Cerpen: Arghhh, susahnya!!!

heavy-heart1

Kring!!! Hari pertama persekolahan bermula. Tahun baru.

“Yo, bro!” Terasa ada tangan yang melingkari bahunya. Shahrul sengih tayang giginya.

“Aduh, tak semangat betullah aku nak pergi sekolah.” Dengan tangan menyeluk poket, Asyraf berjalan malas.

“Uwarghh.” Sambil menguap, Fizul bergerak melepasinya.

“Kat rumah, masa ni aku tengah mimpi lagi tau.” Badri membetulkan jam di pergelangan tangan.

“Apalah korang ni. Semangat lah sikit wei. Lepas ni masa Cikgu Saiful.” Fathi mengenyit sebelah mata. Cikgu Saiful = sejarah = sleeping hours.

Zarif sekadar tersengih. Dalam diam, dia mengeluh. Mereka berlima inilah yang akan menjadi masalahnya. Masalah yang besar dalam usaha untuk melancarkan perang terhadap hawa nafsunya.

*********

“Astaghfirullah.” Zarif menggosok mata. Ngantuknya. Rasa macam ada gajah duk bertenggek di atas kelopak mata.

Zarif meliarkan pandangan ke sebelah kirinya. Fathi dan Badri dengan selambanya menidurkan diri. Zarif menoleh ke sebelah kanan. Shahrul yang duduk di sebelah sedang membaca majalah di bawah meja. Fizul dan Asyraf yang duduk di seberang masing-masing sudah lena.

“Eh, kau tak nak join diorang ke?” Shahrul pelik. Selalunya tak sampai 10 minit, Zarif dah lelap.

Come on, bro! Aku dah berubahlah. Namun kata-kata itu sekadar di hati Zarif.

“Kita SPM kan tahun ni? Apa salahnya struggle sikit.”

Dan jelas di pandangan Zarif, kening Shahrul berkerut. “Kau ni peliklah. Lantak kaulah Zarif oi.” Shahrul kembali hanyut dalam dunianya. Matanya kembali kepada majalah hiburan di tangan.

“Haih, susahnya nak mujahadah.” Zarif membesarkan mata. Melawan rasa kantuk yang mula menyerang diri.

**********

“Wei, cuba kau tengok tu?”  Shahrul menjuih bibir ke satu arah. Serentak, empat kepala menoleh.

“Kenapa? Zarif tengah baca al-Quran. Kau tak kenal al-Quran ke bro?” Asyraf menjawab selamba.

“Aku tahulah tu. Kau tak pelik ke? Zarif? Al-Quran? Rasa macam…” Shahrul tidak menghabiskan ayatnya. Air dalam tin diteguk sambil berdiri.

“Dia nak jadi baik kut.” Fizul meneka.

“Aku pun perasan dia dah lain.” Badri terangguk-angguk.

“I don’t like this.” Fathi menyilang tangan di dada. Zarif changes for good?

Mereka berenam ialah kawan baik sejak tingkatan satu lagi. Mereka bukanlah budak  jahat, cuma bukan budak baik sahaja. Merekalah pelajar yang suka tidur dalam kelas, tak siap kerja sekolah, ponteng aktiviti kokurikulum dan membuli pelajar. Hidup mereka hanya untuk seronok. Bergembira.

“Assalamualaikum. Mengumpat aku ya?” Zarif menghampiri.

Fathi, Shahrul, Asyraf, Badri dan Fizul berbalas pandangan sesama sendiri. Zarif beri salam? Dunia hendak kiamatkah?

***********

“Jom chow.” Asyraf mengajak. Kopiah di kepala dibetulkan.

“Gerak.” Fathi menepuk Zarif di sebelahnya. Yang lain sudah bersedia untuk bangun.

“Eh, kita belum doa lagi kan?” Zarif kekal membatu. Langkah Fathi, Asyraf, Badri, Fizul dan  Shahrul terhenti.

“Sejak bila pula kita tunggu sampai doa? Cepatlah. Aku dah lapar ni.” Asyraf menggosok perut. Apahal pula Zarif ni?

Zarif terdiam. Dia serba-salah. Dia takut hubungan persahabatan mereka renggang. Tapi semua sedang berwirid lagi.

“Orang yang tak berdoa lepas solat ialah orang yang sombong. Allah kata: Berdoalah kepada-Ku nescaya akan Aku perkenankan untukmu. Allah dah tawarkan pada kita peluang, kita tolak. Bukankah sombong namanya tu?”

Suara abang Zakir terngiang-ngiang di dalam kepalanya.

Zarif, kau nak Allah cop kau sebagai orang yang sombong? Sedangkan orang yang sombong tempatnya neraka?

Zarif menarik nafas dalam. “Guys, korang pergilah dulu. Aku follow nanti.” Akhirnya satu keputusan dibuat.

Wajah-wajah sahabatnya berubah. Zarif tunduk. Bukan senang nak buat keputusan ni.

“Yelah, ustaaaaz.” Sindir Badri. Mereka berlima keluar.

Zarif terkedu. “Ya Allah, thabitkan hatiku.” Doanya.

Mujahadah. Bukan sesuatu yang mudah.

*********************

“Ya, itu dia. Zarif menggelecek bola dengan penuh bergaya melepasi Asyraf. Namun, langkahnya ke pintu gol dihalang oleh Kamal dan Badri. Mampukah Zarif melepasinya? Jeng, jeng, jeng.”

“Woi, senyaplah!” Asyraf menjerkah dari tengah padang. Sufian menayang muka selamba. Tak dapat main, jadi reporter pun jadilah.

“Wah, Zarif memang unbeatable hari ini. Dua orang defender dilepasi dengan mudah. Zarif sudah masuk ke kawasan penalti. Mampukah dia merampas kembali satu gol yang dijaringkan oleh pihak lawan?”

Zarif menarik nafas dalam. Dengan lafaz basmalah, dia maju ke hadapan. Kaki kiri dilayangkan dan…

GOL!!!

“Yes!” Zarif menggenggam jarinya. Beberapa orang rakan sepasukannya menerpa ke arahnya.

“Lawalah gol tadi.” Shahrul merangkul bahu Zarif. Zarif tersengih sambil mengesat peluh di dahi. Matanya menangkap angka yang tertera di jam tangannya. 5:00 petang.

“Guys, kita rehat lima minit.”

“Kenapa? Penat?” Soal Fathi.

“Nak rehat.” Zarif bergerak menghampiri bangku.

“Aik, baru sejam lebih dah pancit? Apa jadi dengan stamina kau?” Fizul mengekor dari belakang.

“Bukan pancit.” Zarif mencapai botol airnya yang terletak di bangku. “Aku..” Penutup botol dibuka. “…nak solat sekejap.” Air dicurahkan ke tangan. Ambil wudhu’.

Semua ternganga dengan jawapan Zarif. Tengah syok main, boleh terfikir nak solat?

Zarif sudah selesai mengambil wudhu’. “Lima minit ya.” Zarif mengangkat lima jarinya. Kemudia dia menghadap kiblat dan solat.

“Speechless.” Asyraf meraup rambutnya. Matanya memerhati gerak-geri Zarif.

“Tak pernah dibuat orang.” Komen Kamal.

Mereka terus memerhatikan Zarif sehingga solatnya selesai.

**********

“Aku peliklah.” Fathi memegang dagu. “Zarif.”

“Apa yang peliknya?” Fizul mengerutkan kening.

“Kenapa dia tiba-tiba jadi baik?” Fathi memandang wajah Fizul.

“Sebab hidayah?” Fizul menjawab spontan.

Asyraf meneguk minuman di tangan. “Itu memanglah. Tapi mesti ada sebab lain.”

“Aku rasalah…” Badri mengacau-ngacau bihun supnya. “…dia dah nak mati kut.” Selamba dia membuat andaian.

Bahunya ditolak oleh Shahrul. “Jahatnya mulut.”

“Habis tu? Apa lagi? Itu yang aku selalu tengok kat tv.” Badri mempertahankan dirinya.

“Hmm.. boleh jadi juga. Semalam kan kita main bola sampai malam. Aku perasan ada satu ketika tu, Zarif senyap-senyap makan sesuatu. Macam pil ubat.” Asyraf memberitahu.

“Dia sakit ke?” Fizul terkejut.

“Mungkin. Dia pun banyak termenung akhir-akhir ni.” Fathi memutar-mutarkan sudu di tangan.

“Kalau macam tu, kita kena siasat.” Badri memandang kesemua wajah rakan-rakannya. Mereka mengangguk serentak.

*********

Zarif mencapai botol airnya.

“Nak solat?” Asyraf bertanya. Zarif mengangguk. Dia mula mengambil wudhu’.

Ini sudah hari kelima Zarif meminta lima minit untuk menunaikan solat di tengah-tengah permainan.

“Guys, aku ada satu idea.” Asyraf melaung.

“Apa?”

“Apa kata daripada kita tunggu Zarif solat, kita solat sekali?” Tak salah kan idea ni?

Zarif yang baru habis mengambil wudhu’ memandang Asyraf. Tidak percaya.

“Jom.” Asyraf mencapai botol airnya.

“Emm…betul juga.” Faiz turut mengambil botolnya.

Yang lain mula berfikir. Akhirnya mereka turut mencapai botol masing-masing.

Zarif mengulum syukur di dalam hati.

***********

Senja sudah melabuhkan sayapnya. Masing-masing sudah bergerak pulang ke rumah.

“Kau hebatlah. Sebab kau, semua orang solat tadi.” Zarif berkata tiba-tiba. Dia dan Asyraf jiran selang dua buah rumah. Mereka pulang berjalan kaki bersama.

Asyraf tergelak. “Kalau ikutkan, kau lagi hebat.” Asyraf menyepak daun kering di atas jalan. “Hmm.. kenapa kau berhenti solat? Selalunya kan.. maksud aku tahun-tahun sebelumnya kan kita solat di rumah lepas habis main?”

Zarif memandang ke hadapan. “Aku tak nak lewatkan solat. Kita disuruh solat awal waktu kan? Lagipun, aku takut terbabas waktu solat.” Senyum.

“Zarif, kau dah lain tahun ni. Macam mana kau boleh buat perubahan? Kau tak takut kalau aku, Fathi, Fizul, Badri dan Shahrul sisihkan kau? ”

Zarif mengerutkan kening. “Korang pernah terfikir nak sisihkan aku ke?”

Asyraf sengih. “Frankly speaking, pernah. Well, kitorang bukannya budak baik. So, mestilah kitorang rasa tak senang dengan perubahan kau.” Dia jujur.

“Oh…” Zarif menunduk memandang kakinya. “Aku takut juga kalau korang sisihkan aku. Tapi aku mujahadah. Aku fikir, lebih baik aku disisihkan oleh kawan-kawan kalau dengan itu aku disayangi Allah. Aku tak sanggup bercerai dengan Allah kalau dengan itu aku boleh masuk dengan kawan-kawan.”

“Mesti susah nak mujahadah.” Komen Asyraf.

“Yup. Mujahadah itu memang pahit. Sebab syurga itu manis. Aku kena jihad melawan diri aku sendiri. Lawan ngantuk supaya aku tak tidur dalam kelas. Lawan rasa nak berbual-bual kosong dan gantikan dengan baca al-Quran. Dan yang paling susah, nak solat bila sedang kemuncak game. Dunia ni, Asyraf hakikatnya ialah medan jihad. Kita kena melawan hawa nafsu kita setiap masa sehingga hujung nyawa.” Terang Zarif panjang lebar.

Asyraf diam. Kata-kata Zarif diserap ke dalam mindanya.

“Syurga itu dipagari dengan kesusahan manakala neraka dipagari dengan keseronokan. Pernah dengar kata-kata pay now, play later. Dunia ni ibarat tempat ‘membayar’. Seolah-olah bayarlah di sini, dan berseronoklah di ‘sana’. Tak ada yang percuma. Nak syurga pun ada bayarannya. Mujahadatunnafs.  Memang susah nak mujahadah, sebab itu syurga balasannya.” Zarif tersenyum.

“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sungguh syurgalah tempatnya.” Zarif membacakan maksud  potongan ayat daripada surah an-nazi’at.

Mereka selama ini memang hidup dengan bergembira. Bagi mereka, zaman remaja untuk bergembira. Masa inilah untuk berhibur. Dan apabila sudah berada di atas katil kesenangan, bukan senang nak bangkit buat turning point 180 darjah. Jiwa dah rasa seronok. Ketika itu, memang susah nak berlawan dengan kehendak diri sendiri.

“Jujur ya, Zarif. Kau sakit apa sebenarnya?” Tiba-tiba Asyraf tergerak untuk bertanya.

“Sakit?” Zarif menjongketkan kening. “Aku nampak macam orang sakit ke?”

“Taklah. Cuma kau lately banyak termenung.” Mereka semakin hampir dengan rumah mereka.

“Oh, itu. Aku sedang berperang dengan diri aku sebenarnya. Jadi aku banyak berfikir. Kadangkala aku rasa goyah. Rasa macam nak kembali kepada life dahulu.” Zarif berhenti. Lagi dua tapak mereka tiba di hadapan rumah Zarif.

“Yang kau makan pil ubat sorok-sorok tu apa pula?” Asyraf tidak puas hati.

“Bila?” Zarif cuba mengingat-ingat. Bila masa pula aku makan ubat?

“Yang waktu kita praktis bola sampai malam tu. Hari Khamis.” Asyraf ingat betul waktu itu.

Zarif tergelak. “Itu kurmalah. Aku puasa sebenarnya hari tu tapi aku tak nak korang tahu. Aku berbukalah diam-diam.”

Asyraf turut tergelak. Kurma? Haha. Rasa kelakar pula bila teringat anggapan mereka berlima terhadap Zarif.

“Oklah, dah maghrib ni. Aku masuk dulu.” Mereka berjabat tangan. Zarif masuk ke rumah. Asyraf pula meneruskan langkahnya.

“Asyraf, kau bila lagi? Sampai bila nak angkat bendera putih dengan nafsu kau?” Asyraf berbicara dengan dirinya sendiri.

Mujahadah. Arghhh susahnya!!!

*************

Karya,

Hamba Rabbani

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s