Cerpen: Baiknya Dia!

SYUKUR

Bau ubat kuat menusuk hidung. Aku menutup hidung dengan tangan. Dari dulu, aku memang anti dengan bau ini.

 

“Raaaz.” Aku memandang tanganku yang sedang memegang tangannya. Pandanganku jatuh ke wajah Harraz.

 

Wajah itu pucat. Penat. Kedua matanya tertutup rapat. Dan dari hujung matanya, terdapat kesan air mata.

 

Air mataku jatuh tanpa sedar. Aku terasa diriku terlontar ke telaga masa. Kembali ke saat ketika mana aku baru mengenali insan bernama Harraz.

 

*******

“Bersyukurlah, kawan. Allah ambil 3 orang dari kau, dan Allah ganti dengan 15 orang.”

 

Suara itu mnyentuh cuping telinga ku. Aku menoleh dengan pandangan yang kosong. Sekosong hatiku kini. Isinya dah turut sama terkubur sebaik sahaja ibu, ayah dan along terbaring di bawah tanah.

 

“Kau ada aku sekarang. Tak nampak hikmahnya?” Lelaki itu bersuara dengan bersahaja. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman.

 

Cis. Ada kau buat apa? Disaster.

 

Kata-kata Abang Adi semalam terngiang-ngiang di telinga. Abang Adi, yang digelar Along merupakan pemilik rumah anak yatim ini. Jangan haraplah aku akan panggil dia Along. Along aku cuma seorang. Tak akan ada yang boleh ganti.

 

“Be Harraz’s companion. Tu je yang Along minta dari Dani.”

 

Hanya satu. Tapi satu tu sahaja dah ibarat merampas seluruh hidup aku. Macam mana aku nak hidup dengan mamat selamba ni?

 

“It’s not that bad. Percayalah. I’m the best thing that happens in your life. Satu hari nanti kau akan mengaku.” Yakin. Dia mengenyit sebelah mata.

 

Aku tak tahu kenapa aku rasa tak ngam dengan mamat ni. Maybe sebab ketenangan dia in spite of his condition yang..

 

Aku pandang kaki Harraz yang tidak memijak tanah. Bukan sebab dia hantu. Bukan pula kerana dia ada kuasa boleh terbang macam dalam tv tu.

 

Harraz menggerakkan kerusi rodanya mendekati katilnya di sebelah tingkap. Kemudian, dengan tangan kanannya yang seperti batang penyapu memegang dinding, dia bangun dari kerusi rodanya dan duduk di tilam yang kelihatan lama.

 

“Dani” suaranya memanggil.

 

Apa dia nak? Aku menarik muka. Langkah kaki dihayun mendekati katil itu.

 

Dan sekali lagi, wajah pucat itu dihiasi senyuman.

 

*****

“Kau sakit apa sebenarnya, Harraz?” Aku bertanya sambil menolak kerusi rodanya keluar dari pagar sekolah.

 

“Diffuse pontine glioma.”

 

“What IS that?” Aku tayang muka blur.

 

“Google sendiri.” Dia memetik jari.

 

“Benda tu dalam kaki kau ke? Yang buatkan kau lumpuh?” Aku menyoal lagi, tidak puas hati.

 

Harraz memegang roda, menahan kerusi itu dari terus bergerak.

 

“Siapa kata aku lumpuh?” Dia memandang aku. “Aku boleh jalan. Cuma aku tak ada tenaga. Tenaga yang aku ada, aku nak gunakan untuk benda lain, contohnya jawab soalan-soalan kau tu.”

 

“Mana pergi tenaga kau?”

 

Dia tunduk. Menarik nafas dalam. “The doctor zapped away my power.”Dia mengangkat kepala. “Dengan radiation.”

 

Aku tersenyap. Aku rasa aku dah tahu apa benda diffuse pontine glioma tu.

 

**********

“Ibu, please. Dani nak sangat ibu, ayah dan Along ada esok.”

 

“Along penatlah, Dani. Kursus baru habis ni.”

 

“Hmm..tak apa lah kalau macam tu.” Merajuk.

 

Terdengar suara ibu mengeluh. Aku tersenyum. Menang. “Ye lah. Ibu cuba cakap dengan Along.”

 

“Apa yang budak manja tu minta, ibu?” Dari jauh, terdengar suara mengusik Along. Talian dimatikan.

 

Setitis. Dua titis. Air mata mula menuruni pipi. Ibu. Ayah. Along. Kenapa cepat sangat mereka pergi? Menggigil satu badanku bila melihat tubuh ketiga-tiga insan yg kusayangi hanya tinggal abu yang berterbangan. Wajah mereka pun aku tak dapat tatap buat kali terakhir.

 

Ah. Kalaulah aku tak minta mereka balik hari tu..

 

Aku meramas rambut. Serabut. Tanpa berfikir panjang, langkah kuambil menuju ke koridor di tingkat dua itu. Perlahan, aku memanjat tembok koridor itu. Hanya tinggal satu langkah sahaja, malaikat maut akan datang menyambar rohku.

 

Terjun.

 

“Kau buat apa tu? Dani?”

 

Dalam kelam malam, aku dapat melihat satu susuk sedang bersila di gelanggang bola tampar. Langkahku mati. Apa yang dia buat di situ malam-malam buta ni?

*******

Pagi itu amat dingin. Burung-burung masih belum berganjak dari sarangnya. Matahari pula masih malu-malu untuk memancarkan cahayanya dari balik awan.

 

Harraz menghirup teh untuk menghangatkan tubuhnya. Aku memandang ke luar tingkap. Bilik yang asalnya stor ini ialah bilik Harraz. Terletak di tingkat paling bawah rumah ini.

 

“Kau jangan cuba buat kerja tu lagi, boleh tak?” Suara Harraz kedengaran tegas. Mungkin marah kerana soalan-soalannya sebelum ini tidak kubalas.

 

“Aku tak ada sebab untuk hidup lagi lah!” Aku menaikkan suara. Ya. Untuk apa lagi aku hidup. Dah lah duduk kat rumah yang macam penjara. Kena pula jadi penjaga tak berbayar.

 

“Then, cari sebab tu. Bukannya senang-senang nak ambil nyawa sendiri.”

 

Pandanganku menikam wajah Harraz. “Kau..kau tak rasa apa aku rasa. Kau kecil lagi waktu parents kau mati. Aku dah besar. Aku ada rasa sayang yang jauh lagi dalam dari kau.” Mataku mula hangat. Entah kenapa, hati aku panas meskipun cuaca amat dingin. Aku tahu, Harraz tinggal di sini sejak 8 tahun yang lalu. Dari dia berumur 9 tahun.

 

“Okay, Dani. Kita buat satu deal. Kau jangan cuba buat benda pelik-pelik sampai akhir tahun ini. Aku akan tolong kau cari sebab untuk hidup. Lepas tu, kalau kau nak terjun dari tingkat 100 ke aku tak kacau.” Cawan di tangan diletakkan atas meja.

 

“Kenapa aku kena setuju?”

 

“Sebab kau dah janji nak jadi companion aku. Kau tolong aku, aku tolong kau.”

 

“Kenapa sampai akhir tahun ni?”

 

“Sebab..” Dia menggaris senyuman. “Doktor kata aku cuma boleh hidup sampai akhir tahun ni.” Matanya memandang ke arah aku.

 

Aku terdiam. Akhir tahun ni? Maksudnya lagi 6 bulan?

 

“One more, Dani.” Harraz melepas nafas perlahan.

 

“Parents aku hidup lagi. Diorang buang aku.”

Kali ini, lidahku terus kelu.

 

********

“Bangun! Bangun!”

 

Arghh! Tarzan mana pula yang sesat masuk malaysia ni?

 

“Tak baik tidur lepas subuh. Tak ada barakah.” Kepala yang selesa terletak atas bantal tadi terjatuh di atas tilam yang tak berapa empuk. Aku merengus.

 

“Jangan kacau lah!” Tangan aku cuba menggagau mencari bantal yang dirampas tadi. Aku membuka mata. Imej kabur seorang lelaki dengan serkup di kepala terbentuk di retina.

 

“Morning.” Dia sengih.

 

Cis. Si pengacau antarabangsa ni rupanya. Aku menggosok mata sambil menguap lebar.

 

Pap! Sebiji bantal mengenai wajahku.

 

“Hish tutup lah mulut tu. Syaitan masuk nanti.”

 

Aku menarik wajah masam. “Hari ni kan cuti. Kenapa nak bangun awal-awal?” Aku merungut. Mataku masih separuh tertutup dek beratnya syaitan yang bertenggek atas kelopak mata.

 

“Jom lah. Jalan-jalan. Ambil angin.” Selimutku pula ditarik.

 

“Kau ni annoying betul lah!” Aku bangun dari baringku. Dia hanya tersenyum.

 

“Cepat sikit. Aku tunggu kat luar!”

******

“Perghhh. Cantik gila tempat ni!” Aku hampir menjerit. Betul. Tak tipu. Belakang rumah ni dah macam taman dalam syurga. Okay, itu over. Tapi seriously cantik. Hijau. Sejuk mata memandang. Dah 3 hari kat sini inilah kali pertama aku menjejakkan kaki di kawasan belakang banglo ni.

 

“Subhanallah.” Itu komen Harraz. Aku terdiam. Sentap. Harraz seperti biasa dengan senyumannya.

 

“Eh, aku cakap subhanallah tau tadi. Dalam hati.” Aku membela diri. Padahal itu satu pembohongan.

 

Harraz gelak. “Aku tak cakap apa pun.” Dia menggerakkan kerusi roda mendekati anak sungai yang tenang mengalir. Dia mendepa tangan, menghirup udara dalam-dalam.

 

“Kau tahu, banyak nikmat Allah bagi kat kita. Dapat nafas macam ni pun dah kira satu nikmat yang tak ternilai.” Dia melepas nafas.

 

“You’re dying. Memanglah kata macam tu.” Aku menggumam dalam hati. Seperti mempertikai kata-katanya.

 

“We’re all dying. Even you don’t happen to have a brain cancer like me. Bukan kita semua sedang menuju kematian ke?” Dia menjawab seakan-akan mendengar kata hati aku. Hish, dia ni ada kuasa psikik apa?

 

Aku terdiam. Tidak mampu membalas kata-katanya. Aku teringat ibu. Teringat ayah. Along. Mereka tidak tahu pun yang ajal mereka pada hari itu, detik itu. We’re all dying…

 

“Kau buat apa?” Aku mengubah topik. Aku lihat dia sedang menukis sesuatu dia buku kecil hitamnya.

 

“Rahsia. Kau mana boleh tahu.” Dia menjelir lidah. Buku terus ditutup. “Shuh. Pergi duduk jauh-jauh. Tadi tunggu kau bersiap pun dah habis setengah jam aku.”

 

“Setengah jam je pun.” Aku menaikkan anak mata ke atas.

 

“Dani, my time is limited.” Dia pandang wajah aku. “Masa tu penting, Dani. Kalau kau nak tahu nilai satu minit, kau tanya orang yang terlepas tren. Nak tahu nilai satu saat, tanya orang yang terlepas dari satu kemalangan maut. Tapi kau nak tahu nilai sedetik..” Dia berhenti seketika. “Kau tanya orang macam aku.” Harraz tunduk dan kembali membuka bukunya.

 

“Danial Izham. Masa tu penting. Treasure it.”

 

Aku diam. Memikir.

 

Masa. Aku teringat masa-masa aku bersama Along. Bersama ibu ayah. Kalau aku sedar masa mereka yang terhad, aku akan lebih menghargai mereka. Tapi sekarang, menangis air mata darah pun masa itu tak akan kembali.

 

Aku mengeluh perlahan.

********

“Lambat.” Harraz bersuara sebaik sahaja aku keluar dari rumah.

 

Aku menyarung kasut. “Hero kan selalu muncul time last minute.” Banyaklah kau hero. Aku tergelak dalam hati.

Harraz menggeleng. Mesti dia pening nak layan aku.

 

“Hensem jugak sahabat aku ni.” Harraz merangkul bahuku. Tertarik senyuman di bibirku.

 

“Well..” Aku menyelak rambutku ke belakang. “Aku memang dilahirkan hensem.” Haha. Aku ni memang dari dulu ada satu penyakit. Kalau orang puji, hati aku akan kembang macam dipam pam.

 

Harraz tergelak. “Weh, riya’ nampak.” Harraz menolak bahuku. “Jom ah. Along dah tunggu lama tu. Bersiap kalah perempuan.”

 

“Kau tak apa ke jalan ni? Sekali tumbang aku tolong tengok je.” Aku memandang Harraz yang seperti biasa memakai serkup di kepala. Hari ni dia nampak lain. Wajahnya nampak hidup.

 

“Kawan macam apa lah kau ni.” Harraz menyaingi langkahku. “It’s ok. Aku rasa bertenaga hari ni.” Dia senyum segaris.

 

Aku hanya angkat bahu.

“Dani..” Tiba-tiba Harraz memegang kepala. Tubuh Harraz yang hampir jatuh aku sambut.

 

“Kau okay tak ni?” Entah kenapa, hati ku dipagut risau. Tiba-tiba Harraz ketawa.

 

“Aku main-main je lah bro. Kata tak nak tolong tadi. Sayang jugak eh kau kat aku.” Harraz bangun.

 

Kurang asam. Aku menarik muka. Dia kenakan aku rupanya.

 

“Tak sayang. Tu namanya humanism.” Aku terus melangkah laju ke depan. Buat gaya marah.

 

“Dani, kau tahu tak, tahun lepas aku wakil sekolah bola tampar.” Dia bersuara ketika melalui gelanggang bola tampar.

Aku menoleh sambil mengangkat kening.

Dia sengih. “Tak percaya? Aku atlet sekolah dulu.”

 

Aku hanya menggeleng. Bukan tak percaya. Aku percaya sebab setiap hari Ayip and the geng akan terjerit-jerit memanggil Harraz untuk menjadi pengadil. Yang aku tak percaya, macam mana dia boeh bagitahu aku dengan wajah bersahaja? Senyuman kat bibir dia tu macam kena tarik dengan magnet. Lebar.

 

“Aku teringin nak buat macam tu lagi.” Aku terdengar suara Harraz yang seakan berbisik. Aku memandang gelanggang. Ayip sedang mengangkat bola dan melancarkan servis mautnya. Aku mendengar Harraz beristighfar perlahan.

 

Aku tersenyum pahit. Harraz manusia. Aku tahu dia mempunyai rasa itu. Rasa sedih. Rasa kecewa.

 

“Masuk cepat. Nanti lambat kita sampai.” Abang Adi yang sudah menunggu dalam kereta menegur. Harraz mengambil tempat di depan. Aku duduk di belakang.

 

Kereta terus meluncur ke satu destinasi.

 

Hospital.

*******

Cuti sekolah dua minggu aku habiskan dengan menemani Harraz di hospital. Aku yang menjaga Harraz sepanjang dia menjalani rawatan kemoterapi di sini.

 

Pap. Harraz menutup pintu bilik air perlahan. Aku pantas memapah Harraz yang sudah lembik itu ke katil. Harraz seakan-akan diperah-perah. Kemoterapi membuatkan dia muntah tidak henti-henti walaupun semua makanannya sudah habis dikeluarkan.

 

“Sorry..” Harraz bersuara lemah sambil mengelap wajahnya yang basah. Matanya merah berair.

 

Aku hanya tersenyum simpati. Aku duduk di birai katil. Harraz duduk bersandar di bantal yang sudah ditinggikan. Dia mengambil buku kecil hitamnya dari atas meja.

 

“Nah.” Dia menghulurkan buku itu kepadaku. Aku terkejut.

 

“Bukan kau kata aku tak boleh tengok ke?” Aku teragak-agak.

 

“Satu hari satu muka surat je.” Dia membalas. Aku membuka helaian pertama.

 

Buku ini kepunyaan Harraz.

Mataku jatuh ke barisan pertama.

 

Dear, Harraz.

Peraturan pertama: Jangan sesekali mengeluh walau apa jua keadaan. Elok-elok kau dapat pahala, nanti pahala tu lesap. Belajar menerima. Sebab mengeluh tu tak akan ubah apa-apa.

 

Aku terkedu. Wajah Harraz kupandang.

 

“Apa ni?”

 

“Peraturan-peraturan untuk aku. Aku buat bila tahu pasal penyakit aku ni.” Dia menjawab perlahan. “Aku nak minta tolong kau. Kalau kau dengar aku mengeluh, kau tegur. Tepuk sikit aku. Kadang-kadang, aku tak sedar.” Dia senyum segaris.

 

Aku terpaku. “Aku tak tahu nak kata apa, Harraz. Kau memang luar biasa.”

 

“Tak. Aku manusia biasa yang cuba nak jadi luar biasa. Sebab tu aku buat rules dalam tu.” Dia memejam mata. “Sebenarnya, Dani. Kita patut malu bila kita mengeluh. Selama ni Allah bagi aku kesihatan, even sekarang pun aku sakit, Allah still bagi aku banyak nikmat. Kau, Allah ambil orang yang kau sayang. Tapi cuba kau tengok diri kau. Kau masih ada mata, ada hidung. Boleh berjalan,boleh bercakap.” Harraz berhenti dan memandang aku.

“Kita kena fikir yang kita ni asalnya tak ada apa. Lepas tu, Allah bagi kita macam-macam. Bila Allah nak ambil balik, layak ke kita nak marah? Itu memang bukan hak kita. Sepatutnya kita kena bersyukur, Allah baik hati nak bagi kita pinjam, walaupun seketika. Ada orang yang langsung tak pernah lihat parents dia, Dani.” Suara lembut Harraz menyentuh hatiku. Aku tunduk.

 

“Aku jeles sangat bila kau cerita kat aku apa yang mak kau buat kat kau. Bila kau cerita pasal abang kau yang sporting. Ayah kau yang terlebih caring. At least, kau pernah rasa semua tu. Aku..” Dia menarik nafas dalam. “Aku tak pernah rasa, Dani.”

 

Ya Allah.. Aku rasa seperti hendak menangis. Lagi-lagi bila melihat mata Harraz yang mula berair.

 

“Tapi bila fikir dari sudut positif, mungkin Allah sengaja nak ambil mak ayah dan abang kau. Allah nak curi perhatian kau. Maybe Allah sent everybody away so that it is only you and Him. Allah sayang kau. Aku pulak, maybe Allah bagi aku sakit, supaya aku makin dekat dengan dia. Allah nak aku mengadu kat dia. Kalau aku tak sakit, mungkin aku hanya mengadu pada dia setiap kali lepas solat. Kalau Allah bagi aku sembuh, maybe aku akan leka. Jadi Allah nak aku stay macam ni, so that, aku sentiasa rapat dengan dia. Aku sentiasa takut nak buat dosa sebab fikir yang aku boleh mati bila-bila. Kadang-kadang, Dani, musibah tu tanda kasih sayang Allah pada kita.” Harraz tersenyum. “Dan kami uji mereka dengan nikmat baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran.” Harraz membaca terjemahan sepotong ayat al-Quran. Dia mengesat air mata yang hampir menitis.

 

Aku tersenyap. Musibah ni tanda Allah sayang aku?

 

Hati aku tersentuh.

***********

“Masa awal-awal Harraz tahu dia kena kanser otak, dia murung. Suka marah-marah.” Abang Adi a.k.a Along bercerita kepadaku.

 

“Dia takut. Dia kata dia tak bersedia untuk mati. Dia jadi tak bersemangat nak belajar.” Abang Adi tersenyum pahit. “Tapi dia jenis pendam. Tak cerita kat sesiapa. Satu hari, Along nampak dia menangis.”

 

Aku mengerutkan muka.

 

“Kita tak rasa sakit yang Harraz rasa, Dani. Dia kata kat Along rasa macam nak pecah kepala. Bila Along suruh dia buat rawatan radiasi, tubuh dia jadi lemah. Satu per satu benda dia tak boleh buat. Dani tahu tak yang bola tampar tu dah macam nyawa Harraz?”

 

Aku senyap. Teringat kata-kata Harraz hari tu.

“Dani, kau tahu tak, tahun lepas aku wakil sekolah bola tampar.”

 

Dari gaya Harraz, aku dapat lihat yang dia memang minat bola tampar. Tapi aku tak tahu sejauh mana minatnya itu.

 

“Bola tampar tu lah satu-satunya kenangan dia dengan ayah dia sebelum ayah dia buang dia kat Darussakinah. Pasukan ayah dia dulu johan lawan universiti-universiti. Dia kata dia nak jadi johan kat malaysia, supaya ayah dia kenal dia, boleh bangga dengan dia. Kamu boleh bayang tak apa Harraz rasa bila dia tak mampu lagi nak lompat buat servis? Tak mampu lagi nak dig bola bagi lepas net?” Abang Adi menyapu air mata yang mengalir di pipinya.

 

“Tapi Harraz hebat. Dia tak terus tenggelam. Dia kata kat Along, mungkin Allah bagi dia sakit sebab nak tarik perhatian dia yang selama ni buat something sebab nak tarik perhatian ayah dia. Lepas tu, dia kata kat Along, dia sanggup hilang semua yang dia ada, asalkan Allah ada bersama. Dia tak sanggup kalau Allah bagi dia semua nikmat, sampai dia lupa nak meminta pada Allah, sampai buat dia jauh dari Allah. Dan sejak hari tu, dia mula buat peraturan-peraturan tu.” Abang Adi berhenti bercerita. Dia meraup wajah.

 

Itu rupanya sejarah wujudnya peraturan-peraturan tu..

 

Abang Adi bangun dari kerusinya.

 

“Along nak pergi jumpa Harraz kejap.” Dia membetulkan letak cermin matanya dan masuk ke dalam wad Harraz.

 

Aku tersandar lemah.

“Aku jeles sangat bila kau cerita kat aku apa yang mak kau buat kat kau. Bila kau cerita pasal abang kau yang sporting. Ayah kau yang terlebih caring. At least, kau pernah rasa semua tu. Aku..” Dia menarik nafas dalam. “Aku tak pernah rasa, Dani.”

 

Ya Allah! Setitis. Dua titis. Tiga titis. Air mata yang mengalir kubiar jatuh menuruni dagu.

********

“Freedom!!!” Harraz menjerit sekuat hati sebaik sahaja dia keluar dari kereta.

 

Aku tersengih. Aku membantu Harraz duduk di atas kerusi rodanya. Kemudian, kerusi roda itu kutolak perlahan menuju belakang rumah.

 

“Dah sampai.” Aku menepuk peha dan duduk di sebuah bangku di situ. Harraz bangun dari kerusi rodanya. Aku lihat kakinya terketar-ketar menampung tubuhnya yang kurus keding. Aku memapah tubuh Harraz ke bangku.

 

Ya, Harraz tidak lagi sekuat dulu. Tenaganya seakan disedut. Aku melihat lengan Harraz yang penuh dengan lebam-lebam. Itupun salah satu kesan kemoterapi yang dijalaninya.

 

“Thanks.” Harraz menghadiahkan sebuah senyuman sebaik sahaja dia duduk di bangku itu. Aku mengangguk.

 

“Dani.”

 

“Hmm.”

 

“Cuba kau tengok awan tu.” Harraz menuding jari ke langit.

 

“Kenapa?” Aku mendongak. Apa yang peliknya dengan awan tu?

 

“Awan tu macam kaulah”

 

Aku mencebik. Cis, kurang asam. Bentuk macam rabbit tu dia kata macam muka aku yang hensem ni.

 

“Haha. Salah sangka lah tu. Aku tak kata muka kaulah. Kau tengok awan. Walaupun jauh di langit tetapi memberikan seribu jasa kepada makhluk lain.”

 

“Kenapa kau cakap aku macam tu?” Aku memandangnya pelik. Aku berjasa?

 

“Kau tolong aku. Kau baik. Anak yang soleh. In shaa Allah ayah mak kau dapat saham kat sana.” Harraz terbatuk-batuk. Dia berdehem. “Dani, aku tak kesal dapat penyakit ni. Sebab dengan penyakit ni, Allah bagi aku satu anugerah yang tak ternilai.” Harraz terbatuk lagi.

 

“Apa dia?” Aku mengangkat kening sebelah.

 

“Allah bagi aku sahabat. Kalau aku tak dapat penyakit ni, tak ada lah Along suruh kau jaga aku. Kau memang sahabat terbaik yang aku ada. Sebab kau sanggup jaga aku. Kau boleh je lari kan?” Harraz menarik senyuman. “Dani, terima kasih.”

 

Aku menelan air liur. Ahhh, kenapa mata aku berair ni? Terharu. Harraz ni suka buat aku jadi cengeng.

 

“Dan sebab tu jugak aku berubah. Kalau kau tak sakit, aku tak berkepit dengan kau, aku dah lama tak ada kat dunia ni.” Aku memejam mata. Tak dapat aku bayangkan kalau aku mati kerana bunuh diri. Orang yang ambil nyawa sendiri tempatnya neraka. Allah masih sayangkan aku dengan mengutus Harraz untukku.

 

“Nampak kan hikmahnya sekarang? Apa yang Allah susun semuanya tip top. Terbaiiiik.” Harraz mengangkat ibu jari.

 

Aku mengangguk. Fikiranku melayang mengingati kembali saat aku menjaga Harraz di hospital.

 

“Dani, manusia ni pelikkan.” Harraz bersuara sambil mengambil pil kemoterapinya.

 

“Kenapa pulak?”

 

“Manusia cuba lari dari kematian dengan ubat. Tapi tak cuba lari dari neraka dengan amal soleh. Yang kelakarnya, kita memang tak boleh lari dari kematian. Lari dari neraka boleh lah.” Harraz memasukkan pil ke dalam mulut dan menelannya.

_ _ _ _ _ _ _ _ _

 

“Harraz, hidung kau berdarah lagi.” Aku menegur Harraz yang tekun membaca. Harraz mengambil tisu dan mengelap hidungnya. Melihat darah yang semakin banyak, aku menghulurkan mangkuk dan mendudukkan Harraz. Harraz tunduk dan membiarkan darah mengalir ke mangkuk. Macam pili air bocor.

 

“Sakit?” Aku bertanya. Aku melihat Harraz terbatuk-batuk.

 

“Perit.” Harraz bersuara sambil mengesat lebihan darah di bawah hidungnya. Darah yang keluar semakin berkurangan. Tiba-tiba Harraz tergelak.

 

“Kenapa kau gelak?” Aku keliru. Sakit tapi boleh ketawa?

 

“Aku teringat satu kisah ni. Ada seorang ni jarinya tersepit pintu sampai kukunya terkopek. Tapi dia boleh ketawa dan kata: aku ketawa sebab aku nampak banyaknya pahala mengalir dari celah kuku aku ni.” Harraz tersenyum di akhir kalamnya.

 

Aku terpempan.

_ _ _ _ _ _ _ _ _

 

“Dan kami pasti akan menguji mereka dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Sodaqallahul ‘azhim.” Harraz menutup perlahan al-quran di tangan.

 

“Beruntungnya orang yang diuji ni kan?” Harraz bersuara.

 

“Hah? Kenapa?” Aku yang sedang makan menoleh.

 

“Allah sayang dia. Dapat syurga. Untunglah tu.” Dia mengukir senyuman. “Dani, Allah ambil mak ayah dan Along kau, nanti Allah ganti dengan syurga dan kat dalam tu ada mak ayah dan Along kau. Mana lagi best? Mak ayah dan Along kau atau syurga tu?” Harraz berjalan perlahan dari katil menuju ke sofa.

 

“Nabi-nabi semua diuji. At last, tempat mereka kat mana? Syurga. Firaun. Dia dilimpahi kesenangan. Nanti tempat dia kat mana?”

 

“Neraka.” Aku menjawab perlahan.

_ _ _ _ _ _ _ _ _

 

Peraturan kedua: Bangun pagi dengan senyuman dan ucapan syukur. Alhamdulillah, I’m alive!

 

“Bersyukur?”

 

“Hmm. Allah kata jika kamu bersyukur akan aku tambahkan nikmat kepadamu. Jika kamu enggan, sesungguhnya azabku sangat dahsyat.

 

Sebenarnya, musibah tu tak mempengaruhi hidup kita. Tapi apa tindakan kita bila berhadapan dengannya yang effect kita punya emosi, sikap dan keadaan kita. Bila fikir balik, musibah takkan jadi musibah kalau kita tak anggap dia musibah, kan? Aku umpamakan ujian ni seperti lemon. Kalau kulit kita sihat, kita sapu banyak mana pun lemon tak ada apa. Tapi kalau dah memang kulit kita sakit, luka, beberapa titis lemon pun dah buat kita rasa perit. Macam tu lah hati kita.”

 

Aku mengangguk. Kata-kata Harraz meresap ke dalam hati.

_ _ _ _ _ _ _ _ _

 

“Kau hutang aku satu benda. Kau kata kau nak tolong aku cari sebab untuk hidup.” Aku mengungkit. Ketika itu, Harraz baru selesai diperiksa oleh doktor.

 

“Simple. Allah bagi kau hidup sebab nak bagi kau peluang untuk kumpul amal banyak-banyak. Takkan kau nak tutup peluang tu dengan bunuh diri?” Harraz tersenyum lagi.

 

Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Betul juga.

 

“Allah cipta kita suci, bersih. Jadi kita kenalah kembali pada Allah dalam keadaan bersih. Kalau kau ada pinggan yang bersih, cantik lepas tu kau bagi pinjam kat orang dan orang tu pulang macam keadaan asal, mesti kau ambil dan simpan elok-elok. Kalau orang tu pulangkan kotor, mesti kau ambil dalam keadaan marah dan bersihkan dulu. Tetapi kalau pinggan tu tinggal serpihan je?”

 

“Aku campak je dalam tong sampah.” Aku menjawab spontan.

 

Harraz memetik jari. “Kau mesti lagi marah kan? Macam tu juga kita dengan Allah. Kalau kita kembali kotor dengan dosa, Allah akan ‘basuh’ dulu kita dengan api neraka. Kalau kita dah rosak teruk sampai mensyirikkan Allah, na’udzubillah, Allah akan terus lontar kita dalam neraka.”

 

“Hmm make sense.” Aku mengangguk-angguk.

 

“Dani. Dani. Danial Hazim.” Aku terasa bahuku ditepuk. Aku tersedar dari lamunan.

 

“Heih, dah sampai mana lah kawan aku ni berangan.” Harraz menggeleng sambil tersenyum.

 

“Ada lah sampai marikh. Sempat lah beramah mesra dengan alien kat sana.” Aku berloyar buruk.

 

“Dah lah. Jom masuk. Aku nak jumpa Ayip dan adik-adik lain.” Harraz bangun. Aku membantu Harraz berjalan ke kerusi rodanya.

 

“Harraz.” Aku memanggil. Kenapa Harraz bergoyang-goyang?

 

“Hmm?” Suara Harraz kedengaran perlahan. Ah, kenapa pula ni?

 

“Dani, kau okay?” Harraz melepaskan tangannya dari bahuku.

 

Seketika itu, pandanganku terus bertukar menjadi gelap.

 

“Dani!”

********

Aku terbatuk-batuk. Lamunanku pecah, membawa kembali tubuhku ke wad serba putih ini. Bau ubat kembali menusuk hidung. Aku menggerakkan tanganku. Tangan Harraz yang menggenggamku turut bergerak sama.

 

“Along, Dani dah sedar.” Aku mendengar suara Harraz. Aku lihat matanya sudah terbuka lebar dengan senyuman kegembiraan terukir di bibirnya.

 

Aku memandang Harraz dan Abang Adi dengan wajah kebingungan.

 

“Dani baru lepas operation. Dani ada brain hemorrhage.” Abang Adi menjelaskan. Aku hanya tersenyum lemah. Kepalaku terasa sakit mencucuk-cucuk. Tiba-tiba mataku terpandang luka di siku Harraz. Aku menarik perlahan lengan kanan Harraz. Sepanjang lengannya penuh kesan calar dan lebam. Jari-jari Harraz juga dipenuhi luka-luka kecil.

 

“Kenapa ni?” Aku bertanya lemah. Harraz hanya menggeleng.

 

“Harraz. Kau tahan badan aku eh masa aku pengsan?” Aku dapat mengagak. Wajah Harraz berubah.

 

“Maaflah. Aku tak larat nak tampung kau dari jatuh.” Balas Harraz.

 

“Habis tu, kau biar aku jatuh atas kau?” Mata aku mula berkaca. Tak dapat kubayangkan tubuhku yang tegap ini menindan tubuh kurus Harraz. Hendak menampung berat sendiri pun kakinya sudah terketar.

 

Harraz sengih. “Tak ada apa lah. Luka sikit je. Takkan aku nak biarkan kau jatuh atas batu-batu keras tu?” Dia menarik balik tangannya. Aku terdiam. Dada mula terasa sebak.

 

“Kau tahu, ada yang lebih sakit dari ni.”

 

“Apa?” Suaraku kedengaran serak.

 

“Bila aku tengok kau pengsan dan tak bangun-bangun lepas operation.”

 

Ya Allah..

Kali ini kolam mataku pecah. Kata-kata Harraz menyentuh tangkai hatiku.

 

Aku pandang wajah Abang Adi. Allah telah beri aku seorang abang yang baik setelah Allah mengambil Along. Betul. Abang Adi tidak dapat menggantikan tempat Along di hatiku. Tapi di Abang Adi tetap ada di sudut lain di hatiku.

 

Aku memandang Harraz. Automatik, bibirku mengukir senyum walaupun pandanganku sudah berbalam-balam. Aku bersyukur Allah menghantar Harraz kepadaku. Harraz bukti kasih sayang Allah yang tidak berbelah bahagi kepada insan yang lalai seperti aku.

 

“Harraz, terima kasih.. sebab jadi sahabat aku.” Aku bersuara perlahan. Air mata mula bertakung di tubir mata. “Aku.sayang.kau.kerana.Allah.” Sepatah demi sepatah kata-kata itu meluncur dari bibirku. Tekakku terasa kering.

 

Aku nampak Harraz memejam mata membiarkan air mengalir di kedua pipi cengkungnya. “Aku pun sayang kau kerana Allah.” Suara Harraz kedengaran serak di telingaku. Dia menggenggam tanganku dengan kedua tangannya. Air mata Harraz jatuh di atas tanganku. Aku dapat rasa air hangat itu mengalir menuruni lengan.

 

Dan aku lihat wajah Abang Adi yang duduk dekat dengan kepala aku. Wajah Abang Adi muram.

 

Eh kenapa ni?

 

Dan tika ini, aku merasakan dadaku bagai dihempap. Pandanganku bertambah kabur. Aku tersenyum. Ohh rupa-rupanya..

 

Aku dapat merasakan ajalku kian hampir. Sebentar lagi aku akan menembusi alam lain.

 

“We’re all dying, even though you don’t happen to have a brain cancer like me.” Kata-kata Harraz menjengah telingaku

 

Harraz, aku yang pergi dulu rupa-rupanya. Betullah, mati itu tak mengira usia dan kondisi kesihatan. Yang muda boleh mati dulu dari yang tua. Yang sihat boleh mati dulu dari yang sakit.

 

Ternyata Allah itu sangat baik. Dia tidak menguji aku dalam tempoh yang lama. Andai aku membunuh diri dahulu, alangkah ruginya aku. Sedangkan kemenangan itu sudah sangat dekat!

 

Terima kasih ya Allah..

 

“Dani..” Harraz memanggil aku dengan suara bergetar.

 

Bibirku cuba tersenyum. Aku tercungap mencari nafas. Nafasku semakin payah. Kini, baru aku sedar nikmat satu hirupan udara yang Harraz katakan.

 

Harraz jangan lupa doakan aku. Allah izin, kita jumpa di syurga, bro. Sayang kau.

 

Allah..

Tubuhku terasa semakin ringan.

Gelap.

**********

ALLAH ALWAYS HAS A BETTER PLAN FOR US.

THINGS MAY NOT START OFF TO WELL…

     BUT THE ENDING IS USUALLY BETTER THAN WE EXPECT.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s