Cerpen: Mujahadatunnafs

jihad-nafs

Dush! Satu penumbuk mengenai wajah Farouq. Farouq terundur ke belakang. Wajahnya merah lebam, tanda kuatnya tumbukan itu.

 

“Kau.” Jari telunjuk Syukur,pelajar  yang memakai vest pengawas naik ke mukanya. “Jangan berani lapor kepada cikgu.” Serius.

Farouq memegang pipi. Kebas.

 

“Ingat!” Ugut Syukur.

Farouq memandang empat pelajar di hadapannya. Dua daripada mereka pengawas.

Bibirnya tertarik membentuk senyuman.

 

“Rasulullah kata, cegah kebenaran dengan lisan kalau tak mampu dengan tangan.” Dia membalas tenang. Ponteng kelas dan lepak di surau. Itukah yang qudwah yang patut ditunjukkan oleh seorang senior? Pembetulan. Itukah qudwah yang patut ditunjukkan oleh seorang pengawas?

 

“Jangan tunjuk lagak di sini.” Kini, Rosli pula menggertak. Kalau dia betul-betul lapor, mesti jawatannya akan dilucutkan serta-merta. Hilanglah kredibilitinya nanti.

“Sini aku ajar kau.” Farhan menapak ke hadapan dan menyerang secara tiba-tiba. Perut Farouq

menjadi mangsa. Farouq tertunduk ke hadapan. Kertas merah di tangannya jatuh ke bawah.

 

Jumpa kami di pondok bas. Kami tahu apa yang kau tahu. Jangan berani report kepada cikgu.

-Geng Supersenior-

 

“Rasakan budak lembik. Dengar cakap senior.” Yusuf memperlekeh. “Kau pun nak kena?” Pandangannya beralih kepada Uwais. Uwais menggeleng.

 

“Sakit?” Farhan mendekati Farouq. Farouq ditolak ke belakang. Tubuh Farouq hilang keseimbangan dan terundur beberapa tapak. Farouq menggenggam tangannya. Menahan marah yang menyala-nyala. Ikutkan hatinya, 4 orang ini akan dibelasah sampai mati.

 

“Farouq, jangan biarkan nafsu amarah menguasai diri.” Uwais dapat melihat wajah Farouq bertukar menjadi merah.

 

Naufal hanya memerhati dari jauh tanpa disedari sesiapa. Farouq hendak menyerang balas ke? Tapi Farouq bukan jenis yang suka belasah orang.

 

“Hiargh!” Farouq tiba-tiba bergerak ke hadapan. Farhan terkejut. Dia tidak sempat berbuat apa-apa. Tangan Farouq sudah mendarat di tubuhnya. Farhan terjatuh.

 

Mata Naufal membesar kerana terkejut. Farouq?

********

“Take care, brother. Ingat Allah. Jaga iman, jaga akhlak.” Pesan abang sebaik sahaja dia keluar dari perut kereta.

 

Naufal mengangguk. Faham benar maksud pesanan itu. Nak lepaskan kuda liar yang baru jinak kan?

 

Naufal mengeluh. Langkah diatur lemah ke perkarangan sekolah.

 

“Wei, budak baru ke?” Satu tangan melingkar di bahunya. Dia tersentak.

Seorang lelaki tinggi lampai, berkaca mata sedang tersenyum dengan sebelah tangan menyeluk poket.

“Budak! Salam mana?” Satu tapak tangan memukul kepala yang berkaca mata. “Hai, assalamualaikum.” Kepada Naufal, dia tersenyum sambil membuat gaya ’peace’. Ceria.

 

“Maaf, maaf. Assalamualaikum. Nama aku Uwais.”

“Yang smart dan bergaya ni namanya Farouq. Nice to meet you.” Dia menunduk ala-ala orang Jepun.

“Ceh, perasan!” Bahunya ditolak oleh yang berkaca mata.

 

Naufal ketawa. “Aku Naufal.”

*************

“Nafsu itu ibarat keldai. Jika kita menunggangnya, kita tidak akan penat. Sebaliknya jika kita ditungganginya, kita akan berasa penat. Sebab nafsu itu tidak pernah berasa puas. Jadi, Naufal jangan bagi nafsu tunggang Naufal. Biar Naufal yang tunggang nafsu tu.”

 

Itulah pesan Nasrul, abangnya. Tetapi bukan senang hendak tundukkan nafsu. Pantang leka, pasti kita ditungggangnya. Naufal menghela nafas. Dia tidak mahu menjadi hamba kepada nafsu. Dia hamba Allah, biarlah dia mengikut apa yang Allah suruh.

 

“Naufal, Naufal!”

Eh? Dia menoleh. Terzahir wajah Farouq dan Uwais di ruang matanya.

 

“Berangan budak ni. Sakit tekak aku panggil.” Uwais mengurut-urut lehernya. Konon sakit sangatlah itu.

“Sorrylah. Hehe. Ada apa wahai sahabatku?” Naufal memandang wajah cemberut Uwais dan Farouq.

“Kau ni short-term memory ke apa? Dhuhalah wei. Lem…”

 

“Farouq, bahasa! Ingat, malaikat catit setiap patah yang keluar dari mulut kita. Nabi kita orang yang amat mengambil berat pemilihan kata-kata.” Tegur Uwais.

“Minta maaf…” Farouq menunduk kesal.

 

“Err.. tak apa. Aku yang salah. Aku terlupa.” Naufal menggaru belakang kepala yang tidak gatal. Heh, manalah aku biasa Dhuha-dhuha ni. Aku baru start okay?

 

Mereka bertiga berjalan beriringan menuju ke satu destinasi.

Musolla.

 

“Fal, tolong tasmi’kan aku.” Senaskah al-Quran dihulurkan kepadanya. Naufal memandang Farouq. Ragu-ragu. Al-Quran dipegang.

“Kenapa tak minta tolong Uwais?” Dia cuba berdalih. Dia baca al-Quran pun masih merangkak-rangkak.

 

Farouq  menjuihkan bibir ke satu arah. Naufal menjeling. Kelihatan Uwais sedang membaca sebuah buku. Naufal cuba mengintai tajuknya. Petunjuk Sepanjang Jalan? Mata Naufal membesar. Mak aih budak tu. Dia baca buku macam tu?

 

“Ok, start.”Dia memandang Farouq dan mengangguk.

Suara Farouq mengalun merdu. Membaca surah al-Jathiyah.

 

Naufal hanyut sebentar. Mempunyai sahabat seperti Farouq dan Uwais membuatkan dia berasa rendah diri. Dia baru mula bertatih untuk menjadi baik. Sedangkan dua sahabatnya itu pada pandangannya teramat baik. Solat Dhuha tak penah tinggal, istiqamah dengan puasa sunat paling kurang dua minggu sekali dan sering menyempatkan diri membaca al-Quran di masa lapang. Bila ditanya, mereka ada sebut tentang tarbiyah dzatiyah. Yang dia paling tabik, mereka juga rajin belajar. Di sekolah ini, golongan lelaki yang suka belajar boleh dikatakan spesies terancam. Hampir pupus.

 

“Sodaqallahul ‘azhim.” Farouq menyudahkan bacaannya.

“Esok puasa nak?” Satu suara menegur dari belakang.

Uwais. Dia yang bersuara tadi.

Farouq tersenyum. “Setuju!”

 

Tengok? Kan dah kata?

***********

“Qiam! Qiam!”

“Aduh! Kau call aku malam-malam buta ni sebab nak suruh aku qiam je?” Naufal memarahi Uwais di hujung talian.

Uwais ketawa. “Yup. Jomlah, sahabat. Kita sama-sama buang belenggu nafsu dan menuju Allah. Aku tak nak masuk syurga seorang dirilah. Kau tak nak teman aku ke?”

Ayat provokasi tu. Naufal terus bangun dari baringnya. Matanya mencari-cari jam. Pukul 4:30 pagi.

“Hmm… yalah, yalah.” Selimut dibuang ke tepi.

“Ok, jangan sambung tidur. Selamat berdating. Assalamualaikum.” Talian dimatikan.

 

Naufal tersengih. Faham sangat maksud Uwais. Dating dengan Allah.

 

“Ahh, ngantuknya!” Dia menahan kuap. Mata dipejam celik beberapa kali.

“Lawan, Naufal. Lawan.” Langkah dipanjangkan ke bilik air.

 

“Orang yang berjihad itu ialah mereka yang berjihad menentang nafsunya.” HR Bukhari 

**********

“Banyaknya! Malaslah nak salin.” Naufal sudah meletakkan kepala diletakkan di atas meja.

“Dah siap salin?” Farouq yang tekun menyalin di sebelahnya bertanya. Naufal menuding jari ke arah buku tulisnya. Siaplah sangat. Baru baris ketiga.

 

“Salinlah. Penat cikgu tulis.” TegurFarouq. Naufal tidak bergerak. “Fal, kau baca doa tak tadi?”

Naufal menggeleng perlahan.

“Patutlah nafsu pijak kepala hang. Mentornya hang tak halau.” Farouq membebel dalam loghat Kedah. Kedengaran kekekan Uwais.

 

“Wei, tak jadilah loghat kau.” Sampuk Uwais.

“Hang senyap Uwais. Jelous.” Farouq membelakangkan Uwais, menghadap Naufal.

“Oh, nak lawan nafsu pun kena baca doa?” Naufal menyoal.

 

Farouq menepuk dahi. “Of courselah. Jihad melawan nafsu ni bukannya macam berperang tu. Ambil pisau, tikam. Nafsu ni musuh yang tak nampak. Dalam diri kau.” Dada Naufal ditepuk. “Susah nak tewaskan dia. Jadi kita kenalah mohon bantuan Allah supaya tolong kita. Permudahkan kita. Nafsu itu makhluk Allah juga.”

 

“Oh…”

“One more, nafsu ni mentornya syaitan. Ada mentor lagi kuatlah dia. Jadi kita kena berdoa untuk memohon perlindungan Allah daripada syaitan durjana ni. Baru senang nak kalahkan nafsu.” Terang Farouq panjang lebar.

“Ehem…ehem. Macam best je sembang? Boleh cikgu join?” Tanpa disedari, Cikgu Ali sudah berdiri di belakang mereka.

Farouq terkedu. Alamak, kantoi…

******

“Naufal!” Satu hentakan mengenai mejanya. Naufal mengangkat kepala.

“Oh, Cikgu Fatimah. Good morning.” Dia menguap lebar. Kemudian mata dipejam kembali.

“Ish, budak ni. Dah siap kerja rumah yang cikgu bagi?”

“Dah, cikgu..” Cikgu Fatimah menarik nafas lega. “…bhai.”

Mata Cikgu Fatimah membesar. Budak ni..

“Ada apa-apa masalah, cikgu?” Naufal menayang muka selamba.

“Out! Keluar se.ka.rang.” Nafas Cikgu Fatimah turun naik menahan marah.

“Cikgu cakap dengan saya ke?” Dia menguap lebar.

“Taklah. Dengan pintu.” Cikgu Fatimah menjawab dengan nada geram.

“Oh, baguslah. Saya nak sambung tidur.” Naufal kembali meletakkan kepala di atas meja. Dan kedengaran bunyi derap kasut berlari keluar dari kelas.

 

Ini bukan kali pertama. Sudah banyak guru yang tidak tahan dengan sikap biadapnya. Sampai ada guru yang menangis kerananya.

 

“Huh.” Naufal terjaga. Peluh bercucuran di dahi. Dia bermimpi tentang masa lalnya. Naufal meraup muka.

 

Ketika itu, setitik demi setitik air mata membasahi pipi. Di atas katilnya, Naufal teresak sendiri.

Waktu itu, dia terlampau ikutkan kata nafsu. Dia malas belajar. Abanglah insan yang telah menyedarkannya.

Abang kata mujahadah itu susah. Sebab balasannya ialah syurga. Yang susah-susah pasti ganjarannya lumayan. Syurga kut. Siapa tak nak.

 

“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sungguh syurgalah tempatnya”An-Nazi’at: 40-41

 

Naufal, kau nak masuk syurga kan? Jadi, mujahadahlah sedikit!

***********

Zush!!! Sebuah Estima putih meluncur laju membelah udara. Naufal tersedar dari lamuunannya. Dia terus berlari ke arah Farhan dan Farouq yang terbaring di tanah.

 

Farhan menggerakkan badannya. Sakit. Dia memandang Farouq yang menindih lengannya. Naufal menolong Farouq bangun.

“Kau buat apa kat sini?” Uwais mendekat.

“Ikut koranglah. Jahat ya. Pergi tak ajak aku.” Naufal berpura-pura marah.

 

“Kau okay?” Jufri dan Syukur lekas membantu Farhan bangun. Muka Farhan pucat tidak berdarah. Dia terlalu tekejut. Dia menyangka Farouq hendak menyerangnya. Rupa-rupanya lelaki itu menyelamatkannya daripada digilis tayar mpv tadi. Farouq telah menolaknya untuk mengelakkannya daripada dilanggar!

 

“Abang-abang, kami pergi dulu.” Uwais pergi diekori oleh Naufal dan Farouq. Farouq membelek sikunya yang terasa pedih. Berdarah.

Naufal tersenyum. “Apa senyum-senyum?” Farouq pelik.

 

“Kau ni, Farouq…mengagumkan akulah.”

 

Farouq hanya menggelengkan kepalanya.

***********

“Alhamdulillah, kenyang.” Uwais melangkah masuk ke dalam kelas. Farouq dan Naufal mengekor dari belakang.

 

“Hari ni jumaat kan?” Uwais duduk di kerusinya. “Al-Kahfi jom.” Al-Quran dikeluarkan dari bawah meja.

Farouq duduk di tempatnya. Tangannya turut mengeluarkan al-Quran dari bawah mejanya.

 

“Eh?” Sekeping kertas berwarna putih jatuh di atas pehanya.

“Hari tu bendera merah, hari ni dia hantar bendera putih? Menyerah kalah?” Uwais sudah dapat meneka siapa pengirimnya. Farouq menarik senyum di bibir. Lipatan kertas itu dibuka.

 

Terima kasih.

-Farhan, Geng Supersenior-

 

“Aik, itu je?” Naufal mengerutkan kenig. Tak faham betullah dengan senior-senior aku tu. Ego tinggi sangat. Nak minta maaf pun susah.

“Biarlah. Terima kasih ini pun dah cukup.” Farouq melipat kembali kertas itu.

“Serius aku cakap. Kau ni baik gila. Uwais pun sama.” Komen Naufal.

 

Farouq dan Uwais berpandangan sesama sendiri. “Kitorang…baik?”

“Kau tak kenal aku dulu macam mana. Aku ni kaki buat masalah kat sekolah.” Naufal jujur memberitahu. Pasti dua sahabatnya itu terkejut. Namun, jawapan Farouq memeranjatkan Naufal.

“Dan kau pun tak kenal kami dulu macam mana.” Farouq membalas tenang. Naufal ternganga.

 

Uwais ketawa tiba-tiba. “Sahabat kita yang seorang ni tak tahu lagi rupanya. Nampaknya ta’arruf kita tak lengkap lagi.” Uwais merangkul bahu Naufal.

 

“Oklah, Mr Naufal.” Uwais bergurau. “For your information, aku ni bekas produk hedonisme. Tengok cermin mata aku pun tahu kan. Aku kaki komputer yang jenis boleh mati kaku kalau sehari tak jumpa pc. Life aku cuma sekitar movie, song,  game, insta, twitter, facebook and benda-benda lain yang sewaktu dengannya. Ish, teruk kan? Solat entah ke mana, mengaji lagi jangan harap.” Uwais menceritakan masa lalunya. Masa lalu yang sudah menjadi kebiasaannya. Rasa sangat sakit untuk membuangnya. Sebab nafsu sentiasa menggodanya untuk kembali duduk menghadap laptop dan pc.

 

“Uwais ni kira solehlah juga jika nak dibandingkan dengan aku. Aku master bully. Pernah tumbuh cikgu sampai patah tulang hidung.” Farouq menelan air liur yang terasa berpasir. Tanpa sedar, matanya mula berair.

 

Naufal memandang tidak percaya. Serius otaknya tak boleh nak hadam maklumat yang baru diterimanya. “Habis tu macam mana kau berdua lawan nafsu korang? Macam mana nak jihad membuang benda-benda yang sebati dalam diri? Kan susah?” Naufal teringat perbuatan Farouq semalam. Ikutkan hati, boleh sahaja kalau dia nak belasah 4 orang senior itu. Tapi, dia tak buat.

 

Dia tahu susah. Sebab dia merasainya. Dan dia yakin semua orang merasainya.

“Tak susah, kalau dalam hati ada Allah. Kita buang benda-benda itu, dan Allah yang akan mengisi ruang kosong itu.” Uwais menjawab tenang.

 

“Yang kedua, peranan sahabat.” Farouq merangkul bahu Uwais. “Sahabat saling menguatkan. Nak berperang seorang diri memang susah. Tapi bila ada sahabat yang pinjamkan kekuatan, semuanya akan menjadi lebih mudah. Kau perasan tak aku ada satu habit buruk yang susah nak dikikis? Mulut aku ni, jahat. Kasar. Kan perasan tak siapa yang selalu ingatkan aku?”

 

“Aku.” Uwais menepuk dada.

 

“Ceh, habis banggalah tu.” Farouq menyiku Uwais. Uwais tersengih. “Naufal, kau tak rasa ke lebih ringan untuk buat ibadah bila bersama kami?”

 

Naufal terdiam. Memikir.

Ya, dia rasa sangat ringan. Kalau selama ini nak buat ibadah rasa malas, tapi bila dengan Farouq dan Uwais senang je dia buat. Kadang-kadang tak rasa berat langsung. Lama-lama dah jadi kebiasaan.

 

“Kami ada formula nak lawan hawa nafsu.” Tutur Uwais. Naufal mengangkat kening sebelah. “Apa?”

 

Farouq tersenyum. “Nafsu ni dia bencikan ibadah. Jadi, nak lawan dia kita kena paksakan diri kita beribadah. Lagi rasa malas, lagi banyak kita buat. Walaupun separuh rela. Biar nafsu kita terseksa. Lama-lama dah jadi kebiasaan. Bila iman dah ada dalam jiwa, kita akan merasai kemanisannya.”

 

“Waktu itu nafsu dah tewas.” Sambung Uwais.

“Maksudnya jihad kita melawan nafsu dah berakhirlah?”

Uwais menggeleng. “Jihad yang satu ini hanya berakhir apabila mati, sahabat. Jihad ini menagih seluruh kehidupan kita.”

 

Naufal mengangguk. Faham.

 

“Dah habis sesi tazkirah bab mujahadatunnafs. Sekarang, al-Kahfi.” Farouq kembali membelek al-Quran di tangan.

Paksa diri beribadah ya… Nanti kau nafsu. Senyuman terbit di bibir Naufal.

Al-Quran dicapai.

 

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dalam pengetahuan-Nya, dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?” Al-Jathiyah:23

jihad

Karya,

Hamba Rabbani~

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s