Cerpen: Sang Murabbi

Assalamualaikum :) Kaif Imanukum? Menaik ke menurun setelah keluar dari Madrasah Ramadhan? Rasanya tak terlambat lagi kan untuk saya mengucapkan salam Eid Mubaraq. Saya, Hamba Rabbani ingin memohon maaf zahir dan batin andai terdapat salah dan silap sepanjang saya menulis di blog ini. Sempena Hari Raya ini, saya ingin menyajikan anda semua dengan sebuah cerpen. Cerpen ni sebenarnya dah lama siap. Cerpen ni juga ialah cerpen pertama saya. Ingat lagi tak cerpen Kerana Cinta dan Tersungkur? Watak2 dlm cerpen itu diadaptasi daripada cerpen inilah. Kiranya, cerpen ni sebagai pemula. Cuma sengaja saya peram atas sebab2 tertentu. Terimalah…

SANG MUROBBI

Segalanya bermula di sini….

 ~

Suasana di kelas 3 Iltizam sungguh bising. Riuh seperti pasar. Masing-masing mengambil kesempatan atas ketiadaan guru.

“Wei, Aqil. Panggillah cikgu.” Hakimi menepuk bahu Aqil, selaku ketua kelas 3 Iltizam.

“Kau lupa ke yang Cikgu Halim dah pindah?”

Aqil menarik sengih. Hakimi menepuk dahi sambil mendengus.  Dengan langkah yang longlai, dia kembali ke tempatnya.

‘Takkan tak ada cikgu back up?’ Hakimi berfikir sendiri.

‘Ah, mustahil!’ Telapak tangannya ditumbuk.  Bibir mengukir senyum.

Selang beberapa minit, seorang lelaki tinggi lampai, berpakaian kemas melangkah masuk. Sempat dia melemparkan senyuman ke seisi kelas. Membuatkan wajahnya yang tampan itu bertambah ketampanannya.  Dengan tenang, dia menghampiri meja guru.

“Assalamualaikum…” Salam kesejahteraan dilontarkan. Dia datang ke kelas tanpa membawa walaupun sebuah buku. Ajaib.

“Ana murabbi baru di sini.  Ana akan menggantikan Cikgu Halim.  Boleh panggil ana Ustaz Farhan.” Tutur lelaki itu dengan seraut wajah yang tenang. Pelajar di hadapannya langsung tidak bangun menunjukkan rasa hormat.  Malah ucapan salamnya juga tidak bersambut. Ada yang dengan selambanya meletakkan kaki di atas meja sambil membaca komik. Heh, cubaan…

“Ceh, ustaz konon.” Seorang pelajar bertubuh tinggi mencelah dengan gaya memperlekeh. Ustaz Farhan memandang tanpa mengendurkan senyuman di bibir.

“Anta ada apa-apa masalah dengan panggilan ‘ustaz’?”

“Kalau macam tu baik ajar kelas agama.” Biadap. Dia sengaja hendak menaikkan kemarahan ustaz muda di hadapannya. Malangnya, sebaliknya yang berlaku.

“Oh, itu rupanya. Kalau begitu, terpulanglah kepada anta hendak panggil ana apa.”

Ustaz Farhan ketawa. Kepala pelajar itu digosok. Mesra. Semua mata membesar tidak percaya.

“Sebenarnya…memang ana nak ajar agama pun.” Ustaz Farhan mengangkat kening dua kali. Dengan sebelah tangan menyeluk poket, dia bergaya selamba.  Semua pelajar terkejut. Bukankah ini kelas sains? Bagaimana boleh jadi kelas agama?

“Sains ini…” Dia memandang seisi kelas.

“…ada bersangkut-paut dengan Allah dan ciptaan-Nya. Kira belajar agamalah tu.” Ustaz Farhan seperti mengetahui kekusutan fikiran pelajarnya.  Semua pelajar terdiam. Sains ada kaitan dengan Allah? Selama ini mereka tidak nampak semua itu.

“Pergi bla, lah…Nak ceramah kat surau. Buat sakit telinga je.” Pelajar bertubuh tinggi itu berbicara kasar.

Ustaz Farhan memandangnya.  Tenang dan langsung tidak menunjukkan wajah marah.

“Siapa nama anta?” Tangannya ditundingkan lurus ke arah pelajar tersebut. Pelajar itu sedikit terperanjat.

“Aku?” Dia menunjuk dirinya. Ustaz Farhan mengangguk.

“Aku, Anas. A.N.A.S.” Pelajar itu berkata bangga. Siap mengeja lagi namanya. Ustaz Farhan diam. Semua pelajar cuba menduga apa yang akan dilakukan oleh lelaki itu. Semua menjangka Anas akan dihukum.

“Anas ye? Sedap nama tu.” Ustaz Farhan bersuara setelah mendiamkan diri agak lama. Hatinya berbisik; ada sekeping hati yang perlu diubah.

“Kenapa?  Nama ustaz tak cukup sedap ke?” Seorang pelajar lelaki mencelah disambut gelak tawa seisi kelas.  Gayanya lebih kurang Anas.  Suasana menjadi semakin riuh.

Aha! Senyuman Ustaz Farhan melebar.  Nampaknya bukan hanya sekeping hati yang perlu diubah.  Dia perlu mengubah banyak hati.

Hakimi yang diam di tempat duduknya tertarik dengan cara Ustaz Farhan.  Tenang dan bersahaja.  Tidak sedikit pun tergugat.

“Ah!  Rehat nanti aku nak jumpa dia.” Hakimi memasang tekad.

                     Mesti.

Senyuman yang terukir di bibir Hakimi tidak kalah lebarnya dengan senyuman Ustaz Farhan.

*****

“Ha! Anta Hakimi kan?” Hakimi tersentak sedikit apabila bahunya dipeluk mesra dari belakang.  Spontan dia menoleh.  Kepalanya digerakkan sedikit tanda tidak suka diperlakukan begitu.  Hakimi tidak suka dimanjakan.

“Asif…asif….” Ustaz Farhan yang menyedari raut wajah Hakimi yang kelat pantas menurunkan tangan dan menepuk lembut bahu Hakimi.  Hakimi mengangguk.  Dalam hati terdetik rasa kagum melihat kemesraan Ustaz Farhan tanpa membezakan taraf di antara mereka.

“Syurbah?” Ustaz Farhan menunjukkan bekas makanannya yang lutsinar.  Kelihatan sup yang masih panas dan nampak menyelerakan.  Hakimi menggeleng.  Terasa segan pula.

“Jangan segan dengan ana.  Jom masuk.” Ustaz Farhan menggosok kepala Hakimi sebelum masuk ke dalam bilik kerjanya.  Bilik itu sederhana besar sahaja.  Dikongsi dengan seorang guru lagi.  Bilik itu hanya memuatkan dua buah meja dan kerusi.  Hakimi serba salah mempersilakan Ustaz Farhan duduk.

“Ustaz…du…” Ayat Hakimi tergantung di situ.  Ustaz Farhan tanpa rasa kekok duduk bersila di atas lantai yang beralaskan tikar getah.  Hakimi tersengih sambil menggaru belakang kepala.  Dia mendekati lelaki itu dan bersila di sebelahnya.

“Hah, makanlah.”

Ustaz Farhan meletakkan semangkuk sup yang masih berasap di hadapan Hakimi.  Terliur Hakimi apabila bau sup itu menusuk-nusuk rongga hidungnya.  Sudu terus dicapai dan sup dihirup dengan lahapnya.

“Argh, panas!” Lidah dijelirkan.  Ustaz Farhan hanya tersenyum sambil tenang menghirup supnya.

“Mesti lupa baca basmalah.” Tegur Ustaz Farhan tanpa mengalihkan pandangan dari mangkuk supnya.  Hakimi termalu sendiri.  Dia mengaku terlalu gelojoh.

Ustaz Farhan memandang Hakimi.  “Anta dapat nombor satu kan tahun lepas?”

Hakimi tersenyum mengangguk.  Sup dihirup lagi.  Emm, memang sedap.  Ada bakatlah ni.

“Mabruk, mabruk.” Ucap Ustaz Farhan sambil meramas rambut ikal Hakimi.  Senyuman Hakimi mengendur digantikan dengan sengihan yang tidak bermaya.  “Heh, tidak sesusah mana pun nak dapat nombor satu.  Mereka langsung bukan saingan saya.” Jujur Hakimi membalas.  Bukan hendak bongkak tetapi itulah kenyataan.  Dia mendapat nombor satu dengan mudah sekali.  Dengan 5A, dia sudah mendapat nombor satu.  Yang lainnya, satu A pun tiada.  E adalah.

Ustaz Farhan memandang kelas 3 Iltizam dari tingkap biliknya.  Kelas itu sepeti biasa riuh dengan suara pelajar-pelajarnya.  Teruk sangatkah mereka?

Perlahan-lahan bibirnya menggaris senyuman.

“Kuatkan usaha anta.  Lepas ni anta akan ada saingan.” Tenang dia berbicara.  Yakin.

“Ustaz yakinkah dapat ubah mereka?” Hakimi seperti tidak yakin.  Wajah bersih itu dipandang dengan kening yang terangkat.

“InsyaAllah.  Ana hanya berusaha.  Allah yang memberi natijahnya.  Dia yang akan mengubah hati-hati yang dikehendaki-Nya.” Dada Hakimi ditepuk.  Satu semangat seakan mengalir di dalam diri Hakimi.  Yakin.  Ya, dia harus yakin.  Yakin dengan kuasa Allah.

Terkoyak senyuman di bibir Hakimi.  Mungkin Ustaz Farhan rahmat bagi mereka.  Sang murabbi yang akan menyentuh hati-hati mereka dengan tarbiyah.  Murabbi yang akan mengubah hati dan jiwa mereka.

“Ustaz kena banyak bersabar dengan mereka.” Hakimi mengingatkan.

“Tidak cukupkah kesabaran ana tadi?”

“Mereka lebih dahsyat dari apa yang ustaz sangkakan.”

“Ketahuilah perancangan Allah lebih dahsyat daripada apa yang kita sangkakan.”

Hakimi terpempam.  Lidahnya kelu bagaikan terkunci.  Lelaki di hadapannya ini sungguh mengagumkan.  Sentiasa berfikiran positif.  Bersangka baik dengan Allah.  Keyakinan yang kuat tertancap dan langsung tidak tergugah.

“Yakinlah, Allahu ma’ana.” Lanjut Ustaz Farhan lagi.  Bibirnya menggaris senyuman membentuk garisan melengkung di pipi kiri.  Hakimi hanya menggelengkan kepala.  Yakin sungguh.

Ustaz Farhan mengambil mangkuknya dan mangkuk Hakimi yang sudah kosong. Mangkuk itu dibasuh di sinki.  Cekap sungguh ustaz itu membuat kerja.  Selepas itu, tangannya dilap dengan kain yang tersangkut di sebelah sinki.

“Eh, ustaz nak pergi mana?  Rehat ada sepuluh minit lagi.”  Tanya Hakimi apabila dia melihat Ustaz Farhan sudah keluar menyarung seliparnya.  Jam di tangan dijeling sekilas.  Memang betul.  Banyak masa lagi.  Dia belum puas berborak dengan Ustaz Farhan.

“Pergi surau.  Solat Duha.” Ustaz Farhan bergerak menjauhi biliknya.  Hakimi semakin kagum.  Inikah yang dinamakan qudwah qabla dakwah?

“Ustaz solat duha setiap hari ke?” Soalan Hakimi dibalas dengan senyuman.  Tangan diangkat sambil kaki bergerak menghampiri musolla yang tidak jauh dari biliknya itu.

Bibir Hakimi merekah dengan senyuman.  Adakah aku hendak melepaskan pahala di hadapan mata?

“Ustaz, tunggu…” Hakimi segera menyarungkan kasutnya.  Terkocoh-kocoh dia mengejar Ustaz Farhan yang semakin jauh darinya.

“Kenapa?” Ustaz Farhan mengangkat kening.

“Ustaz fikir saya nak biarkan ustaz masuk syurga seorang diri?” Dia menyeluk poket.  Ustaz Farhan tersenyum lagi.

“Jom.” Bahu Hakimi dirangkul. Mereka bergerak bersama ke musolla.

*****

Ustaz Farhan mencoretkan dakwat ke papan putih. Rajah-rajah dilukis dengan kemas. Nota yang ringkas dan padat. Menarik. Tambahan lagi tulisan ustaz itu memang cantik dan kemas.

Hakimi memandang sekelilingnya. Nampaknya cuma dia seorang sahaja yang melakarkan nota itu di buku tulisnya. Yang lain membuat kerja sendiri. Ada yang tidur. Ada yang berbual. Tak kurang juga yang membaca komik di bawah meja. Hakimi tersengih. PMR sudah berdiri di hadapan pintu diorang boleh sambil lewa lagi? Heh.

“Ana hanya berusaha.  Allah yang memberi natijahnya.  Dia yang akan mengubah hati-hati yang dikehendaki-Nya.”

Kata-kata Ustaz Farhan melintas di benaknya. Sambil itu tangannya tidak berhenti daripada menyalin.

Ustaz Farhan leka melukis gambar pendawaian elektrik di papan putih. Siap sahaja melukis gambar itu, Ustaz Farhan menutup pen markernya. Matanya diarahkan ke seisi kelas. Hanya Hakimi yang dilihatnya tekun menulis. Yang lain tenggelam dengan dunia sendiri.

Kring!!!

Loceng berbunyi nyaring seiring dengan Hakimi menghabiskan tulisan terakhirnya. Buku ditutup. Dia memandang sekeliling. Semua kawan-kawannya sudah bangun. Ada yang sudah bergerak ke pintu. Begitulah mereka. Guru di hadapan bagaikan halimunan sahaja.

“Eh, tunggu. Siapa beri izin untuk antum keluar?” Ustaz Farhan berbicara tenang sambil menyilang tangan di dada. Semua pelajar terhenti.

“Hei, ustaz. Kami nak rehatlah. Takkan ustaz tak reti tengok jam.” Anas bersuara sinis. Ustaz Farhan membalas dengan senyuman.

“Ana tahulah dah rehat. Tapi ana tak kata pun boleh keluar. Ana pun tak keluar lagi. Patutkah seorang murid melangkah keluar ke kelas mendahului gurunya?”

Anas menggaru kepala. “Ustaz tahu tak? Kitorang dah cukup bosan dengar pasal adab.” Anas melontarkan suaranya. Gaya macam nak cari gaduh.

Hakimi hanya menjadi pemerhati. Adakah peperangan akan meletus?

“Duduk tempat masing-masing.” Arah Ustaz Farhan.

“Apa ni ustaz?” Satu suara kedengaran.

“Kami dah laparlah!” Satu suara lagi kedengaran.

“Duduk!” Arah Ustaz Farhan sekali lagi. Kali ini lebih tegas.

“Kalau kami tak nak?” Cabar Anas.

“Sebagai guru, ana boleh kenakan tindakan disiplin terhadap anta.” Balas Ustaz Farhan. Anas mendengus. Langkah kakinya membawanya ke tempat duduknya. Semua menurut perlakuan Anas.

“Siapa yang dah salin boleh keluar.” Satu arahan jelas dikeluarkan. Hanya Hakimi yang bangun dan berjalan keluar dari kelas. Sempat dia mengangkat ibu jari kepada Ustaz Farhan tanda ‘good luck.’ Ustaz Farhan mengangguk.

“Seorang sahaja?” Ustaz Farhan mengangkat kening. Hei, nampaknya ada 29 hati yang perlu diubah.

“Cepatlah ustaz.” Anas mula hilang sabar.

Ustaz Farhan tersenyum. Dia tidak boleh membalas kemarahan Anas dengan api. Kerana api sifatnya membakar. Jadi sabar itu ialah perisainya.

“Salin.” Tenang Ustaz Farhan mengeluarkan arahan.

“Apa ustaz?” Hampir terjatuh Anas daripada kerusinya apabila mendengar arahan itu. Gila apa?

“Salin apa yang ana tulis kat depan tu.” Balas Ustaz Farhan. Riak wajahnya bersahaja.

“Kalau kami tak nak?” Ada juga suara yang mahu membantah.

“Ingatlah, azab Allah sangat dahsyat.” Jawapan Ustaz Farhan membuatkan semua terdiam. Siapa yang berani mempermainkan nama Allah? Hakimi di luar tersengih. Dia sengaja mengintai di celah tingkap. Hatinya tertarik dengan cara ustaz baru itu. Harapnya dialah sinar yang bakal mengeluarkan mereka daripada kegelapan.

Mulut-mulut pelajar kelas 3 Iltizam mengomel tidak puas hati. Dengan separuh hati, buku tulis dikeluarkan daripada beg. Ustaz Farhan meleretkan senyuman. Dia melabuhkan punggungnya di kerusi. Dia buat semua ini bukan untuk menghukum. Dia bukan hakim untuk menghukum. Dia hanyalah murobbi yang tugasnya mendidik. Dia sendiri mengorbankan masa rehatnya untuk mereka.

“Aku seorang pendidik bukan penghukum.”

Ustaz Farhan berkata di dalam hati.

******

Enjin motor dihidupkan. Motor itu hidup sebentar sebelum mati kembali. Ustaz Farhan menepuk-nepuk motornya. Entah kenapa hari ini motor itu membuat hal pula.

“Kenapa ustaz?” Soal Hakimi yang kebetulan lalu di situ. Ustaz Farhan menggeleng.

“Allah bagi ujian.” Balasnya. Hakimi mengangguk faham.

“Ustaz tukarlah motor baru.” Cadang Hakimi. Ustaz Farhan tersenyum.

“Insha Allah. Kalau yang Maha Berkuasa mengizinkan.”

Hakimi tidak bertanya lagi. Mungkin Ustaz Farhan orang susah.

“Heh, motor buruk buat hal ke?” Kedengaran satu suara sumbang mengejek. Tidak lain tidak bukan pemiliknya ialah Anas. Dia dan kawan-kawannya kebetulan melalui kawasan letak motor untuk pulang.

“Motor buruk, gitulah…” Cemuh seorang lagi kawannya disambut dengan hilai tawa kawan-kawannya yang lain. Anas yang paling kuat ketawa.

“Hantar kat kedai besi buruk je. Entah-entah seringgit pun tak sampai.” Ejek Anas pula. Hakimi megetap bibir. Tangannya tanpa sedar menggenggam penumbuk.

“Kurang a…” Badan Hakimi bergerak ke hadapan tetapi bahunya tiba-tiba disentuh. Hakimi menoleh. Ustaz Farhan menggariskan senyuman.

“Biarkan.”

“Nak gaduh ke Kimi?” Anas sudah ke hadapan. Dia tahu Hakimi bukan lawannya.

“Pengecut. Duduklah bawah ketiak ustaz kau tu. Betina berangan nak jadi jantan. Badan pun tulang je ada hati nak cari gaduh. Tengok oranglah.” Sambung Anas. Sengaja dia hendak memarakkan api kecil yang sedang menyala-nyala di hati Hakimi. Melihat Hakimi senyap, Anas dan kawan-kawanya beredar dari situ.

“Ustaz tak marah diorang ke?” Hakimi bersuara geram. Lagaknya macam tidak puas hati.

“Buat apa nak marah?” tenang Ustaz Farhan membalas. Hakimi menjongket kening. Dia tak marah langsungkah?

“Yalah. Mereka punyalah perlekehkan ustaz.” Balas Hakimi.

Ustaz Farhan ketawa kecil. “Hakimi…Hakimi. Sejak bila ana jadi penghukum.” Kepala Hakimi digosok.

“Eh?”

“Ana hanyalah seorang pendidik bukan hakim yang menghukum.”  Terang Ustaz Farhan. Hakimi terjeda.

“Ana hanyalah seorang pendidik bukan hakim yang menghukum.” 

 

“Ana hanyalah seorang pendidik bukan hakim yang menghukum.”

 

“Ana hanyalah seorang pendidik bukan hakim yang menghukum.”

Kata-kata itu meresap ke dalam jiwa Hakimi.

“Yang selama ni ustaz denda mereka?” Hakimi menyoal.

“Itu ialah tarbiyah. Salah satu cara untuk mendidik.” Jawab Ustaz Farhan.

Hakimi mula keliru.

“Jika seorang ayah merotan anaknya kerana bermain di jalan raya, adakah itu bermaksud ayahnya benci akan anaknya?” Tanya Ustaz Farhan.

Hakimi menggeleng.

“Itu…”

Hakimi berhenti sejenak. “…itu cara mendidik?”

Ustaz Farhan mengangguk. “Macam tulah juga ana. Ana ibarat ayah antum kat sekolah ni.” Tutur Ustaz Farhan ikhlas.

Hakimi tersenyum. Ayah? Terasa janggallah pula. Ustaz ni tua sedikit je dari abangnya. Terlalu muda untuk dianggap ayah.

“Ustaz lulusan mana?” Hakimi tergerak untuk bertanya. Teringin juga nak tahu.

“Kenapa?” Ustaz Farhan bertanya.

“Saje nak tahu. Ustaz lulusan universiti apa?”

“Hmm, yarmouk dengan Cambridge.”

“Wow!” Hakimi kagum. Bukan calang-calang orang ustaz ni. Mesti super-duper genius ni.

“Ustaz ni nak jadi macam Einstein ke?” Spontan terkeluar soalan itu dari bibir Hakimi. Ustaz Farhan menggeleng.

“Buat apa nak jadi macam dia? Ana nak jadi macam Umar Khayyan.” Balas Ustaz Farhan.

‘Wah, mantap jawapan.’ Desis hati Hakimi. Dia tersenyum. Ya tak ya juga? Dunia hari ini terlalu mengagungkan orang kafir. Ilmuwan Islam yang lebih hebat bagaikan tenggelam begitu sahaja. Siapa lagi yang nak mengangkatnya selain daripada orang Islam sendiri?

“Dengan kelulusan ustaz, ustaz boleh dapat kerja yang lebih baik. Kenapa ustaz pilih nak jadi murobbi?” Soalan yang terbuku di hatinya dilontarkan. Yalah, kerja jadi guru ni berapa jelah gajinya.

“Kerja murobbi ialah tugas yang mulia. Ana sedang berusaha nak membina saham akhirat ana. Dunia tu tak ada nilainya berbanding dengan akhirat nanti. Rasulullah sendiri seorang murobbi. Sekarang antum semua ialah amanah Allah kepada ana.” Jawab Ustaz Farhan panjang lebar. Enjin motor dihidupkan. Berjaya.

‘Alhamdulillah.’ Ucap Ustaz Farhan di dalam hati.

Hakimi terkagum sekali lagi. Orang macam ustaz Farhan ni satu dalam sejuta. Guru-gurunya yang lain tidaklah berfikir sampai begitu sekali. Dia dapat merasakan Ustaz Farhan ialah anugerah Allah untuk mereka.

“Soalan terakhir. Kenapa ustaz bersungguh-sungguh ajar kami tentang Allah sedangkan ustaz kan guru sains?” Hakimi bertanya. Sepanjang Ustaz Farhan mengajar, semuanya dikaitkan dengan Allah. Hakimi pun jadi confius. Ni subjek Pendidikan Islam ke Sains?

“Ana ingin bawa antum kepada Allah.”

“Kenapa?”

“Sebab ana mahu pimpin antum ke syurga. Lagipun, ana sayang antum. Ana tak mahu api neraka menyentuh walau sehelai rambut antum walaupun hanya dengan percikan. Bahangnya pun tak nak.” Kata-kata Ustaz Farhan kedengaran ikhlas di telinga Hakimi. Hakimi jadi terharu. Sampai begitu sekali.

“Hakimi.”

Hakimi menoleh. Ustaz Farhan sudah berada di atas motornya.

“Mari ana hantarkan pulang.” Pelawa Ustaz Farhan.

“Eh, bolehkah?”

“Boleh. Apa salahnya. Lagipun hari dah senja. Mari.” Ustaz Farhan menggerakkan kepalanya, mengajak Hakimi naik. Hakimi tersenyum. Dia terus melompat ke atas motor.

“Ana hanyalah seorang pendidik bukan hakim yang menghukum.”

Kata-kata itu berlegar-legar di fikirannya.

Tarbiyah?

Heh.

*********

Kipas berputar ligat mendamaikan penghuni seisi kelas. Tingkap yang sedikit terbuka turut menyumbangkan udara nyaman. Mana taknya, di luar angin sedang bersepoi-sepoi. Beberapa orang pelajar sudah meletakkan kepala di atas meja.

“Keberkatan sesuatu ilmu itu terletak pada keredhaan guru. Pendek kata, bila guru tu redha, senanglah ilmu masuk.” Ustaz Farhan mengakhiri tazkirahnya. Memang setiap kali habis satu bab, Ustaz Farhan akan memberikan sedikit tazkirah.

Hakimi mengagguk-angguk. Betul tu. Buktinya, Ustaz Farhan sendiri. Dia dapat merasakan lelaki itu seorang yang pandai. Al-Quran 30 juz hafal. Datang ke kelas dengan tangan kosong kemudian boleh pula mengajar mereka dengan cara yang menarik sekali. Soalan yang tersimpul dalam kepala mereka tenang diuraikan. Mungkin hormat guru, itulah rahsianya.

“Hah! Ustaz nak sindir kamilah tu.”

Anas berkata sinis. Ustaz Farhan melemparkan senyuman. Sabar kekal sebagai benteng pertahanannya.

“Balik-balik adab, adab, adab. Bosanlah…” Toriq menayangkan wajah bosan.

“Manusia selalu leka. Jadi, mereka perlukan peringatan. Salahkah ana nak berikan peringatan kepada antum, anak murid yang ana sayangi?” Tenang Ustaz Farhan membalas.

“Pirrah! Aku tak perlukan peringatan itu.” Anas bersandar ke kerusi. Kaki dinaikkan ke atas meja. Biadap.

Ustaz Farhan menggeleng. Senyuman semakin lebar di bibirnya.

“Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat untuk orang beriman. Allah sendiri kata dalam surah az-zariyat. Lagipun agama kan nasihat?” Lembut Ustaz Farhan membidas kata-kata Anas.

“Ah, aku dah cukup baik.”

Sombong.

Ustaz Farhan tergelak. “Manusia yang paling dekat dengan Rasulullah adalah yang paling baik akhlaknya.” Pipi Anas disentuh perlahan.

Terkena! Anas terpempam.

“Lihat bagaiman akhlak anta pada ana. Ana guru anta.”

Mata Anas mencerun. “Kenapa aku kena hormat kau?” Tangan dilipat ke dada.

“Sebab ana murobbi yang akan bergerak mengeluarkan anta dari kegelapan.” Ustaz Farhan merapati Anas. Anas berasa cemas. Ustaz muda itu seakan-akan mengeluarkan satu aura yang luar biasa.

“Anas. Ana tahu anta ada masalah. Ceritakan pada ana.” Mata jernih Ustaz Farhan merenung ke dalam mata Anas.

“Ah, apa kau tahu?” Anas menyembunyikan wajahnya. Cuba berlagak tenang. Padahal matanya sudah hangat.

Ustaz Farhan menggosok kepala Anas. Ego anak muda ini sangat tinggi. Sukar diruntuhkan.

“Ana tahu segalanya tentang anta.”

“Segalanya?” Mata Anas membesar. Ustaz Farhan mengangguk. Anas terkedu. Ustaz Farhan menepuk bahu Anas sebelum bergerak ke hadapan kelas. Semua mata memandang Anas. Anas memalingkan wajahnya ke luar.

Betulkah Anas ada masalah?

Kenapa mereka tidak tahu selama ini? Hati-hati mula terasa. Ustaz Farhan seakan-akan ingin menunjukkan sesuatu.

Ukhuwah.

Persaudaraan kerana Allah.

Hakimi tersenyum. Bagaimana dia, yang sudah tiga tahun bersama Anas, langsung tidak tahu Anas mempunyai masalah sedangkan Ustaz Farhan yang tidak sampai 3 bulan mengajar sudah mengetahuinya?

“Menarik.”

Kata-kata itu terluah dari dua bibirnya.

*******

Semua pelajar duduk setelah menjawab salam. Kini mereka sudah ‘pandai’ berdiri apabila guru masuk. Hasil daripada gerak tarbiyah.

“Ustaz, ustaz suka main bola?” Belum sempat Ustaz Farhan duduk, Nasrul terus melontarkan pertanyaan.

“Kenapa?” Tanya Ustaz Farhan.

“Nak main?” Ajak Nasrul.

Terkoyak senyuman di bibir Ustaz Farhan. Mungkin ia boleh menjadi satu cara nak merapatkan hubungan dengan mereka.

“Boleh juga.” Tangan diseluk ke dalam poket. “Petang ni?” Dia bertanya.

Nasrul tersengih. “Lama lagi tu. Apa kata…” Sengihan di bibir Nasrul semakin melebar.

“…sekarang?” Sebiji bola ditendang ke arah ustaz Farhan. Momentum yang tinggi digunakan. Mata Ustaz Fahan membesar. Bola itu sudah dekat benar. Dengan dua tangan yang masih berada di dalam poket, sukar dia hendak membuat apa-apa.

Bam!

Bunyi yang kuat kedengaran.

“Booo!!!” Satu kelas bersorak.

“1-0” Laung Toriq di celah-celah keriuhan.

Rahman mendapatkan Nasrul.

“Kau okay Rul?” Bahu Nasrul ditepuk.

Nasrul menggosok pipi yang terasa kebas. Siapa sangka yang Ustaz Farhan akan menunduk di saat-saat akhir? Akhirnya bola itu dilantunkan oleh dinding dan melibas tuannya.

“Nasib baik je tu. Ini Lionel Messilah!” Nasrul bingkas bangun.

Bam! Sebiji bola menghentam wajahnya. Nasrul terduduk semula. Mukanya yang cerah bertukar menjadi merah.

“Jef…” Matanya menikam ke arah Jefry yang tenang berdiri dengan bersilang tangan di dada. Jefry tersengih.

“Mido silap masuk gol.” Dia berbicara selamba. Nasrul mendengus.

Hakimi menahan tawa dari belakang. Tadi Jefry menyerang Ustaz Farhan. Ustaz itu hanya menyendengkan tubuhnya ke tepi. Bola itu terus melantun ke arah Nasrul.

“Nasrul anta okay ke?” Ustaz Farhan bertanya. Dia sendiri masih dihambat kejutan. Diserang pelajar dengan bola? Boleh masuk surat khabar ni.

“K.O.” Nasrul bersuara. Ustaz Farhan tersenyum.

Ssss….

Sebiji bola bergerak ke arah Ustaz Farhan. Bukan sebiji, tetapi tiga biji. Ustaz Farhan mengelak. Dua biji bola pula datang. Terangkat kening Ustaz Farhan. Eh, diorang ni berpakatkah?

Ustaz Farhan menangkap dua bola itu dan dilontarkan ke lantai kelas. Sepuluh biji bola datang. Ustaz Farhan cekap menangkap dan sesekali mengelak. Serangan bola bertali arus. Semakin lama, bilangan bola semakin bertambah. Dan…

Dush!

Sebiji bola mengenai batang hidungnya.

Golllllll!!!!

Sorakan bergema di seisi kelas.

“Akhirnya Renaldo berjaya menjaringkan gol. 1-0.” Anas mendabik dada. Sebiji bola sepak berputar di atas jarinya.

Ustaz Farhan menggosok hidung. Sakit.

*********

Esoknya, Ustaz Farhan datang ke kelas dengan wajah yang merah. Marahkah? Tak, bukan kerana marah. Wajah itu kelihatan pucat.

Ustaz sakitkah?

Hakimi mula risau. Sepanjang pembelajaran, Hakimi tidak dapat fokus. Fikirannya menerawang.

Betulkah ustaz sakit? Tapi kenapa ustaz nampak begitu bertenaga?

Dia hairan. Muka macam mayat hidup, tapi gerak lakunya macam atlet negara. Bersemangat. Wajahnya sentiasa dilumuri senyuman.  Habis kelas, Ustaz Farhan memberikan sedikit tazkirah. Kali ini berkenaan ujian.

“Tazkirah lagi.” Anas bersuara kuat, sengaja mahu menyakiti hati ustaz muda itu. Ustaz Farhan, tanpa menghiraukan Anas, terus menyampaikan pengisiannya.

“Ujian ialah tanda kasih sayang Allah pada kita. Bukankah ujian dapat memadam dosa? Dengan ujian juga, Allah sengaja hendak menarik perhatian kita yang mungkin terlalai daripada mengingatinya. Ujian juga ialah tarbiyah dari Yang Esa.” Terang Ustaz Farhan.

Anas mencebik. Menyampah. Tiba-tiba bahunya disentuh dari belakang. Anas spontan menoleh.

“Kau…” Hakimi menurunkan tangannya dari bahu Anas. “…jangan kurang ajar sangat dengan ustaz.” Tegas Hakimi menegur.

Senyuman mengejek bergayut di bibir Anas.

“Heh, kau tu, baik sangatkah?” Anas membuat gaya memperlekeh.

Hakimi terdiam. Gaya Anas membakar kemarahannya. Sabar, Hakimi, sabar.

“Marah ialah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah agar anta dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.”

Kata-kata Ustaz Farhan membelai hati Hakimi. Hakimi tersengih.

“Aku tak kata aku baik. Tapi sekurang-kurangnya aku berusaha.” Tutur Hakimi. Anas tercabar melihat ketenangan Hakimi.

“Hey, aku lebih mulialah daripada ustaz kau tu.” Cemuh Anas. Hakimi menjongketkan kening sebelah.

“Siapa kata?”

“Aku lebih kaya daripada dialah. Pakai motor buruk. Miskin merempat.”

Menghina. Tabiat buruk yang sudah sebati dalam diri Anas. Dia yang merupakan anak seorang hartawan, sering bermegah-megah dengan harta ayahnya.

“Wah, ini sudah lebih….” Darjah kemarahan Hakimi terus meningkat. Ibarat api disimbah petrol, marah yang sudah reda meluap kembali. Sudahlah Anas ini tidak menghormati guru, boleh pula dia menghinanya. Macam manalah ilmu nak berkat.

“Kau..” Hakimi mencengkam bahu Anas. Tangannya dikepal mejadi penumbuk.

“Hakimi.”

Satu suara menghentikan Hakimi. Hakimi melepaskan bahu Anas. Anas memalingkan wajahnya ke hadapan. ‘Padan muka.’ Desis Anas.

“Anas, ada apa ni?” Ustaz Farhan sudah berdiri rapat antara meja Hakimi dan kerusi Anas. Anas meletakkan kepala di atas meja.

“Ustaz tanyalah dia.” Dia menunjuk ke arah Hakimi.

“Hakimi?” Ustaz Farhan memandang Hakimi.

“Tadi dia hina ustaz.”

“Jadi?” Ustaz Farhan membesarkan mata.

“Mujur ustaz datang. Hampir sahaja saya tak dapat kawal kemarahan saya. Tapi jangan risau. Saya masih ingat pesan ustaz. Saya ni anak murid yang baik tau.” Hakimi menepuk dadanya dua kali.

Ustaz Farhan ketawa.

“Anta menggusarkan hati ana.” Kepala Hakimi diramas. Hakimi tersenyum.

“Lain kali jangan pedulikan apa yang dia kata tentang ana. Ana tak kisah.” Pesan Ustaz Farhan.

“Ustaz tak marahkah?” Hakimi bertanya.

Ustaz Farhan tersenyum. “Hakimi, sudah berapa kali anta tanya soalan itu?”

“Errrr…” Hakimi mengangkat jari cuba membilang. Akhirnya tangannya dijatuhkan. Sudah tidak terkira.

“Dan jawapannya?”

Senyuman Hakimi tertarik sedikit.

“Ana hanyalah seorang pendidik bukan hakim yang menghukum.”

Hah!

Sekali lagi kepala Hakimi digosok. Hakimi membiarkan. Dia senang diperlakukan begitu.

“Jom kita rehat sama-sama.” Ustaz Farhan menarik Hakimi ke dalam rengkulannya. Rapat. Hakimi dapat merasakan bahang panas.

“Eh?” Hakimi baru perasan yang semua mata terarah padanya. Ajaib. Bukan sebab mereka melihat pada mereka berdua. Tetapi..

Hakimi memandang jam. Sudah lima minit waktu rehat berlalu. Namun semua tidak berganjak dari tempat masing-masing. Hakimi tersenyum. Satu peningkatan.

Ustaz Farhan tersenyum senang. Dia bergerak keluar.

“Hari ni ana belanja!”

*******

Hakimi menghirup kuah tomyamnya perlahan-lahan. Sedap. Lagi sedap sebab free. Hakimi memandang Ustaz Farhan di hadapannya. Ustaz itu sekadar menjamah roti sahaja.

“Ustaz sakitkah?” Soal Hakimi. Wajah pucat gurunya diperhati.

“Ana nampak macam orang sakitkah?” Ustaz Farhan bertanya kembali.

“Errr…muka ustaz, pucat.” Hakimi mengangkat tangan, ingin menyentuh dahi Ustaz Farhan. Ustaz Farhan menahan.

“Tak mengapa.” Tangan Hakimi dilepaskan. Hakimi menjatuhkan tangannya. Tangan sebelah lagi menggosok-gosok tangan itu. Tangan Ustaz Farhan amat panas.

“Ustaz demamkah?” Dia bertanya. Risau.

“Sikit je. Jangan risau.” Kepala Hakimi diramas. Bahang panas mengalir ke kepala Hakimi.

Hakimi tidak puas hati. “Ustaz demam panas ni.”

Ustaz Farhan tersenyum. “Tak ada apalah, Hakimi. Anta ni, risau sangat.”  Ustaz Farhan menguyah roti di tangannya. “Heh, mereka tu memang tak terjangka ya?” Tiba-tiba Ustaz Farhan bersuara.

Hakimi mengerutkan dahi.

“Oh, pasal semalam tu ke?” Bibir Hakimi menarik sengih.

“Hmm…masih terasa sakitnya lagi.” Ustaz Farhan tergelak sambil memicit hidungnya.

“Itu salam perkenalan dari Anaslah tu.”

“Dia minat main bola?” Tanya Ustaz Farhan.

“Paling teror kat sekolah ni. Penjaring gol paling banyak.” Hakimi memberitahu. Ustaz Farhan mengangguk.

“Ah, dah lambat.” Ustaz Farhan bingkas berdiri. Jam dipergelangan tangan dipandang. “Tinggal 7 minit je lagi.” Dia bersuara.

“Ustaz nak pergi mana?” Hakimi turut berdiri.

“Macam biasa.” Ustaz Farhan mengangkat kening dua kali. Hakimi tersenyum. Solat Duha.

“Saya ikut.” Balas Hakimi. Dia bergerak ke sebelah gurunya itu. Semenjak dia rapat dengan Ustaz Farhan, dia juga semakin aktif menunaikan solat Duha. Walaupun bukan setiap hari seperti Ustaz Farhan.

“Apa yang buat ustaz rajin buat solat Duha? Kan solat sunat je.” Pernah satu hari Hakimi bertanya.

 

Ustaz Farhan memandang wajah Hakimi sebelum menjawab, “Solat itu kan satu ketenangan. Apa yang lebih menenangkan selain bertemu dengan Allah dan merayu kepada-Nya?”

 

Itu jawapan Ustaz Farhan.

“Hakimi, jom.” Tiba-tiba Hakimi terasa lehernya panas. Rupa-rupanya lehernya dirangkul Ustaz Farhan.

“Jom.” Hakimi menggerakkan kepalanya. Mereka berjalan menuju ke  satu destinasi.

Surau.

********

Hari ini, Ustaz Farhan tidak datang. Kelas seperti biasa bertukar menjadi pasar. Riuh.

“Wei, kenapa Ustaz Farhan tak datang?” Soal Waziq, penolong ketua kelas di 3 Iltizam. Dia mula terpikat dengan peribadi Ustaz Farhan.

“Dah mampus kot.” Anas menjawab kasar. Beberapa orang pelajar menyambut bicara Anas dengan gelak tawa yang menyakitkan. Hakimi hanya memekakkan telinga. Lantak dioranglah. Hakimi sendiri tertanya-tanya. Kenapa Ustaz Farhan tidak hadir? Makin terukkah demamnya?

Serta-merta wajah pucat Ustaz Farhan semalam terbayang di ruang matanya. Hatinya dipaut rasa gelisah.

“Assalamualaikum…” Satu suara lembut menyapa gegendang telinga Hakimi. Hakimi memandang pintu masuk kelas. Seorang wanita, berjubah hitam dan bertudung krim berdiri takzim di hadapan pintu. Senyuman manis bergayut di bibirnya.

“Kelas 3 Iltizam?” Dia bertanya.

“Ya, err…ustazah.” Aqil selaku ketua kelas menjawab.

Wanita itu mengagguk. Dengan tertib, dia melangkah masuk ke dalam kelas. Di tangannya terdapat buku teks Science Tingkatan tiga.

“Pheeewwwit..Awek cun tu.” Anas memetik jari. Sengihnya melebar. Matanya tidak lepas daripada memandang guru itu. Memang cantik.

“Nama ana Farihah. Ana akan menggantikan Ustaz Farhan buat sementara waktu.” Wanita itu bersuara dengan suara yang sedikit tegas. Sepasang mata yang terlindung di sebalik cermin mata memandang ke seisi kelas.

“Ustazah cantiklah.” Kedengaran suara sumbang Anas. Ustazah Farihah pantas mengalihkan pandangan ke empunya suara. Senyuman di bibirnya mati. Itu tanda dia tidak suka akan perlakuan Anas yang dianggap kurang ajar. Langsung tidak menghormatinya sebagai guru.

“Sekali lagi ana dengar ada sesiapa yang berani berkata macam dia…” Jari telunjuknya lurus mengarah pada Anas. “…tindakan akan diambil. Jangan ingat ana main-main.” Amaran keras dikeluarkan. Dia merasakan yang dia tidak boleh memberi muka kepada pelajar lelaki. Bahaya. Boleh jadi fitnah nanti.

Anas menunduk malu. Air liur ditelan.

“Mak aih, garangnya. Kalah harimau. Makan hatilah nampaknya aku.” Anas kecut perut digertak sedemikian rupa. Pun begitu, matanya masih tertancap pada wajah ayu itu.

Hakimi tersengih di tempat duduknya. Padan muka! Itulah berani lagi. Dia memandang Ustazah Farihah di hadapan. Tangan diangkat.

“Ya, kat belakang tu?”

“Ustazah, kenapa Ustaz Farhan tak datang?” Hakimi memberanikan diri bertanya.

“Dia tak beberapa sihat.” Jawab Ustazah Farihah.

“Terukkah sakitnya?” Tanya Waziq pula. Ustazah Farihah tersenyum.

“Ana baru sahaja masuk hari ni. Kenapa tanya ana?” Jawapan Ustazah Farihah membuatkan Waziq termalu sendiri. Hakimi terus menepuk dahi. Terlupa pula.

“Minta maaf, ustazah.” Waziq bersuara perlahan. Ustazah Farihah mengangguk.

Ustazah Farihah membelek-belek buku teksnya. “Dah sampai mana antum semua belajar?”

“Dah habis, ustazah.” Satu kelas menjawab.

“Habis?” Ustazah Farihah tidak percaya. Kalau macam tu, dia nak mengajar apa?

“Betul, ustazah. Sekarang kami sedang membuat latihan untuk PMR. Kemudian kami sama-sama buat aktiviti hamba.” Jawab Aqil, selaku ketua kelas.

“Aktiviti hamba?” Ustazah Farihah bertanya.

“Ustaz Farhan yang bagi nama tu. Maksudnya aktiviti kita sebagai hamba. Macam solat sunat, baca al-Quran, zikir-zikir. Ustaz kata, kalau nak berjaya kena minta pada Yang Maha Berkuasa. Kita ni cuma hamba.” Hakimi pula menjawab. Ustazah Farihah mengangguk-angguk. Perasaan kagum berputik terhadap lelaki bergelar Ustaz Farhan itu.

“Tayyib. Jadi ana tak payah mengajarlah ni?” Buku di tangan ditutup.

“Lagi kami suka ustazah..” Jawab Anas pantas.

Semua mata memandang ke arahnya.

“PMR lah, bro. Beringatlah sikit.” Qayyiem menegur. Beberapa orang mengiakan. Hakimi terkejut. Wah, sejak bila diorang kisah dengan PMR? Satu peningkatan.

Ustazah Farihah tersenyum. Buku diletakkan di atas meja.

“Baiklah, hari ni kita ta’arruf.”

Sesi ta’arruf pun bermula.

*********

Hari-hari berlalu tanpa kehadiran Ustaz Farhan. Jiwa-jiwa terasa kosong. Perasaan aneh menjalar ke dalam hati mereka. Rindu. Rindu untuk mendapat pengisian. Semua terasa kecuali…

“Kalau sampai hujung tahun macam ni kan best.”Anas berbicara selamba. Semua tidak mengendahkannya. Selama ini, Ustaz Farhan yang selalu memberi tazkirah kepada mereka. Selalu mengajak mereka beriadah bersama. Selalu juga bersila makan sedulang bersama mereka. Mereka merasa kehilangan sesuatu. Mustazhil Ustazah Farihah dapat mengisi tempat ustaz Farhan. Dia perempuan. Setakat bagi tazkirah tu bolehlah. Makan sedulang? Beriadah sama-sama? Heh, mustahil…

Hakimi menongkat dagu. Bosan. Tak ada sesiapa lagi yang menemaninya solat Duha. Perasaan rindu menjengah. Hakimi memegang kepalanya. Rindu akan sentuhan Ustaz Farhan. Tiada siapa lagi yang meramas rambutnya macam selalu. Merangkul bahunya.

Huh!

Nafas dihela lemah.

“Hakimi, anta tolong perhatikan Anas.”

“Hah?”

“Anta tolong tengok-tengokkan dia. Sesekali bagilah peringatan. Tapi jangan kasar-kasar. Nanti dia makin jauh.” Terang Ustaz Farhan.

“Ish, tak naklah. Nanti dia bagi saya sebijik macam mana?” Hakimi menolak. Anas tu dahlah taiko kat kelas. 

“Tak, insya-Allah. Dia sahabat anta. Anta tak sayang dia ke?” Tangan Ustaz Farhan bergerak meramas kepala Hakimi.

Hakimi tersengih. Sayang?

“Heh. Saya tengok ustaz yang sayang dia.” Hakimi membalas.

“Mestilah. Dia anak murid ana. Anta pun ana sayang juga.” Bahu Hakimi ditepuk lembut.

“Anas, Anas. Bilalah engkau nak berubah?”

Hakimi bermonolog sendiri. Anas yang sedang bersandar dengan kaki di atas meja dipandang.

**********

Sudah genap seminggu Ustaz Farhan tidak hadir ke sekolah. Kelas berjalan seperti biasa dengan bimbingan Ustazah Farihah. Dia giat memberi soalan ramalan PMR. Terutamanya kertas dua.

“Ah, nak pecah kepala aku tengok soalan ni.” Anas mendengus kasar. Kepalanya diramas, gaya orang tertekan.

Tok! Tok! Tok!

Pintu kelas diketuk diiringi ucapan salam. Anas meletak pen di tangan. Pandangan dihala ke luar kelas. Matanya membesar.

Di hadapan pintu, seorang lelaki berdiri dengan tenang dengan tangan disilang ke dada. Bibirnya dihiasi senyuman menyenangkan.

“Ustaz Farhan!” Hakimi sudah terlebih dahulu menjerit. Ustazah Farihah yang sedang duduk di meja guru terus memandang ke muka pintu. Perasaan malu menjengah.

Ustaz Farhan melangkah masuk dan mendekati meja guru. Tangan diletak atas meja. Wajahnya ditundukkan, memandang Ustazah Farihah yang sedang duduk. Ustazah Farihah yang segan, pantas menundukkan wajahnya. Wajahnya sudah merah. Malu. Jaraknya dengan Ustaz Farhan hanya sejengkal sahaja. Sepanjang Ustaz Farhan berbicara dengannya, Ustazah Farihah hanya diam sahaja. Sesekali dia mengangguk. Hilang sudah pewarakannya yang tegas selama ini.

“Saya keluar dulu. Assalamualaikum…” Ustazah Farihah bangun dari mejanya setelah beberapa ketika. Tanpa mengangkat wajah, dia berjalan keluar dari kelas. Ustaz Farhan berdiri di samping meja guru.

“Eh?” Dia terperasankan sesuatu. Sebuah telefon bimbit berwarna hitam diangkat. Telefon itu tertinggal di atas meja.

‘Pasti milik ustazah tadi.’ Fikir Ustaz Farhan.

“Itu telefon Ustazah Farihah.” Satu suara memberitahu. Ustaz Farhan tersenyum. Tekaannya tepat. Telefon itu dimasukkan ke dalam poket. Mungkin dia boleh pulangkan waktu balik nanti.

“Wah, dapatlah ustaz mengorat Ustazah Farihah yang cantik jelita tu.” Usik satu suara. Ustaz Farhan tidak membalas. Dia menuju ke pintu.

“Hari ni kita solat Duha.” Seulas senyuman tergarit di bibirnya. Semua bersemangat menyahut seruan Ustaz Farhan. Namun ada yang hanya mendiamkan diri. Anas. Hatinya sedang terbakar.

********

Ustaz Farhan mengesat peluh yang merenik di dahi. Pandangan dilontarkan ke tengah padang bola sepak. Di tengah padang, Anas sedang menggelecek bola penuh bergaya. Ustaz Farhan tersenyum. Anak muda itu memang berbakat. Teringat peristiwa dia menjadi ‘pintu gol.’

“Ustaz nak main lagi ke?” Johan, setter pemain bola tampar bertanya. Tadi Ustaz Farhan bermain satu set permainan bola tampar.

“Tak. Nak main bola sepak pula.”

Johan mengangguk. Dia sudah maklum dengan ustaznya yang seorang itu. Setiap petang, dia akan bermain semua permainan. Dia ingin rapat dengan semua murid.

“Okay.” Ibu jari diangkat. Johan bergerak masuk ke posisinya.

“Hakimi, boleh mula.” Dia mengangkat tangan pada Hakimi. Hakimi bersedia di posisinya.

Ustaz Farhan bergerak ke padang bola. Sambil itu matanya meliar ke gelanggang badminton. Tiada orang. Ustaz Farhan hairan. Mana Syu’aib? Selalunya, setiap petang, anak muda itu akan bermain badminton di situ. Tapi hari ni dia tiada pula.

“Eh?” Ekor matanya dapat menangkap kelibat seseorang di bangku, agak jauh sedikit dari padang bola. Berdasarkan susuk tubuhnya, Ustaz Farhan tahu itu Syu’aib. Dia terus menukar haluannya ke arah Syu’aib.

“Assalamualaikum, Syu’aib.” Salam dilafazkan. Syu’aib yang leka menguis tanah mengangkat wajah. Dia sedikit terperanjat melihat lelaki yang sedang berdiri di hadapannya.

“Wa…alaikumussalam. Errr..ustaz.” Dia mengengsot ke tepi sedikit. Ustaz Farhan duduk di sebelah Syu’aib. Bahu mereka bersentuhan.

“Anta ada masalahkah?” Wajah Syu’aib direnung. Syu’aib kelihatan serba salah.

“Kongsikan dengan ana. InsyaAllah, ana cuba tolong.” Ustaz Farhan meletakkan tangan di atas bahu Syu’aib. Syu’aib menunduk.

“Saya malulah, ustaz.” Ujar Syu’aib.

“Tak perlu malu dengan ana. Ana pun manusia, macam anta juga.” Pujuk Ustaz Farhan. Syu’aib menghela nafas lemah.

“Sssaya….saya…suka dengan Ustazah Farihah.” Akhirnya terluah juga kata-kata itu dari dua bibir Syu’aib. Ustaz Farhan mengangkat kening sebelah. Pelajar suka guru? Heih, dunia dah nak kiamatkah?

“Syu’aib, Syu’aib. Anta masih muda. Contohilah Imam Syafi’e yang sudah menghafal Quran ketika berumur 9 tahun. Sekarang bukan masa nak bercinta-cintun. Sekarang masa untuk mempersiapkan diri, sebagai persediaan untuk masa depan pabila lebih dewasa kelak.” Nasihat Ustaz Farhan lembut. Dada Syu’aib ditepuk.

“Anta, Syu’aib ialah tanggungjawab ana dengan Allah. Ana sayang anta. Anta pun kenalah sayang pada diri anta sendiri. Kita lelaki, hanya ada satu nafsu iaitu wanita. Jangan anta kalah dengan nafsu yang satu itu Syu’aib. Kelak anta hanya melempar diri ke lembah kegelapan. Ingat tu Syu’aib. Bila cinta manusia merajai hati, apa lagi yang tinggal untuk-Nya?” Bahu Syu’aib pula ditepuk.

“Cinta manusia ni penat, Syu’aib. Kadangkala mengecewakan. Apatah lagi bila ianya berlandaskan nafsu. Nafsu ni Syu’aib, macam keldai. Bila kita ditunggangnya, kita akan penat. Namun sebaliknya bila kita menunggangnya, kita akan terasa mudah. Jangan biar diri kita ditunggangi nafsu.” Tambah ustaz Farhan lagi. Mata Syu’aib terasa hangat.

“Terima kasih, ustaz kerana mengingatkan saya.” Tulus Syu’aib menuturkannya. Perlahan-lahan, kolam matanya retak dan air matanya tumpah menuruni pipi. Ustaz Farhan memeluk kejap bahu Syu’aib.

“Sama-sama. Setiap manusia memerlukan peringatan. Kita mestilah saling ingat-mengingati.” Pesan ustaz Farhan.

“Ustaz…” Syu’aib mengesat air matanya. Terasa segan pula. Bagaimanalah dia boleh menangis pulak ni.

“Ustaz suka Ustazah Farihah?” Suara Syu’aib kedengaran serak. Matanya yang sudah merah merenung ke anak mata Ustaz Farhan.

“Ana sayang semua orang.” Jawab Ustaz Farhan.

“Cinta?”

Ustaz Farhan terdiam. Seketika kemudian, dia ketawa.

“Heih, Syu’aib, Syu’aib.” Kepala Syu’aib digosok. Syu’aib mengerutkan dahi.

“Nak sedikit air boleh?” Ustaz Farhan mengubah topik. Syu’aib menghulurkan botol air kepada Ustaz Farhan.

“Jazakallah.” Ucap Ustaz Farhan. Air di dalam botol diteguk.Langsung tidak berasa jijik.

“Ustaz tak gelikah?” Soal Syu’aib.

“Kenapa nak geli?” Soal Ustaz Farhan pula.

“Saya kan dah minum. Ustaz pula selamba je teguk air saya. Tak jijik?” Balas Syu’aib. Ustaz Farhan menggeleng.

“Mukmin dan mukmin bersaudara. Mengapa perlu merasa jijik?” Tenang Ustaz Farhan membalas kembali. Botol dipulangkan kepada Syu’aib.

“Oh…” Syu’aib tidak terkata apa-apa.

“Ana pergi dulu. Nak balik rumah. Dah pukul 7 ni. Anta pun terus balik rumah.” Ustaz Farhan bangun. Syu’aib turut bangun.

“Uhibbuka fillah.” Ustaz Farhan mendakap tubuh Syu’aib. Syu’aib hanya kaku. Rasa kekok. Ustaz Farhan tersenyum.

“Pergi dulu!” Ustaz Farhan bergerak pergi. Syu’aib terkaku di tempat dia berdiri.

“Semua orang mukmuin bersaudara?”

Dia mengangkat botol minumannya.

********

“Ustaz!”

Satu suara memanggilnya dari belakang. Belum sempat Ustaz Farhan menoleh, sebiji penumbuk bergerak ke arah kepalanya. Ustaz Farhan bertindak pantas menangkap tangan itu serentak dengan berpusing ke belakang. Anas sedang berdiri di hadapnnya kini.

“Anta hendak apa, Anas?”

Anas terkedu. Pakai ilmu apa ustaz ni?

Tangan Anas dilepaskan. “Kenapa?” Tanya Ustaz Farhan.

Anas tidak menjawab. Sebaliknya, penumbuknya bergerak mencari mangsa. Kali ini batang hidung Ustaz Farhan menjadi sasarannya. Ustaz Farhan yang sudah menjangkanya, cekap menangkap lengan Anas lalu mengunci pergerakannya.

“Not for the second time.” Seloroh Ustaz Farhan merujuk pada hidungnya yang pernah dihentam Anas.

“Lepaskan!” Anas cuba menarik tangannya. Namun pegangan Ustaz Farhan yang kejap menyukarkannya untuk melepaskan tangannya. Ustaz Farhan memandang Anas.

“Apa yang buat anta marah sangat dengan ana?” Wajah Anas dipandang.

“Kau selalu kacau hidup aku. Lepaskan aku!” Anas berteriak marah. Nafasnya turun naik.

“Ana tak rasa ana kacau hidup anta.” Tenang Ustaz Farhan membalas.

“Ah, kurang ajar. Kau sengaja nak cari nahas.”Anas menggerakkan kaki kanannya cuba menendang rusuk kanan lelaki itu. Namun, Ustaz Farhan lebih dulu makan garam. Tendangan itu ditahan menggunakan kakinya.

“Cakap! Kenapa anta benci sangat dengan ana?” Ustaz Farhan meninggikan suaranya. Anas kecut perut. Tidak pernah dia mendengar Ustaz Farhan meninggikan suara begitu.

“Kesabaran kau.” Anas membalas dengan suara yang tidak kurang kuatnya. Wajahnya merah menahan marah.

“Kalau begitu, balik.” Ustaz Farhan melepaskan tangan Anas. Anas menggerakkan tangannya. Kebas.

Ustaz Farhan membelakangi Anas. Enjin motor dihidupkan. Dia melompat ke atas motor.

Pap!

Satu benda keras mengenai belakang kepalanya. Dia segera menoleh. Matanya membesar.

Anas!

Anas yang ketakutan mencampakkan batang kayu di tangannya dan berlari keluar dari kawasan sekolah. Ustaz Farhan menggeleng. Kepalanya disentuh. Sakit. Ustaz Farhan melihat tapak tangannya yang menyentuh kepalanya tadi.

Darah?

Matanya membesar melihat setompok cecair berwarna merah di situ.

“Ustaz?” Hakimi yang sedang menuju ke stor untuk menyimpan bola tampar ternampak kejadian itu. Tangannya dikepal.

“Kau dah melampau, Anas!” Hatinya merasa terbakar. Kesabarannya mula tipis.

“Ini sudah lebih. Jaga kau, Anas!”

Api kemarahannya berkobar-kobar. Dia hanya melihat motosikal Ustaz Farhan bergerak perlahan keluar dari perkarangan sekolah.

********

Suasana di dalam bilik pengetua senyap. Pengetua memandang Anas dengan mata yang mencerlung. Anas menunduk. Bibir diketap.

“Mengaku sahajalah! Kamu yang memukul Ustaz Farhan kan?” Pengetua memukul meja dengan rotan. Anas tersentak.

“Tak. Saya tak buat.”

“Bohong!” Herdik pengetua. Hampir pecah gegendang telinga Anas mendengar herdikan pengetua.

“Kamu kan yang serang dia semalam?” Tekan pengetua. Anas perlahan-lahan mengangguk dengan hati yang pedih. Sekeping hati miliknya tercalar.

“Tak guna punya ustaz!” Hatinya menyumpah-nyumpah.

“Hukumannya, kamu tak boleh ambil PMR!” Satu hukuman dijatuhkan. Perit. Anas memejamkan matanya. Terbayang wajah ibu dan bapanya di ruang matanya.

“Ah, semua tak guna!” Hati Anas berteriak marah.

“Assalamualaikum.” Pintu dibuka dari luar. Ustaz Farhan melangkah tenang ke dalam bilik pengetua. Kepalanya yang berbalut disembunyikan di sebalik kopiah putihnya.

“Apa cikgu buat dengan anak murid ana?” Bahu Anas dirangkul mesra. Macam tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Farhan, betulkah pelajar ini telah memukul kepala kamu?” Tanya pengetua. Ustaz Farhan memandang Anas.

“Cikgu, kes tu dah selesai. Lagipun, itu salah ana.” Ustaz Farhan menangkupkan tangan ke dada.

“Sampai pukul kepala ustaz?” Pengetua tidak percaya.

“Cikgu, perkara tu dah lepas. Izinkan dia ambil PMR. Ana tak mahu masa hadapan dia gelap.” Pinta Ustaz Farhan.

“Betul ni?”

Ustaz Farhan mengangguk.

“Baiklah. Saya nak kata apa lagi. Anas, kali ni kamu selamat.” Pengetua memandang Anas. Anas menunduk.

“Terima kasih, cikgu.” Ustaz Farhan menunduk hormat sebelum menarik Anas keluar. Anas hanya menurut. Mereka berjalan beriringan ke kelas 3 Iltizam.

“Ustaz, kenapa ustaz buat saya macam ni?” Suara Anas kedengaran seperti orang tertekan. Ustaz Farhan terhenti.

“Ustaz sengaja kan nak malukan saya?” Anas memandang serius wajah Ustaz Farhan.

“Ana tak berniat nak malukan anta.” Ustaz Farhan mendepakan tangannya.

“Habis tu, kenapa ustaz beritahu pengetua?” Anas menyoal balas. Matanya menentang mata Ustaz Farhan.

“Ana tak beritahu. Ana janji.” Tutur Ustaz Farhan. Tangan kanan diangkat seperti orang berikrar.

“Anas..” Bahu Anas disentuh. “…jangan campurkan masalah keluarga dengan ana. Ana bukan ayah atau ibu anta untuk anta lepaskan geram. Ana tak sama macam mereka.” Pujuk Ustaz Farhan.

Anas tersentak. “Apa yang ustaz tahu tentang ibu dan ayah saya?”

“Ana tahu anta tertekan dengan mereka. Ibu dan ayah anta selalu bergaduh. Ibu anta sibuk dengan bisnes. Ayah pula asyik tekankan anta dengan pelajaran. Ana tahu, Anas. Tapi, anta sepatutnya bersyukur sebab masih mempunyai ayah dan ibu.” Nasihat ustaz Farhan.

“Apa bezanya ada ayah dan ibu tapi tak guna dengan tak ada ayah dan ibu? Saya sendiri sudah lupa bagaimana rasanya mendapat kasih sayang daripada seorang ibu dan ayah. Ustaz tak rasa apa yang saya rasa!” Anas mula melengking.

“Anas. Ana pernah melalui masa remaja macam anta. Ana tahu macam mana perit dan sunyinya hidup tanpa kasih sayang. Tapi ingat, kasih sayang Allah tak pernah putus, Anas.” Balas Ustaz Farhan. Bahu Anas disentuh.

“Macam mana ustaz tahu?”

“Ana anak yatim, Anas.” Satu kenyataan yang terluah dari bibir Ustaz Farhan membuatkan Anas melutut. Terkejut. Ustaz Farhan anak yatim?

“Cukuplah, Anas. Jangan kerana ayah dan ibu anta, anta melontarkan diri anta ke dalam neraka. Mereka perlukan seorang anak untuk mendoakan kesejahteraan mereka.” Ustaz Farhan mencangkung.

“Kenapa ustaz ambil berat pasal saya?”

“Kerana ana sayang anta.” Tulus kata itu diluahkan.

Anas  terdiam.

“Kerana ana sayang anta.”

“Kerana ana sayang anta.”

“Kerana ana sayang anta.”

Ah! Apa ni?

Air mata berlumba-lumba menuruni pipi Anas. Anas tersandar di tiang. Buat pertama kalinya, Anas terasa dirinya disayangi.

“Argh!” Anas menjerit sekuat hati. Melepaskan segala-galanya. Air mata semakin laju mengalir. Hari ini menjadi saksi tunduknya seorang Anas.

Tiba-tiba tubuhnya terasa hangat. Rupa-rupanya tubuhnya dipeluk oleh Ustaz Farhan.  Lelaki itu menepuk-nepuk belakangnya.

“Masih belum terlambat untuk berubah Anas. Kiamat belum datang lagi.” Lembut Ustaz Farhan memujuk.

“Saya…” Lidah Anas kelu. Perasaan bersalah merantai jiwanya sekaligus menyesakkan dadanya. Dia merasa sungguh bersalah kerana pernah mencemuh, memukul, menghina dan membenci lelaki ini.

“Anas. Kalau ibu dan ayah anta buang anta dalam kegelapan pun ana sanggup tarik anta dan bawa anta kepada cahaya. Kalau mereka tak sayang pada anta, ana ada untuk menyayangi anta. Dan ingatlah, kasih Allah selalu menyertai anta di mana pun anta berada.” Kata-kata Ustaz Farhan melebatkan air mata yang turun di pipinya.

“Maafkan Anas, ustaz. Maafkan Anas.” Anas tenggelam dalam perasaannya. Tanpa segan silu, dia mencurahkan air mata di bahu Ustaz Farhan. Siapa sangka hati yang keras boleh bertukar menjadi sebegini lembut? Anas yang sukar menumpahkan air mata, hari ini menumpahkan air matanya hanya dengan kata-kata. Ustaz Farhan tersenyum. Hatinya senang.

“Terima kasih, Ya Allah. Engkaulah yang melembutkan hati hamba-Mu ini.”

Ustaz Farhan mengulum syukur. Ternyata kepalanya yang cedera dipukul Anas ada hikmahnya.

*********

Anas dan Hakimi berdiri tidak percaya. Di hadapan mereka tersergam megah sebuah villa yang teramat besar. Lebih besar daripada rumah Anas.

“Wau, bapak besar…” Terluah kata-kata itu dari bibir Anas. Matanya tidak berkelip memandang rumah itu.

Ustaz Farhan tersenyum.

“Rumah pinjam je. Kat syurga, rumah lagi besar.” Balas Ustaz Farhan. Hakimi tersengih. Pinjam? Ya, pinjam daripada Allah.

“Jom masuk.” Bahu Hakimi dan Anas dirangkul. Mereka berjalan masuk ke dalam rumah. Sekali lagi mereka terpegun. Cantiknya rumah ni. Lantainya macam cermin kaca. Boleh lihat muka sendiri.

“Ustaz duduk seorang sahajakah kat sini?” Hakimi merebahkan badan ke sofa. Empuk. Mata dipejam. Kalau tidur sedap ni.

“Kenapa tanya?” Ustaz Farhan menyoal kembali.

“Tak adalah. Kalau seorang, boleh saya temankan.” Balas Hakimi. Siapa tak nak duduk rumah macam istana ni?

“Oh, nakal ya…” Kepala Hakimi diluku. Hakimi tertawa.

“Kenapa ustaz naik motor ke sekolah?” Tanya Anas. Teringat pula motor yang menjadi bahan ejekannya dan kawan-kawannya. Kemudian pandangan dilemparkan ke luar rumah. Kereta BMW elok terparkir di hadapan rumah.

“Sengaja. Lagipun, boleh elak kesesakan lalu lintas.” Balas Ustaz Farhan bersahaja. Rambut Anas diramas. Anas mengelak.

“Apa ustaz ni. Hilang macho.” Anas merapikan rambut dengan hujung jari.

Ustaz Farhan dan Hakimi ketawa. Anas, Anas.

“Assalamualaikum…” Satu suara lembut kedengaran. Seorang wanita berdiri di hadapan mereka sambil menatang dulang. Terdapat 3 gelas berisi jus lemon segar di atas dulang tersebut.

“Ustazah Farihah…”Anas dan hakimi berbicara serentak. Adakah….

“Anas, hakimi. Perkenalkan bidadari merangkap permaisuri hati ana, Ustazah Farihah.” Ujar Ustaz Farhan.

Hakimi dan Anas tersenyum. Jangkaan mereka tepat. Ustazah Farihah meletakkan dulang di atas meja.

“Jemput minum.” Ustazah Farihah menunduk sopan dan bergerak ke dapur. Bibir Ustaz Farhan tidak lekang dengan senyuman. Bahagia sungguh nampaknya.

“Aduh, melepas kami!” Anas menumbuk telapak tangan. Berpura-pura kecewa.

“Patutlah hari tu muka ustazah merah. Malu dengan suami rupanya.” Hakimi tergelak. Dia ingat lagi dalam kelas hari tu. Dia pun berdebar-debar tengok jarak Ustaz Farhan dan Ustazah Farihah yang terlampau dekat. Takkan Ustaz Farhan tak tahu kot batas dengan perempuan yang bukan mahram? Rupanya suami isteri…

Ustaz Farhan menyambut bicara Hakimi dengan ketawa. Teringat dia pada Syu’aib yang jatuh hati pada isterinya. Mujur dia tidak gabra. Dia sengaja tak nak menjawab soalan Syu’aib hari itu kerana tidak mahu memalukan lelaki itu.

“Abi…” Seorang kanak-kanak berusia setahun menapak mendekati Ustaz Farhan. Hakimi memandang Ustaz Farhan.

“Ini..anak?” Anas bertanya. Ustaz Farhan sekadar meleret senyuman. Kening diangkat dua kali.

“Ya Allah, comelnya…Tak sangka Ustaz dah ada anak. Ingatkan bujang lagi.” Hakimi mencuit pipi kanak-kanak itu. Anas pula pantas meribanya.

“Siapa nama?” Tanya Anas.

“Iz…qan…” Kanak-kanak itu berbicara pelat. Anas menjongketkan kening. Izqan?

“Nama dia Faiz Fayqan.” Terang Ustaz Farhan.

“Sa…lam..” Tangan comel itu terhulur pada Hakimi. Hakimi menyambutnya. Kanak-kanak itu menarik tangan Hakimi dan menciumnya.

“Sa…lam…” Tangan dihulur pula kepada Anas. Seperti Hakimi, Anas juga menyambutnya. Kanak-kanak itu menarik tangan Anas dan menciumnya. Anas membenamkan wajahnya ke pipi gebu kanak-kanak itu. Lembut.

“Geramnya…” Hakimi mencubit pipi Fayqan. Sudahlah comel, beradab pula tu. Pasti ustaz Farhan yang mendidiknya.

“Abang, ajak anak murid abang makan.” Satu suara melaung dari dapur. Ustaz Farhan bingkas bangun. Fayqan diambil dari riba Anas.

“Isteri ana dah panggil tu. Jom.” Pelawa Ustaz Farhan. Fayqan diletakkan di atas bahu.

Anas menggosok-gosok tangannya. “Ni yang aku tak sabar ni.”Air liurnya terasa kecur. Hakimi membesarkan matanya.

“Kau ni…bab makan…” Bahu Anas dirangkul. Anas tergelak.

Ustaz Farhan telah mengajar mereka sesuatu.

Persahabatan kerana Allah.

Persahabatan dalam keimanan.

Kini hati-hati mereka merasa

Manisnya Ukhuwwahfillah

“Uhibbukafillah.” Jerit Hakimi. Rangkulan di bahu Anas dieratkkan. Sebelah lagi tangan Hakimi menumbuk udara.

“Uhibbukafillah aidhan.” Anas juga menjerit. Lebih kuat daripada Hakimi. Tubuh dirapatkan.

“Heh, apa jerit-jerit ni?” Ustaz Farhan menegur. Anas dan Hakimi tersenyum malu. Lupa pula yang mereka sekarang berada di rumah orang.

Ustaz Farhan tersenyum. Dia tidak marah sebenarnya. Dia gembira. Hatinya berasa lapang.

“Ya Allah, lihatlah. Hati-hati ini berhimpun untuk menggapai redha-Mu.”

*********

~TAMAT~

~Hamba Rabbani~

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s