Cerpen : Untukmu Saudaraku…

palestine_fla-1images (3)

 

Pagi menjelang lagi. Sang mentari tanpa bersungut berkongsi cahayanya dengan seluruh penduduk bumi. Pagi terasa sungguh indah disimbah kehangatannya. Tawa ceria kanak-kanak menambah kedamaian pagi. Namun tidak bagi penduduk tanah bergolak ini. Pagi yang sepatutnya disambut dengan kokokan ayam, disambut dengan bunyi letupan. Pagi yang damai dicemari tangisan ketakutan. Pancaran sang suria pun takut-takut memasuki daerah itu. Hujan yang terdiri dari roket dan peluru berpandu mendahului sinaran hangat dari sang suria. Darah merah mewarnai daerah itu.

Solahuddin menala pandangan ke segenap daerah kecil itu. Daerah yang hampir-hampir dilenyapkan dari peta dunia. Gaza. Nama yang masyhur dengan simbahan darah. Semilir angin menerbangkan bau darah ke rongga hidung Solahuddin. Betul-betul di sebelah kakinya, darah mengalir membentuk anak sungai. Dan terdapat sebuah anak patung arnab dihanyutkan oleh ‘sungai’ itu. Entah siapa pemiliknya. Peluru yang tidak mengenal mangsa itu mungkin sudah menebak pemilik anak patung arnab tersebut.

Bom! Sebuah helikopter yang berlegar-legar di udara melepaskan peluru berpandu ke arah sebuah bangunan. Sekelip mata bangunan yang utuh itu berkecai menjadi serpihan. Orang ramai lari bertempiaran menyelamatkan diri. Bunyi siren kedengaran membingitkan lagi suasana. Tangisan dan raungan berlagu pilu. Tidak lama kemudian, sebuah ambulan tiba. Pekerja-pekerja dari hospital as-syifa’ turun memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa yang tercedera atau lebih tepat lagi dicederakan. Roh-roh berterbangan menuju ke syurga. Para syuhada’ meminang bidadarinya. Hanya segelintir yang masih bernyawa.

Inilah yang berlaku di Gaza saban hari. Tangisan dan raungan sudah lali di sini. Kematian mengintai setiap detik dan ketika.

Solahuddin yang berjaya meloloskan diri ke daerah berdarah ini setahun yang lalu hanya memandang dari kejauhan.  Seorang pekerja yang baru melangkah keluar dari perut ambulan menarik perhatiannya. Seorang sukarelawan perempuan beruniform putih yang terus meluru ke arah runtuhan bangunan tanpa memikirkan keselamatan diri. Hati Solahuddin menggesa kakinya melangkah ke arah sukarelawan itu. Namun kakinya degil, enggan bergerak. Mengingati dirinya yang lalu membuatkan Solahuddin malu sendiri. Mata dipejamkan. Memori lalu kembali mengetuk pintu hati.

*******

“Selepas pembunuhan al-Jabari beberapa minggu lalu, Israel telah melancarkan serangan ke arah orang awam yang menyebabkan 15 nyawa terkorban dan sekurang-kurangnya 120 orang awam cedera di Gaza….”

“Ya Allah!” Isytihad tidak dapat menahan manik-manik halus yang mula bergenang di tubir matanya. Hatinya menjerit meluahkan rasa simpati. Kaca televisyen yang menyiarkan gambar lokasi keganasan Israel ditatap.

“Kenapa PBB hanya mendiamkan diri? Israel sudah menceroboh hak asasi kemanusiaan!” Hati Istisyhad menggumam.

Tap!

Gambar di kaca televisyen berubah. Gambar runtuhan bangunan bertukar ke wajah pemain-pemain bola sepak yang sedang beraksi di padang. Istisyhad pantas menoleh ke belakang. Matanya mencerun.

“Apa?” Solahuddin mengangkat kening. Selamba. Butir-butir pop corn dimasukkan ke dalam mulut.

“Along…” Bibir Istisyhad bergetar memberi amaran.

“Kenapa? Ada hutang ke?” Solahuddin tidak memandang wajah Istisyhad yang sudah memerah.

“Adik kan tengah tengok berita. Janganlah kacau!” Bibir Istisyhad memuncung.

“Ni Malaysia lawan Indonesia. Mana boleh miss. Daripada buang masa tengok berita tu, baik sokong negara sendiri.” Solahuddin merebahkan badan di atas sofa. Matanya tidak beralih dari kaca televisyen. Tiba-tiba pandangannya dihalang. Wajah Istisyhad terzahir di ruang matanya.

“Along, mana lebih penting. Bola ke saudara kita di Gaza yang diserang?”

Solahuddin tersengih. “Bola.”

Isytihad mengetap bibir. Bantal dicampak kepada abangnya.

“Kejamlah along ni.” Tutur Istisyhad.

“Yang adik busy body ni kenapa? Lantak dioranglah. Dah ada pun kapal bantuan yang dihantar ke sana dari Malaysia. Cukuplah tu! Tak payah adik nak sibuk-sibuk.” Komen Solahuddin.

“Along, tiada istilah busy body dalam hal melibatkan nyawa saudara sendiri. Along tak rasa ke yang tengah menangis kat sana tu adik-adik kita dan ibu-ibu kita?”Suara Isytihad kedengaran tegas. Geram pula dia mendengar kata-kata abangnya. Abangnya memang macam tu. Kurang sensitiviti terhadap orang lain. Kurang prihatin dan peka dengan penderitaan mereka. Dari sekecil-kecil hal hinggalah sebesar-besar hal seperti hal Gaza ini. Buat tak tahu sahaja.

“Saudara? Heh. Buang masa je. Along tengok kes Gaza ni tak pernah selesai. Buat susahkan diri je. Tengoklah Marvi Marmara tu. Tak berjaya pun. Ala…pandai-pandai dioranglah nak pertahankan tanah air sendiri.”

“Along tahu tak kenapa hal Gaza tak pernah selesai?”

Solahuddin menjongket kening.

“Sebab ada orang macam alonglah!” Isytihad menyentuh dada Solahuddin. Kemudian, dia berlalu pergi meninggalkan Solahuddin.

Solahuddin seperti biasa hanya memandang ringan. Kata-kata Istisyhad langsung tidak menyentuh tangkai hatinya.

*********

Isytihad membuka peti sejuk. Kosong. Kemudian gadis itu beralih ke almari. Pintu almari dibuka.

Kosong.

Isytihad terduduk di meja makan. Perutnya lapar. Hendak masak, bahan tiada. Mak cik pula belum pulang sejak keluar pagi tadi.

‘Minta along belikan makananlah.’

Isytihad mengeluarkan telefon bimbit. Laju tangannya menaip mesej.

 

Along, tolong belikan makanan. Mak cik  belum balik lagi…

Terima kasih.

 

Belum sampai seminit, mesejnya dibalas.

OK. Sama-sama :) 

 

Senyuman berbunga di bibir Istisyhad. Dia memandang jam. Sudah pukul 1. Sekejap lagi mesti along pulang dari kerja.

Istisyhad hanya mempunyai seorang adik-beradik iaitu Solahuddin. Disebabkan itu, hubungan mereka agak rapat. Lebih-lebih lagi mereka yatim piatu. Ayah mereka meninggal sewaktu Isytihad dalam kandungan dan Solahuddin berusia setahun. Ibu mereka pula meninggal sejurus selepas melahirkan Istisyhad pada tahun berikutnya. Sejak kecil mereka dipelihara mak cik, adik kepada ayah mereka yang tidak dikurniai anak. Mereka hanya dapat merasakan kasih seorang ayah selama lima tahun sebelum suami mak cik meninggal dunia di tempat kerjanya. Selepas itu, Solahuddin yang bertindak menjadi ayah. Apabila Istisyhad dibuli, Solahuddinlah yang melindungi Istisyhad.

Istisyhad menyeka air mata yang mula bertakung di tubir mata. Istisyhad teringin berjumpa dengan ibu bapanya. Kata mak cik, mukanya seiras dengan ibunya. Mata bundar. Hidung mancung. Solahuddin pula seperti ayahnya. Rambut hitam lebat. Mempunyai senyuman yang menyenangkan. Istisyhad menghela nafas perlahan. Kenapa ibu dan ayah pergi awal sangat?

“Ish, aku tak patut mengeluh. Allah hanya menarik sedikit sahaja nikmat daripadaku sedangkan nikmat yang Dia limpahkan padaku tidak terkira. Aku lebih beruntung daripada rakyat Gaza. Aku ada tempat belajar yang selesa, rumah yang luas, kehidupan yang aman dan hidup aku tak diselubungi ketakuatan.” Hati Istisyhad berbicara, memujuk kegalauan tuannya. Istisyhad teringat rakyat Palestin di Gaza yang diserang bertali-arus oleh Israel dengan bantuan Amerika Syarikat. Rasa marah berputik.

“Israel! Kau lupa yang Palestin masih ada saudara di sini. Kau serang mereka dengan bom dan luncuran peluru, kami serang balas dengan tembakan doa kami!” Istisyhad berbicara sendiri. Sayu hatinya mengenangkan saudaranya yang jauh di mata tetapi dekat di hati itu.

“Istisyhad.” Bahunya disentuh tiba-tiba. Spontan tubuh Istisyhad terenjat kerana terkejut.

“Oh, along rupanya. Bila balik?” Istisyhad mengusap dada. Solahuddin sedang berdiri di sebelahnya. Masih berpakaian kemeja dan tali leher.

“Dah 5 minit along terpacak kat sini. Menung apalah adik along ni. Kat meja depan tu ada makanan. Pergilah makan.” Solahuddin berlalu ke biliknya sambil melonggarkan tali lehernya. Istisyhad bingkas bangun apabila abangnya menyebut ‘makanan’. Perutnya sudah berkali-kali merayu minta diisi. Langkah kaki diatur ke ruang hadapan.

“Along beli apa agaknya?” Istisyhad berfikir-fikir.

Sampai di ruang hadapan, Istisyhad terus mendekati meja. Terdapat sekotak makanan. Lambang Mc Donald yang tertera pada kotak itu menghentikan gerak tangannya yang sudah membuka kotak itu separuh. Terlihat double-decker cheeseburger di dalamnya. Nampak lazat.

“Along beli Mc D?” Istisyhad separuh menjerit.

Terbayang di ruang mata Istisyhad kanak-kanak Palestin yang berlumuran darah ditembak oleh peluru dari ‘sumbangan ikhlas’ abangnya. Tergamak abangnya menikam saudara sendiri. Mata Istisyhad sudah terasa hangat.

Solahuddin menjenguk dari biliknya.

“Along nak cepat. Adik kan dah lapar. Mc D boleh drive thru je.” Solahuddin memberi alasan. Dia sudah tahu arah perbicaraan adiknya. Pasti isu Palestin akan dibangkitkan lagi.

“Adik boleh tunggu. Adik tak tahulah berapa ramai yang along akan bunuh dengan beli burger-burger ni.” Istisyhad beremosi. Matanya menjeling 5 lagi kotak burger di sudut meja. Kesemuanya ada enam.

“Kalau along tak boleh derma pada Palestin, tak payahlah berbaik hati nak derma pada Israel!” Luah Istisyhad lagi. Kalau boleh, nak sahaja dia pulangkan kesemua burger-burger ini.

“Stop! Along mana ada sumbang untuk Israel. Along beli. Along tak setuju kalau adik sampai sanggup korbankan kepentingan diri untuk Palestin. Itu dah melebih, dik. Buat apa nak susahkan diri?”

Solahuddin meninggakan sedikit suaranya.

“Along kata adik susahkan diri? Buat pengetahuan abang, adik langsung tak rasa susah bila boikot barangan yahudi tu. Adik tak akan mati pun kalau tak dapat makan Mc D. Along pernah terbaca ke kat mana-mana ada orang mati sebab tak makan Mc D? Tak ada kan? Tapi along. Ada orang yang mati kalau kita makan Mc D. Saudara-saudara kita di Palestin tu. Duit along tu dimanipulasikan oleh mereka untuk membeli senjata supaya dapat membedil tubuh saudara-saudara kita di sana!” Istisyhad berusaha untuk mencelikkan mata hati abangnya. Namun, kata-kata itu tidak diendahkan Solahuddin. Dia terus menayangkan muka bersahaja.

“Kalau adik tak nak makan, biar je kat atas meja tu. Along boleh habiskan. Tak payah nak membebel pada along.” Solahuddin keluar dari bilik dengan berbaju t-shirt dan tuala di bahu. Dia menuju ke meja hadapan. Tanpa perasaan, dia duduk di kerusi dan menjamah burger Istisyhad tadi. Istisyhad memandang dengan ekor matanya.

Ya Allah…kejamnya along!

Bagaikan ternampak-nampak di mata Istisyhad darah segar mengalir dari burger di tangan abangnya. Mulut Solahuddin yang sedang mengunyah daging burger dirasakan seperti mengunyah-nguyah daging rakyat Palestin. Terus selera Istisyhad mati. Perutnya yang tadi merayu minta diisi kini sudah senyap. Mungkin tidak rela burger itu memasuki dirinya.

“Ya Allah, berilah hidayah kepada abangku.” Tulus Istisyhad memanjatkan doa.

Tit!

Satu mesej memasuki peti simpanan telefon bimbitnya. Istisyhad membaca mesej tersebut.

Alhamdulillah. Kutipan untuk Palestin yang kita dapat sudah melebihi sasaran

 

Senyuman muncul di bibir Istisyhad apabila membaca mesej tersebut. Syukur dipanjatkan.

“Alhamdulillah! Syukur padaMu, ya Allah!” Tanpa sedar, bibirnya menjerit keriangan. Kegembiraan gadis itu sukar diselindungkan. Terus dia berlalu ke bilik.

Solahuddin yang melihat reaksi adiknya menjuihkan bibir.

“Pasti pasal Palestin.” Hatinya meneka.

Dia merasakan Istisyhad pelik. Pelik kerana bersungguh-sungguh membela Palestin. Dia dapat melihat kesedihan dan kegembiraan Istisyhad sejajar dengan kesedihan dan kegembiraan rakyat Palestin. Padahal, bukannya Istisyhad ada kaitan dengan mereka pun.

“Lantak kaulah, dik…”

Solahuddin malas untuk memeningkan kepalanya. Mulutnya terus mengunyah.

***********

Solahuddin meletakkan kunci kereta di atas meja.Tubuhnya yang terasa letih disandarkan ke sofa. Mata dipejam rapat.

“Penat?” Sofa yang didudukinya terasa semakin ke dalam menandakan ada orang yang duduk di sebelahnya. Solahuddin mengangkat kelopak mata. Wajah wanita separuh umur terzahir di matanya.

“Mak cik. Kalau tak penat tu bukan kerja namanya.” Solahuddin menghela nafas. Tangan wanita itu disalami dan dicium penuh hormat.

Wajah penuh kelembutan itu tersenyum.

“Solah nak ikut mak cik dan Istisyhad tak malam ni?”

“Ada apa mak cik?”

“La…Solah tak tahu ke?” Wajah mak cik seperti terkejut. Sekeping risalah diambil dari bawah meja lalu diletakkan ke atas paha Solahuddin. Solahuddin hanya menjeling sekilas. Night for Gaza?

Wajahnya langsung tidah menunjukkan rasa minat. Risalah itu ditolak ke tepi.

“Solah tak ada masa untuk benda-benda macam ni.” Dia bangun dan berlalu ke dapur. Tekaknya tiba-tiba berasa haus.

“Hiargh!”

“Mak!” Solahuddin melatah apabila disergah oleh Istisyhad. Mana taknya. Isytihad membelit mafla sehingga menutupi mukanya. Nampak macam pencuri.

“Betul ke along tak nak ikut?” Istisyhad menarik mafla yang menutupi mukanya ke bawah.

Solahuddin mengangguk. Istisyhad dipandang dari atas hingga bawah. Gadis itu berjubah hitam dan bertudung hitam. Bendera Palestin tersangkut di bahunya. Di atas kepalanya diikat dengan kain panjang yang tertulis فلسطين حرة   .

Bibirnya menarik sengih.

“Heh, tak habis-habis lagi dengan Palestin?” Dia bersuara. Istisyhad mengerutkan dahi.

“What do you mean? Adik cuma nak bagi sokongan moral. Salahkah?” Suara Istisyhad sedikit berubah.

Solahuddin mengangkat bahu. “Tak salah. Just kenapa over sangat? Palestin kan tanah air mereka. Pandai-pandai merekalah.” Lagi-lagi hal itu yang diungkitnya.

“Siapa kata Palestin tu tanah air mereka sahaja?” Istisyhad menentang mata Solahuddin.

“Palestin bukan milik rakyat Palestin sahaja! Palestin tanah air semua orang yang bergelar muslim. Along tahu tak apa kata seorang mujahid Hamas di Palestin?”

“Apa?”

“KAMI MEWAKILI KAMU SEMUA UNTUK MENJAGA PALESTIN.”

Mata Solahuddin membesar.

Istisyhad tersengih.

“Jadi, jelas. Siapa kata Palestin milik mereka sahaja?” Tegas Istisyhad.

Solahuddin mati kata. Betullah tu. Tetapi…

“Itu tanggungjawab merekalah! Allah dah tetapkan mereka duduk di sana.” Solahuddin tidak mahu kalah.

“Okey. Tanggungjawab mereka ya? Along lupa ke kita pun ada tanggungjawab? Nabi bersabda, seorang muslim merupakan saudara kepada muslim yang lain. Tidak menzalimi, menghina dan enggan memberi pertolongan. Hadis riwayat muslim. Allah juga berfirman: “Jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Surah al-anfal, ayat 72.” Balas Istisyhad.

Sekali lagi Solahuddin terpempam. Bila keluar kalam Ilahi dan nabi, siapa yang berani melawan lagi?

“Adik nampak satu perkara pada along. Perlakuan along seolah-olah menunjukkan yang along ni saudara mereka yang menzalimi bukan saudara kepada Palestin yang dizalimi!”

Kata-kata Istisyhad menaikkan darah muda Solahuddin. Terus anak matanya menikam mata adiknya itu.

“Jaga mulut adik tu. Sejak bila along sokong Amerika dan Yahudi bangsat tu?” Nada Solahuddin berubah tinggi. Wajahnya bertukar merah. Tahu pun marah.

Istisyhad tersenyum melihat kemarahan abangnya.

“Sejak along beli Mc D mereka, tonton filem mereka, beli produk mereka. Bukankah itu menunjukkan along menyokong dan menyebelahi mereka? Along lebih banyak menyumbang kepada mereka daripada menyumbang kepada saudara kita di Palestin. Jadi, along ni saudara siapa sebenarnya?” Senyuman Istisyhad bertukar sinis.

Solahuddin menghela nafas kasar. Tewas dengan bicara adiknya itu.

“Along jangan lupa satu kata ulama’. Siapa yang berpagi-pagi tanpa mengambil tahu urusan kaum muslimin, dia bukan daripada kalangan mereka.” Bahu Solahuddin ditepuk perlahan.

Istisyhad berlalu pergi.

Solahuddin hanya kaku.

Adakah kata-kata Istisyhad berjaya menyentuh sanubari lelaki itu?

*******

Solahuddin terhuyung-hayang berjalan ke dapur. Mamai. Kegelapan yang menguasai suasana langsung tidak menghalangnya untuk melegakan tekaknya yang dahaga. Selimut tebal masih menyelubungi badan.

“Allahumma unsuril islama wal muslimin. Allahumma unsuril islama wal muslimin. Allahumma unsuril islama wal muslimin.” Suara lembut mendayu itu menghentikan langkah Solahuddin. Bulu roma mula meremang. Suara apa itu? Takkanlah hantu cakap bahasa Arab?

“Allahumma unsuril mustadh’afiina fil falastin.” Suara itu kedengaran lagi. Memecah malam yang hening. Solahuddin perasan yang bunyi itu datang dari bilik Istisyhad. Pintu bilik itu dikuak perlahan.

“Eh?”

Suara Solahuddin terkeluar. Matanya terpandang sesuatu. Ada titisan air mata yang membasahi pipi Istisyhad. Bahagian hadapan telekungnya lecun dengan air mata. Apakah ini?

“Istajib du’aana, Ya Allah…” Istisyhad kelihatan bersungguh-sungguh berdoa. Air mata gugur lagi menuruni pipi.

Solahuddin menutup kembali pintu bilik Istisyhad. Dia terdiam sejenak di hadapan pintu. Dia tidak percaya sampai begitu sekali Istisyhad berdoa untuk Palestin.

“Kenapa aku tak rasa apa-apa?” Solahuddin menyentuh dadanya.

“Kenapa pula aku perlu rasa apa-apa?” Soalannya dibalas dengan soalan. Akhirnya Solahudddin tersengih sendiri.

*********

“Abang, kami sedang mengadakan kutipan untuk saudara kita di Palestin.” Seorang gadis sebaya adiknya, bertudung labuh bersuara ketika Solahuddin melintas di hadapannya. Di tangannya terdapat sebuah tabung.

“Eh, kau tak nak derma ke, Solah?” Luqmanul Hakim bertanya apabila melihat Solahuddin hanya meneruskan langkahnya.

“Kau nak derma ke? Aku tunggu.” Lain ditanya, lain pula yang dijawabnya. Luqmanul Hakim hanya menggeleng mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. RM50 dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam tabung.

“Terima kasih.” Gadis itu menghulurkan mafla berwarna putih. Luqmanul Hakim menggeleng.

“Saya tak mahu apa-apa.” Bibirnya menggaris senyuman. Dia tidak mengharapkan balasan. Mungkin mafla itu boleh mendorong orang lain untuk menderma.

“Eh, mana Solah ni?” Luqmanul Hakim mencari-cari sahabat baiknya itu. Ternyata Solahuddin sudah tiada di tempatnya berdiri tadi. Berpusing-pusing dia mencari Solahuddin.

“Nul.” Bahunya ditepuk dari belakang.

Solahuddin.

“Kau pergi mana tadi?” Luqmanul Hakim bertanya.

“Jalan-jalan. Susahlah duduk sini. Ada je orang minta itu ini. Ingat kita ni badan kebajikan ke?” Komen Solahuddin.

“Kau ni. Mereka bukannya minta duit kita. Mereka cuma minta hak Palestin yang ada pada kita. Duit kita kan Allah yang beri.” Luqmanul Hakim menegur.

“Sudahlah. Kat rumah, Istisyhad tu asyik beri ceramah pasal Palestin kat aku. Kat sini, kau pula. Cukup-cukuplah tu, ustaz. Aku bukannya tak pernah derma langsung.” Balas Solahuddin.

“Selagi kau buta dengan isu Palestin ni, selagi itulah aku akan terus ingatkan kau, sahabat.” Luqmanul Hakim merangkul bahu Solahuddin. Berharap kata-katanya berjaya menyentuh ke dasar hati pemuda itu.

“Daripada kau sibuk berleter, baik kau doa mata aku celik dengan isu Palestin ni.” Perli Solahuddin.

“Tak lekang di mulut doa aku untuk kau.” Jawab Luqmanul Hakim dalam nada bergurau. Dia tidak mahu hal itu merosakkan persahabatan mereka yang terbina daripada sekolah menengah.

“Kau nak beli apa ni?” Luqmanul Hakim menukar topik perbualan.

“Tunggulah masuk supermarket dulu.” Solahuddin melangkah memasuki pasaraya. Luqmanul Hakim mengekori.

Tit. Tit.

“Semua sekali RM79.80.”

Solahuddin mengeluarkan kad kredit dari dompetnya dan memberikannya kepada pekerja pasaraya itu.

“Tandatangan di sini, encik.”

Solahuddin hanya menurut. Sudah biasa dengan prosedur itu.

“Baiklah, encik. Terima kasih. Sila datang lagi.” Pekerja itu tersenyum manis. Solahuddin mengambil barang-barangnya.

“Dah siap?” Luqmanul Hakim tiba-tiba menyapa dari belakang. Tadi dia mencari T-shirt di bahagian luar.

“Belum.” Seloroh Solahuddin. Beg plastik di tangan diangkat.

Luqmanul Hakim ketawa. Tubuh Solahuddin ditolak perlahan.

“Banyaknya barang.” Luqmanul Hakim mengambil beg plastik dari tangan Solahuddin. Rasa tak patut pula membiarkan sahabatnya itu menjinjing semua beg plastik itu sendirian.

Luqmanul Hakim menjenguk ke dalam beg plastik yang paling besar. Terdapat air coca cola, milo dan ais krim berjenama nestle, movie keluaran Disney, produk Unilever, peanut butter jenama Lady’s Choice dan sebotol F&N perisa oren. Semuanya produk yang menyumbang kepada Israel.

“Eh, beli benda-benda ni boleh pula ya? Baik betul hati kau tolong sponsor untuk Israel.” Luqmanul Hakim bersuara, menegur sahabat baiknya. Solahuddin tersengih. Tahu sangat yang sahabatnya itu hendak mengungkit hal tadi.

“Kau ni, sama macam adik aku. Malaslah aku nak susahkan diri boikot-boikot ni. Benda kecil je.”

“Benda-benda kecil pun Allah tanya nanti.”

“Berapa ringgit je. Tak cukup nak beli bom pun.” Dalih Solahuddin.

“Memang tak cukup beli bom tapi cukup untuk beli peluru. Cuba semua orang fikir macam kau, kereta kebal pun Israel mampu beli. Kita kalau boleh, sahabat, satu sen pun kita tak redha sampai kat Israel tu. Itulah baru namanya saudara.” Jawab Luqmanul Hakim.

Solahuddin tidak membalas. Langkah kaki terus menuju ke kereta. Luqmanul Hakim menghela nafas lemah.

“Ya Allah, celikkanlah mata sahabat dunia akhiratku itu.”

Doa seorang sahabat untuk sahabatnya.

************

“Solahuddin.”

Solahuddin yang baru keluar daripada bank terkejut apabila disapa daripada belakang. Solahuddin menoleh. Wajah putih kemerahan dibakar terik matahari itu direnung. Kening berkerut. Mat saleh mana pulak ni?

“Excuse me. Have we met?”

Lelaki berwajah cerah dan berambut perang dengan hidung mancung itu tergelak.

“Dah lupa orang yang banyak tolong kamu di States dulu?”

Slang Amerika masih lekat di lidahnya. Terkoyak senyuman di bibir Solahuddin.

“Michael!” Mereka bersalaman mesra.

“Tak sangka kau boleh cakap Melayu.” Tutur Solahuddin ceria. Dia mengenali Michael semasa mengambil degree di Amerika Syarikat. Mereka kawan sekuliah. Sikap ramah dan suka membantu Michael menyebabkan ramai yang senang berkawan dengannya.

Michael ketawa. “Well, aku cepat belajar. Let’s have lunch together.”

Solahuddin bersetuju. Dia menawarkan diri untuk memilih restoran. Pada tanggapannya, pasti Michael hendak menjamu selera di tempat yang berkelas tinggi dan eksklusif. Tapi mana nak cari tempat sebegitu di deretan kedai sebegini?

Tiba-tiba Solahuddin terpandang sesuatu. Senyumannya melebar.

“Kita makan di Mc Donalds?”

Solahuddin menuding jari ke arah Mc Donalds yang terletak di seberang jalan. Michael pantas menggeleng.

“Oh. No,no. I don’t want to be a killer.” Dia menjawab dalam nada bergurau. Tetapi entah kenapa, kata-kata itu ibarat tamparan kuat yang melandas terus ke hati Solahuddin.

“Kita makan di restoran itu?” Ajak Michael. Restoran Melayu. Solahuddin hanya mengangguk. Ternyata anggapannya mengenai Michael salah sama sekali.

“Bila sampai Malaysia?” Tanya Solahuddin selepas mereka memesan makanan.

“Three months ago.”

“Why?”

“Hmm…my heart told me that I have to do that. Kamu pun tahu Solahuddin. AS bersekongkol dengan Israel. Sebagai warganegara AS, I feel guilty. So, saya nekad. Selagi country saya terlibat dalam serangan ke atas Palestin, saya tak akan pulang. Di sana susah mahu cari produk yang bukan yahudi. Saya rasa ragu-ragu untuk membeli. Dan tindakan saya berhijrah ke sini sebagai protes atas apa yang pemimpin negara saya lakukan.” Suara Michael kedengaran tegas.

“Solahuddin. Walaupun saya bukan orang Islam, saya masih manusia. I can’t just watch them bombing and shooting people in Palestine especially kids. What did the kids do? I don’t believe if they say that the kids killing people or do something dangerous.” Lelaki itu meluahkan rasa tidak puas hatinya. Kedengaran sesekali dia mengeluh simpati.

“Kau kerja apa sekarang?” Solahuddin mengalih topik perbualan. Ada sesuatu yang menyentuh hatinya apabila dia mendengar kata-kata Michael tadi. Michael yang bukan beragama Islam pun berasa demikian sedangkan dia tidak berasa apa-apa. Michael nyata telah melakukan sesuatu untuk Palestin, Tetapi dia?

“Kerja?” Michael ketawa. “Sedang carilah ni. Bukannya senang sebab saya bukan warganegara sini. Jadi penganggurlah sekarang.” Dia tertawa lagi di hujung kata-katanya.

Solahuddin terdiam. Michael yang berpendapatan lumayan dengan gaji berpuluh-puluh ribu sebulan sanggup meninggalkan semua itu untuk Palestin? Hatinya rasa terpukul.

Semua kata-kata Michael mula masuk ke dalam hati Solahuddin. Kenapa dia hanya berdiam diri melihat saudaranya ditindas walhal Micahel sudah pun bergerak?

“Nampaknya aku perlu lihat semula isu Palestin ini.”

Solahuddin berkata pada dirinya sendiri.

*********

Solahuddin membuang pandangan ke luar tingkap. Kapal terbang yang dinaikinya terasa terlalu lambat. Fikirannya kusut.

“Sabar, Solah. Doa agar Allah pelihara adik kau.” Nasihat Luqmanul Hakim. Bahu Solahuddin diurut perlahan bagi menenangkan jiwa sahabatnya yang gundah. Wajah Solahuddin cukup untuk menggambarkan jiwanya yang kacau.

Solahuddin menghela nafas. Cuba menenangkan hatinya yang galau. Mujur ada sahabat seperti Luqmanul Hakim. Luqmanul Hakimlah yang berusaha mendapatkan tiket penerbangan dari Jepun hari ini. Waktu itu, Solahuddin langsung tidak boleh berfikir. Fikirannya terbejat. Terasa kebaikan Luqmanul Hakim satu nikmat.

 

“Istisyhad dah dua hari tidak pulang.”

“Dia pergi ke mana mak cik?”

Hanya tangisan mak cik yang kedengaran sebelum talian diputuskan semalam.

Berita itu betul-betul meresahkan Solahuddin. Istisyhad bukan seperti gadis lain yang suka berpeleseran ke sana ke mari. Gadis itu suka menghabiskan masanya di rumah kalau tidak ke universiti. Isytihad juga bukan jenis yang suka melepak di rumah kawan. Jadi, ke mana adiknya menghilang?

Solahuddin mengeluarkan telefon bimbitnya. Nombor Istisyhad didail.

Dan seperti sebelumnya, talian tidak bersambut. Hanya suara operator telefon yang kedengaran.

Solahuddin mengeluh. Ini sudah masuk hari ketiga Istisyhad tidak pulang. Kali terakhir dia bercakap dengan gadis itu ialah malam semalam. Gadis itu yang menghubunginya.

Dan waktu itu, adiknya lebih banyak menangis.

“Along…adik dah tak tahan…” Itulah ucapan yang sering diulang Istisyhad.

“Adik kat mana ni? Jangan buat kerja gila, Istisyhad!” Suara Solahuddin bergetar kerisauan. Ketika itu, dia di Jepun kerana urusan kerja.

“Kan bagus kalau along risau macam ni kat rakyat Palestin.” Istisyhad berkata lirih.

“Jangan merepek. Adik kat mana ni? Mak cik cakap adik dah 2 hari tak balik rumah.” Solahuddin menggesa.

Sedu Istisyhad kedengaran. “Along, adik minta maaf. Adik cuma tak dapat tahan hati adik…”

Tut, tut, tut.

Talian putus.

“Solah.” Luqmanul Hakim memanggil lembut.

“Kita dah mendarat di KLIA.” Kata-kata Luqmanul Hakim menarik semula Solahuddin ke alam nyata.

***********

“Mak cik ada sesuatu nak cakap dengan Solah.” Mak cik menegurnya semasa makan malam.

“Apa, mak cik?”

Mak cik menarik tangan Solahuddin. “Mak cik bangga dengan Istisyhad.” Kata-kata itu ditutur perlahan.

“Maksud mak cik?” Keningnya berkerut.

“Dia saudara yang sebenar.”

Kata-kata mak cik menimbulkan debaran aneh di jiwanya. Pantas dia menghidu sesuatu.

“Maksud mak cik, dia….”

Matanya membesar apabila melihat mak cik mengangguk.

Ya Allah!

Solahuddin tersandar lemah di sofa.

********

“Isk…isk…Adik… bangun….” Suara yang sayup-sayup itu menarik perhatian Solahuddin. Kelihatan di sebuah rumah yang separuh hancur, seorang kanak-kanak lelaki memangku adik lelakinya yang sudah terkulai layu. Umur adiknya mungkin sekitar 3 tahun. Darah mengalir membuak-buak dari kepala adiknya.

“Tolong…hu..hu…” Si abang menangis lagi. Tubuh kaku itu digerak-gerakkan. Tiada tindak balas. Si adik tetap diam.

“Jangan tinggalkan abang. Nanti abang hendak bermain dengan siapa. Kalau adik bangun, abang bagi adik coklat yang adik minta. Bangunlah. Janganlah mati.” Suaranya kedengaran mendayu. Air matanya berjuraian lebat di pipi. Kali ini adiknya dipeluk seerat mungkin. Bagai tidak mahu dilepaskan lagi.

Solahuddin tersentuh. Tanpa sedar, air matanya turut menitis. Apatah lagi apabila melihat si abang mencium lama dahi adiknya yang sudah tidak bernyawa. Serta-merta Solahuddin teringat Istisyhad. Dia membayangkan Istisyhad ialah si adik yang sudah tidak bernyawa manakala di ialah si abang yang menangis pilu. Hatinya benar-benar terusik melihat situasi di hadapannya.

Solahuddin memandang sekelilingnya. Tempat ini begitu asing bagi dirinya. Dia tahu kanak-kanak itu bukan orang Melayu berdasarkan bahasanya. Dia bertutur dalam bahasa Arab. Solahuddin memahami patah-patah perkataan yang diucapkan kerana dia pernah bersekolah di sekolah Arab.

“Solahuddin.” Bahunya tiba-tiba disentuh dari belakang. Dia seakan-akan diserap ke tempat lain. Dua kanak-kanak tadi sudah hilang. Suasana juga sudah berubah.

“Yang kau lihat tadi ialah dua kanak-kanak Palestin.” Suara itu berkata lagi. Solahuddin menoleh ke belakang. Seorang kanak-kanak, berwajah amat menyenangkan sedang merenung ke arahnya.

“Seperti aku.” Kanak-kanak itu menyambung.

Palestin. Solahuddin menyebut perlahan. Apakah semua ini? Kenapa dia berada di sini?

“Kau saudara kami, Solahuddin?” Kanak-kanak itu bertanya.

Solahuddin mengangguk. Dia menyangka kanak-kanak itu bermaksud dia muslim atau tidak.

“Justeru, apa yang telah kau lakukan untuk menolong kami?” Solahuddin terdiam.

“Kau berdoa untuk kami?”

Solahuddin menggeleng perlahan. Ya, Palestin langsung tiada dalam doanya. Sekali pun dia tidak pernah mendoakan saudaranya itu.

“Kau memboikot barangan Israel?” Kanak-kanak itu terus mengasaknya. Sekali lagi gelengan sebagai jawapan. Solahuddin terasa malu.

‘Aduhai, aku langsung tidak pernah berbuat apa-apa untuk Palestin.’

Kanak-kanak itu mencengkam bahu Solahuddin. “Kau menyatu-padukan umat Islam?” Dia bertanya lagi.

Lemah Solahuddin mendengar soalan itu. Kepalanya digeleng lagi.

Tiba-tiba bahunya ditolak.

“Jika begitu, kau bukan saudara!” Kanak-kanak itu menjerit. Dia bergerak membelakangi Solahuddin.

“Tunggu! Jangan pergi!” Solahuddin menghalang.

Kanak-kanak itu menoleh. “Aku hairan. Bagaimana nanti kau mahu menjawab di hadapan Yang Maha Kuasa?” Kanak-kanak itu berlalu pergi.

Solahuddin terlutut ke tanah. Tubuhnya terasa menggeletar mendengar pertanyaan kanak-kanak itu. Hatinya bergetar.

Kerana dia tidak punya jawapan.

“Ya Allah…apakah semua ini?” Solahuddin meraup wajah. Dia memandang sekeliling. Gelap. Hitam.

Solahuddin memeluk tubuh. Aku dah mati ke?

Pelbagai andaian muncul di benaknya. Sekujur tubuhnya berasa seram sejuk. Jantungnya berdegup tidak menentu. Tangan mula menggigil. Takut.

Dan perlahan, air mata lelakinya mengalir.

“Ya Allah, jangan Engkau matikan aku lagi.” Bibirnya sedikit terketar. Pertanyaan kanak-kanak tadi muncul di benaknya. Apa aku nak jawab di hadapan Allah nanti?

“Assalamu’alaikum.” Satu suara kedengaran. Ketika itu, muncul satu cahaya yang terang benderang. Solahuddin menahan silauan cahaya itu menggunakan tapak tangan.

“Wa’alaikumussalam. Siapa?” Solahuddin teragak-agak bertanya.

Dari cahaya itu, muncul seorang lelaki, berambut kemas, berjanggut nipis, berjubah putih dan berwajah bersih. Matanya redup memandang dengan kasih sayang. Bibirnya lembut mengukir senyuman. Hati Solahuddin yang gundah terasa damai sebaik sahaja terpandang lelaki itu.

“Kita dah mati ke?” Terpacul soalan itu daripada mulut Solahuddin. Lelaki itu terdiam sebentar.

“Untuk kamu, aku boleh jawab. Kamu sememangnya masih hidup. Aku? Akal manusia tidak mampu mencapainya. Di dunia, aku sudah mati tetapi hakikatnya dengan kurnia Allah, aku sebenarnya masih hidup.”

Berkerut dahi Solahuddin mendengarnya. Mati tetapi hakikatnya hidup?

“Kau jangan bercanda.” Solahuddin berbicara serius.

Lelaki itu menggeleng. “Maaf, aku tidak pandai bercanda. Aku berkata yang benar sahaja. Bukankah mereka yang terbunuh di jalan Allah hakikatnya hidup di sisi-Nya?”

Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. (Ali-Imran:169)

Subhanallah…lelaki ini syahid?

“Aku akan bercerita kisah hidupku, anak muda.” Dia bersila di sebelah Solahuddin.

Solahuddin tekun mendengar ceritanya. Nyata dia memang anak jati Malaysia diperkukuh lagi dengan wajahnya.  Dia seorang doktor perubatan yang pergi ke Lubnan untuk merawat pelarian Palestin di sana. Di sana juga, dia menikahi seorang gadis Palestin yang yatim-piatu. Ketika usia perkahwinan mereka 2 tahun, dia mengambil keputusan untuk memasuki bumi Palestin dan ditakdirkan Allah gugur di sana. Namun kematiannya dirahsiakan kerana bimbang dapat menimbulkan kemarahan kerajaan Malaysia.

“Pak cik ada anak?” Solahuddin menukar gaya panggilannya kerana jelas lelaki itu jauh lebih tua daripadanya. Tinggal, dia syahid di usia muda dan mendapat nikmat di ‘sana’. Sebab itu, kemunculannya dalam keadaan muda belia.

Lelaki itu mengangguk. “Ketika itu, saya ada seorang anak lelaki yang comel. Isteri saya sedang hamil.” Lelaki itu tersenyum ketika berbicara mengenai anaknya. Mungkin terbayang wajah anaknya itu.

“Pak cik tidak menyesalkah? Kehidupan pak cik boleh dikatakan sempurna ketika itu. Ada anak dan isteri. Tetapi pak cik memilih untuk ke Palestin.”

“Menyesal?” Tawanya kedengaran. “Jauh sekali anak muda. Syukur sahaja yang mampu diungkap sekarang.” Bahu Solahuddin ditepuk.

“Tetapi bukankah pengorbanan pak cik sia-sia? Palestin tetap kalah dengan Israel!”

Lelaki itu tersenyum lagi. “Anak muda, perlukah berasa menyesal sedangkan syurga menjadi galang-gantinya?”

Lelaki itu membalas tenang.

“Dan rasa lega wujud kerana ada sesuatu yang telah dilakukan untuk menolong saudara seislam. Aku merawat banyak mangsa yang tercedera di sana.”

Kata-kata itu menyentak fikiran Solahuddin. Hanya kerana terfikir yang dia masih belum melakukan apa-apa untuk Palestin. Sedangkan adiknya sudah jauh berlari di hadapannya. Tiba-tiba sesuatu melintas di benaknya.

“Pak cik. Saya sudah tahu apa yang saya akan lakukan.” Lafaz Solahuddin.

Lelaki itu hanya tersenyum.

Dan Solahuddin terus terjaga.

***********

Solahuddin terdiam. Sesal menggunung di dadanya.

“Ah, kenapa selama ini aku tidak tergerak untuk bertanya?” Hatinya menyalahkan.

“Aku anak Palestin?” Sungguh, Solahuddin langsung tidak menjangkanya.

Dan yang paling dia sesali ialah kenapa dia tidak pernah memikirkan kemungkinannya. Walhal wajah Istisyhad pun sudah cukup untuk menunjukkan darah Arab yang mengalir dalam tubuhnya. Wajah Palestin.

“Minta maaf kerana mak cik tidak pernah bercerita tentang ayah kamu.”

Mak cik menyentuh bahu Solahuddin.

Solahuddin meraup wajah. Nafas dihela lemah. Itupun langsung tidak dijangkanya. Ayahnya salah seorang sukarelawan yang diletupkan Israel!

Satu perasaan mengalir ke dalam jiwanya. Rasa kesal. Rupa-rupanya yang sedang berjuang mati-matian di Palestin itu ialah saudara-saudaranya yang dia langsung tidak peduli selama ini.

Air mata lelakinya tumpah. Ayahnya seorang syahid, ibunya seorang Palestin dan dia?

Dia hanya duduk goyang kaki di sini dan tidak ambil peduli tentang isu Palestin.

Tiba-tiba sesuatu melintas di fikirannya. Wajah mak cik yang mendung ditatap.

“Mak cik, adakah Istisyhad sudah tahu semua ini? Kalau begitu, tidak hairanlah dia bersungguh-sungguh membantu Palestin.”

Perkara itu yang melintas di benaknya.

Mak cik menggeleng. “Istisyhad tak pernah tahu, Solah. Walaupun dia pernah bertanya, tetapi mak cik tak pernah beritahu dia. Dia buat semua itu atas dasar tanggungjawab sebagai saudara seislam.” Mak cik menarik tangannya dari bahu Solahuddin.

“Solah, dalam Islam, semuanya satu keluarga. Tiada yang boleh dipandang sebelah mata. Ibarat cubit peha kanan, peha kiri pun terasa. Tiada beza antara saudara dengan pertalian darah dan saudara tanpa pertalian darah.”

Mak cik membacakan sebuah hadis nabi riwayat Bukhari dan Muslim. “Perumpamaan kaum muslimin dalam hal saling menyayangi, saling mengasihi dan saling bertolong Bantu adalah seperti satu jasad. Jika satu anggotanya berasa sakit, maka anggota lain turut merasakannya dengan tidak boleh tidur atau berasa demam.”

Mak cik menepuk bahu Solahuddin sebelum berlalu pergi.

Solahuddin terdiam. Sesal masih tidak hilang lagi.

“Kenapa aku tidak pernah nampak itu selama ini?”

************

Bunyi jeritan yang membingit menarik fikiran Solahuddin ke tempat dia berpijak. Solahuddin mencari-cari gadis tadi. Dia menarik nafas lega apabila terpandang gadis itu sedang sibuk memberi bantuan kecemasan. Ya, gadis itu ialah adiknya, Istisyhad. Dengan kepakarannya dalam bidang perubatan, Istisyhad menawarkan diri menjadi sukarelawan yang merawat mangsa-mangsa yang tercedera. Di bumi berdarah inilah Istisyhad menghilangkan diri. Dan Solahuddin menuruti jejaknya.

“Terima kasih, Solahuddin.” Satu suara menegurnya dari belakang. Solahuddin tersenyum. Seorang lelaki arab, berbaju tentera Hamas berdiri di sebelahnya. Wajahnya bertutup kain. Ismail namanya.

“Sedikit sahaja, Ismail.” Dia membalas. Dia, dengan ilmunya yang dituntut di Amerika Syarikat telah membentangkan ideanya kepada tentera Hamas untuk mencipta satu senjata hebat yang dipercayai dapat menghancur-luluhkan tubuh tentera Israel. Senjata itu amatlah ringan dan dapat mensasar lebih 100 km. Kelajuannya 500 km per saat. Inilah sumbangan Solahuddin di bumi Palestin ini. Setahun dia di sini membina strategi dengan tentera Hamas.

“Kamu semua perlu usaha lebihlah untuk menjayakan pelan itu.” Tutur Solahuddin.

“Inshaa Allah. Jazakallahu khairan jaza’. Kami akan buat yang terbaik.” Ismail menggenggam erat  tangan Solahuddin. Mereka berpelukan.

“Pulang ke Malaysia?” Ismail bertanya.

“Wallahu A’lam. Adik saya di sana.” Solahuddin menuding jari ke arah adiknya.

“Mashaa Allah. Hebat keluarga kamu.” Ismail berasa kagum.

“Ismail, saya pergi dulu.” Solahuddin meminta diri. Bimbang Istisyhad akan melihatnya di sini.

“Inshaa Allah. Allah ma’ak.” Ismail membalas dengan doa.

Solahuddin bergegas pergi. Ismail hanya memandang dari jauh belakang Solahuddin yang semakin hilang daripada pandangan.

************

Istisyhad menoleh ke belakang. Dia seakan-akan ternampak kelibat abangnya berlari. Adakah ia hanya ilusi atau memang abangnya?

“Mustahil.” Hatinya menafikan.

Tangannya terus menyambung kerja.

**********

Sebuah kereta kebal muncul dari balik bangunan. Solahuddin lekas bersembunyi. Kereta kebal itu berlalu pergi.

Tap!

Bunyi batu dicampak ke tanah menarik perhatian Solahuddin. Solahuddin memandang ke bawah. Seorang kanak-kanak, sekitar usia 7 tahun sedang mencangkung sambil tangannya memilih-milih batu. Batu yang dipilih dimasukkan ke dalam sakunya.

“Kamu buat apa?” Solahuddin bertanya dalam bahasa Arab.

“Saya sedang mencari batu yang sesuai untuk dilempar ke arah kereta kebal dan Israel itu.”

Solahuddin mengangkat kening.

“Bukankah itu bahaya? Kamu mungkin akan ditembak.”

Kanak-kanak itu menjawab, “Saya akan berasa mulia jika begitu. Saya akan mati sebagai seorang syahid. Bukankah satu hari nanti saya akan mati juga? Lebih baik saya mati dalam keadaan mempertahankan bumi ini daripada mati tanpa berbuat apa-apa.” Kanak-kanak itu berdiri.

Solahuddin berasa kagum. Sekecil itu kanak-kanak tersebut sudah berfikiran demikian.

“Mujahid kecil, siapa nama kamu?”

“Solahuddin al-Ayubi!” Kanak-kanak itu menjawab penuh semangat.

Solahuddin tersenyum. Ternyata nama kanak-kanak itu serupa dengan namanya. Nama seorang pahlawan Islam yang berjaya menawan Jerussalem satu ketika dahulu.

“Solahuddin, batu yang kamu kumpul itu kecil-kecil belaka. Kamu pun masih kanak-kanak. Mereka tidak akan terkesan dengan batu itu.” Uji Solahuddin. Dia ingin mendengar jawapan kanak-kanak itu.

“Akhi, adakah akhi menyangka saya yang melontar ketika saya melontar? Tiadalah saya melontar melainkan Allah jualah yang melontar.”

Jawapan kanak-kanak itu menyentuh hati Solahuddin. Kanak-kanak acuan mujahid Palestin. Jiwanya berani, tidak gentar mati. Adakah kanak-kanak seperti ini yang mahu dibunuh Israel?

“Akhi, lihat ini.” Kanak-kanak itu berjalan ke tanah lapang. Solahuddin mengikut. Tampak di situ seorang tentera Israel berdiri dengan machine gunnya.

“Bismillahi Allahu Akbar!” Kanak-kanak itu melontar sebiji batu di tangannya.

Pap!

“Kurang ajar!” Terdengar teriakan tentera Israel itu. Darah membasahi wajahnya. Sebelah matanya cedera teruk. Mungkin boleh buta!

Solahuddin memandang kanak-kanak itu. Takjub.

“Bukankah saya sudah katakan, Allah jualah yang melontar ketika saya melontar? Mustahil kanak-kanak seperti saya mampu membaling seperti itu.” Kanak-kanak itu berbicara tenang. Sedangkan tentera Israel tadi sudah memandangnya seolah-olah mahu membahamnya.

“Kamu yang membaling tadi kan?” Suara garaunya kedengaran.

Kanak-kanak itu tidak membalas. Sebiji batu lagi dilontar.

“Argh!” Kali ini mengenai dahinya. Darah memancut keluar.

“Celaka!” Tentera Israel itu menyumpah seranah. Terkenal dengan sikap pengecutnya, tentera Israel itu terus memasuki kereta kebalnya. Bimbang dicederakan lagi.

“Mari budak! Aku akan hantar kau ke neraka.” Kereta kebal itu ditegerakkan. Bersedia untuk merempuh tubuh kecil itu.

“Haha! Kau akan mati!”

***********

“Aku tak sangka seteruk ini keadaan di Gaza.” Abdullah bersuara. Di bahunya terpikul sebuah kamera.

“Itulah. Aku bersyukur kerana terpilih untuk membuat liputan di Gaza ni.” Yusuf bersuara.

Mereka berdua dihantar oleh kerajaan Turki untuk membuat liputan di Gaza. Yusuf wartawan dan Abdullah jurukamera.

“Eh, mana grup kita yang lain?” Yusuf tersedar sesuatu.

“Ini kau punya pasallah. Sibuk nak ajak aku merayau.” Kepala Abdullah diketuk perlahan.

“Bukannya besar sangat Gaza ni. Kita pusing-pusing, jumpalah.” Abdullah bersahaja. Kameranya digerak-gerakkan, merakam gambar-gambar bangunan usang di Gaza.

“Banyaklah. Kalau kena bedil macam mana?” Yusuf bersuara tegas.

“Tenang. Kita datang kan untuk buat liputan. Ada jaminan.” Abdullah kekal tenang. Yusuf menghela nafas kasar. Namun kakinya terus melangkah seiring langkah Abdullah. Mereka melewati bangunan-bangunan usang yang sudah separuh ranap.

“Eh, Abdullah. Kamera, kamera.” Yusuf tiba-tiba memanggil. Abdullah memandang ke arah yang dilihat Yusuf. Kelihatan seorang kanak-kanak hampir dileyek sebuah kereta kebal. Tiba-tiba seorang pemuda berlari keluar dari belakang bangunan dan menghalang kereta kebal itu.

“Kita akan melihat adegan yang mengharukan sebentar lagi. Antara abang dan adik.” Ujar Abdullah. Dia menghalakan kameranya ke arah kereta kebal dan lelaki itu.

Ketika itu, Yusuf tersedar sesuatu.

“Eh, mereka bukan adik-beradiklah. Cuba lihat di baju lelaki itu. Ada bendera Malaysia.” Yusuf amat mengenali bendera negara itu kerana negara itu turut menghantar sukarelawan di kapal Marvi Marmara.

“Betullah.” Abdullah mengakui. Nampaknya itu ialah pengorbanan seorang saudara untuk saudaranya.

Lensa kamera terus merakamkan detik-detik mencemaskan itu.

**********

Kereta kebal itu terhenti. Seorang tentera Israel mengeluarkan kepalanya melalui bumbung kereta kebal itu.

“Kau, ke tepi. Aku tidak mahu berurusan dengan kerajaan Malaysia.” Tentera Israel itu berbicara tegas.

Solahuddin menggeleng. “Cukuplah kau sudah membunuh ramai saudaraku. Selagi terdaya, aku tidak akan membiarkan kau menyentuh yang ini!” Solahuddin membalas berani.

Mata tentera itu membesar.

“Marah?” Solahuddin menyindir. Senyuman terukir di bibirnya.

“Celaka! Binatang itu telah menghilangkan penglihatanku, bodoh!”  Tentera itu bersuara marah sambil menekap matanya yang berdarah.

Binatang?

Kening Solahuddin berkerut. Itukah pandangan mereka terhadap orang Islam? Binatang yang boleh dibunuh sesuka hati?

“Pertama, dia bukan binatang. Itu binatang.” Solahuddin tenang menjawab. Jari ditudingkan ke arah seekor kucing yang sedang tidur di kaki lima bangunan.

“Hairan. Israel yang dikatakan cerdik tidak mengenal binatang.”

“Diamlah!” Satu tembakan amaran dilepaskan.

“Aku belum habis lagi.” Solahuddin kekal tenang. “Kedua, kau marah kerana kanak-kanak ini telah menghilangkan sebelah mata kau. Tetapi, apakah kau tidak sedar bahawa

kau telah menghilangkan ibu dan ayahnya, rakan-rakan sepermainannya, rumahnya, sekolahnya dan juga masa kecilnya? Siapa yang lebih patut marah?” Solahuddin meyilangkan tangan ke dada.

“Lepas itu, kau mahu membunuh dia dan memberi alasan mempertahankan diri? Keji sungguh permikiran kau.” Senyuman bertukar menjadi sinis.

Tentera itu naik berang.

“Aku akan hancurkan tubuh kau!” Kereta kebal dipandu laju ke arah Solahuddin dan kanak-kanak itu.

“Tepi!” Solahuddin menolak kanak-kanak itu sejauh mungkin. Segala-galanya berlaku dengan pantas. Tubuhnya dihentam kereta kebal itu. Solahuddin tertolak ke tanah.

“Dunia, bukalah mata anda. Lihatlah kekejaman Israel. Sedarlah, apa yang mereka lakukan kepadaku sekarang tidak seteruk apa yang dilakukan terhadap saudara-saudaraku. Wahai umat Islam! Adakah kalian masih berdiam diri melihat saudara kita tertindas di tanah sendiri? Saudara apa kalian ini?” Solahuddin berteriak sekuat mungkin di dalam bahasa Arab. Berharap ada yang mendengarnya.

“Bodoh! Lihat ini orang Malaysia!”  Tentera itu menembak kanak-kanak itu bertalu-talu dengan machine gunnya hingga terputus kepala dari badan.

“Rugi sahaja kau mengorbankan diri kau. Dia mati juga. Berjumpalah kalian di neraka!” Kereta kebal itu digerakkan lagi.

Solahuddin hanya diam. Kereta kebal itu sudah menggilis kakinya. Rasa sakit menjalar ke seluruh tubuh. Dia tahu dia akan mati sebentar lagi.

Adakah dia berasa rugi?

Tidak! Sekali-kali tidak!

Mengapa perlu berasa rugi sedangkan syurga menjadi galang-gantinya?

Wajah lelaki yang pernah mengunjunginya di alam mimpi dahulu terbayang di ruang matanya.

“Argh!” Solahuddin memuntahkan darah ketika kereta kebal itu melenyek perutnya. Sakit dirasakan tidak tertanggung lagi. Pandangannya mula kabur.

“Aku sudah punya jawapan untuk dijawab di hadapan Allah nanti. Biarlah tubuhku yang hancur digilis ini menjadi saksi atas apa yang aku lakukan untuk saudaraku.”

Bibirnya menggaris senyuman.

Dan selepas itu semuanya bertukar menjadi gelap.

************

Gempar! Rakaman seorang rakyat Malaysia digilis hidup-hidup oleh tentera Israel tersebar ke seluruh pelosok dunia. Rakaman itu dirakam oleh seorang jurukamera berbangsa Turki. Dunia menjadi kecoh. Semua mengutuk kekejaman Israel.

Lebih menyentuh hati ialah kata-kata Solahuddin. Semua terakam kemas di dalam video yang disiarkan. Kata-kata itu diterjemahkan kepada semua bahasa. Kata-kata itu menyebabkan ramai yang tersedar daripada lena. Dunia mula bangkit.

Pembunuhan Solahuddin yang dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan itu telah membuka mata rakyat Malaysia. Ramai yang bangkit menunjukkan rasa marah. Di sana-sini terdapat demonstrasi. Produk Yahudi diboikot secara besar-besaran. Dan buat pertama kali dalam sejarah, semua cawangan Mc Donalds di seluruh negara lengang. Israel dikecam. Nyata Solahuddin telah mencelikkan mereka tentang persaudaraan dalam Islam.

“Aku tak sangka sahabat baik aku terpilih menjadi syahid.” Luqmanul Hakim menggeleng perlahan. Sukar mempercayai sahabat baiknya sudah tiada. Rasa sedih dan sebak bertandang. Lebih mengejutkannya, Solahuddin yang hanya memandang sebelah mata isu Palestin sudah melangkau jauh ke hadapan.

“Along, adik bangga dengan along.” Istaisyhad mengadah langit. Rasa sedih dan pilu sesekali menjengah. Kini, dia sebatang kara. Rupanya kelibat abangnya yang disangka ilusi hari itu benar-benar abangnya.

“Solahuddin.” Michael menyebut perlahan. Air matanya mengalir perlahan ketika menonton video Solahuddin digilis kereta kebal itu. Sinar hidayah mula masuk ke dalam hatinya. Begitu sekali persaudaraan dalam Islam. Sehingga sanggup mengorbankan nyawa.

“Muaz, I want to be a muslim.” Michael memberitahu seorang rakannya yang beragama Islam. Muaz mengulum syukur.

Ismail memandang pelan untuk membuat senjata yang ditinggalkan oleh Solahuddin. Dia bertekad untuk membuat senjata itu dengan bersungguh-sungguh.

“Bila kita boleh mula, Abu Hisyam?” Tanya Khaled. Abu Hisyam ialah panggilan untuk Ismail.

“Secepat mungkin.” Tegas Ismail.

Khaled mengangguk. Israel akan dihalau dari bumi Palestin tidak lama lagi.

Selepas berita pembunuhan Solahuddin tersebar ke serata dunia, Israel bertindak menyepikan diri. Serangan ke atas Gaza dihentikan serta-merta. Kecut perut Israel apabila melihat dunia yang selama ini senyap melihat kekejaman mereka mula bangkit. Mereka juga diasak teruk oleh Kerajaan Malaysia dan Brunei. Selain itu, bekalan senjata mereka juga berkurangan akibat pemboikotan produk mereka secara besar-besaran.

Kring! Kring!

“Helo. Assalamu’alaikum.”

“Wa’alaikumussalam. Dato’ Sri, semua persediaan telah lengkap. Betulkah Dato’ Sri ingin mengikuti misi kali ini?

“Ya. Dua hari lagi kita bertolak.” Satu arahan yang cukup jelas dikeluarkan.

“Baik, Dato’ Sri.”

Talian dimatikan.

Dua hari lagi, badan OIC akan mengadakan misi keamanan yang dipanggil Palestine Open Day. Semua negara Islam menghantar flotilla gergasi dari negara masing-masing. Malaysia juga tidak terkecuali. Terdapat juga beberapa buah negara bukan Islam seperti Scotland dan Jepun menyertai misi ini. Mereka akan mengadakan rundingan untuk mengambil kembali hak rakyat Palestin ke atas tanah mereka. Turut serta dalam misi ini, Perdana Menteri Malaysia. Beliau antara orang yang mengancam keras akan menyerang Israel jika keganasan ke atas rakyat Gaza diteruskan. Beliau juga telah memutuskan hubungan luar dengan kerajaan Amerika Syarikat selagi negara itu tidak berhenti menghantar bantuan kepada rejim Israel. Segala produk dari negara itu tidak diterima masuk ke dalam negara Malaysia. Lebih menggemparkan, hampir separuh penduduk AS mengadakan tunjuk perasaan dengan tujuan untuk mendesak pemimpin mereka berhenti menyalurkan bantuan kepada pengganas Israel. Terdapat juga rakyat AS yang berhijrah ke negara lain sebagai bantahan terhadap tindakan pemimpin AS.

Misi keamanan yang akan diadakan dua hari lagi diketuai negara Mesir. Mereka akan berkumpul di Mesir dan memasuki Palestin melalui pintu rafah. Mengetahui tentang konvoi beramai-ramai ini, Majlis Keamanan PBB yang selama ini bisu tahu pula bersuara. Mereka mengeluarkan amaran agar misi keamanan dibatalkan dengan alasan  untuk mengelakkan pertempuran. PBB yang disuap duit. Namun, amaran PBB tidak dipedulikan.

Misi akan tetap diteruskan.

*******

Tel Aviv, Israel

Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel mendesah cemas. Berita kedatangan flotilla gergasi beramai-ramai benar-benar meresahkannya. Membuatkan dia sukar untuk melelapkan mata.

“Tuan, kami mendapat maklumat bahawa subuh tadi, beribu-ribu umat Islam hadir ke masjid sehingga melimpah keluar. Nampaknya apa yang kita takutkan menjadi kenyataan.”

Laporan pegawai kanannya tadi mengganggu fikirannya. Buat pertama kalinya, tubuh megah Benjamin Netanyahu menggeletar ketakutan. Tadi dia juga mendapat panggilan daripada Menteri Kewangan Israel, Yuval Steinitz bahawa produk mereka banyak yang tidak terjual. Begitu juga dengan produk Amerika Syarikat. Sumber ekonomi mereka tersekat. Israel semakin terhimpit!

Peluh merenik di dahinya. Adakah tanah yang dirampas secara paksa dari umat Islam ini akan jatuh ke tangan umat Islam kembali?

*********

~TAMAT~

Kata Pengarang: Alhamdulillah, siap juga cerpen yang panjang ini! Tatkala mendengar berita Gaza diserang, idea ini yang melintas di fikiran saya. Semoga Allah redha dan menerimanya. Cerpen ini hanya rekaan. Kalau ada yang berpendapat jalan ceritanya tidak logik atau mustahil, saya ingin mengingatkan bahawa ia ialah cerita karangan saya semata-mata. Saya mengarangnya hanya untuk mengajak ummah agar celik isu Palestin. Palestin isu umat Islam! Tambahan, mereka saudara kita. Mereka terluka, hati kita pun tercarik sama. Ayuh, kita lakukan sesuatu untuk mereka. Tetapi jangan salah faham. Saya bukan bermaksud untuk menyeru anda semua berjihad di Palestin seperti Solahuddin. Atau menjadi sukarelawan seperti Istisyhad. Di Malaysia pun, kita boleh membantu mereka. Caranya, dengan memperbanyakkan doa, solat hajat atau mendidik ummah agar celik dengan isu Palestin. Kita juga boleh memboikot produk Israel. Walaupun sedikit, tetapi inshaa Allah besar di sisi Allah. Cara ini terbukti berkesan kerana cara minilah yang digunakan Mahatma Ghandi untuk membebaskan India daripada British. Bersatulah ummah, kerana jelas tanpa kesatuan Palestin tidak dapat dibebaskan walaupun ramai.Dan yang paling penting, boikot cara hidup mereka dan kembali kepada Islam yang sebenar.

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. (Al-Baqarah:120)

Akhir kata, ampun dan maaf dipinta andai ada yang terasa. Segala kekurangan dalam cerpen ini ialah kekurangan saya sebagai pengarangnya.

Semoga Allah redha!

Karya pena,

Hamba Rabbani

 

images (5)Derita Gaza 2images (2)imagesuntitled2images (8)

 

2 thoughts on “Cerpen : Untukmu Saudaraku…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s