Cerpen: Aku, Seorang yang Berputus Asa

Kenapa mesti aku?

Itulah persoalan yang kerap dia lontarkan. Hidupnya tidak seperti orang lain yang indah seperti pelangi. Penuh dengan warna-warni. Hidupnya hanya diwarnai dengan tona gelap. Pelangi tidak pernah memunculkan diri. Gerimis kejam terus turun merampas semua yang dimilikinya. Kenapa Allah berbuat begini kepadanya?

Mula-mula, Allah telah mengambil ibunya. Sedari kecil, dia tidak berpeluang merasai kehangatan belaian seorang ibu. Namun, dia redha. Kemudian, Allah telah menetapkan dia lahir dalam keluarga miskin. Dia  redha. Bila Allah menitipkan ujian berupa fitnah, tohmahan dan bermacam-macam lagi di setiap hentian hidupnya, dia juga redha. Dia tidak pernah mengeluh. Dia menerimanya dengan sabar. Hingga akhirnya, cahaya hidupnya, gurunya, satu-satunya adik-beradiknya, abangnya, pergi menghadap Ilahi. Hidupnya terasa kelam. Dunianya terasa gelap. Dia seorang yang baik, taat kepada agama, selalu berjemaah di masjid, kenapa Allah membalasnya dengan ini? Inikah keadilan? Inikah ganjaran yang diperoleh dengan menjadi seorang hamba yang baik? Dan selepas itu, hidupnya menjadi tidak tentu arah. Musibah demi musibah menimpanya silih berganti. Hingga dia akhirnya menjadi serang yang berputus asa.

Dan kini dia disini. Di lorong sempit dan berbau busuk. Di sebelah timbunan sampah yang menggunung. Tidurnya beralaskan kotak-kotak yang dibuang orang. Kerjanya kini hanya baring meratapi nasibnya yang dirasakan malang. Berfikir, mengapa akhirnya dia ditakdirkan begini sedangkan dia seorang muslim yang taat. Mengapa?

Itulah kehidupan dia, seorang lelaki yang berputus asa.

*******

Cahaya matahari pagi menerobos masuk melalui liang-liang kotak. Namun, cahaya itu langsung tidak mengganggu lena si penghuninya yang lena dibuai mimpi. Baginya siang atau malam, tiada bezanya. Semua diisi dengan tidur.

“Assalamualaikum, akhi.” Satu suara lembut menyentuh gegendang telinganya. Dia menarik kotak yang menutupi kepalanya. Ah, siapa yang mengganggu tidurnya di pagi yang nyaman ini?

“Assalamualaikum. Akhi, akhi…” Suara itu memanggil lagi. Dia menggeliat sedikit. Kemudian, dia membatukan tubuhnya. Siapa yang peduli dengan lelaki jalanan sepertinya? Yang berbau hapak, selekeh, berambut serabai dan comot?

“Akhi, boleh kita berbicara sebentar?” Suara itu lagi.

Dia mendengus kasar. Dia hairan. Kenapa lelaki ini bersungguh-sungguh menegurnya? Apakah yang lelaki itu mahu?

“Akhi?” Dia dapat merasakan seseorang sedang merapatinya.

“Apa yang kau mahu?” Dia bersuara dingin. Mengalah dengan ketidakputusasaan lelaki itu. Dia sedikit kagum. Kerana dia seorang yang berputus asa.

“Saya hanya mahu bersembang.” Suara itu kedengaran mesra.

Dia mengangkat kening. Dia menegur hanya kerana mahu bersembang? Aneh. Siapa lelaki gila ini?

“Heh, sudah matikah semua orang sehingga engkau terpaksa mengajakku untuk menemanimu bersembang?” Dia bersuara dengan kepala masih di dalam kotak.

Lelaki itu tertawa. “ Tidak. Tetapi dari berjuta-juta orang, Allah telah menghantarkan saya untuk bersembang dengan akhi.”

“Allah yang telah membuatkan aku begini?” Dia bersuara sinis.

“Ketahuilah, ada hikmah di sebalik semua ini. Allah tidak akan menjadikan sesuatu dengan sia-sia.”

“Oh, ya? Justeru, apa hikmahnya?”

“Hikmahnya terlalu besar untuk hamba yang kerdil seperti kita ini memikirkannya.”

“Sudahlah. Aku sudah bosan mendengarnya.”

“Akhi, bagaimana kalau Allah membalas musibah yang ditimpakan ke atas akhi dengan kehidupan di syurga yang kekal abadi? Adakah akhi masih mengidamkan dunia yang sementara ini?”

Dia tersentak. “Tetapi kenapa mesti aku yang ditimpa musibah. Aku seorang yang rajin beribadah, taat perintah Allah, sering bertahajjud tetapi kenapa aku yang ditimpakan segala kesusahan?”

“Sebab akhi seorang yang rajin beribadah, taat perintah Allah, sering bertahajjudlah Allah memberikan akhi musibah dan ujian. Rasulullah bersabda, ‘Sesungguhnya besarnya pahala diukur dengan besarnya ujian. Dan apabila Allah suka kepada kaum itu, mereka diuji. Jika mereka redha Allah redha kepadanya, dan jika dia marah, Allah pun marah kepadanya.’ Cuba kita fikirkan. Nabi Ayub a.s ditimpa musibah yang dahsyat. Sedahsyat-dahsyat musibah yang akhi terima tetap tidak dapat menandingi musibah Nabi Allah, Ayub a.s. Harta bendanya musnah, anak-anaknya mati, tubuhnya berpenyakit yang sangat teruk dan isterinya lari meninggalkannya. Kadangkala ujian ditimpakan kerana Allah sayang orang itu. Allah ingin meninggikan darjatnya dan menambah pahalanya supaya senang dia masuk ke syurga nanti. Bersangka baiklah. Rasalah beruntung kerana menjadi yang terpilih. Fikirkanlah.  Bukankah Nabi Ayub itu hamba Allah yang sangat baik?” Suara itu membalas. “Firaun pula dilimpahi kekayaan, dan Namrud tak pernah jatuh sakit. Bukankah mereka hambaNya yang ingkar? Ketahuilah, musibah kesusahan bukan hanya untuk hambaNya yang ingkar dan derhaka sahaja.”

“Ya. Dan itulah tanda yang Dia tidak adil.” Pantas dia memotong.

“Bukan. Itulah tanda keadilan-Nya. Sesiapa yang merasa susah di dunia akan merasa senang di akhirat nanti. Allah tidak akan menghimpunkan dua kesusahan ke atas seseorang. Bukankah Firaun dan Namrud itu tempatnya di neraka? Sedangkan Nabi Ayub a.s, ditempatkan di syurga. Bukankah itu sangat adil?”

Dia tersenyap.

“Kadangkala akhi, Allah memberikan kita musibah untuk menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Bukankah Nabi Ayub akhirnya mendapat semula kekayaannya dan isterinya serta dianugerahi dengan limpah kurnia yang banyak? Pernahkah akhi mendengar kisah Ummu Salamah yang amat menyentuh hati? Beliau telah dipisahkan di padang pasir nan luas dari suaminya dan dipaksa pulang ke Makkah? Akhirnya, beliau dilepaskan dan beliau sanggup merentas padang pasir untuk kembali menemui suami tercinta, Namun, tidak lama selepas itu, suami beliau ditakdirkan syahid.  Allahu Akbar! Sedih di hati tidak terkata! Baru bersama sebentar terpaksa pula berpisah untuk selamanya. Tetapi Ummu Salamah akhirnya mendapat ganti yang lebih baik. Dia dipinang oleh Rasulullah s.a.w! Kalaulah Ummu Salamah tidak merasai keperitan kehilangan seorang suami, pastilah beliau tidak mendapat gelaran ummul mukminin. Lihatlah, akhi! Namun, ingatlah. Gantiannya tidak semestinya di dunia ini. Katahuilah, gantian di sana lebih nikmat dan indah.”

“Eh, engkau ni sedang berlatih bercerita ke? Bla lah. Aku mahu menyambung tidurku.” Dia memperlekeh.

“Janganlah menutup pintu hati itu. Akhi, kita ini hanya hamba. Pengetahuan kita terbatas. Ibarat setitis air di lautan nan luas. Kita tidak tahu apa yang terbaik buat kita. Kadang-kadang kita rasa inilah yang terbaik, tetapi hakikatnya tidak. Tetapi Allah pencipta kita. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Allah berfirman, : ‘Boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagi kamu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.’”

Hatinya sedikit tersentuh.

“Memang kita tidak  boleh mengubah apa yang berlaku tapi kita boleh ubah pandangan kita atas apa yang berlaku. Dan itu yang memberi kesan kepada kita. Kita perlu fikirkan berjuta-juta rahmat Allah di sebalik musibah itu. Rasulullah ada bersabda, ‘tidaklah seorang mukmin itu ditimpa musibah tertusuk duri atau lebih dari itu, kecuali dengannya terhapus sebahagian dosanya.’ Rugi orang yang mempersoalkan takdir Allah.  JIwanya akan lebih sakit. Cuba akhi fikirkan dari sudut positif. Mungkin Allah nak mempermudahkan akhi ke syurga-Nya. Seorang isteri kepada seorang ulama’ besar pernah cedera pada jarinya hingga terkopek kukunya. Tapi, yang menakjubkan, dia sedikit pun tidak mengaduh malah dia tertawa. Apabila ditanya, dia menjawab dia ketawa kerana terfikirkan pahala yang diganjari Allah kepadanya.” Sambung suara itu lagi dengan lembut.

Dia memegang kepalanya yang mulai pening. Otaknya sedang cuba mencerna bait-bait perkataan yang didengarinya.

“Kadang-kadang, akhi.” Suara itu menambah. “Allah timpakan kita musibah untuk mendekatkan diri kita kepadaNya. Allah rindu tangisan kita, rintihan kita kepadaNya. Kalau Allah tak timpakan kita musibah ini, mungkin kita akan menjadi seorang yang lupa diri, lemas dalam lautan nafsu, tenggelam dalam dunia yang mempesona. Allah berfirman: Dan kami uji mereka dengan nikmat baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran.(Al-A’raf: 168) Dan ingatlah, akhi. Allah ada bersama kita setiap masa. Allah ada. Ingat, Allah itu ada. Tak pernah meninggalkan kita. Allah ada bersama kita.”

Allah ada.

Kata-kata itu menjentikhatinya. Dia tak yakinkah Allah itu ada?

“Ingatlah, ketika ditimpakan musibah ke atas Saidina Abu Bakar ketika berada di dalam gua, iaitu rasa takut kerana diburu Kafir Quraisy, nabi kita memujuk, ‘LA TAHZAN, INNALLAHA MA’ANA.’ Adakah musibah kita, lebih besar dari nikmat Allah bersama kita? Allah bersama kita, akhi! Walau sebesar manapun musibah yang menimpa kita!”

Dia dapat merasakan getaran pada suara itu. Hatinya semakin tersentuh. Perlahan, di dalam kotak itu, tangannya bergerak menyentuh dada. Allah bersamaku?

“Bukti Allah bersama akhi sudah jelas. Ketika akhi ditimpa musibah, dalam masa yang sama, Allah sedang memberi akhi berjuta-juta nikmat. Nafas yang tak terhitung banyaknya, tidur, penglihatan, pendengaran, bercakap, berjalan, bergerak dan macam-macam lagi. Dan Allah masih lagi beri akhi nikmat, yang tak semua orang dapat. Nikmat Islam, akhi. Islam. Adakah akhi tidak bersyukur dengan nikmat Islam yang Allah beri?”

Ya Allah… Kali ini, dia benar-benar terasa. Air mata mula bergenang di tubir matanya. Menunggu masa untuk melimpah keluar.

Dia tidak sedar selama ini, ketika bibirnya tidak henti mempersoalkan takdir Allah, ketika hatinya bergelumang dengan bermacam-macam sangkaan buruk pada-Nya, namun, Dia masih tetap memberinya nikmat yang tak terhitung banyaknya. Dan dia lupa untuk bersyukur dengan nikmat yang banyak itu. Dia hanya nampak sedikit nikmat yang hilang daripadanya.

“Nabi Ayub a.s, ketika isterinya memintanya untuk memohon pada Allah supaya menyembuhkannya, baginda enggan kerana baginda segan dengan Allahkerana Allah sudah bertahun-tahun memberinya nikmat. Allahu Akbar!”

Kali ini, dia merasakan setitis cecair hangat menyentuh belakang badannya yang hanya disarungi singlet nipis.

Bukan setitis. Setelah setitis itu, jatuh lagi bertitis-titis cecair hangat di atas badannya.

Dan sendu pun kedengaran.

Lelaki itu menangis?

Air yang bertakung di kelopak matanya turut berjuraian. Seperti gerimis di waktu pagi, membasahi kotak yang masih tersarung di kepalanya.

“Kalaulah aku berfikir begini sejak dulu lagi…” Penyesalan lahir dari dalam hatinya.

Suara lelaki itu memotong. “Jangan berkata begitu, akhi. Tiada perkara yang berlaku secara tak sengaja. Ini perancangan Allah. Pertemuan kita hari ini, di sini, adalah aturan Allah. Dia telah menetapkannya dengan baik sekali. Alhamdulillah.”

“Ya Allah… terima kasih kerana mengatur pertemuan ini.” Lirih dia menuturkannya.

“Mahu saya ajarkan satu doa?”

Dia mengangguk.

“Bismillahirrahmanirrahim. Allahumma ajirni fi musibati wa akhlifli khairamminha. Ya Allah, ganjarilah aku di atas musibah ini dan berilah ganti bagiku yang lebih baik darinya.  Inilah doa yang diajarkan nabi s.a.w.”

Bibirnya ikut bergerak melafazkan doa itu. Dia pernah mendengar doa itu. Tetapi dia tidak pernah membacanya.

“Bangkitlah, akhi. Bangkitlah dari keputusasaan menuju rahmat Allah. Berbaik sangkalah dengan Allah. Berusaha, akhi !” Kata-kata lelaki itu seolah-olah sinaran matahari yang menerobos kotaknya.  Mengejutkan dirinya dari terus lena. Menghangatkan jiwanya yang selama ini layu tanpa ruh dan semangat.

Dia bangun dengan semangat baru. Matanya bersinar harapan. Dia ingin berubah!

Tapi sebelum itu, dia ingin melihat orang yang berjaya menyentuh hatinya. Tangannya menarik kotak itu dari kepalanya. Di ingin melihat ‘pelangi’ yang telah mewarnai hatinya.

Pelangi yang telah membuatkannya lupa kepada hujan yang tidak henti-henti membasahi hidupnya.

*******

Pap!

Kotak di tangannya terlepas.

Matanya terbuntang tidak percaya.

Mulutnya terus terkunci, tidak tahu hendak berkata apa.

Lelaki ini….

Lelaki itu tersenyum memandangnya. Senyum yang mendamaikan, di  wajahnya yang … pucat?

“Saya Ayub. Muhammad Ayub.” Suara lelaki itu menyedarkannya.

“Aku Mu’az.” Dia pula memperkenalkan diri. Matanya tidak lepas dari memandang lelaki itu dari atas ke bawah.

Kakinya tidak memijak tanah, bukan kerana dia boleh terbang, tidak, tetapi kerana dia menaiki kerusi roda. Kakinya lumpuh.

Begitu juga dengan tangan kirinya yang tersadai lemah di atas kerusi roda. Lumpuh. Longlai.

Mata kirinya rosak teruk. Kosong tanpa sinar cahaya. Pipi kirinya kelihatan bengkak. Dan mulutnya senget ke kanan. Terjungkit sedikit.

Wajah itu pucat. Bibirnya biru lebam. Matanya seakan menceritakan seribu satu kesakitan yang dideritainya.

Tetapi bibirnya masih cuba tersenyum.

Lelaki inikah yang kata-katanya, dapat menyentuh ke dasar jiwanya? Ops. Bukan lelaki, tapi budak lelaki. Usianya mungkin sekitar  17 tahun, 3 tahun lebih muda daripadanya.

Allahu Akbar!

“Mari ke rumah saya, akhi!”  Muhammad Ayub bersuara.

****

Rumah Ayub  tidak jauh. Hanya setengah kilometer dari tempat tidurnya. Rupa-rupanya, lelaki itu menemuinya ketika sedang bersiar-siar dengan mak ciknya.

“Masuklah.” Mak cik lelaki itu mempersilakan. “Ayub ke mana tadi? Risau mak cik. Tiba-tiba hilang.” Wanita separuh umur itu mendekati Ayub. Ayub tersenyum.

“Minta maaf mak cik. Ayub sembang dengan akhi tu.” Tutur katanya sungguh sopan.  Tangan kanannya menunjuk ke arah Mu’az. Mu’az mengangguk sedikit. Segan. Sudahlah badannya berbau hapak. Rambutnya pula kusut-masai tidak bersikat. Wajahnya? Comot dengan kesan tanah dan sisa makanan. Bila agaknya kali terakhir dia mandi? Tahun lepas? Dia pun dah tak ingat.

“Buatlah macam rumah sendiri, akhi. Saya masuk bilik sekejap. ” Dia menyorong kerusi rodanya ke dalam biliknya di belakang.

“Duduklah dulu, nak.”

Mu’az hanya menganggukkan kepalanya  kepada wanita separuh umur itu. Perasaannya sedang bercampur-baur. Kata-kata Ayub. Keadaan Ayub. Semuanya menyentuh hatinya.

Mu’az melabuhkan punggungnya perlahan-lahan di atas kerusi rotan. Tangannya spontan bergerak mencapai buku di bawah meja. Helaian pertama dibuka.

Sekeping gambar terselit di situ. Dia mengambilnya.

Gambar Ayub. Ayub yang sihat. Sempurna.  Kalau bukan kerana nama Ayub yang tertulis di situ, mati hidup balik pun dia tak percaya itu ialah Ayub.

Kacaknya dia dalam ni…

Kulitnya putih bersih kemerah-merahan. Matanya biru kelabu. Alisnya lebat keperang-perangan. Hidung mancung. Bibir merah, dengan senyuman yang amat menawan. Rambutnya kemas, ikal berwarna perang.

180 darjah berbeza dari Ayub yang sekarang. Bagai langit dengan bumi. Mata biru kelabunya di kiri sudah hilang sinarnya. Kulit putih kemerah-merahannya kini pucat dan lesu. Bibir merah kelihatan biru. Bibirnya senget, menjadikan senyumannya tidak lagi menarik hati. Rambutnya jarang. Sekejap sahaja nikmat ke’handsome’man wajahnya ditarik kembali.

Ya Allah, tabahnya dia.

Kalau akulah, mesti aku tidak dapat menerima kenyataan pahit ini. Tapi dia…

Ya Allah…Rupanya ada lagi musibah yang lebih berat dariku.  Tiba-tiba dia rasa bersyukur sangat.

Betullah. Kita sepatutnya lihat orang yang lebih susah dari kita. Yang lebih teruk diuji. Barulah kita akan bersyukur. Dan di luar sana, ada beribu-ribu orang yang lebih derita dari Ayub.

Syukur Ya Allah…

Mu’az insaf. Tanpa berlengah lagi, dia terus  bangkit menuju ke bilik air.

Aku, bukan lagi seorang yang berputus asa.

Kini aku, seorang yang mengharap rahmat dan kasih sayangNya.

“PERUMPAMAAN ORANG YANG BERIMAN APABILA DITIMPA UJIAN BAGAI BESI YANG DIMASUKKAN KE DALAM API, LALU HILANGLAH KARATNYA (TAHI BESI) DAN TINGGALLAH YANG BAIK SAHAJA.” –HADIS

IT IS NOT WHAT HAPPENS TO YOU, BUT IT IS WHAT YOU DO ABOUT IT

AND IT IS NOT HOW LOW YOU FALL BUT HOW HIGH YOU BOUNCE BACK!

*******

 

3 thoughts on “Cerpen: Aku, Seorang yang Berputus Asa

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s