuh Faris Fauzan dekat dengannya.  “Ana uhibbuka fillah,” bisik Isyraf ke telinga sahabatnya itu.  “Me too, friend,” Faris Fauzan menjawab dalam bahasa Inggeris.  Tiba-tiba bahu Faris Fauzan ditolak.  “Apalah,anta ni.  Jawablah dalam Bahasa Arab.  Baru je nak feeling, anta dah ganggu konsentrasi ana,” ujar Isyraf Hamizi.

“Padan muka!  Aku manalah tahu macam mana nak jawab. Aku BA tak pernah lulus tau. Tadi tu aku main serkap jarang je.  Aku selalu dengar orang kata tapi yang aku tahu cuma Allah and Ana.  That’s all.  Kang aku main tebuk, pengsan cikgu BA kita dengar,” Faris Fauzan menjawab dalam nada bergurau.  Gayanya selamba sahaja. Isyraf Hamizi ketawa. Apalah. Ulang jelah balik perkataan tu.

“Oklah.  Ana pergi dulu.  ‘On’ lah email selalu bila ada masa lapang,” pesan Isyraf Hamizi sambil melangkah masuk ke dalam kereta.

“Yeah. No problem.  Set,” Pintu kereta ditutup.  Faris Fauzan menggenggam tangannya dan mengangkat jari kelingkingnya.  Begitu juga dengan Isyraf Hamizi.  Tangannya dikeluarkan melalui tingkap kereta.  Jari kelingking mereka saling bertaut erat.  “Kita akan terus bersahabat,” ujar Faris Fauzan.  Isyraf Hamizi mengiakan.  Jari kelingking mereka dilepaskan.  Isyraf Hamizi menarik tangannya semula ke dalam kereta.  “Jangan biarkan diri anta kesunyian.  Carilah sahabat yang dapat menemani anta ketika anta senang mahupun susah kerana itulah sahabat sejati,” Itulah kata-kata yang keluar dari mulut Isyraf Hamizi sebelum kereta bergerak pergi.

Faris Fauzan menggenggam jari-jemarinya.  “Ya, aku akan cari.  Tapi aku pasti yang aku tak akan jumpa sahabat yang sebaik kau, Isyraf,” kata Faris Fauzan kepada dirinya sendiri.

[[[[[             ]]]]]

 Isyraf Hamizi tersenyum.  Kepalanya disandarkan ke kerusi kereta. Hatinya lapang.  Dia yakin yang menolongnya adalah Allah.

Janji Allah pasti benar.

“Sesungguhnya setiap kesukaran diringi dengan kesenangan.  Dan benarlah setiap kesukaran diiringi dengan kesenangan.

 (Surah al-insyirah: 5-6)

[[[[[   ~TAMAT~   ]]]]]

                     Friendship is an onion.  It has many layers in it.  Add taste to your life, but if you try to cut it you will get nothing but tears.

~Hamba Rabbani~

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s