Cerpen: Pahlawan Syahid

desert_warrior_art

download

Pesta keramaian berlangsung dengan meriah. Bunyi gendang dipalu memekakkan  telinga. Di tengah orang ramai, beberapa orang gadis sunti meliuk-liukkan tubuh seiring dengan rentak muzik. Seiring menggerak-gerakkan tangan dan kaki menghiburkan lelaki-lelaki yang melihatnya.

“Tuan Umair,” Satu suara memanggilnya dari belakang. Suara itu hampir tidak kedengaran kerana ditenggelami bunyi muzik dan gelak tawa orang ramai. Umair menoleh. Dua orang pembantu rumahnya sedang berdiri di belakangnya.  Seorang membawa sepersalinan pakaian yang terlipat kemas manakala seorang lagi membawa kotak merah yang Umair pasti di dalamnya terdapat perhiasan dan wangian-wangian.

“Ini persalinan tuan.” Salah seorang dari mereka bersuara.

Umair mengambil persalinan itu. Dibuka lipatannya. Sehelai jubah berwarna merah melambangkan kemegahan. Labuh baju itu sehingga menutup kaki melambangkan ketinggian kedudukan. Sulaman emas di baju itu pula melambangkan kekayaannya. Umair tersenyum puas.

Umair segera bangkit menuju ke bilik persalinan. Persalinan megah itu disarung ke tubuhnya yang sasa. Kalung-kalung kebesaran digantung di lehernya. Tidak lupa juga wangian-wangian kerabat bangsawan yang mahal harganya.

Keluar sahaja dari bilik persalinan, gadis-gadis perawan menyambutnya. Semuanya cantik dan manja. Umair hampir lemas dikerumuni gadis-gadis cantik tersebut. Semua merebut perhatian Umair.

Itulah Umair Shaukan, pemuda bangsawan yang dikenali seantero negara ini. Anak kepada orang kanan kepercayaan Raja Gargon, Baron Shaukan. Ketampanannya menjadi kegilaan gadis-gadis. Tambahan pula, dengan segala kemewahan yang dimilikinya, Umair selalu tampil kemas dan bergaya. Bajunya sentiasa bertukar ganti dan tidak pernah sama. Namun semuanya jenis berkain sutera yang mahal harganya. Umair juga merupakan anak kebanggaan ayahandanya, Baron Shaukan. Ketangkasannya bermain senjata tidak dapat dinafikan lagi. Semua terduduk apabila berlawan dengannya. Bondanya juga amat menyayanginya. Semua permintaannya dituruti. Hingga kadangkala menimbulkan iri di hati abangnya, Malik Shaukan.

“Umair.” Suara garau ayahandanya menjengah cuping telinganya. Kelihatan ayahnya bersama panglima-panglima dan menteri-menteri diraja sedang meneguk arak keluarga diraja yang mahal harganya. Umair mendekati ayahandanya dan berdiri di sampingnya dengan penuh bangga.

“Dengar sini semua.” Suara Baron Shaukan berjaya menarik perhatian orang ramai. Muzik dan tarian terhenti. Senyap.

“Dengan ini…” Baron Shaukan memegang tangan Umair. “…aku mengisytiharkan Umair sebagai penggantiku apabila aku tiada kelak.” Tangan Umair diangkat.

Paluan gendang kedengaran. Semboyan dibunyikan. Semua bertepuk tangan.

Baron Shaukan memberikan pedang kesayangannya kepada Umair. Umair menjulang bangga. Pedang bertatah berlian itu adalah pedang warisan yang telah memakan berjuta nyawa. Pedang Pahlawan.

Hari ini adalah hari yang bersejarah buat Umair.

 

**********

Wilayah Armonia terletak bersempadan dengan wilayah Zigurar. Raja Armonia, Raja Gargon disembah dan dianggap sebagai tuhan. Baron Shaukan, digelar Yang Mulia Gariel  iaitu orang kepercayaan Tuhan. Namun, di tengah kegelapan wilayah itu, wujud sedikit sinar Islam. Namun sinar itu cuba dihapuskan secara kejam oleh Raja Gargon yang mengakui tiada kuasa yang lebih hebat daripada dirinya. Mereka dibakar hidup-hidup dan ada yang digantung pada Menara Zuhrah, menara kebesaran Raja Gargon tanpa diberikan makanan dan minuman. Yang selamat, terpaksa menyembunyikan diri. Tiada yang berani menyebarkan sinar itu. Cahaya hampir terpadam di wilayah ini.

“Umair, Umair.” Seorang lelaki berbaju, berpakaian baju tanpa kolar berwarna coklat berlari termengah-mengah. Wajahnya ceria, seperti dalam gembira yang amat.  Ketika itu, Umair sedang berlatih menggerak-gerakkan Pedang Pahlawan. Terus pedang itu disisipkan kembali ke pinggang.

“Ada apa, wahai sahabatku Amru?” Umair bertanya hairan. Amru ialah sahabat baiknya sedari kecil. Walaupun kedudukannya tidak seperti Umair, namun dia juga daripada keluarga berada.

“Aku sudah mendapatkan kebenaran.” Amru bersuara dalam mengah.

Dahi Umair berkerut.

“Kebenaran?”

“Tadi aku telah mendengar satu kalam yang amat menggetarkan hatiku. Luar biasa. Dan orang-orang yang membaca kalam itu juga luar biasa.”

“Jadi?”

“Aku telah menyertai mereka.” Tutur Amru. “Dan aku datang ini kerana ingin mengajakmu, sahabatku. Katakanlah, tiada Tuhan selain Allah yang Maha Esa dan Utusan Muhammad itu adalah pesuruh Allah.”

“Bedebah!” Mendengar sahaja bicara Amru, Umair pantas menghunus pedang di pinggangnya. Pedang yang mempunyai hulu bertatahkan berlian itu diacu ke leher Amru.

“Berani kau berkata begitu! Kau mahu berpaling dari Tuanku Gargon?” Jerkah Umair.

Mata pedang menggores leher Amru.

“Tuanku Gargon juga adalah hamba Allah yang Maha Kuasa. Sama macam kau, sama macam aku.” Tenang Amru membalas.

“Tanpa izin-Nya, Kau tak akan mampu berbuat apa-apa. Hatta untuk menggerakkan jemarimu.” Sambung Amru.

Pang!

Terus pedang itu terlepas ke lantai.

Amru pantas mengambilnya.

Umair terkaku. Apa yang terjadi? Tadi tangannya seakan-akan kaku.  Jarinya seakan-akan mengeras. Lalu pedang itu terus meluncur turun dari genggamannya. Apakah ini?

Amru bangun sambil menggenggam kemas pedang Umair. Umair menapak ke belakang. Rasa takut menyelinap ke dalam hatinya.

“Eh?”

Amru tersenyum. Pedang itu disisipkan kembali di pinggang Umair.  Kemudian ditepuk-tepuk.

“Kenapa?” Umair bersuara.

“Agama yang baru aku anuti ini mengajar aku untuk tidak menyebarkannya dengan mata pedang. Agama kami, agama pendamaian.” Amru membalas. Darah yang meleleh di leher disapu dengan belakang tangan.

Senyap.

“Amru,” Umair memecah suasana.

“Berkuasa sangatkah Tuhan yang engkau katakan itu?”

Terkoyak senyuman di bibir Amru.

“Sangat-sangat berkuasa.”

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.” Surah Al-Baqarah ayat 164.

Amru membacakan sepotong ayat.

Hati Umair bergetar hebat.

Di hadapan Amru, dia melutut.

“Dengan ini, di hadapan kau, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Dia, Allah yang Maha Kuasa dan Utusan Muhammad itu adalah pesuruh Allah dan aku hanya hamba Allah yang lemah.”

“Allahu Akbar!” Laung Amru. Gembira.

Siapa yang tidak gembira melihat sahabat baik sendiri mengakui keesaan-Nya?

Air mata mengalir di pipi Amru.

 

**********

Tempat ini luar biasa. Benar-benar luar biasa. Bukan kerana binaannya, namun kerana suasana di dalamnya yang harmoni. Manusia-manusia di dalamnya luar biasa.

“Selamat datang, Umair.”

“Selamat datang.”

Semua meraikannya. Tiada yang mengungkit kekejaman ayahandanya yang telah membunuh ramai daripada mereka. Seperti dia bukan anak kepada Baron Shaukan yang telah membunuh sanak-saudara mereka.

Dia dipeluk. Dilayan dengan layanan yang amat istimewa. Kanak-kanak menyerbunya dengan tawa riang dan ceria.

“Wahai saudara baru…” Seorang pemuda memanggilnya.

“Suhaib, jangan panggil begitu. Tiada beza antara mereka yang baru memeluk Islam dan yang sudah lama.” Tegur seorang lelaki berpenampilan sederhana.

Umair tersenyum. Betapa mereka ini amat menjaga hatinya.

Seorang kanak-kanak sekitar umur 10 tahun, berbaju lusuh tetapi kemas menghampirinya. Senyuman menghiasi wajahnya yang comel. Dia mendongak, memandang wajah Umair.

“Abang,” Serunya. “Boleh saya panggil begitu?” Dia bertanya.

“Boleh.” Umair tersenyum. Budak itu diangkat.

“Wahai si kecil, di manakah keluarga kamu?” Umair bertanya. Khuatir kanak-kanak ini terpisah dari keluarganya.

“Ayah dan ibu saya mati di hujung pedang itu.” Tangan kanak-kanak itu menunjuk Pedang Pahlawan di pinggang Umair. “Mereka dibunuh oleh Baron Shaukan. Sejak itu, saya sebatang kara.” Ujarnya.

Umair kaku. Rasa kesal dan simpati menyelinap ke dalam hati Umair. Perlahan-lahan kanak-kanak itu diturunkan.

Zupp!

Pedang itu dihunus dari sarungnya. “Pedang ini telah membunuh banyak nyawa. Aku tak akan biarkan darah melekat di  pedang ini lagi.” Ikrar Umair. Pedang bertatah berlian itu diangkat tinggi.

“Jangan!”  Seorang lelaki berpenampilan sederhana menghalang.

“Jika dahulu pedang ini telah membunuh mereka yang beriman, kenapa kau yang telah beriman tidak menggunakan pedang ini untuk mempertahankan Islam dari mereka yang tidak beriman?”

Kata-kata itu menyerap jiwa Umair.

“Simpan kembali. Kau memerlukannya.” Tutur lelaki itu lagi. Umair menyimpan kembali pedangnya.

Di sisi kanak-kanak itu, Umair melutut.

“Maafkan aku, kerana ayahku telah merampas orang tuamu. Maafkan aku, kerana dulu aku juga bersubahat dengan ayahku untuk menghapuskan orang-orang seperti ayahmu.” Umair memegang bahu kanak-kanak itu. Hatinya hiba memikirkan kanak-kanak sekecil itu harus membesar tanpa ibu bapa di sisi.

“Ketahuilah, abangku. Aku telah memaafkan ayahmu ketika ayahmu membunuh ayah dan bondaku lagi. Jika ayah dan bondaku harus mati supaya kamu beriman, maka itu lebih baik.” Kanak-kanak itu membalas.

Allahu akbar!

Luar biasa. Mereka ini luar biasa. Hatta kanak-kanak mereka.

“Semua yang beriman ini luar biasa ya?”

Umair bersuara.

“Ya saudaraku. Termasuk juga kamu.” Lelaki berpenampilan sederhana itu membalas.

Dan Umair dapat merasakan sesuatu yang dia tidak pernah rasai sebelum ini.

Ketenangan.

 

*********************

Amru mendongak. Memandang langit yang mula gelap. Rambutnya terbuai ditiup angin yang semakin kencang. Kakinya yang berkasut kulit digerak-gerakkan, menguis daun-daun yang terbang menghampiri kakinya.

“Umair, Umair.” Amru menongkat dagu. Dia sudah berpakat dengan Umair untuk sama-sama pergi ke rumah Abu Dzar untuk mempelajari al-Quran-kitab agama Islam.

“Heih.” Amru melepaskan keluhan. Sudah setengah hari dia menunggu di sini. Namun kelibat Umair tidak muncul-muncul juga. Amru menggaru belakang kepala.

“Tak boleh jadi ni.” Amru bangun dari duduknya. Ketika itu, rintik-rintik hujan jatuh ke kepalanya. Mengalir turun ke wajahnya.

Amru mengambil keputusan untuk bergerak ke rumah Umair.

 

***********

Amru berjalan tanpa arah. Tidak tahu ke mana lagi mahu mencari Umair. Tadi, ketika dia mengetuk pintu rumah Umair, dia disambut dengan dingin oleh bonda Umair.

“Umair ada?” Amru bertanya selepas Shauran, bonda Umair membuka pintu.

“Umair?” Suaranya kedengaran dingin. “Biar dia mampus!”

Amru terkejut mendengar kata-kata kasar itu. Tiba-tiba Shauran mencengkam kolar baju Amru.

“Heh, jangan-jangan kamu pun sudah gila seperti  Umair itu? Menyembah Tuhan yang tidak dapat dilihat. Derhaka pada Tuanku Gargon, begitu?” Shauran menjengilkan mata.

Amru terkaku.

Bonda Umair sudah tahu?

“Sudah! Pergi berambus!” Dengan kasar, Shauran menolak tubuh Amru. Kemudian, pintu dihempas dengan kasar. Amru terundur ke belakang.

“Astaghfirullahalzim.” Amru pantas beristighfar.

“Umair!” Amru melaung. Namun seperti sebelumnya, panggilannya tidak bersahut. Perjalanannya seperti sia-sia. Sedangkan, kakinya sudah melecet. Dadanya pun sudah turun naik kerana kepenatan.

“Ya Allah!” Amru tersandar kepenatan ke tiang sebuah kandang kuda. Peluh sudah mencucur di dahi.

“Ya Allah, bantulah aku. Sesungguhnya, aku tidak berdaya tanpa bantuanMu.” Hampir menitis air mata Amru ketika memanjatkan doa itu. Dia hampir putus asa.

Amru menoleh ke dalam kandang. Terdapat 4 ekor kuda jantan di dalamnya. Bau busuk menyengat hidung. Tiba-tiba matanya menangkap batang tubuh seseorang sedang terbaring kepenatan di atas jerami.

Allahu Akbar!

Air mata Amru mengalir. Terus Amru melompat ke dalam kandang.

“Umair, sahabatku!” Amru menjerit gembira. Terasa seperti Allah sangat dekat dengan dirinya. Doanya terus dimakbulkan.

“Terima kasih, Ya Allah.” Amru berlari menghampiri Umair.

Mendengar jeritan Amru, Umair membuka matanya.

“Amru?”

“Ya, sahabatku.” Dan di kandang kuda itu mereka berpelukan.

Masing-masing dapat merasa air mata menitis ke bahu mereka.

 

*********

Amru memerhatikan Umair yang tekun membersihkan kandang. Inilah rutin harian Umair. Membersihkan kandang, membuat makanan kuda dan memberinya makan, mengambil air dari telaga, dan membersihkan kuda-kuda ini daripada kotoran. Setiap hari, dia melihat Umair diherdik, dimaki dan kadangkala dipukul oleh tuan kandang kerana kerjanya yang tidak memuaskan. Kehidupannya yang selama ini mewah membuatkan dia tidak berapa cekap melakukan kerja-kerja seperti itu. Dia terpaksa belajar perkara yang tidak pernah dilakukannya seumur hidup untuk mengisi perutnya.

Pernah Amru mengajak Umair tinggal bersamanya.

Namun, apa jawapan sahabatnya itu,

“Dengan melakukan kerja-kerja seperti ini, aku dapat merasakan kerdilnya diriku. Jangan kau memaksa aku untuk lebih jauh daripada tuhanku. Apabila susah seperti ini, aku akan lebih mengingatiNya. Apabila dimarahi, aku terfikir, bagaimana jika Allah yang memarahiku? Kalau kemarahan tuanku sahaja sudah membuatkan aku takut, apatah lagi kemarahan Tuhanku Yang Maha Agung? “

Dia membalas tenang.

“Aduh!” Tiba-tiba Umair menjerit dari dalam kandang. Amru segera menoleh.

“Ada apa?” Dia sedikit cemas.

“Ah, tak ada apa. Jariku tersepit di pintu kandang.” Balas Umair. Selepas itu dia ketawa sambil menunjukkan jari-jarinya yang pucat membiru. Kelihatan darah beku di hujungnya. Kelihatan juga kuku jari telunjuknya terkopek kerana tergores engsel pintu.

Amru mengerutkan kening.

Sakit atau tidak? Kenapa Umair ketawa?

“Tidak sakitkah? Kenapa kau ketawa?”

Umair tersenyum. “Pastilah sakit. Namun apabila aku terfikir Allah sedang memberi pahala kepadaku dengan sakitku ini, aku berasa gembira. Lalu aku ketawa.”

Dia mengusap jari-jarinya. Amru terdiam.

Tindakan Umair memang di luar jangkaan. Dari seorang yang sentiasa berpakaian mewah, kini pakaiannya kain putih lusuh yang diikat. Tangannya yang halus dan putih bertukar menjadi gelap dan kasar. Badannya kurus. Mukanya semakin cengkung. Rambutnya yang hitam berkilat kelihatan kasar dan panjang tidak terurus. Bagaimana Umair boleh meninggalkan segala kesenangan yang dimilikinya? Dia bukan sahaja kaya, malah pemuda yang tertampan, terhormat dan anak yang amat disayangi oleh Baron Shaukan. Namanya masyhur. Gadis-gadis hanya di hujung jarinya. Dan Umair pula seorang yang amat cerewet. Tidak boleh seorang pun yang boleh memakai pakaian yang sama dengannya. Maka, sebab itu, Baron Shaukan akan mengupah tukang jahit yang mahir dan kemudian tukang jahit itu dilarang untuk menjahit pakaian untuk orang lain. Begitu juga dengan wangiannya. Wangian dari kasturi putih yang diproses menjadikan baunya tidak tertanding. Menggetarkan hati gadis-gadis yang berselisih dengannya. Hanya Umair seorang sahaja yang memiliki wangian tersebut.

Tapi kini, semua itu telah lesap, hilang dari Umair hanya kerana dia mengakui keesaan Tuhannnya.

“Umair.”

Dia menoleh.

“Apa yang menjadikan kau kuat untuk meninggalkan segala yang kau miliki dahulu selepas memeluk Islam?”

Umair tersenyum. “Sahabatku. Aku kuat kerana aku percaya kepada-Nya. Aku percaya pada kata-kata Tuhanku. Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga). Katakanlah: “Inginkah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?.” Untuk orang-orang yang bertakwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Dan (mereka dikurniai) isteri-isteri yang disucikan serta keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. Adakah kau tidak percaya?” Umair tersenyum sebelum berpaling.

Amru tersentak. Percaya…

“Aku seorang miskin yang dimuliakan Allah dengan Islam.” Umair menyambung.

Seseorang itu memang akan menjadi luar biasa bila cahaya keimanan telah meresapi hatinya.

 

*************

“Kau tahu, Amru?”

“Mmm?”

“Aku fikir ada satu cara sahaja untuk meyebarkan cahaya Islam ke Wilayah Armonia ini.”

“Ya? Apa?”

“Dengan membunuh Raja Gargon.”

Amru terkejut.

“Selepas itu manusia akan tersedar setelah melihat seseorang yang mereka dakwa tuhan mati.” Sambung Umair.

Ketika itu, malam sudah melabuhkan sayapnya. Mereka sedang dalam perjalan ke rumah Abu Dzar. Mereka sudah menetapkan waktu selepas Umair bekerja untuk mempelajari al-Quran.

“Siapa yang sanggup melakukannya?” Amru meningkah.

Umair tersenyum. “Aku.” Dia menepuk dadanya dua kali.

Mata Amru membesar.

“Itu kerja gila!” Amru separuh menjerit. “Kau akan terbunuh.”

“Ya, aku tahu itu. Tapi kalau untuk menyebarkan Islam aku perlu mati, itu tidak menjadi masalah untukku.” Umair membalas tenang.

“Kau tak teringinkah melihat manusia kembali pada-Nya?” Mata Umair memandang ke dalam mata Amru. Dan mata itu penuh dengan sinar harapan.

“Memanglah ya, tapi..” aku tak mahu kehilangan kau. Kata-kata itu tidak terlepas dari kerongkongnya.

“Kalau macam tu, aku ikut kau! Aku ingin turut menyebarkan cahaya Islam ke wilayah Armonia ini.” Amru bersuara tiba-tiba.

Umair pula terkejut. “Betul?”

“Kau ingat, aku nak biarkan kau rampas Ainul Mardhiahku?” Amru mengangkat kening dua kali.

Mata Umair membesar. “Baik. Kita lihat siapa yang menang nanti.”

“Baik.” Kedua-duanya berjabat tangan. Kemudia mereka tertawa. Senang.

 

************

Umair tersandar ke dinding. Air mata meluncur laju menuruni pipinya. Lebat.

“Sabar, Umair. Sabar.” Amru memujuk. Hatinya juga diragut pilu.

Umair memandang ke dalam rumah Abu Dzar. Rumah itu sepi. Sunyi. Abu Dzar, isteri, dan dua anak lelakinya telah dibunuh dengan kejam. Lelaki yang berpenampilan sederhana, tenang dan sering tersenyum itu telah dibunuh! Dan pembunuhnya pula ialah ayahnya, Baron Shaukan!

“Sudahlah, Umair. Inshaa Allah, mereka syahid.” Suhaib menepuk-nepuk bahu Umair. Umair menangis lagi. Dia tidak dapat menerima kekejaman ayahnya. Mayat Miqdad, anak sulung Abu Dzar dicincang dan digantung seperti di pasar. Mayat Ahmed, anak lelaki Abu Dzar yang baru berusia 5 tahun pula damai dalam pelukan ibunya tanpa berpakaian. Kepalanya terputus daripada badan. Aminah, isteri Abu Dzar pula berlumuran darah dari kepala hingga ke hujung kaki. Ngeri.

“Semoga Allah merahmati Abu Dzar.” Zaid menghamparkan kain putih, menutup jasad Abu Dzar.

Mendengar kata-kata Zaid, makin laju air mata mengalir menuruni pipi Umair. Sesiapa sahaja yang melihat jenazah Abu Dzar pasti tidak dapat menahan air mata daripada gugur. Dadanya dirobek dengan ganas, organ dalamannya dibiarkan terburai.

“Seperti Saidina Hamzah.” Amru duduk di sebelah Umair. Bahu mereka bersentuhan. Rapat.

Umair melipat kakinya ke atas. Wajahnya disembamkan ke kepala lututnya. Dia malu dengan Amru. Malu dengan semua. Malu kerana yang membunuh keluarga soleh ini ialah ayahnya, Baron Shaukan.

“Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidupdi sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira disebabkan karunia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” Amru membisikkan kalam Ilahi.

“Aku percaya. Adakah kau tidak percaya?” Amru mengulang kata-kata Umair.

Hati Umair bergetar.

Dia memandang Amru. Tika ini, bibirnya membentuk senyuman kecil.

“Ini baru sahabat aku.” Amru menarik bahu Umair.

“Aku masih berasa sedih.” Luah Umair.

“Biasalah. Manusia. Nabi juga sedih ketika Saidina Hamzah r.a syahid.” Pujuk Amru.

 

Umair memandang ke hadapan. Jenazah Abu Dzar dan keluarganya sedang diuruskan oleh Suhaib dan beberapa orang lagi. Dia menghela nafas lemah.

Bukan. Bukan sebab itu dia berasa sedih.

Hatinya pilu. Kerana orang-orang yang disayanginya masih belum mendapat hidayah.

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”

Al Qashash : 56

 

***********

“Dah lama aku menanti saat ini.” Umair menyarung semula pedangnya. Peluh di dahi dilap.

“Maksud kau?” Amru duduk di atas sebuah tunggul. Dia turut mengelap peluhnya.

“Saat untuk membuktikan Gargon bukan Tuhan!” Begitu semangat Umair menuturkannya.

Mereka akan berperang dengan kerajaan Gargon. Nampaknya Gargon memang serius ingin melenyapkan cahaya Allah dari Armonia. Dan mereka yang Islam, walaupun sedar yang mereka kekurangan tentera dan senjata, namun kecintaan kepada jihad dan kepercayaan kepadaNya melebihi segala-galanya. Seminggu ini, mereka sibuk berlatih.

“Kau tahu Umair…” Amru berhenti sejenak. “…yang mengetuai perang itu ialah ayahmu sendiri, Baron Shaukan. Macam mana kalau kau…maksud aku…err…terpaksa…”

“Bertarung dengan ayahku?” Umair meneka. Amru menganggguk perlahan.

“Yalah, dalam peperangan, tidak mustahil itu boleh berlaku.”

Umair terdiam. Benar. Bagaimana kalau dia terpaksa berlawan senjata dengan ayahnya? Sanggupkah dia membunuh ayahnya? Dan bagaimana kalau ayahnya mati ketika itu, dalam keadaan kufur kepada-Nya?

Umair bergerak pergi.

“Eh, kau tak jawab lagi soalan aku.”

Amru menahan.

“Maaf, aku tiada lagi jawapannya.” Dia menjawab tanpa menoleh. Kakinya terus melangkah pergi. Jauh daripada Amru.

 

*************

“Ayah, Zubair dah besar.” Zubair meninggikan badannya.

“Izinkan Ziyad ikut berperang, ayah.”

“Saya ingin syahid juga…” Mata Waqqas merenung penuh harap.

“Tolonglah beri saya pergi ayah…Saya sudah pandai menggunakan pedang.” Rayu Saad bersungguh-sungguh.

Umair memerhatikan pemandangan di hadapnnya dengan penuh rasa takjub. Ketika semua berbaris untuk membahagikan pasukan, beberapa kanak-kanak kecil menyelit di antara mereka. Apabila dihalau, mereka menangis dan merayu agar dapat ikut berperang. Kebanyakan mereka hanya berusia 9-12 tahun. Bagaimana mahu mengangkat senjata?

“Kami kecil. Kami boleh menyelit di antara mereka dan menikam mereka.” Pujuk Nu’aim.

Benar. Mereka kecil. Hanya separas pinggangnya. Umair menggosok kepala Waqqas. Kanak-kanak yang yatim disebabkan ayahnya.

“Kamu belajar dahulu cara memegang pedang. Kemudian tunggu kamu besar sedikit. Kemudian kamu boleh ikut kami berperang.” Umair memujuk dengan suara yang lembut.

“Abang, ini tidak adil. Adakah hanya orang besar sahaja yang boleh mendapatkan syahid? Saya takut peluang ini hanya datang kali ini sahaja. Tak mungkin kita mengharapkan peperangan terjadi lagi.”  Jelas getaran pada suara Waqqas. Dia merenung Umair dengan mata berkaca.

Bicara Umair terkunci. Hatinya seperti disentap.

“Sungguh, aku telah mendengar satu ayat yang telah membuatkan aku cemburu kepada kalian, wahai orang-orang besar. Adakah kerana kami ini masih kecil, maka kami tidak layak mendapatkannya? Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak ikut berperang) yang tidak mempunyai ‘uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduksatu darjat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang dudukdengan pahala yang besar”

Waqqas pergi. Tidak lama kemudian dia datang semula dengan sebilah pedang. Diseret. Tubuhnya yang kecil tidak mampu mengangkat pedang yang berat itu. Pedang itu hanya diikat pada pergelangan tangan kanannya.

“Kita bertarung. Kalau saya menang, abang harus izinkan saya berperang.” Dia bersuara.

Mata Umair membulat tidak percaya. Budak ini hendak berlawan dengannya, seorang pahlawan yang terkenal mahir menggunakan pedang?

“Mari.” Waqqas menggerakkan kepalanya, mencabar. Pedang yang diikat di pergelangan tangannya diangkat menggunakan dua tangan.

Umair menghunus senjatanya.

Dan pertarungan pun bermula.

 

*********

“Argh!” Waqqas jatuh lagi. Namun, segera dia menahan tubuhnya dengan tangan dan melompat berdiri. Matanya memanah wajah Umair yang tenang. Nampak seperti tidak terkesan langsung dengan semua serangannya.

Pertarungan mereka berlanjutan sehingga matahari berada di atas kepala. Waqqas sudah dibasahi peluh. Wajahnya jelas keletihan. Pedang langsung tidak mampu diangkat lagi.

“Sudahlah. Mengaku kalah sahaja.” Umair berbicara. Merenung Waqqas dengan penuh rasa takjub. Semangat kanak-kanak ini luar biasa. Walaupun wajahnya sudah merah, nafasnya sudah mengah dan kepalanya sudah berpinar, namun semangatnya masih kuat.

“Dalam mimpi.” Waqqas bergerak menyerang Umair. Namun Umair cekap mengelak. Waqqas menghayun pedang dengan kedua-dua belah tangan. Serangannya goyah. Umair kekal berdiri. Tidak mengelak. Mengikut jangkaannya, hayunan pedang itu tidak tepat.

Zuss!

Pantas. Umair membesarkan mata. Waqqas tersengih.

Darah pekat menitis perlahan-lahan dari lengan baju Umair yang terkoyak.

Tadi Waqqas telah megubah arah hayunan pedangnya secara tiba-tiba. Dia mengerahkan seluruh tenanganya untuk menggerakkan pedang itu dengan pantas. Dan hasilnya…

Umair memandang lengan bajunya yang terkoyak. Kelihatan garis berwarna merah di lengannya.  Darah mengalir keluar. Kulitnya terbelah sedikit akibat goresan mata pedang Waqqas.

Pap! Pap! Pap!

Bunyi tepukan kedengaran. Abu Talhah, ketua panglima perang masuk ke tengah gelanggang. Dia lengkap berzirah perang. Wajahnya bersih dan sentiasa tersenyum.

“Waqqas.” Dia bersuara.

“Ya, tuan.”

“Kamu diizinkan untuk menyertai peperangan ini.”

Mata Waqqas bercahaya. “Benarkah ini?” Suaranya kedengaran gembira. Wajahnya ceria.

Abu Talhah mengangguk sambil tersenyum. Sebenarnya, dia telah memerhatikan pertarungan ini dari awal. Dia berasa kagum dengan semangat dan keberanian kanak-kanak ini. Tidak putus asa walaupun dihalang.

“Terima kasih. Semoga Allah membalas kebaikan tuan.” Waqqas menunduk hormat. Kemudian dia berpaling untuk pergi. Tidak sabar untuk mengkhabarkan berita gembira ini kepada kawan-kawannya.

“Waqqas…” Abu Talhah memanggil. Waqqas menoleh. “…nanti  jangan bawa pedang itu. Berat. Tidak sesuai untuk tubuhmu yang kecil. Untuk menggerakkannya sahaja kamu perlu mengeluarkan seluruh tenaga kamu.” Abu Talhah ketawa. Teringat Waqqas yang akan termengah-mengah selepas membuat satu libasan pedang. “Kamu akan diletakkan dalam pasukan memanah.” Sambung Abu Talhah.

“Dan kamu pula Umair…” Umair memandang Abu Talhah. “Saya hendak mengamanahkan kamu melaksanakan satu misi.”

Umair terkejut. Dia?

Abu Talhah menepuk-nepuk bahu Umair. Umair tertanya-tanya. Misi apakah itu? Kenapa dia yang diamanahkan?

 

***************

Umair memandangke hadapan. Segerombolan tentera berzirah lengkap kelihatan di kejauhan. Kebanyakannya ialah pasukan berkuda dan hanya sedikit sahaja infatri. Dari jauh mereka kelihatan seperti semut-semut  yang mengerumuni makanan. Terlalu ramai.

“Hari ini akhirnya tiba.” Amru bersuara di sebelahnya. Umair menghela nafas perlahan.

“Kenapa?” Amru menoleh. Wajah murung sahabatnya dipandang lama. Umair mengeluh.

“Aku teringat akan ayahku.” Kata Umair perlahan.

“Sabarlah.” Amru kehabisan kata-kata. Dia memahami kesedihan Umair. Pasti peristiwa semalam yang mengganggu fikiran Umair. Umair menundukkan kepalanya.

Tiba-tiba terdengar derap kaki orang berlari. Umair lekas mengangkat kepalnya.

“Umair!” satu suara yang amat dikenalinya menggetarkan gegendang telinga. Umair terkejut.

“Ayah!” Umair menjerit tidak percaya.

Baron Shaukan, lengkap berzirah perang dengan topi perang di tangannya melutut di hadapan Umair. Umair tunduk.

“Apa ayah buat di sini?” Umair bertanya hairan.

“Ayah datang untuk menyerahkan diri kepada Allah. Dengan ini, aku naik saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu persuruh-Nya.” Lancar Baron Shaukan menuturkannya. Disambut dengan laungan takbir oleh semua yang ada di situ. Umair terus mendakap tubuh ayahnya. Air matanya mengalir. Inilah hadiah yang tersebar dari Allah untuknya setelah dia memeluk Islam.

“Ayah akan berjuang untuk Islam!” Baron Shaukan membalas dakapan Umair. Amru mengelap air matanya yang tumpah. Impian Umair telah dikabulkan.

Akhlak dan keperibadian Abu Talhah dan semua penduduk Islam telah menarik hatinya.

“Apa tujuan kamu ke sini pada malam begini?” Seorang lelaki, bertubuh agak tinggi mendekatinya. Baron Shaukan meletakkan pedangnya ke tanah. Kemudian di mengangkat tangan.

“Aku datang dengan aman.” Dia bersuara.

“Beri dia masuk.” Arah lelaki bertubuh tinggi itu.

“Tapi…” Seorang lelaki berjanggut nipis cuba membantah.

Lelaki bertubuh besar itu menoleh. Lelaki tadi terus menundukkan kepalanya. Akur.

“Silakan masuk ke kampung kami. Kamu boleh ambil pedang kamu. Selamat datang ke perkampungan kami.” Lelaki itu tunduk mengambil pedang Baron Shaukan. Kemudian pedang itu diserahkan kepada Baron Shaukan.

Baron Shaukan terkejut. Tidak percaya yang dia akan dilayan sebegitu baik. Tidak apabila dia telah membunuh beberapa orang dari kalangan mereka.

“Aku hendak berjumpa dengan Umair.” Baron Shaukan berterus terang. Lelaki tadi tersenyum.

Kemudian, dia bersuara, “Zaid, bawa dia kepada Umair.”

“Baik.” Zaid melangkah mendekati Baron Shaukan.

“Ayuh.” Zaid memandang Baron Shaukan. Baron Shaukan memandang lelaki bertubuh tinggi yang meminta diri untuk pergi. Dia kenal lelaki itu. Panglima Abu Talhah.  Musuh ketatnya. Mereka pernah bertarung sekitar setahun yang lalu. Tambahan pula, kali terakhir dia memasuki ke perkampungan itu, sebuah keluarga mati di tangannya. Fikirnya pasti Abu Talhah akan mengambil kesempatan untuk membalasnya.

Tapi kenapa dia melayannya seperti mereka berkawan baik?

“Kamu semua ini aneh.” Akhirnya kata-kata itu terkeluar dari dua bibirnya. Sepanjang perjalanannya, dia diraikan seperti tetamu. Semua tersenyum. Tiada yang memandangnya dengan pandangan yang ganjil. Malah, ada yang menegurnya dengan ramah.

“Hah?” Zaid menoleh. Kurang dengar.

“Kamu semua aneh. Pelik. Ganjil.” Baron Shaukan berkata lagi. “Kamu tak marahkah atas apa yang telah aku lakukan?”

“Oh, itu.” Zaid berhenti tiba-tiba. “Marah. Tetapi kami ini berbeza daripada kalian. Islam telah mengajar kami untuk memaafkan. ‘Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baikmaka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim. Dan sesungguhnya orang-orang yang membela diri sesudah teraniaya, tidak ada satu dosapun terhadap mereka. Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih.  Tetapi orang yang bersabar dan mema’afkan, sesungguhnya (perbuatan ) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan.’ Itu firman tuhan kami.“

Hati Baron Shaukan tersentuh.Dan ketika dia menemui Umair…

 

“Umair, kembalilah kepada Tuanku Gargon.”

“Tidak, ayah.”

“Adakah kamu tidak mencintai ayah? Kamu lupakah siapa yang telah membesarkanmu? Adakah kamu telah lupa siapakah yang telah mengajarmu dan melatihmu bermain pedang?”

“Aku tidak akan lupa malah aku menghargainya. Sungguh, ayah dan ibulah orang yang paling aku cintai di muka bumi ini. Namun tetap kecintaanku kepada Allah dan Islam melebihi segala-galanya.” Umair membalas penuh yakin.

“Kalau begitu, aku terpaksa bertarung denganmu esok.”

“Jika itu yang dikehendaki-Nya, aku berserah diri kepada-Nya. Namun, percayalah ayahku. Pedang ini tidak akan melukai tubuhmu melainkan jika aku terpaksa melakukannya. Ayuhlah, bersamaku. Masuklah ke dalam Islam.”

Mendengar kata-kata Umair, dia tahu mustahil dia dapat memalingkan Umair semula. Keimanannya jitu. Dia berlalu pergi.

 

“Saudara.” Seseorang menyentuh bahunya. Baron Shaukan menoleh. Abu Talhah sedang memegang bahunya sambil tersenyum. Matanya basah.

“Semoga Allah merahmati dan memberkati kamu. Kamu mengingatkan aku kepada sahabat nabi, Amar bin Thabit. Beliau juga memeluk Islam beberapa minit sebelum peperangan. Akhirnya beliau syahid dan dimasukkan ke dalam syurga meskipun beliau tidak pernah solat walau satu rakaat pun.” Abu Talhah berpelukan  dengan Baron Shaukan. Bahu Baron Shaukan ditepuk-tepuk.

“Doakan aku supaya jadi sepertinya.” Baron Shaukan berbisik.

Tiba-tiba, kedengaran bunyi semboyan peperangan dibunyikan oleh musuh. Gendang dipalu sebagai isyarat peperangan akan dimulakan.

Abu Talhah bergerak ke barisan hadapan. Begitu juga dengan Umair. Baron Shaukan memasuki barisan tentera Islam.

“Wahai saudara-saudaraku! Marilah kita menyambut seruan jihad ini kerana Allah semata-mata. Perangilah musuh dengan bersungguh-sungguh. Allah s.w.t telah berfirman, Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.

Ayuh! Cukuplah Allah sebagai penolong kita! Jangan gentar dengan bilangan mereka.”

“Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!” Kata-kata Abu Talhah disambut dengan laungan takbir. Bulu roma Umair terasa meremang. Semangatnya berkobar-kobar.

“Sedia untuk syahid?” Dia memandang Amru di sebelahnya.

Amru mengangguk. “Kita menang, atau syahid!” Amru menyahut penuh semangat.

“Siapakah antara kita yang akan syahid dan meminang bidadari sebelum malam nanti?” Umair bertanya.

“Kita lihat nanti.” Amru mengangkat kening. Bibirnya menggores senyuman.

Pruuuuuuuttttt……..

Semboyan perang dibunyikan oleh tentera Islam. Peperangan bakal dimulakan.

“Dengan nama Allah aku berperang!” Umair maju ke hadapan sambil menjulang pedangnya.

“Allahu Akbar!” Amru mula memacu kudanya.

Peperangan pun bermula.

 

********

 Umair mencari-cari Raja Gargon. Kudanya dipacu membelah kuda-kuda musuh. Matanya meliar ke kiri dan ke kanan.

Ya. Umair telah diamanahkan oleh Panglima Abu Talhah untuk membunuh Raja Gargon demi membuktikan kebenaran dan melemahkan musuh. Impiannya satu ketika dahulu. Tentera Islam sudah semakin tersepit. Bilangan mereka sangat sedikit. Tambahan pula, mereka kekurangan senjata dan kelengkapan perang.

“Itu dia.” Umair terpandang sebuah khemah berwarna merah, jauh sedikit dari medan peperangan. Pasti Raja Gargon berada dalam khemah tersebut. Umair pantas mencapai tali kekang kudanya dan memandu kudanya menghampiri khemah tersebut. Kemudian, dengan berhati-hati, Umair turun dari kudanya dan melangkah masuk ke dalam khemah. Pedang dihunus.

Rupa-rupanya, terdapat dua orang tentera elit berjaga di dalam khemah. Mereka berzirah lengkap. Mereka dapat dikenali dengan zirah mereka yang berwarna hitam, bukan merah seperti tentera biasa. Melihat kedatangan Umair, kelam-kabut mereka menghunus pedang. Namun, Umair pantas bertindak. Mata pedangnya memancung leher dua tentera tersebut. Darah memancut mengotori zirah Umair.

“Syabas, Umair.” Satu suara kedengaran. Satu susuk yang besar sedang berdiri di hadapan Umair. Itulah, Raja Gargon, pemerintah Armonia.

“Kau anak Baron Shaukan, bukan? Kau bermimpi hendak membunuh aku?” Raja Gargon menghunus pedangnya.

“Bukan bermimpi, tapi bercita-cita. Dan hari ini, aku akan merealisasikan cita-cita aku itu.” Umair terus bergerak menyerang leher Raja Gargon. Namun, Raja Gargon bukan sembarangan orang. Pedang Umair dihalang. “Bukan semudah itu.” Dia memutarkan pedangnya dan menyerang Umair.

Umair terundur beberapa langkah.

Raja Gargon tidak membazirkan masanya. Umair terus digasak.

Pang!

Pedang mereka berlaga.

Umair juga tidak kurang hebatnya. Semua serangan Raja Gargon disambut dengan baik. Kadangkala, dia juga menyerang. Namun itu agak sukar memandangkan Raja Gargon cekap mengelak dan bijak menggunakan serangan Umair untuk menyerang balas.

Zupp!

Darah mengalir dari pipi Umair. Pedang Raja Gargon telah menggores pipinya.

Zuss!

Mata pedang Umair membentuk garisan memanjang di dahi Raja Gargon.

Dua-dua cedera.

“Kurang ajar!” Raja Gargon diamuk marah. Umair bersiap siaga.

Dalam hati, tidak putus-putus Umair berdoa kepada Tuhannya.

 

************

Amru melibas pedangnya dengan ganas. Musuhnya terlalu ramai. Satu berlawan dengan sepuluh. Sesuatu yang tidak adil.

Seorang musuh menyerang hendap dari belakang. Pedang hampir mencantas kepalanya. Namun, belum sempat pedang itu menyentuh kepalanya, musuhnya tumbang ke tanah. Tiga bilah anak panah terpacak di belakangnya.

Amru menoleh ke belakang. Waqqas.

“Jaga-jaga.” Bibir Waqqas bergerak menuturkannya. Busur panah diangkat.

Amru tersenyum “Terima kasih.” Dia menggerakkan bibir.

“Jangan lupa aku.” Seorang musuhnya bersuara. Bersiaga untuk meyerang.

“Haha. Mana mungkin aku lupa.” Amru membalas. Di hujung kata-katanya, dia bergerak menyerang musuhnya terlebih dahulu.

“Di mana Umair?  Adakah dia sudah membunuh Raja Gargon?” Pertanyaan itu terus berlegar-legar dalam fikiran Amru.

 

************

Pedang terhenti. Umair mengetap bibir. Zirahnya koyak digores pedang Raja Gargon. Kini pedang itu berhenti tepat di perutnya. Bersedia untuk memburaikan isinya.

Pergerakan Raja Gargon terkaku. Sejuk pedang Umair telah menyentuh lehernya. Jika dia bergerak, akan bercerailah kepalanya dari badan. Kedua-duanya tersepit antara hidup dan mati.

“Baiklah, lepaskan aku. Aku akan hentikan peperangan ini. Kau dan orang kau boleh pulang dengan selamat.” Raja Gargon memberi tawaran.

Umair menggeleng. “Cita-citaku hampir menjadi kenyataan. Memang inilah tujuan aku datang ke sini. Untuk membunuh kamu!” Umair membalas.

“Bodoh! Kau juga akan mati. Kau tidak nampakkah pedangku yang telah bersedia untuk mengoyakkan isi perutmu?”

Umair tersenyum. “Aku bukan seperti kamu, Gargon! Aku tidak takut mati. Matlamatku memang dua, sama ada menang ataupun syahid. Kami, tentera Islam sanggup mati untuk agama yang kami anuti.” Di akhir kalamnya, Umair menggerakkan tangannya dengan pantas, mencantas leher Raja Gargon.

“Argh!!!” Di akhir hayatnya, Raja Gargon menjerit. Matanya terbuntang. Kepalanya terpisah daripada badan. Kemudian, kedua-duanya jatuh ke bumi.

“Allahu Akbar!” Umair bertakbir. Kepala Raja Gargon diambil. Berita ini perlu disampaikan kepada tentera musuh untuk melemahkan semangat mereka. Serentak dengan itu, 10 tentera elit memasuki khemah. Mereka ini ialah ‘malaikat-malaikat’ Raja Gargon. Bersubahat dalam menghasut manusia menyembah Raja Gargon. Walhal hakikatnya mereka mengetahui Raja Gargon bukan Tuhan mereka.

“Dia telah membunuh Tuanku.” Seorang tentera elit bersuara. Umair mengenal suara itu. Itu suara abangnya, Malik Shaukan. Ketua kepada para ‘malaikat’ Raja Gargon.

“Urghh!” Darah termuntah keluar dari mulut Umair. Ketika ini baru dia menyedari pedang Raja Gargon telah menembusi perutnya. Umair memegang hulu pedang itu. Dia melutut di tanah. Seluruh tubuhnya terasa sakit.

Ketua para ‘malaikat’ itu mendekatinya.

“Heh, dia sudah hampir mati. Kita tinggalkan dia. Dia tidak akan sempat menyampaikan berita kematian Raja Gargon kepada pasukan kita. Agama yang mereka agung-agungkan akan lenyap.” Malik Shaukan bersuara. Pedang di sisi Umair dikuis ke atas dengan kaki dan kemudiannya disambut. Sedikit pun tidak tercuit melihat Umair terketar-ketar menahan kesakitan. “Pedang ini sepatutnya milik aku.” Dia berjalan keluar dari khemah.  Semua tentera elit mengikuti langkahnya. Tinggal Umair sendirian.

“Ya Allah kuatkan aku. Jangan matikan aku sehingga aku selesai melaksanakan tugas ini. Sesungguhnya aku hanya hamba yang lemah.” Umair berdoa. Kemudian, dengan seluruh tubuh yang terketar-ketar, Umair cuba bangkit. Pedang di perutnya dicabut dan dijadikan tongkat. Sakitnya terasa seperti tubuhnya disiat-siat.

“Allah….” Sebelah lagi tangan Umair berpaut pada tombak di sebelahnya.  Dengan susah payah, Umair cuba berdiri. Tombak dicacakkan ke tanah.

“Hei, dia cuba menuju ke medan.” Seorang tentera Elit terpandang Umair yang sudah berada di atas kudanya. Umair memeluk erat leher kuda tersebut dan memacu kudanya laju menuju ke medan. Tangan kanannya memegang pedang dan kepala Raja Gargon sementara tangan kirinya memegang tombak.

images

“Hiargh!” Seorang tentera elit berjaya memintas Umair dan mencantas tangan kanannya. Kepala Raja Gargon Berjaya disambut dengan tangan kirinya. Pedang terlepas ke tanah. Tangan kanannya berputar seketika di udara sebelum melandas ke wajah seorang tentera elit yang mengejarnya. Tentera elit itu jatuh.

Tiga orang tentera elit berjaya menyainginya. Umair memutarkan tombaknya, menyebabkan musuhnya terpaksa menjauhinya. Walaupun hanya dengan sebelah tangan, Umair bijak menggunakan tombaknya untuk menikam musuh. Bahagian leher menjadi sasaran.

“Matilah!” Seorang tentera elit melibas pedang dari kiri. Umair mengelak, menyebabkan tangan kirinya terputus dari bahunya. Umair pantas menggigit rambut Raja Gargon. Tombaknya tercampak ke udara bersama tangannya.

“Ya Allah, aku bertawakkal kepadaMu. Ini usahaku yang terakhir. Sampaikanlah kepala ini ke tengah medan pertempuran.” Dengan sekuat hati, Umair membaling kepala tersebut. Waktu seakan-akan terhenti. Kepala itu bergerak ke medan pertempuran dan jatuh betul di tengah-tengah. Dia melihat Abu Talhah menjulangnya.

Ketika itu, ribuan anak panah meluncur ke arahnya. Tubuhnya dihujani anak panah. Umair terjatuh dari kudanya. Tetapi dia tidak jatuh ke tanah. Tubuhnya disambut seseorang. Dan dia mendengar suara lantang Abu Talhah dari tengah medan.

“Raja Gargon sudah mati. Sudah terbukti bahawa dia juga seperti kalian. Adakah kalian tidak berfikir, bagaimana tuhan boleh dibunuh oleh hambaNya? Lihatlah, tuhan kalian telah mati. Berserahlah dan tunduklah kepada Islam!”

Peperangan terhenti. Tentera Raja Gargon seakan-akan baru terjaga daripada lena. Ramai di antara mereka yang menyerah diri.

“Umair.” Satu suara kedengaran begitu dekat di telinganya. Rupa-rupanya, Amru sedang memeluk erat tubuhnya, menghalangnya daripada jatuh. Mata Amru kelihatan basah.

“Sahabat, mana boleh kau syahid dahulu? Aku sepatutnya terbang ke syurga lebih awal daripada kamu.” Suara Amru kedengaran bergetar. Hatinya menahan sebak. Tubuh Umair dipenuhi dengan anak panah. Kedua-dua tangannya kudung. Dan perutnya juga terburai. Siapa yang tidak sedih melihat keadaan Umair?

“Heh,” Umair bersuara perlahan. “Bidadari kau, aku punya, tahu?” Umair cuba menceriakan suasana. Keningnyan diangkat dua kali. “Aku menang.” Bibirnya mengukir senyuman. Amru tergelak. Namun, air matanya mengalir lebih laju. Menitik ke wajah Umair.

“Hei, janganlah menangis.” Umair bersuara.

Amru memalingkan wajahnya. “Mana ada aku menangis.” Amru mengelap pipinya dengan belakang tangan.

“Lihat ini. Aku tidak menangislah!” Amru memandang Umair semula. Matanya merah.

Umair tersenyum. Di hujung senyumannya, darah merah mengalir. Ketika ini tubuhnya berasa sejuk.

“Ayahku terbunuh?” Umair bertanya. Semakin lemah.

“Ya.” Amru cuba menahan air matanya daripada tumpah. Dia melihat Baron Shaukan tumbang di belakangnya tadi.

“Aku melihat ayahku.” Umair bersuara perlahan. Matanya dipejamkan. Tubuhnya terasa semakin ringan.

Sebak mencengkam ke dasar hati Amru. Air matanya tidak dapat ditahan. Sahabatnya dari kecil, teman sepermainannya sedang bergerak menembusi alam lain.

“Umair.” Panggilnya perlahan. Namun, sahabatnya itu tidak menunjukkan sebarang reaksi. Amru melihat ke dada dada Umair yang telah berhenti berombak. Fahamlah Amru, kehidupan sahabatnya telah terhenti.

Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahwa mereka itu) mati; bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup tetapi kamu tidak menyedarinya.

 

********

Wilayah Armonia telah bertukar wajah. Islam telah diiktiraf sebagai agama rasmi. Panglima Abu Talhah dilantik menjadi pemerintah. Dia memerintah dengan adil dan saksama. Ramai penduduk Armonia yang memeluk Islam kerana terpesona dengan peribadi Abu Talhah yang bersih. Penduduk Islam tidak lagi berasa takut. Mereka bebas melakukan ibadah di mana-mana.

“Amru.”

Amru menoleh.

Suhaib sedang berdiri di belakangnya sambil tersenyum. “Terkenang Umair?”

Amru mengangguk. “Siapa boleh melupakan sahabat yang telah bersama dengannya sejak dari kecil?”

“Umair adalah sebab utama Islam dapat diamalkan secara bebas hari ini. Malangnya, dia tidak sempat melihat hasilnya.” Suhaib memandang beberapa orang lelaki berjubah putih yang lalu di sebelahnya. Mereka sedang bergerak ke masjid. Azan akan dilaungkan tidak lama lagi.

Kini, beberapa buah masjid telah dibina di seluruh Wilayah Armonia. Masjid Muhammadiyah, Masjid Abu Bakr as-Siddiq, Masjid Abdurrahman ‘Auf dan Masjid Mus’ab bin Umair.

“Aku kagum dengannya.” Tutur Amru. Teringat Umair. Dia yang dahulunya kaya-raya, tidak meninggalkan walau sekeping wang selepas kematiannya. Dia bukan sahaja mengorbankan harta dan kemewahan yang dinikmatinya, malah dia juga mengorbankan kedua-dua tangannya dan juga nyawanya.

Dia memandang ke langit.

“Sahabat, apa khabar engkau di sana?”

 

**************

~Hamba Rabbani~

2 thoughts on “Cerpen: Pahlawan Syahid

  1. Umair r.a? Hmm, saudari silap orang ni… adakah saudari memaksudkan sahabat nabi, Mus’ab ibn Umair r.a? Jika ya, maka jwpnnya ialah ya… Ana terinspirasi untuk membuat cerpen ini apabila terbaca kisah beliau. (Walaupun jalan ceritanya tidak sama…) Bg siapa yg btul2 mhayati dan mnyelami cerpen ini, dia akan mendapati byk kisah sahabat yg saya olah sedikit jalan ceritanya di dalamnya. Wallahu A’lam. Semoga Allah merahmati dan meredhai kita semua🙂

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s